Friday, December 31, 2010

selamat hari terakhir di 2010

dan aku tutup buku ini dengan senyum;
semoga ada lagi buku2 baru untuk aku.

kerana aku belum sedia untuk dihadap tuhan yang maha tahu.

Friday, November 26, 2010

mereka ujar: "ajarkan aku menulis" dan mereka jeling bila aku bilang dengan sering: "aku tak tahu"

percayalah. aku sungguh tidak tahu.

bukan sekali, mungkin sudah beribu, datang manusia secara satu-persatu dalam hidup aku bertanya bagaimana mahu menulis. sudah lebih sekali, malah mungkin sudah beribu, aku jawabkan yang aku benar2 sekali tidak tahu.

ya. aku mendalami sastera inggeris ketika belajar dahulu. ya. ada macam2 yang didapatkan dari buku2 yang aku baca itu. tapi percaya atau tidak, semua itu tidak memberi janji apa. analoginya seperti mempelajari sifir. bagaimana taukeh kedai runcit yang tidak pernah sekolah itu boleh mengerti konsep ganda, begitu juga kita.

satu peket jajan adalah 20 sen. kalau beli 3, maka 60 sen.
kali pertama barang 20 sen dibeli 3 perlu dibayar 60 sen, pasti perlu dihitung jari.
kalau hari2 ada kiraan sama, tak mungkin tak terhafal, bukan?

begitu juga dengan tulisan. atau apa sekali pun pekerjaan. latihan dan kesilapan menjadikan kita matang dan lebih memahami. tak ada perempuan yang tidak pernah hangit nasinya. tak ada lelaki yang tidak pernah terluka di cukuran muka yang mula2. tak ada bapa yang tidak pernah tercuai menjaga anaknya. tak ada bunda yang tidak pernah terhangus baju sekolah yang digosoknya.

kalau tabiat hari2 pun masih kita tersilap kira, apa lagi dalam sesuatu yang baru2 kita buatkan, bukan?

maka mengertilah aku bila aku sungguh menjawab yang aku sungguh tidak tahu apa jawapan yang paling sungguh. jangan disinis aku ini; seolah2 mahu sengaja menyimpan apa2 saja yang aku ada ini dalam peti besi, untuk aku usung sampai ke mati. gila, apa? bukankah rugi?

kata2 orang tua ini sentiasa aku pegang;
"ilmu di dada akan hilang --
kalau cuma dimakan sorang".

andai kau kenal aku, akan tahu kau betapa aku lebih hendak disebar2kan ilmu sesama kita. kau berjariah sama aku, dan aku berbuat perihal sama. segala apa yang dikongsi, bukankah lebih manis rasanya nanti?

kerana itu tidak pernah walau sekali aku haramkan tulisan2 aku untuk digunapakai di mana2. aku cuma minta ihsan tidak dicuri tidak diambil sesuka hati. dengan jahat yang aku ada, cuma inilah jasa2 yang mampu aku harap jadi pencuci. dan bukankah lebih seronok kalau beramai2 kita bangkit bersama2, berbanding bersemayam di singgahsana, berseorang tanpa sesiapa?

*diam*

ajarkan kau menulis. aduh.
dari mana hendak aku mula?

sedang aku sendiri tidak punya mana2 penulis kegemaran, kerana aku tidak gemar membaca.
sedang aku sendiri tidak punya siapa2 yang aku hendak layakkan sebagai seseorang yang terulung dalam karyanya.
semua orang ada burukbagusnya.

kalau perlu juga dinamakan satu, aku kira sesiapa yang sudah kenali aku akan tahu, puisi terindah yang aku terlalu cinta adalah "ar-rahmaan";
elemen2 literasinya, ruh dan ceritanya--
sempurna.

ya. ar-rahmaan kalam tuhan itu.

dengan repitasi secantik itu,
dengan metafora sedalam itu,
dengan simbolisme sejelas itu,
dengan rhythm penuh assonance dan alliteration selancar itu,
dengan simile setepat itu,
dengan personifikasi selogik itu;

-- aku boleh habiskan seluruh malam memuji wajah dan jiwa ar-rahmaan,
tapi tetap takkan tercukup untuk mengadili jelitanya.

maaf. tapi dengan kosa kata terbatas aku ini, aku tak mampu.

*haih*

bagaimana untuk menulis?
jawapan aku ini:
tulis.

mudah? betul.
tapi susah.

sebab ramai yang terlalu sibuk mencari pujian.
mencari penghargaan.
mencari pengikut.
mencari pak turut.
mencari persetujuan.
mencari anggukan.

berhentilah.
berhenti takut untuk dimakicaci.
berhenti takut untuk dibenci.
berhenti risau diperbanding.
berhenti risau dipertanding.

kerana ilmu tidak pernah tentang siapa terbagus terhebat tersohor terpingat.
ilmu adalah bila untungnya setara didapat.

*diam*

cuma yang terpaling asasnya, kalau sungguh2 mahu menulis, cuba didikkan diri untuk memperhalusi tiang paling asasnya. anggapkan beberapa yang di bawah ini sebagai tulang-temulang yang perlu kukuh untuk membadani tulisan kita. contohkan badan sesasa beruang tapi pasaknya cuma bendalir yang ada pada organisme invertebrata. *senyum* tidak masuk akal, bukan?

perkara2 yang akan aku sebutkan ini mungkin nampak bodoh dan tongong, tapi percayalah, tidak boleh sekali2 ia dibiar rapuh, tidak boleh langsung ia tak terpedulikan. berikut adalah perbuatan2 kurang bijak dalam tulisan; distraksi yang sungguh besar impaknya tapi entah kenapa terlalu sering digunapakai.

ingat selalu. menulis adalah medium untuk menyampaikan maksud.
kalau benar mahu menulis, berhenti ganggu lancar bacaan, berhenti halang luncur mesej yang hendak dikhabarkan.


pertama: tandabaca
------------------------

silap biasa satu:
huruf2 yang sebentar besar, sebentar kecil.

contoh:
aKu BeNci KaU sEbAb KaU kEjI.

nota:
-- kurang serius, maka kematangan tulisan jadi hilang.
-- imej yang berlapis2 akan membikin sel otak berkecamuk ketika mengsintesis mesej.
-- kekalutan yang tertimbul dari bahagian subjektif akal (biasanya berkait rapat sama neuron2 yang merengsa perasaan) akan mencipta prejudgment waima sebelum dibaca habis.


silap biasa dua:
penyalahgunaan / menidakgunakan tandabaca.

contoh:
aku ingin hidup...
mengapa...
kerana aku mahu hidup...
sialan...

nota:
-- perlu belajar indikasi titik bersusun tiga, titik bertindih, titik bersusun tiga disudah tanda soal atau tanda seru, dan lain2.
-- setiap penggunaan ada makna. dan kalau tidak digunakan JUGA perlu ada justifikasinya.


kedua: tatabahasa
----------------------

silap biasa satu:
ejaan.

dalam perpektif teknikal tulisan, ejaan begitu penting. tidak boleh tidak, ia mesti dititikberatkan. sebab ia boleh jadi distraksi besar pada pembaca. melainkan memang disengajakan dan bersebab, ejaan paling perlu dijaga.

contoh:
"ak x sukew dyer kachaw ak"
"ngan tark appr kiter kayh"

nota:
-- *tepuk kepala* apekebende kau cakap tu!?
-- kalau hendak diambil serius, selogiknya penulis perlu serius. obviously!
-- secara personal, aku paling pantang tulisan main2 sebegini. aduh~ kalau di kotak komen tidak apalah, tapi kalau dalam prosa dan stanza, memang sengaja bikin orang seperti aku panas hati.


silap biasa dua:
elemen literasi.

ada yang merasakan seni itu perlu pelik dan cacat. seperti sesuatu yang wajib untuk menjadi bukti kesenian sesebuah tulisan, mereka2 ini terlalu taksub dengan kemestian menjadi abstrak. malangnya, terpaksa aku marahkan juga.

contoh:
((kalian tahu / pernah nampak / sudah jumpa / selalu serempak sama jenis2 tulisan ah-aku-begitu-puitis ini. aku tidak perlu bagi contoh pun, bukan?))

tolonglah.

aku tidak akan bising kalau ketergantungan itu relevan (atau sekurang2nya menjadi). yang aku agak kecewa, terlalu ramai dewasa ini yang menulis dengan niat serong, dengan kehendak, dengan kemahuan spesifik: mahu digelar artistik.

majoriti dari si mahu-digelar-artistik ini sebenarnya tidak pun tahu apa yang dikatakannnya. ketahuilah; bilamana tukang karut itu sendiri tidak jelas dengan apa yang dikarutkannya, pasti mereka2 yang menadah telinga dan mata untuk dikarut ini akan merasakan kebangangan karutan itu.

tidak ada manusia yang lahir terus memandu. belajar dahulu berjalan. kemudian berlari. satu-persatu. perlu sabar. perlu sekurang2nya reti membeza elemen2 yang ada dalam ayat sempurna sebelum dipandai2 reka ayat2 pelik tergantung itu. kenalpasti apa itu noun, apa itu verb, yang mana satu subject, yang mana satu object, seumpamanya.

di bawah ini, aku beri contoh mudah; kaedah biasa aku guna untuk terangkan konsep grammar pada anak2 murid aku. aku pilih untuk sentuh sedikit sahaja dan aku akan cuba sebaiknya untuk jadi sejelas mungkin.

--------------------------------

"aku nan bercangkerang salji sedang menempuh sahara"

--------------------------------

mula2--
i) subject:
siapa / apa fokus cerita ini?
aku.

setakat ini, apa kita tahu?
ini adalah cerita tentang aku.

--------------------------------

seterusnya--
ii) verb:
apa yang terjadi pada 'aku' itu? seorang 'aku' itu sedang / telah / akan bikin apa? apa ceritanya?
sedang menempuh.

setakat ini, apa kita tahu?
1) masa: cerita ini sedang berlaku. bukan di masa lepas, bukan akan datang.
2) seorang 'aku' itu tadi dapat dibayangkan sedang mengharungi sesuatu.

--------------------------------

kemudian--
iii) object:
perkara yang dipengaruhi dua elemen tadi. signifikasi kepada karektor utama tadi dengan perbuatannya. object adalah penerangan yang menjawab pelbagai kemungkinan, terpulang pada sambungan subject dan verb tadi.

begini; kita sudah ada satu subject dan satu verb. sudah ada cerita.
"aku sedang menempuh"
object adalah segala apa yang dibubuh untuk memperinci cerita pendek tentang 'aku sedang merempuh' tadi.

sebagai pemahaman di luar konteks, object yang biasa dibuat sambungan adalah didasarkan:

a) kenapa:
kenapa 'aku' itu sedang menempuh?
-- aku nan bercangkerang salji sedang menempuh kerana dipekik kau menyuruhku datang.

b) bila:
bilakah 'aku' itu sedang menempuh?
-- semalam pagi, aku nan bercangkerang salji sedang menempuh.

c) bagaimana:
bagaimanakan 'aku' itu sedang menempuh?
-- aku nan bercangkerang salji sedang menempuh dengan kaki terpaku di laut, dengan hati terikat di langit.

macam2 jenis lagi.

baiklah. kembali pada contoh asal di atas, objectnya adalah:
apa.
aku sedang menempuh apa / siapa?
sahara.

setakat ini, apa kita tahu?
seorang 'aku' itu dalam keadaan melanggar sahara.

--------------------------------

selesai itu, kenalpasti apa perlunya ada penggunaan perkataan--
i) bercangkerang
adjective (menerangkan perihal noun --dalam contoh ini, noun adalah 'aku')
'bercangkerang' itu adalah penerangan tentang 'aku'.

ber = ada.
bercangkerang = ada cangkerang.

setakat ini, apa kita tahu?
1) aku bercangkerang = seorang 'aku' itu ada cangkerang.
2) mungkin cangkerang itu dipakai, mungkin juga ia dipegang seperti barang.

--------------------------------

apa pula tentang--
ii) salji
adjective (menerangkan perihal noun --dalam contoh ini, noun adalah "cangkerang")
'salji' adalah jenis cangkerarang yang ada pada 'aku'.

setakat ini, apa kita tahu?
'aku' ada cangkerang yang diperbuat dari salji / kelihatan seperti salji / sifatnya seperti salji ketika 'aku' menempuh sahara.

--------------------------------

siap.
mudah, bukan?

maka secara asasnya, kita perlu tahu 3 perkara:
1) subject: tentang apa / siapa
2) verb: apa yang dibikin apa / siapa tadi
3) object: maklumat2 tambahan

itu baru literal. puisi, terutamanya, adalah penulisan yang lebih banyak bermain dengan apa yang TIDAK literal.

apa simbolisme yang ada pada cangkerang dalam cerita ini?
apakah warna putih salji ada relevan dengan cerita tadi?
apakah sifat salji yang dirujukkan? apakah bunyinya yang rangup atau rapuhnya ia dihampir api?
kenapa dipilih perkataan 'sahara'?
bagaimana salji mampu memerisai matahari di sahara?

banyak lagi.
siapa kata menulis itu leweh?
sebab itu aku selalu bilang, jangan buat main sama bahasa.
salah guna, salah makna yang dipikulnya.

benar, semua boleh menulis. tapi tidak semua peduli untuk mempeduli hakikat jisim dan ruh tulisan2 mereka.
kasihanlah sama ia.
bagilah haknya.

tanpa kemahiran ini, tulisan akan terlencong jauh. mesej, cerita dan kisah akan berkecaiderai sebelum sampai pada pembaca. kau akan rugi kerana bilamana pembaca merasa rugi, peluang untuk mereka habiskan satu puisi kau itu akan menipis. silap2, puisi seterusnya (bagaimana bagus sekali pun) akan terbiar tak dipandang kerana prejudis dan overgeneralization yang mereka taakul buta2 dari puisi pertama.

"ah. apa punya tulisan. busuk. malas baca lain. terbazir masa, nanti"
*geleng kepala*
sudah rugi besar.

kesalahan yang paling biasa dilakukan dalam penulisan puisi adalah mengganggapnya mudah kerana tidak seperti prosa2 panjang yang menghurai, penulisan puisi adalah pendek2. kadang2 tidak tersudah, ada masa terbiar tidak ditamatkan, sekali-sekala tergantung untuk disambung di lain tulisan.

benar. puisi tidak jelas pada masa kasar. jarang puisi itu disempurnakan dengan lengkap. namun penulisan puisi sebenarnya adalah proses yang jauh lebih rumit kerana ia abstrak. tersalah bikin, hancur sampai ke kerak.


silap biasa ketiga:
pemilihan kosa kata.

benar, penulis puisi ada sesuatu yang magikal: poetic license, iaitu lesen yang penulis pegang bila datang masa dia mahu menolak undang2 tatabahasa yang sedia ada, atau kalau2 dia hendak mencipta gaya bahasa yang baru. tapi apa yang mengecewakan, ramai yang cuma mementingkan diri sendiri dan menggunakannya sebagai perisai untuk dijadikan alasan bila2 kesilapan terbikin tanpa sedar.

"kenapa kau kata 'asahkan senjita', bukan 'senjata'?"
"oh, itu poetic license. apa kau tahu"

*geleng kepala*

jangan jadi bodoh sombong. kalau sungguh memang sengaja dicipta khusus perkataan 'senjita' untuk memberi maksud 'senjata yang menggempita' ketika menulis puisi itu, tidak apa. kalau ketika ditegur salah baru disedarkan, itu defensif namanya.

setiap perkataan membawa jasad yang tersendiri.
pemilihan perkataan yang tepat bukan sesuatu yang boleh dibuat main.

contoh:
"saya lapar" / "saya kebulur"
"aku rindu" / "saya rindu"
"aku minum beras dan aku kunyah embun"

ada beza konotasi "saya lapar" dan "saya kebulur", mesti ada faktor kenapa kita guna "aku" dan tidak "saya". perlu ada jawapan kenapa beras itu diminum, embun itu dikunyah. semua pilihan kena ada sebab. wajib ada.

kalau tidak wujud justifikasi--
bermakna penulis sekadar menulis mengikut2 dan tidak bertujuhala;
bermakna penulis itu bukan penulis.
apatah lagi orang puisi.

tulisan (yang pelbagai jenis itu) adalah medium / kaedah / cara yang dipakai untuk memberitahu atau menyampai sesuatu / mesej / cerita.
puisi pula adalah cabang tulisan yang secara terangnya memberitahu tanpa memberitahu. ia jelas tapi kabur. ia terang tapi tersorok.

serabut, bukan?

*senyum*

kerana itu orang puisi tidak malu mengaku gila. puisi tidak semudah yang disangka semua.
main puisi memang boleh gila.
dan mungkin juga kerana kegilaan itu juga,
orang puisi begitu karib dengan jiwanya.

tidak sukar untuk mendapatkan jiwa dalam menulis. cuma perlu jujur dan benar2 yakin yang sudah sehabis jujur perasaan dicurah ke dalam tulisannya. lain orang ada lain cara hidupnya, maka kenapa perlu kita tiru2 gaya marah orang, gaya cinta orang, gaya kosong orang? melainkan kita benar2 tahu apa kita rasa dan kebetulan pula sama dengan sesiapa, jangan sekali2 dipaksa jiwa untuk memperakui sesuatu yang tidak dia rasai.

jangan hanya bawa pembaca nampak cerita kita. bawa mereka hidup dalam cerita kita, berada di kalangan karektor2 yang sedang kita kisahkan tentangnya. didik diri untuk jujur dalam bercerita, ajar diri untuk ikhlas dalam memberi hasilkarya, paksa diri untuk tidak mahu menunggu kata puji semata2.

bila sesebuah tulisan itu terlahir kerana ia sendiri mahu dilahirkan,
kau akan tahu.

dan percayalah, manisnya jujur tulisan itu terlalu lazat,
takkan kau peduli siapa yang peduli tulisan itu,
kerana kau sudah tahu,
itu bukan tipu2;
itu jujur hati kamu.

*hela nafas panjang2*

sekarang menyesal tidak suruh aku jawab tentang tulisan?
haha.

Wednesday, November 17, 2010

seketul buku kumpulan ranap

...


terdiam.
cuma itu.

bila yap kata:
"RANAP is the current bestsellers at Siverfish Bookstore."

cantik sungguh eidul adha tahun ini.


terima kasih semua.
terima kasih.

Monday, November 15, 2010

mahal

menemui Perempuan,
dengan selamatnya.

assalamualaikum dan salam penuh cinta dari kakak. apa khabar? semoga sihat dan aman, semoga sejahtera dan sentosa. untuk kakak di negeri jauh ini, alhamdulillah --berbiasa2 dan bertenang2 sahaja.

adikku Perempuan,

bagaimana hidupmu lewat kebelakangan ini? apakah elok? apakah molek? maafkan kakak kerana sudah terlalu lama tidak berutus surat, bertukar hikayat melalu warkah. arakian hari2 kakak semenjak dua ini terlalunya sibuk dengan pelbagai. harap dimaafkan. harap diampunkan.

adikku Perempuan,

mengenai soalan kamu tentang kekasihmu si Lelaki itu, sukar hendak kakak jawabkan. kakak sendiri masih mencari makna hidup sambil memperinci iman; gerun untuk kakak berikan kata2 hikmah untukmu. tapi kakak cuba juga.

adikku Perempuan,

mahalkan diri kamu itu, dik. jangan dilelong2 pada sesiapa sesuka rasa. sabarkan diri kamu dan yakinkan pada diri yang kamu ada harga. biar ditempik seribu orang, tuhan itu maha kaya, dan dia akan bagikan kamu seseorang yang selayaknya.

kuncinya hanya tunggu.

lebih cantik seorang kamu itu kalau bijaksana dan hebat sifat diri. seperti pusaka lama yang dimahukan dan diidam2, tapi terkhusus untuk dibeli juragan dan bukan orang kebanyakan. rasakan manis cinta pertama bersama tuan yang memilikmu sehingga habis usia dunia. atau kelak kamu akan merasa ralat kerana pemilik abadi cuma mendapatmu yang sudah sisa.

adikku Perempuan,

apalah digentarkan mati seorang, tak dikasih tak disayang tak dipandang. kalau sungguh imanmu pada tuhan, pasti kamu sedar yang tidak pernah walau sekali kita ditinggal belakang. setiap masa, tuhan itu penuh kasih, melimpah sayang, selalu memandang. kita selalu ada tuhan, dik. sentiasa. setiap masa.

dan sudah dijanji pada kita yang setiap kita tercipta sama pasangannya. maka percaya. dan tunggu datangnya dia. satu2nya dia. berhati2, wahai adikku Perempuan, bila datangnya jutaan Lelaki merempuh pandang, jangan terus2 rangkul kamu itu kamu depang. ingat, dan ingat selalu; semua itu tentera2 iblis yang mahu menggoyah iman kamu.

namun ah kalau pula ditunggu satu2nya dia yang tak kunjung tiba, berimanlah pada janji2nya yang kita semua sudah ditakdir berdua2. kalau tidak dijumpakan kita di dunia, apa dimarah; bukankah lebih manis bersua di syurga? kalau di setiap puisi dan lagu kamu nazamkan penantianmu ke pintu syurga, nah~ ini masanya, bukan?

adikku Perempuan,

kalau sungguh sudah terlepas rasa mengharap cinta pada Lelaki, kuncikan maruahmu dalam peti besi yang paling waja. ambilkan kuncinya dan buangkan ke laut, atau mintakan ayahbonda pegangkan sehingga tiba masanya. ingatlah, adikku Perempuan, tak ada parang yang mahu bersarung buruk; segaknya kan hilang, garangnya kan terbuang. dan kalau pun ada, kakak begitu pasti yang merananya kamu. kerana untuk parang secantik itu, semahunya kamu hendak menjadi sarung bertatah permata hanya untuk dia.

adikku Perempuan,

masa adalah sesuatu yang jahat untuk kaum kita. jasad kita adalah makanan utama usia. maka segalanya perlu teratur molek dan cantik. mungkin, adikku, kerana itu kita begitu terdesak untuk setiap apa yang kita susun dari seawal remaja. nasihat kakak, wahai sayangku, berhentilah kau kejarkan sesuatu yang tak terpegang itu. berhenti dan terima dengan tangan terbuka yang setiap apa yang terjadi adalah tulisan dari cerita tuhan. lebih keras kau genggam takdirmu, lebih teruk nanti akan jatuhmu.

adikku Perempuan,

akan datang bila setelah semuanya kamu kerjakan, takkan tercukup pada mata Lelaki. usah kau deraikan airmata kamu itu, dik. bila tiba hari itu yang setiap usaha keras kamu dibalas tuba dan celaka, amankan hati kamu dan senyumkan sahaja. bisikkan pada jiwa kamu yang sungguh sesuatu itu bukan rezekimu. khabarkan pada hati kamu yang kamu sudah cuba setiap termampu untuk Lelaki kamu. ujarkan terima kasih pada diri kamu yang sudah menghempas-pulas setiap darah yang memeluh tubuh itu.

lurutkan dada kamu dan kata:
aku sudah cuba.

adikku Perempuan,

ada masa, tuhan mahu menduga iman yang terselit dalam dada. apakah kita lebih mengasihi Lelaki; atau Dia --yang mencipta Lelaki untuk kamu dapatkan. apakah kita lebih mencari Lelaki; atau Dia sendiri --yang mencipta Lelaki untuk kamu kejarkan.

adikku Perempuan,

kamu lebih tahu bagaimana untuk menghidupi hidupmu. kakak juga antara bidadari yang tersungkur, maka di manalah layaknya untuk kakak menjawab persoalan kamu itu. kalaulah ada apa2 yang mampu kakak paksakan untuk kamu telan intinya adalah ini: mahalkan diri kamu. jangan pun dijual pada orang sebarang2. kamu lebih tinggi dari apa kamu rasakan. pekakkan telinga pada lidah2 iblis yang mengajak kamu meniaga maruahmu secepatnya dek takut luput tarikh molekmu --kerana cantik kita tak berpenghujung bila mana dipelihara cantiknya kita itu.

adikku Perempuan,

semoga bertemu dalam lain2 warkah. sambutlah salam kasih dan cinta dari kakak ini, semoga terlerai setiap gusar risau hidup dunia yang tidak ke mana ini. semoga ayah dan bonda tidak pernah lari dari ingatan kamu.

sampai jumpa,
kekandamu;

fynn jamal,
bidadari rosak sayap,
di negeri jauh.




--------------------------------------------------------------------------------------

edit:
asalnya aku ada bubuh video anak remaja yang gah melelong maruah di sini.
tapi selepas difikir panjang, aku buangkan.
betul kata seorang kawan, buat apa buka aib orang.

--------------------------------------------------------------------------------------

tapi bagus juga. sebab pagi2 isnin aku dapat bicara pagi yang merengsa akal.
sebab aku dah puas marah sampai keluar airmata pasal video di atas ini,
aku bubuh bincang2 kecil aku sama kawan2 di facebook --sebab aku malas nak tulis semula di sini. aku risau aku jadi emosi semula.

maafkan aku atas marah2 dan tulisan aku hari ini. sesungguhnya, aku takut hendak kata banyak2 tentang orang2 secara spesifik.
aku sungguh takut.

rasulullah saw bersabda: "sesiapa yang menghina seseorang kerana dosa yang pernah dilakukannya, maka ia tidak akan mati sebelum melakukan dosa tersebut." (h.r. tirmizi)

peganglah kata2 ini. insyaAllah, terpegang kita pada tiang risau.



Sunday, November 14, 2010

sebaran ranap pertama: silverfish







semua ini takkan ke mana,
tanpa setiap kalian yang sentiasa setia selama ini.

terima kasih.
kerana degil utk mendengar cakap2 orang ttg gilanya aku.
dan terima kasih.
kerana turut sama meneman gila aku.

iqra'.


kenapa semua orang ingat semua orang boleh jadi a good reviewer?
kenapa semua orang ingat senang pekerjaan kritik ini?

ye, semua orang ada hak menulis. blog pun percuma. artikel semua mudah didapatkan.

tapi tuhan sudah kata:
iqra'.

sebab itu menulis bukan sesuatu yang mudah dan murah.
kau perlu tahu, perlu baca, perlu ada asas baru boleh jadi pembebel bagus.
berhenti jadi wartawan tabloid.
berhenti jadi pengacara majlis yang tidak buat research.

menuliscakap tanpa tiang faham yang kukuh.
semua orang boleh.

*pause*

paling silap, sebab kau sentuh bab abah aku. walau pun itu pandangan, kau kena fikir dahulu. sebab abah aku sempurna untuk aku. panggillah aku bangsat, pelacur, pukimak, anjing, segala apa.

JANGAN sekali2 sebut tantang abah.
langsung.
sebab tak ada yang layak menyebut indahnya.
termasuk aku.

selepas tuhan dan rasul,
dia terlalu tinggi.

Tuesday, November 2, 2010

tunggu

kalaulah aku dibakatkan dengan keupayaan bercerita dengan gesekan biola,
atau ketik perlahan piano,
paling tidak dengan petik tali gitar secara satu2;
pasti lagu yang terzuriat dari jiwa aku saat ini akan kedengaran begitu menyiat2 dan menggiling2.

bunyi yang terpilu.

tapi aku cuma ada bahasa yang sedikit untuk aku kait2kan menjadi cerita. tidak ada lain, hanya tulisan kering untuk memberitahu siapa2 yang ada masa menumpang telinga. cukup ini sahaja.

*diam*

banyak sungguh yang berlaku dan terjadi beberapa menjak ini. dengan masalah di pejabat, dengan serabutan2 sang sahabat, dengan kewangan yang tak pernah berhenti mengikat belikat. bersungguh2 betul nasib malang mengetuk pintu aku. bersembunyilah di bantal paling tebal sekali pun, hentaknya begitu terang sehingga hendak atau tidak, terpaksa aku sambut salamnya.

terima saja.
nak lari, hendak ke mana?

kadang2 dunia seperti sengaja mahu kita menyungkur dan terkambus ke kerak tanah yang paling dalam. seolahnya, lagi kita kata kita mahu untuk tetap cuba, lagi dia ketawa besar mahu kita tersembam.

apa yang tak membunuh kita, akan bikin kita lebih kukuh.
benar.
tapi kalau menderu2 serangan menubi kita yang tak langsung berpayung pun ini, ada masa, mahu juga kita hulur anggota untuk terus dikelar lehernya.

kill me, and get it over and done with.

tapi kalau mati, rugi.
sebab selagi kita mahu menanam sabar, selagi itu harapan tetap ada.
ribut datang sebelum pelangi.
rebah datang sebelum bangkit.
malam datang sebelum matahari pagi.
gunung meletus sebelum disuburkan bukit.

kita kena sabar.
kena.

aku perlu miracle.
tapi apalah makna miracle kalau segala yang indah selalu muncul, bukan?
miracle adalah keindahan yang bertiba2 hadir dalam kejahanaman.
maka aku perlu senyum untuk setiap rasa putus ini, kerana miracle akan datang.

iman aku pada takdir tuhan yang maha baik.
dia sedang pandang aku dari singgahsananya,
tersenyum pada aku yang seperti biasa tersadung kaki lalu membising-omel dan merengek.

dia sedang lihat aku dan memesan dari jauh;
"minta. dan aku bagi"

*diam*

dia sudah tunggu.
sudah lama tunggu aku.
lama.

apa lagi?

kaki,
bangun.
jangan tunggu lagi.

Friday, October 22, 2010

3 ism paling bangsat

favoritism.
cronyism.
nepotism.

3 ism yang paling banyak masalah dengan aku. memang kalau lalu depan muka, memang akan aku sengaja carikan pasal. 'benci' tidak cukup untuk aku gunakan sebagai perasaan aku terhadapnya. 'jijik' masih terlalu manis untuknya. tidak ada perkataan cukup hina untuk aku pakai demi memberitahu apa aku rasa.

you get what i mean.

anak murid yang tak malu cuba membodek aku pernah dapat bahana. peminat yang sekadar baru kenal sehari dua yang hendak memuja-tak-kena-gaya pernah kena bahasa. kawan yang cuma kawan bersebab tapi beriya mangambil hati pernah terima ubatnya.

jangan bodek aku,
jangan puja aku,
jangan ambil hati aku;
kalau setiap bodekpuja dan ambilhati itu dipaksa demi mendapatkan sesuatu untuk diri kau sendiri.

ikhlas itu sesuatu yang kita tahu jujurnya.
takkan boleh dilakonpaksa.
takkan boleh.

kalau sungguh suka, kalau sungguh cinta, tak perlu dibuat2 --tak kiralah sesungguh mana. kalau diwayang pelakon paling hebat dalam dunia pun, kita boleh tahu kalau bodekpuja dan ambilhati itu propaganda semata2. kebaikan yang paling betul tidak ada mustahak dibuktikan pada sesiapa. kalau benar ikhlas, biasanya didiam sahaja.

"aku doakan kau bahagia"
betul.
bagus.
malangnya,
tak cukup bagus.

sebab apa?
sebab kau nak dia tahu kau doa dia bahagia.

kita tak perasan. sebab kita sudah biasa tunjuk kebaikan kita.
diajar untuk tahu kebaikan itu ada pada apa yang terzahir.
pelacur tak mungkin bagi sedekah pada pakcik buta, kata kita.
abang kopiah yang jeling pelacur tadi mesti akan bagi derma, rasa kita.

sebab jelas.
pelacur jahat total.
kopiah baik total.
fixed mindset.

jadi orang buat baik depan2 akan dianggap baik. walau kebaikan sebenarnya adalah antara topeng yang dipakai syaitan. berapa banyak kisah nabi2 dan sahabat dulu --masih kita tak belajar. kita; termasuk aku.

semua lupa cerita 'abid yang kerjanya beribadah seluruh hari dan malam tapi jatuh di kaki syaitan yang pada asalnya datang dengan imej lelaki soleh malahan lebih soleh dari 'abid tadi.
semua lupa cerita hawa yang makan quldi kerana dipujuk iblis dan bukan pun dipaksa dengan belantan yang mencambuk tulang belakang.

kebaikan itu sebenarnya mengerikan, wahai tuan2.

sifat bodek dan mengambil hati adalah perbuatan melakukan kebaikan secara eksesif dan berlebih2. bila tuhan sendiri selalu memberi amaran pada kejahatan setiap yang ekstrim, kenapa tidak kita percaya? tak ada manusia sempurna. sungguh! rasulullah yang ma'sum itu pun dipelihara; diambil jantung dan dicucikan ia untuk menjaganya; maka siapalah kita?

mungkin aku skeptik yang terlampau. sudah hilang percaya. mungkin juga. tapi aku mahu percaya yang tidak-menjadi-buta-pada-3-ism tadi akan memberi peluang untuk aku cuba menjadi adil.

tak termakan budi bermakna takkan terpaksakan untuk membalasnya.

kalau amin boleh bagi aku rambutan hari2 untuk aku suka padanya, bagaimana dengan raju yang tidak? kerana raju cuma mampu beli nasi untuk anak2nya yang perlu wang sekolah, dia tidak dapat memenuhi expectation "orang baik adalah orang yang memberi".

macam lepas sosilawati habis nyawa terhancur jasad tempoh hari, sibuk hendak cerita derma tahunan sejuta ringgit malaysia. buat orang2 yang beli tisu dari apek main piano kat uptown walau tak pernah guna tisu itu pun rasa macam palat.

tidak semua orang ada dusun rambutan, kan?

atas mukadimah tulisan aku hari ini, aku mahu fokuskan elaborasi aku pada politikus manusia. spesifiknya dalam kumpulan sederhana besar. dalam geng, dalam pejabat, dalam keluarga. tentang betapa ada begitu ramai manusia yang sanggup menjual integriti dan maruah diri demi materi yang pada hujung hari tak penting mana.

untuk keselesaan. wang. kuasa. kelebihan eksklusif. menjadi prioriti. selamat dari bahaya. jaminan masa depan. macam2 jenis alasan.

benar. banyak untung yang datang dari perbuatan melelong prinsip dan harga diri. hendak pula, apalah makna pun sesuatu bernama prinsip dan harga diri? ada atau tak ada; apa ada beza? punya beribu orang2 besar yang hidup dengan korupsi dan kejahanaman; tak ada prinsip dan harga diri pun, tak ada memberi kesan apa.

kalau sudah merempat,
hutang keliling pinggang,
guna apa prinsip itu?
penting apa harga diri itu?

bukan boleh jadi nasi.
kan?

kadang2 kelakar tengokkan manusia di keliling aku yang terjelir2 lidah seperti anjing itu menjilat tahi yang terlekat pada tongkeng pemegang2 kuasa. geli benar aku pandangkan seringai yang tiba2 ada bila mana pemegang kuasa berbual bersamanya. penat pun ada aku rasa, bila aku lihat mereka berebut2 ketawa galak2 pada jenaka yang sesungguhnya tidaklah kelakar mana. aku geleng kepala. teringin aku tanya: tidak letih agaknya?

banyak masa, aku tepuk kepala sendiri yang tidak reti main diplomasi.
susah, celaka! memang susah.
kalau tak kelakar macammana mahu ketawa?
kalau tak menarik macammana nak jawab aku suka?

"ya allah lawanya boss!"
padahal baju hijau striking, seluar purple neon, muka smokey eyes siap lipstik merah darah likat.

"yu dah kurus!! omaigot!!"
padahal pinggang yang terjembul macam buasir masih tersadai atas tali pinggang ketat.

"wai diden ai ting of det!! yu so smat la boss"
padahal baru tadi je kita bagi cadangan bernas tu yang mana idea itu cuma diekjas ayat sekerat.

adeh.

aku selalu beritahu diri aku yang bodek game ini tak semua orang reti main. walau hakikatnya semua orang boleh menang. semua orang kecuali manusia2 degil seperti aku. lebih jaga ego tahap langit dari berserah dan ikutserta kebodohan yang menguntungkan ini.

kenapa aku tak sanggup jemput anak pemegang kuasa dari sekolahnya?
bukan susah pun;
kawan2 aku siap tak pernah peduli minyak keretanya,
maka kenapa dengan aku?

kenapa aku senyum sedikit sahaja bila pemegang kuasa berjenaka?
bukan susah pun;
kawan2 aku siap boleh keluar airmata dalam ketawanya, bertepuk2 meja,
maka kenapa dengan aku?

kenapa aku tak tahu apa perlu aku respon bila pemegang kuasa bercerita kejayaan yang sebenarnya dicuri dari pekerja dan bukan dari dia pun?
bukan susah pun;
kawan2 aku siap pujipuja dia ke langit biru, bersekali dengan cekang mata penuh adorasi tak terhingga,
maka kenapa dengan aku?

jawapan paling tepat:
sebab aku bodoh.
dan sebab aku bodohlah,
hari isnin ini aku akan dihadapkan ke pengadilan untuk dijustifikasi.

yang mana aku rasa begitu ironi, kerana kalau antara pengadilnya adalah pembohong besar yang memanipulasi kebenaran dengan merekacipta situasi, bagaimana sesuatu itu boleh dipanggil "mengadili"?

*gelak sendiri*

kelakar bila pemegang kuasa sederhana lebih berdentum dari pemegang kuasa besar.
mandur lagi gah lagak dari tuan punya kilang.

sama konsep dengan orang tak berapa kaya yang beriya ke klcc dengan cermin mata lalat sambil hayun tangan berbeg kertas cap guess.

yang dia tak tahu--
guess tu, cabuk je kat luar tanahair kita.
tahap parkson je sebenarnya.
topshop zara MNG semua itu, sampah kat luar.
orang tak membaca je yang jadi obses dengan capitalism bangang ini.

maka pemegang2 kuasa taraf sederhana ini, seperti mangkuk2 perasan kaya tadi, lupa yang apa mereka sedang ada dan kejarkan itu tidaklah menjanjikan apa2. kuasa, imej dan pelbagai lagi jenis material adalah ilusi mata dan delusi kepala sahaja.

seriously,
apa yang kau ada sebenarnya?

kuasa?
setakat meliputi beberapa bangunan dalam perimeter tempat kerja, kuasa apa?
imej?
setakat dipandang bila dipandang, tidak dicari kalau kau hilang, imej apa?

kau sunyi. kau sepi. kau rasa mati. sebab itu kau perlu sebab untuk kau beritahu diri kau yang kau wujud. kau perlu konflik untuk bikin kau hidup. sebab kau rasa diri kau tidak punya harga tanpa social validation seperti ini.

kau perlu wang.
kau perlu kuasa.
kau perlu imej.
kau perlu dilihat berjaya.

kau terlalu memaksa diri untuk nampak sempurna sebab jauh dalam hati kau,
kau tahu kau tidak,
kau tahu kau siapa.

buli adalah antara simptom inferiority complex. secara saintifiknya, membuli adalah salah satu defense mechanism mereka2 yang takut dipandang kurang. membuli adalah satu cara membuktikan kuasa; perasaan mengatasi seseorang atau sesuatu yang lain adalah antara jalan untuk meyakinkan diri yang sentiasa merasa lemah.

merasa berkuasa itu sebenarnya satu ketagihan.
dan tidak ada ketagihan yang boleh berhenti di satu2 tahap.
ketagihan adalah kehendak kuat untuk mengulang kelazatan sesuatu substance;
yang mana apa sahaja dalam dunia ini pun kalau ditelan hari2, akan hilang sedapnya.

kuasa itu menagihkan.
sudah makan peha, mahu betis.
sudah rasa betis, mahu kepala.

maka bila seluruh perimeter dapat dikuasai kecuali beberapa kerat,
akan keluar semua jenis soalan2 dalam kepala --berselirat.

aku ambil contoh perempuan cantik yang sudah terlalu biasa menangkap pandangan lelaki. ke mana2 pasti ditegursapa, diajakkenal dan dipuja segala. di satu hari yang ada lelaki yang tidak mempeduli dia tapi teman baiknya yang jauh lebih buruk dan tidak lawa mana, pasti hendak dijawabkan.

"kenapa dia tidak suka saya bila semua melutut pada saya?"
"apa yang kawan baik saya ada bila wajahnya terlalu biasa berbanding saya?"

*senyum*
betul, kan?

dan mengambil situasi perempuan cantik ini tadi, cuba kita renungkan. siapa sebenarnya yang istimewa? perempuan cantik? lelaki2 yang mendapat perempuan cantik? teman baik perempuan cantik? atau lelaki yang tidak peduli pun sama perempuan cantik itu tadi?

jawapan kita akan berbeza2.

tapi bagi aku,
yang teristimewa pastilah lelaki yang tidak peduli pun sama perempuan cantik itu.
sebab bagi aku,
tidak berserah pada normaliti adalah misterius.
dan misterius itu bagi aku,
jauh lebih seksi.

siapa lebih kasihan?
perempuan cantik yang merasakan dia begitu dimahukan.
bila yang sebenarnya apa yang dia ada cuma luaran.

:)

aku mungkin pelakon bagus atas pentas teater. tapi malang sekali aku adalah pelakon yang paling hancur bila ada di realiti atas mukabumi. aku tidak reti untuk bermain2 dengan rasa. suka itu suka. tidak suka itu tidak suka. aku tidak mampu ketawa pada sesuatu yang baru sahaja bikin aku panas hati dan kepala. aku tidak mampu benci sesuatu hanya kerana kau bencinya dan mahu aku benci ia buta2.

aku ada akal untuk aku guna.

aku tahu aku ada peluang untuk selamatkan diri. antara pintu masuk kelab bodek adalah membuka rahsia yang paling hendak diketahui. aku cuma perlu beri apa yang dimahu, dan kepercayaan olok2 akan aku dapatkan. bodek adalah alat penting untuk memastikan kepercayaan tadi mengeras menjadi sesuatu yang lebih kukuh.

bodek is like the ultimate tool of maintenance we must never leave home without.

kalau ada orang acu pistol di tengkorak kiri kita pun, cara terbaik untuk lolos adalah dengan membuat si pemegang pistol itu percaya yang kita memahami dia.

betapa pentingnya konsep bodek ini.
:)

aku pernah dengar--
dalam dunia ini, tak perlu selalu jadi baik.
aku tahu.

tapi aku juga tahu yang dalam dunia ini,
kalau hidup tak ada prinsip,
baik mati.

Monday, October 18, 2010

memang salah hari

silap tarikh untuk panaskan hati aku.

dalam hari yang sama dengan ladyboss celaka cari pasal sama geng samseng aku dalam pejabat,
aku dapat tahu lagu bodoh aku masuk radio.

sepatutnya menarik dan mendatangkan senyum, bukan?

malangnya, secara realitinya, lagu bodoh aku itu tidak dinyanyikan aku.
dan penyanyinya tidak mahu / sempat memberitahu ahli corong radio yang lagu itu bukan miliknya.

aku panas hati.

bukanlah aku suka pun lagu itu. tapi itu hak aku. peluh aku.
maka hormatkan.
belajarlah reti.

aku tak marah orang main lagu aku. sungguh! aku lebih rasa terharu dan berterima kasih. tapi kalau orang sampai fikir aku yang cover lagu itu,
agak2 la.

kalau mahu sangat, ambil jantan gila perhatian ini sekali yang wujud dalam dunia maya semata2 untuk menyebar benci kepada aku. ambil dia sekali.

ini.
http://www.facebook.com/group.php?gid=155679671115407&v=wall

atau spesifiknya dia ini.
http://www.facebook.com/posted.php?id=155679671115407&share_id=143894015649603&comments=1#!/profile.php?id=772171837

pergi pada dia, cakap lagu itu kau punya. ambil jijik dia yang dia lempar pada aku.
sebab aku rasa jahat sangat kau yang naik ke atas sana,
aku di bawah sini menanggung busuk hati dia.

apa cerita.

Thursday, October 14, 2010

hari berlumba lari dengan diri sendiri

hari ini penuh sekali.

terbangkit lewat dari biasa. tidak kerja. ada performasi di unikl dari jam 2 sehingga 4.30 petang. aku pilih untuk berperlahan dalam bersiap. perjalanan ke jantung kotaraya dari rumah tidak jauh. 20 minit tanpa kabut lalulintas, 50 minit kalau bersekali kucar-kacir jalanraya. aku tetapkan jam 11 adalah paling maksima lambat yang aku izinkan.

mempunyai seorang tentera sebagai bapa banyak memberi kesan pada disiplin masa aku.
aku gila ketepatan masa.
aku suka datang sebelum masa.
aku terdidik untuk hormat sama masa.

anak2 abah semua diajar bergerak pantas. kalau jam 2 abah kata akan ke bandaraya, pukul 1.50 mesti sudah ada dalam kereta. tiada alasan untuk tidak. andai kata dicicir waktu, nescaya akan ditinggal dia; dan kita tidak boleh kata apa. perlu terima kalau sedar2 kereta sudah tidak ada.

mungkin kerana itu aku agak hebat bersiap dalam keadaan tiada kestabilan; kerana sudah terlalu selalu bersedia dalam kereta. apa2 sahaja yang hendak dipakai, semua disarung dalam perjalanan ke destinasi yang dihala.

nasib baik aku bukan jenis bersiap beriya.
yang paling ringkas tapi paling kemas.

tak kemas nanti, sudah lain cerita.
faham sajalah;
tentera.
selekeh-mekeh mana boleh diterima.

*senyum*

entri hari ini adalah bulat2 tentang ekspedisi aku untuk performasi tadi.
semata2.
entri kosong dan bosan, namun hilarius cuma untuk aku.

sekali lagi aku amarankan;
entri ini kosong dan bosan.
hilarius cuma untuk aku.



tajuk karangan:
ekspedisi performasi kabut karut marut.
------------------------------------------------



1st leg:
cyberjaya - kuala lumpur

aku tiba di 14 minit sebelum 12 tengahari. aku senyum sendiri. syukur dan seronok kerana tidak berkelam-kabut. lebih membanggakan, aku yang tidak pernah tidak sesat ini tiba unikl tanpa sekali pun ritual u-turn yang sentiasa aku lalui bila ke mana2.

aku telefon anak lelaki yang bertanggungjawab membawa aku ke parkir. seperti mana2 orang di mana2 tempat baru bertemu mana2 orang tak pernah ditemu, kami bermain cari2. tunggu sana. tunggu sini. 15 minit tertumpah begitu sahaja. situasi yang masih mampu menggeletek urat ketawa sendirian aku; walau seberkali dan seiras mana pun keadaan sebegini.

ritual sama setiap kali:

1) panggilan pertama: minah telefon mimi. laporkan lokasi.
2) mimi suruh tunggu.
3) mimi cari minah di lokasi dilaporkan.
4) minah menunggu dengan yakin akan dijumpai.
5) mimi tidak jumpa minah.
6) mimi telefon minah. atau minah telefon mimi. (bergantung pada siapa yang ada kredit)

7) panggilan kedua: ulangan laporan lokasi.
8) mimi suruh tunggu lagi.
9) mimi cari minah di lokasi dilaporkan ulangan lagi.
10) minah menunggu dengan yakin akan dijumpai sekali lagi.
11) mimi tidak jumpa minah. lagi.
12) saling menelefon lagi.

13) situasi berulang2 sehinggalah serabut mat aji.

langkah2 di atas terjadi mengikut urutan selama berkali2. aku tiba2 menyedari yang bangga aku tentang tiba-di-masa-tepat-tanpa-sesat tadi rupa2nya hanya delusional. aku sudah sesat dari pangkal. aku bukan di tempat sepatutnya.

ah, bongok.
unikl bukan klmu la mangkok.

*muka ketat*

kelakarnya...
<-- sila baca dengan muka serius



2nd leg:

klmu - unikl kg baru

dengan kocoh-kacah, aku berkejar ke unikl kg baru.
ah, parah.
memang reti pulak aku nak ke situ.
ah, harung sajalah.

dan tak perlu ditanya, pastilah. aku sesat bagai.
dengan trafik tengahari yang begitu jahat.
dengan kereta yang tidak ada penghawa untuk membelai.
memang lazat.

andai aku ikan sepat, aku akan jadi ikan sepat gred A.
kering garing.
masin pering.

*diam*

kelakarnya...
<-- masih perlu baca dengan muka serius

anak2 yang bertanggungjawab menjemput aku di parkir menerima datang aku dengan senyum manis dan penuh bahasa. aku ringankan mulut untuk bertanya tentang teman aku (pensyarah mereka). dia adalah faktor marinya aku ke unikl.

aku tanya, "cik alia mana?"
konteks bacaan: 'di mana cik alia'

dia jawab, "cik alia mana?"
konteks bacaan: 'siapa cik alia'

aik?

makin diterangkan, makin tersasar bualan masing2. seperti ayam berbual sama itik. dia guna dialog mukasurat 43, aku guna mukasurat 75; mana mahu dapat kesaksamaan input? bagaimana pun jua, kami berdegil untuk terus cuba memahami dan memberi faham.

gagal.

dalam pada mencari konklusi itu, telefon aku memekik ada pesanan masuk yang baru. dengan kabur dek situasi tadi, aku baca tulisan ringkasnya.
"mana kak fynn? miss alia cari."

ah sudah.
ada pulak alia?
"kamu di mana?" aku tanya.
"cheras"

*hentak kepala ke dinding*

kelakarnya...
<-- dibaca dengan muka paling serius

laaaaaaa~~
panjang aku hela keluh aku.
akal aku pantas menaakul. sekarang semuanya sudah boleh masuk akal. perbualan ayam-itik tadi kini sudah logikal. aduh~~

kelakar betul.

apakah kebarangkalian dua kelompok dari sebuah universiti yang sama--
menganjur majlis yang sama masanya--
dengan tema dan konsep lebih kurang sama--
hendak menjemput performer yang sama--

kecuali jemputan itu sebenarnya bukan satu tapi dua--
dan kedua2nya bertapak di dua cawangan yang berbeza?

kedua2 kumpulan tersebut pula sentiasa memulakan komunikasi dengan:
"hai kak fynn, kami dari unikl ni"
ha ah~ dapek pulak eden bezo~

aku tahu alasan penuh dengan bau defensif ini tidak sekukuh mana, tapi itulah sejujurnya apa yang terjadi. tidak pernah aku rasa kabutnya bertindih jemputan sebegini sekali. untuk seseorang yang begitu mudah serabut ini, jadual berlaga bukanlah sesuatu yang mampu aku uruskan. boleh gila.

dan menjadi seorang yang paling takut memecah janji, aku paksa diri untuk berusaha memenuhi keduanya. aku minta slot pertama di kampus kg baru itu supaya sempat aku kejarkan jemputan di kampus cheras. mereka lebih dari sudi, aku lebih dari happy.

dalam kepala, aku sudah kira2--
jam 2 petang aku mula, kurang dari 30 minit sudah boleh selesai;
maknanya paling lewat pun, aku selesai jam 2 setengah.
40 minit untuk ke kampus cheras;
maka dalam 3.10 petang aku sudah boleh tiba di kampus satu lagi.

slot aku nanti agak mengambil masa. selain berpentas, aku akan ada sesi bersoaljawab sama pelajar. penting untuk markah mereka.
majlis akan tamat jam 4.30 petang.
dengan itu, aku perlu cergas pantas. aku adalah gred peperiksaan mereka.

2.00 pm - 2.30 pm
2.30 pm - 3.10 pm
3.10 pm - 4.00 pm
satu perancangan yang cantik.

satu perancangan yang boleh jadi cantik,
kalau tidak kerana beberapa faktor yang secara berdikit2 menggilinghancur susunan masa aku tadi.

hendak dijadi cerita, ahli teknikal majlis tiba lewat, audio bermasalah dan pembesar suara tidak berapa sihat. untuk membetulkan, banyak masa yang akan dimakan. aku tengok jam di dinding. hampir 2.30 petang. ah. aku nekad dan terus panjat pentas. apa yang ada cuma satu mikrofon yang melantangkan suara halus ukulele aku. cuma itu. hendak tunggu mikrofon untuk bunyi dari tekak ini, berkemungkinan tak tercecah aku ke kampus satu lagi.

terus, aku buka mulut luas2 dan berlagu dengan suara telanjang semata2. aku selesaikan performasi dengan cepat. sejujurnya, sepanjang tempoh itu aku mahu melinang airmata --bukan bersebab kucar-kacir teknikal; sungguh aku tidak menyimpan rasa apa, kerana bagi aku semua ini biasa di mana2. andai aku punya masa, aku tidak peduli menunggu lama.

cumanya, aku benci kalau aku tidak mampu memberi sepenuh jiwa raga dalam kerja. aku malu. aku ajar diri aku untuk memberi semua-ada dalam setiap perlakuan. aku didik diri aku untuk samada buat sesuatu berhabisan atau langsung tak perlu dimulakan. dalam apa2, jangan separuh jalan, jangan separuh hati.

persembahan tadi benar2 bikin aku malu pada diri sendiri. aku minta maaf dari mereka2 yang bersusah menjemput aku semata2 untuk mendapatkan performasi sehambar tadi. aku segan kerana aku tahu mereka tidak puas. aku tahu kerana aku sendiri tidak puas. aku marah tidak pada orang, tapi aku. dan betapa manisnya bahasa setiap mereka yang tidak putus2 menenangkan aku, memujuk tidak apa sambil mereka juga berterus2 berterima kasih atas kesudian aku untuk datang pada mereka.

indahnya sesuatu yang bernama bahasa dan budi, kan?

terus, aku lekas2 gerak mendapatkan kereta. aku perlu cari unikl cheras pula. aku perlu segera. jam sudah menunjuk 3. aku berkobar. sempat, aku bilang pada hati. aku bisik sedikit kuat agar dapat aku dengar sendiri, memujuk.

aku memang ada tabiat berbual sama tubuh sendiri, sepelik mana ia mungkin kelihatan. sebagai contoh, pernah sekali di gym, aku ditegur seorang pengguna fasiliti yang nampaknya risau dengan aku yang berlari seperti meracau.

"sikit lagi, fynn"
"kamon, fynn, jgn jadi lembik"
"ok, fynn, cantik. tak jauh lagi"

sekejap pujuk, sekejap marah, sekejap membebel sambil ketap gigi, sekajap tepuk tangan seorang diri. aku tak salahkan dia kalau dia takut. haha. dari ekor mata, aku perasan perempuan nigeria itu renung aku lama. beberapa ketika, dia datang dan tanya pada aku yang sedang terhenjut2 mencungap daya untuk menghabiskan standard bar yang aku telah aku letakkan untuk diri sendiri:

"are you okay?" kerut kening dia masih bisa buat aku senyum sehingga hari ini.
"yah!" jawab aku dengan gigi aku susun dalam posisi gelak kecil.
"are you on drugs?"

haha.

maka persis itulah aku pujuk diri. sempat. boleh sangat. ada rezeki, adalah. tuhan tolong aku punya. aku percaya. maka dengan positiviti setinggi angkasa, aku mulakan gerak.

dan ketika itulah;
dalam keadaan aku tidak tahu tempat-tujunya,
dengan kepastian akan sesat-bagat di nanti2nya;

aku baru terperasan--
telefon aku--
baterinya sudah tiada.

*diam*

kelakarnya...
<-- baca dengan muka serius yang tahan nangis



3rd leg:

unikl kg baru - unikl cheras

tanpa telefon, tanpa bakat navigasi, aku redah trafik ibukota yang sudah mula berjuraiselirat dengan kereta. aku cuma diberitahu anak2 kampus tadi yang aku perlu cari landmark tertentu selepas mengambil selekoh2 tertentu sebelum bertemu bangunan2 tertentu.

ha ah. reti aku.

sesat kali ini berharga tiga u-turn; pakej ini siap dengan aku terpaksa menampal wajah perempuan-lemah-daya pada jejaka2 cina dalam kereta sebelah ketika di lampu trafik demi mendapatkan arah, tidak terkecuali melakonkan watak gadis-mangsa-keadaan-bersuara-manja pada dua orang polis yang pada mulanya tidak ada hati untuk membantu langsung namun selepas melihat naifnya mata bundarku terus tidak ada masalah dengan aku u-turn secara haram di depan mereka.

apa2lah.
yang penting, aku tiba juga.
jam 4.
janji aku terkota.

beberapa penuntut lelaki dan perempuan sudah ada menanti aku di pintu pagar. aku rasa jahat. rasa teruk. rasa segan atas kelewatan begitu banyak dalam hati. selagi sempat sebelum tiba di pentas mereka, aku tidak berhenti minta dimaafkan. untuk masa mereka. untuk kekalutan yang aku mungkin timbulkan.

dan seperti anak2 di kampus satu lagi, mereka aman dan teguh senyum; siap dengan budi bahasa memberi tenang pada kabut aku yang masih tidak mahu surut. cantiknya konsep pekerti, kan? aku tak tahu bagaimana hendak cerita.

aku dibawa masuk ke dewan yang pada tekaan aku mungkin cuma kelas kuliah biasa. separa besar sahaja. hiasan tidak beriya2. sungguh biasa2. tapi entah kenapa, sejurus aku langkah kaki ke dalamnya, perasaan yang aku rasa tak terlukis. begitu manis.

mungkin kerana aku memang suka tempat2 kecil dan tertutup.
lebih intimasi.
lebih rapat.

atau mungkin kerana kawan2 pentas aku yang biasa sudah ada di dalamnya.
begitu lama tidak jumpa.
mau tak gembira?

atau mungkin juga kerana bila aku hayun kaki untuk merapati ruang sederhana itu, tidak ada lain yang aku nampakkan kecuali senyum dan ketawa mereka.
setiap mereka berseringai!
tersimpul bibir untuk aku yang macam sakai.

gila manis.

aku sapu pandangan pada mata mereka dari kiri ke kanan, dari kanan ke kiri. sementara menunggu giliran aku untuk berpentas, aku kenang semula setiap yang terjadi dari awal tadi. sungguh, tidak tahu kenapa dan bagaimana, hilang sudah semua serabut, kelam dan kabut dari asal hari ini mula.

performasi aku dan kawan2 di situ akan menjadi antara yang aku takkan lupa.

*senyum sambil geleng2 kepala*

takkan aku tahu apa sebenarnya yang menerbitkan senyum manis ini.
berjam2 sudah; panjang masa yang telah pun menjarak antara aku dan tadi.
entah apa agaknya yang membikin aman tidak mahu lekang dari aku punya hati.

sungguh,
aku rasa hari ini manis.
penuh.



-------------------------------

perempuan gila yang lapar mikropon.
ye. aku.

inilah miss alia mereka.
baik, lawa, kelakar, bengong.
kadang2 aku rasa dia tak perasan atau tak tahu dia cantik,
bengang aku.

kawan2 baik yang ada bila ada.
tak ada pun, rilek je.
bila jumpa, lenjan sampai pancit.

faan. alia. fynn. jayzuan
the samdols.
malangnya, gambar di kampus kg baru tak ada.
yang sewel2 ini, anak2 kampus cheras.


hari ini cantik walau bersulam tragis.
tidak.
hari ini cantik kerana bersulam tragis.

hari2 yang seumpama ini biasanya akan aku seranah dan maki.
tidak hari ini.
entah.

mungkin kerana aku dapat penuhi janji aku walau bersungguh dirintang banyak perkara.
mungkin kerana aku dapat akhirnya kepuasan performasi dengan menggunakan jiwa.
mungkin kerana aku dapat juga berjumpa kawan2 lama yang sudah lama tidak jumpa.

mungkin apa saja.

tapi aku rasa,
sebab utama kenapa aku senyum begini lama adalah kerana aku tidak sangka--
masih ada lagi anak2 melayu yang berbudi bahasa dan tak lokek pekerti jiwa.

kita masih ada harapan lagi.
:)

hari ini penuh sekali.




terima kasih sufian abas
--untuk gambar2 moment kau yang semacam.

Tuesday, October 12, 2010

"ranap"


salam sejahtera penuh cinta.

syukur aku yang paling utama, aku sembahkan pada tuhan, atas semua ini.
setiap keupayaan aku dalam menulis.
setiap keberdayaan aku dalam mencerita.
setiap kekuatan aku dalam setiap hancur sadis.

terima kasih aku pada kamu2 yang sudah terlalu lama di sini.
yang entah bagaimana sudah seperti keluarga, walau tak pernah bersua muka.
menjadi raksa aku.
menjadi kekentalan aku.

buku aku yang ini adalah satu formaliti.
kerana setiap apa yang aku ada dari dulu ini,
kini aku secara bertulisnya adalah penulis rasmi.

*air mata laju*

tadi,
jayzuan dan yap (antara mereka yang bertanggungjawab dalam publishing ini) khabarkan aku:
penempah pertama buku ini adalah antara penulis besar malaysia.
antara manusia yang aku segankan.
yang aku hormatkan.

*ketap bibir*

tuhan sahaja faham hati aku.

*diam*

isinya sama lebih kurang sedikit sama kombinasi buku 1, 2 dan 3.
rm 20 untuk 80 muka.

siapa2 yang sudah ada buku air tangan aku, harap simpan lama.
:)
buku yang ini, adalah untuk mereka2 yang baru.
atau orang lama yang setia mahu setiap apa yang pernah lahir dari aku.

untuk tempahan, terus ke sini.
atau yang berikut ini;
http://dealbion.blogspot.com/2010/10/ranap-oleh-fynn-jamal.html?spref=fb

*senyum*

terima kasih, wahai kekuatan.
dari dulu.
meneman aku.
kalian tahu siapa kalian pada aku.

semoga ada sempat kita dijumpa.
satu hari nanti, sekurang2nya.

assalamualaikum.
salam cinta;

fynn jamal.

Monday, October 11, 2010

dua lelaki dalam darah aku

growing up, i never liked you.
never.

but i realized u were among the things that made me me.
and for that,
i love you.

i wouldn't want anyone else as my brother.
terima kasih, along.
we are disastrously beautiful together.

selamat pengantin baru, asshole.
tolong fokus buli lu kat bini lu pulak.
wa dah penat tadah sepanjang hidup wa.

wa tak sayang lu pun.
wa biasa2 je dengan lu.
watever.

ps: serius wa tak sayang lu tau.
ngehehe.


satu perkataan yang paling tepat untuk merangkumi seluruh sifat aku bila berada dekat sama abah:
mengada-ngada.

gambar adalah bukti.
:)


lelaki paling kacak dalam dunia.
dan akhirat.

paling sempurna.

Wednesday, October 6, 2010

bengkel tulis


sudilah.
apa2 rujukan,
klik sini.






ok.
segan.
bye.

Sunday, October 3, 2010

entri susulan sebelum tersalahfahamkan.

apa yang aku kepilkan tadi, aku amarankan khusus untuk mereka2 yang masih dalam usia persekolahan:

JANGAN PANDAI2 JAWAB PEPERIKSAAN DENGAN APA YANG KAU DAPATKAN DI LUAR BUKU TEKS.

sebab kita perlu akur,
buku teks adalah sumber rujukan perdana sistem pendidikan kita.
sebarang fikiran di luar kotak dan apa2 idea baru yang bercanggah dengan kehendak kuasa besar pemegang sistem adalah merbahaya untuk sijil2 kalian.

jelas?
bagus.

sekarang aku hulur justifikasi aku sebelum pelbagai persoalan diajukan pada aku bertalu2.

video itu penuh konspirasi.
ya dan tidak.

jangan tunggu testimonial aku semata2. kau ada akal. fikir. jangan reti angguk2 cuma. dan jangan dengan hanya satu video ini kau mahu jadi melayu tipikal yang belajar hanya dari meja kedai kopi dan terus berdebat macam kau seorang yang tahu semua perkara. siapa yang kecah tentang fasihnya dia perihal illuminati ini, ternyata mereka tersebut pembohong besar. kerana semua yang ini masih belum ada ultimatum-nya.

konspirasi atau tidak, kau fikir sendiri.

aku cuma mahu kita menungkan.
betapa sungguh bodohnya kita,
tak pernah mahu terfikir:

kita tercipta sebijak2 ciptaan.
adam hawa habil qabil dahulu, sudah memang berbahasa elok.
bagaimana terlepas pandang kita dengan ini semua.

kan...?

menonton video ini,
aku jadi malu.



terima kasih,
siapa sahaja engkau,
sang pembikin video ini.

kalau pun ada yang mungkin kurang betul sini sana,
kalau pun ada,
usah risau.

aku ada akal.
aku tahu,
hakikat kebenaran paling ulung--
adalah dari Dia.

kau nak sejarah asli? kau berani?



satu.





dua.


seperti aku tanya tadi.
kau berani?
menidakkan apa yang jauh dalam hati kau pernah persoalkan?

tentang bolongnya sejarah2 kita dari dulu.
tentang perihal2 yang sedikit sebanyak kau tanyakan mana kurangnya.

kau berani terima hakikat yang kau perlu padam semua yang pernah disuruh untuk kau percaya,
dan terima hakikat sebenarnya bertahun2 kita ditipu bulat2 dalam buku sejarah kita?

-----------

edited:

untuk memberi seimbang dalam entri ini, sila baca sekali ini. terima kasih pada seorang anon yang memberi link ini. TOLONG. tolong kritikal dalam memilih sumber, dalam memilih ilmu, dalam memilih input.

dan kalau ini tidak mampu diterima akal lagi, jangan dipandai2kan hujahnya. ambil apa yang elok, kalau kau mahu persoal sahih tidaknya, jangan ditunggu orang. capai tafsir al-quran dan cari kebenarannya. jangan hanya tunggu disuap.

-----------



kalau aku hilang terlalu lama,
mungkin aku sudah tidur dalam bilik bertirai waja,
kerana penyebaran video ini.

tapi aku peduli apa.

kita semua ada akal.
ada kepala.

maka guna.

Thursday, September 30, 2010

30092010

...






hazrilfitri.





...

Tuesday, September 28, 2010

nota pendek tak bertujuan.

kadang2 aku harap sangat aku orang paling kaya dalam dunia.
sebab kadang2 aku rasa aku macam penat dengan semua benda.
sebab kadang2 aku tak larat nak bohong diri aku --yang perlu ada cuma cinta.

sebab semua benda, yang untung cuma orang kaya.

september ke 30 macam berkejar2 untuk sampai ke tepi peha aku.
celaka.
gaji tak masuk2.
kalau masuk pun sekadar lalu.
setakat singgah untuk aku hulurkan pada segala jenis piutang yang ada.

kita kerja dari subuh sampai malam menjelma,
yang seronok diarak2, yang bahagia membakar harta,
tetap bukan orang bekerja macam kuli macam kita.

cinta itu cukup untuk hidup.
dengan syarat, kita takik kepala kapitalis2 yang meletak harga.
semua benda naik ringgit,
gaji tetap di takuk lama.

yang kaya tetap kaya.

ptptn pun nak minta balik.
beriya cerita kita semua tak malu hidup berhutang.
halang keluar negara segala.

ingat semua orang macam anak2 orang kaya?
yang habis kerja masih boleh lepak2 stabak tak kerja?
yang kerja pun kalau tidak di pejabat daddy, boleh terus ke luar negara beli master?
semua benda boleh beli.
jawatan yang layak dibagi dekat kita yang belajar ini dia bagi pada keponakan dia.

nak cakap kita elak bayar hutang konon.

tunjuk aku mana kawasan dalam kawasan selangor yang boleh kita sewa kurang dari 500 ringgit?
kalau ada pun, terperuk. dengan duit transport ke pejabat, sama saja. kadang2 berlebih.
takkan nak menyewa ramai2. dah kahwin, mana boleh begitu?

makan zaman sekarang kalau sepinggan kurang dari rm5, memang penuhlah kedai pemurah macam itu. untuk orang pekerja tegar macam aku, dapat makan pizza hut itu, masyaAllah, mewahnya. senyumnya sampai telinga.

itu baru makan, tempat tinggal.
belum benda2 lain lagi.
belum duit air api.
belum tiba2 kereta tak boleh hidup.
belum tak pasal2 demam seminggu keluar masuk klinik.

syukur aku tak ada anak.
tak sanggup aku nak jawab pada dia yang aku belum mampu untuk bagi dia segalanya.

yang untung,
sentiasa orang kaya.

30 september dah dekat.
aku nak merompak.
aku nak bagi suami aku segalanya untuk hari lahir dia.

sebab dia dah sihat.
dan dia buat aku bernafas semula.

Sunday, September 26, 2010

serabut

aku ada banyak perangai abah yang aku tak suka.
walau aku selalu canang pada dunia betapa sempurnanya dia, dia banyak kurang sebenarnya.
tapi ah. apalah sangat kekurangan yang sedikit2 itu dibanding cantiknya jiwa raga dia.
mana ada manusia tak ada cela.

maka betapa kelakar,
dalam banyak2 sifat mahmudah dan sifat2 indah dia,
yang terlekat pada kromosom aku adalah antara perkara yang aku tidak suka tentang dia.

antaranya;
cepat serabut.

orang yang jenisnya selalu ada prospek terancang memang tidak suka elemen kejutan. kerana semua benda dalam dunia ini akan melibatkan wang. dan aku datang dari working class yang tipikal, maka percutian beramai2 di hujung minggu bersama kawan2, makan2 besar di chili's dan menonton wayang 3d back to back tidaklah seseronok mana untuk aku --melainkan wang tabung masih ada isi.

ingat senang hendak cakap sama kawan2 baik yang kau tidak mahu ikut serta kerana belanjawan bulanan kau menghadang?
dan yang lebih menyukarkan adalah bila kau tahu kawan2 kau dengan ikhlas dan rela hati akan bagi bantuan tanpa diminta pun sesen sebarang?

berfikir tentang itu2 pun boleh bikin aku serabut.
aku, seperti abah, cepat panik.

kerana itu aku jadi control freak. aku perlu tahu apa yang bakal jadi. aku perlu ada back up plan sekurang2nya dua. aku perlu tahu yang kalau ini tidak menjadi, aku ada cara untuk mendapatkannya juga.

dalam semua perkara;
aku suka bersedia.

pembetulan:
dalam semua perkara kecuali penulisan,
aku suka bersedia.
dalam hal tulisan, semuanya spontan. aku tidak suka merancang untuk tercetusnya perkataan pertama. itu, bagi aku, begitu personal sama tuhan.

okay. tentang bersedia tadi.
betapa aku ini terlalu beriya dalam posisi kuda2,
aku sentiasa pastikan--
aku siapkan apa2 yang mampu aku siapkan--
sebelum persiapan aku dimulakan--
untuk disiapkan.

sebagai contoh,
persamaan dapur rumah abah dan rumah aku adalah ini:

semua ikan ayam daging sudah siap disiang,
bawang2 setiap jenis telah selesai berkopek dan dicincang,
air2 kordial selesai dibancuh terdingin di dalamnya,
sayur2 setiap yang ada kemas tersusun segar terjaga.

tinggal masak.
bila2 rasa mahu, terus sudah ada.

kadang2, aku terpaksa setuju bila kawan2 aku kata aku ada sifat obsessif yang agak kompulsif tentang perancangan. meski pun aku selalu berkonon2 di depan mereka yang aku tidak, aku tahu mereka tahu aku setuju.

begitu kompulsif, sehingga setiap gula, garam, kicap, minyak semua aku belikan botol khas siap berlabel seperti aku tidak kenal rupa mereka. macamlah aku tidak tahu yang mana gula, yang mana garam, yang mana kicap, yang mana minyak, yang mana semua.

aku sendiri tahu yang ada masanya aku merimaskan.
untuk kekasih kacak aku itu pula, sifat obsesi aku ini comel dan menggeletek dia.

haih.
suami aku gila untuk ada isteri segila aku.

*diam*

dan inilah hala tuju asal entri hari ini--
tentang sifat yang aku tidak suka pada abah yang secara ironinya aku kendong dan aku ada.
tentang serabut
dan betapa mudah aku merasanya.

serabut.

tidak seperti sakit (yang datang hanya dari satu perkara iaitu perbuatan menyakitkan),
atau gembira (yang datang cuma dari perbuatan menggembirakan),
atau sedih (dari perkara menyedihkan);

serabut tidak datang dari sumber yang jelas.

ah, susahnya mahu diterangkan dalam bahasa melayu --bukan kerana aku mahu jadi bongkak bodoh, tapi kerana kosa kata bahasa ini agak kurang dan terbatas, aku risau penerangan perkataan serabut ini tidak tersampai.

tapi aku cuba.

serabut adalah perasaan yang tergabung dari prospek. berlainan dari perasaan2 lain yang terjana dari sesuatu yang menjana perasaan itu, serabut adalah perasaan yang bergantung pada kemungkinan semata2.

contoh:
untuk sakit, kau perlu dicucuk, ditumbuk, dicurang, diserang.
untuk ceria, kau perlu dikucup, dipeluk, disayang, dipegang.

tidak untuk serabut.
kerana untuk serabut, cukup dengan berfikir.
cukup dengan berkebarangkalian sama sesuatu.

tidak percaya?
cuba fikir kekasih kau ada pasangan lain dengan alasan payung emas.
cuba fikir bapa kau tahu apa yang telah kau jahanamkan awal minggu lepas.
cuba fikir kau dibuang kerja bulan depan kerana kau malas.

sudah boleh serabut, kan?
bagus.
sekarang, bayangkan aku yang terlalu mudah untuk serabut.
menyerabutkan, kan?

dan dalam banyak2 serabutan yang aku paling benci,
yang aku ikut tanpa sengaja dari serabutan yang abah paling benci,
ada satu serabut yang paling-melampau-maha-menyerabutkan:
orang yang kami sayang-- sakit.

sebab dalam banyak2 perkara yang paling kita tidak mampu bikin apa2,
yang tidak ada mana2 persediaan boleh menjamin apa2,
yang tidak ada mana2 kerancangan boleh mencagar apa2,
sakit akan datang bila2 masa.

sakit, kalau pun mahu datang, marilah.
aku tidak gentar, aku tidak risau.
datang sini.
pada aku.

bukan pada orang yang dikasih aku.
bukan.
tidak boleh.
langsung tidak boleh.

sebab orang2 aku sayang adalah separa dewa.
sempurna.
sihat tubuh sentiasa.
tidak boleh tumbang, kerana mereka perlu dan mereka wajib untuk sentiasa ada.

*diam*

dahulu, ketika sekolah, di zaman hospital adalah rumah kedua selepas asrama aku, abah paling pemarah sama aku bila aku sakit. aku selalu merasakan abah benci aku-- along dan achik begitu tegap dan lasak; aku-- pengsan sana, muntah sini, lembik sana, biru sini.
aku terlalu yakin abah rimas sama cengeng aku.

aku sedih. aku lebih fokus sama garang dan ketat wajah dia berbanding setianya dia mendukung aku yang terpitam di tengah jalan, segemuk mana aku dulu. aku lebih peduli senyapnya dia sama kesah aku berbanding tekunnya dia menunggu setiap keputusan doktor rashid di hujung katil aku.

aku buta. kerana itu aku sedih.
sedih kerana terlalu pentingkan diri sendiri dan memilih untuk tidak nampak ilustrasi situasi aku secara lebih luas.

aku bahalol kerana aku patut faham, selepas bertahun dia hadap derita mak bertahun2 dengan kansernya, abah tidak mungkin mampu tanggung kemungkinan sesiapa di kelilingnya sakit sekali. aku patut mengerti abah sudah habis kudrat sabarnya pada perkara2 seumpama ini.

lama aku tidak faham.
lama aku tidak mengerti.

sehinggalah ada sekali yang tahunnya aku tidak pasti,
aku terpaksa diperiksa untuk kanser buat pertama kali.
mungkin dalam tahun kedua di universiti.

tempoh itu, dalam memori aku adalah hari raya. bilamana aku katakan yang aku perlu diperiksa secara professional, wajah bercahaya abah tiba2 mati dan gelita. cuti hari raya tidak diterima sebagai alasan untuk aku diperiksa nanti2. dia tiba2 jadi sunyi. matanya tidak lagi lari2. menung dan senyap di satu titik. perkataan dikeluar cuma sepatah2; sebaris ayatlah paling tinggi --yang mana, aku perasan, makin jauh masa berjalan, makin kurang suaranya.

aku dibawa ke klinik pakar, doktornya cina. abah sudah berhenti berkata2 semenjak awal. ibu yang sibuk ke sana ke mari. abah untung; kedua2 mak dan ibu adalah orang hospital. mak semasa hayatnya-- seorang jururawat, ibu pula di makmal. abah pun dahulu ketika di usia askarnya adalah pegawai medik.

ibu yang lasak ke sini sana membawa aku. aku cuma lihatkan abah. telah agak lama aku tidak menghuni rumah sakit semenjak aku di universiti. maka aku fikir aku sudah mengecewakan dia lagi. menyusahkan dia dengan menjadi anak liabiliti. memiliki penyakit itu mahal, aku mengerti. aku tahan perasaan malu aku sambil melalukan mata aku pada tubuh abah yang masih kaku bermenung ke lantai, dan aku izinkan aku diperiksa mengikut apa yang diminta.

beberapa masa melintas pergi. aku keluar dari bilik doktor cina itu dengan senyum. aku khabarkan berita elok dari sang pakar pada ibu dan abah terutamanya. dan tiba2 abah tekup wajahnya pada dua telapak tangan dia.

abah menangis semahunya, aku hampiri kiri dia.
aku peluk tubuhnya.
aku juga menangis seperti dia.
dan dengan air mata, abah kata
"cukuplah dulu mak dah lalu ini semua".

situ, aku mula celik mata.

tapi celik mata aku hanya cukup untuk membuat aku faham kenapa abah berdemikian dulu2. aku tidak akan tahu apa dia rasa. aku cuma boleh kata aku mengerti perbuatannya. ingin aku selitkan betapa aku geli dan benci akan tidak-tepatnya klise "aku tahu perasaan kau, aku pun pernah rasa" kerana tidak ada manusia yang mampu memahami perasaan orang lain. terang2 kita bukan sama. aku tidak faham kenapa suka benar diaplikasikan ayat ini dalam kehidupan hari2, terutama ketika ada mereka2 yang konon2 hendak jadi tukang penenang perasaan, yang hendak jadi tukang orang tengah, yang hendak jadi tukang itu ini.

semua tukang2 itu,
tidak lain tidak bukan,
hanyalah penyibuk yang tidak tahu pun apa yang diperkatakan.

*diam*
maaf. terbawa2.

ok sambung.

pengalaman hari raya yang itu hanya menjelaskan kenapa abah dingin setiap kali ahli keluarga kami, khasnya aku yang terlalu lemah ini; sakit. dia serabut. dia rasa terbataskan. dia dihilangkan mampu.

macam aku malam tadi.

mungkin ada yang tidak faham bagaimana ada orang boleh dingin pada hal2 sensitif sebegini. buku2 teks sekolah dan novel2 cinta selalu bercerita tentang ketika sakitlah kita dijaga beriya, dicurah kasih disiram sayang segala. maka macam mana ada manusia seperti aku? seperti abah? begitu beku, seolah2 mengejami?

entah.
mungkin ada yang di luar sana yang seperti aku.
yang bila di depan orang sakit terus jadi kaku.
menunjuk tak peduli dan bisu.

tapi entah.
mungkin juga tidak ada.

*diam*

tadi malam, dalam perjalanan pulang ke rumah, tri sudah mula mahu muntah. badannya tidak langsung suam2 tapi terus panas membahang. aku suruh dia berhenti, untuk aku ganti pemanduan --dia kata tidak apa.

sepanjang perjalanan pulang ke rumah itu, bila2 masa dia mampu, tri sibuk menzikir "maafkan saya, maafkan saya". mungkin dia seperti aku dahulu. memikirkan dia menyusahkan atau melecehkan aku. mungkin aku sudah sedingin abah yang dulu.

aku tidak tahu.
aku biarkan tidak ditahu.
aku cuma bisu.

sepanjang perjalanan pulang ke rumah itu,
aku kaku.

tiba di rumah, tri terus rebah. aku paksakan ubat ke dalam mulutnya yang sudah separuh sedar. aku basahkan tuala dan lalukan kain lembab itu pada tubuhnya yang begitu panas membakar di luar tapi sejuk membeku di dalam. jasadnya begitu panas, tuala biru yang asalnya sejuk dgn air itu jadi berhaba.

seluruh malam, selang sejam dua, aku ulangkan yang sama.
serabut aku, hanya tuhan yang tahu.

jam 4, tiba2 tri bangkit pantas. habis katil basah tertumpah air yang aku guna untuk menuam dia. dia muntah. banyak; tak mampu aku cerita. aku yang biasanya cengeng dalam hal2 begini tiba2 gagah dan keras. aku lari dan cari kotak ubat di depan. aku tunggu dia keluar dari jamban untuk aku papah ke katil semula.

selesai semua, dalam ketat wajah aku dan dingin mata aku, aku teruskan melembapi kulitnya.
aku sedar bisu aku sebenarnya mampu menyinggung dia, tapi apakan daya.
aku rasa begitu menyiksa dia.
aku rasa begitu menjahati keadaannya.

aku sedang merasakan semua itu--
--bila dia tiba2 tarik jemari aku,
dan kata: "saya untung ada isteri sebaik isteri saya".

buat kali pertama bermula ketat wajah dan dingin mata aku sejak awal perjalanan malam tadi,
aku menangis semahu2nya dengan muka aku tekup pada telapak tangan aku yang dua.

Thursday, September 16, 2010

lolong perempuan di tengah pekat malam

semalam,
sepanjang hari aku tidak buka komputer.
baring, termenung, otak merewang.

dalam bahasa abah: melengkor.
macam ulor.

nak layan siaran,
rumah ini cuma ada rangkai kerajaan.
tak habis2 drama raya anak yatim kena dera.
tak pun kecah menantu membodek mertua di pagi raya.

tv3 pula gambarnya penuh noise.
kalau dalam jargon photoshop,
kau letak texture dan pilih grain dengan intesity 84 dan contrast 57.
macam gitu.
cuma bergerak2 macam gif file.

tapi tak rugi mana,
yang ada pun cuma cerita hantu.
mungkin relevannya adalah pada syawal, penjara syaitan terbuka kunci.
tak pun cerita ular sakti bomoh santau santet apa benda sekali pun itu.

adeh.

nak layan dvd,
semua sudah selamat aku khatam.
filem2 baru belum habis download.
op. jangan melenting.
aku tak pernah download filem melayu.
jadi kalau pun aku jadi pencuri industri filem,
orang malaysia takkan terlibat.

nak download pun tidak perlu mana.
hari raya mesti keluar juga.

:)
kan?

maka dalam menung renung aku semalam, aku teringatkan situasi malam kelmarin, ketika aku sedang sibuk menggelungsur tetikus bermain permainan bunuh2 di komputer ini. pada asalnya aku kira suara jerit2 perempuan yang jelas itu adalah salah satu karektor yang ada. namun selepas diperhati dengan lebih khusyu', aku sedar yang ia ternyata tidak.

tengah malam.
perempuan menjerit lolong.
ye, aku superstitious.
tapi aku skeptik bila datang hal hantu.
jadi aku tak takut.

aku cuma risau yang beria.
hantu tak bunuh orang.
orang jahat --ye.

aku baling kertas yang aku keronyok pada tri yang tawadu' dengan gitar elektriknya.
aku tengok dia.
dia tengok aku.
tanpa bahasa yang memecah sunyi antara, kami ke luar.

perempuan tadi masih menjerit2.
dia di tiga atau empat tingkat ke bawah.
dari gaya, tak ada sesiapa yang membantu dia.
aku dan tri saling berpandang.

apa cerita?

tiga empat minit berlalu dengan suara perempuan itu. seperti tak ada yang membantu. dia masih menempik dengan suara tinggi bersulam tangis. takkan tak ada yang tolong bertanya perihal dia di bawah sana? takkan perlu kami jadi si tijah lenggang dan mamat tonggek menyibuk dari jauh untuk pergi ke dia? tiga empat minit itu terasa begitu panjang dengan soalan2 bertubi tadi.

aku jerit dari paras aku ke arah bawah sana:
"do you need any help, miss?"
kawasan murah seperti tempat tinggal aku ini begitu ghetto.
orang melayu ada tidak ada.
jiran2 aku pun orang iran, pak arab, myanmar, nepal, cina india segala.
bahasa orang putihlah yang paling sesuai, aku rasa.

senyap.
aku ganti bahasa:
"cik, awak okay ke?"

terus sunyi.
tri tengok aku lagi.
"jom masuk"

aku turut arahan dia.
aku diam dan cuma ikut.
lama aku kunci mulut, sehingga aku tanya pada tri dalam beberapa minit selepasnya.

"apa nak jadi dengan kita, kan?"
tri faham perkataan 'kita' itu aku rujuk pada manusia.
dia senyum, geleng kepala, ketawa dengan sederhana.

takut, kan?

macammana kalau satu hari nanti tiba2 ada orang menzalimi aku? masuk rumah dengan niat rompak atau perkosa? kalau aku jerit minta tolong, apakah akan aku dibantu sesiapa? atau apakah mungkin dibiar dengan alasan "ah, jangan campur, mungkin mereka sedang gaduh rumahtangga"?

begitu individualistik hidup kita lewat ini. sampai jiran mati di sebelah pun tak diperasan, macam arwah makngah tahun lepas. terbiar 3 hari tak disedar. macam ustazah dan anaknya di negeri sembilan. bukan dijahatkan di tempat sunyi. di tengah2 kawasan orang, kot ni!!

tapi bukan hendak kata apa, kalau kita cuba ambil tahu pun, kita risau dikata kak nam penjaga kain orang. kita pun benci ada orang mennyibuk2 hal kita. jadi kita letak jarak supaya orang reti letak jarak dengan kita.

kan..?
haih~
dilemma sungguh.

mungkin perempuan tadi tidak diapa2. aku tahu. dulu rumah aku ketika bujang, di damansara itu, lagi ghetto kawasannnya. hari2 ada kes rogol, bunuh, rompak, curi. ahli rumah abang aku pun ada seorang yang mati. rumah aku, selepas aku keluar, pernah sekali dirompak; kasihan si didi.

jenayah makin menjadi2. kita sudah di tahap mengeluh semata. bukan lagi seperti dulu yang meluap2 rasa patriotik dan defensif bila dengar hal2 sebegini.

sekarang,
kita cuma keluh panjang, geleng kepala dan move on.

*diam*

aku kembali pada skrin.
sambung bunuh2 orang dengan ganas dan cara yang paling penuh darah.

haih~
*geleng kepala*
*move on*

Tuesday, September 14, 2010

entri terkerat dari maskara '09

jangan tanya kenapa.
tiba2 aku rasa hendak meletakkan soalan2 ini di sini,
sebelum aku lupa tanah aku berdiri.

semoga aku tetap teguh pada apa yang aku pegang dari dahulu.
aku kerat dari sini.

terima kasih, kawan2 maskara:
pasukan lelaki2 gagah dan samseng,
tapi romantik dalam hati.

:)

-------



1. Siapakah Fynn Jamal?

Secara metaforanya, Fynn Jamal adalah suara ramai orang di luar sana. Penggunaan bahasa yang jarang memberi nama pada mana-mana karektor plotnya menjadikan Fynn Jamal begitu karib dengan hati mereka yang membaca. Fynn Jamal, sebenarnya adalah perasaan yang paling jauh disimpan dalam hati, namun dibongkarkan secara berani di atas pentas.

Saya lahir sebagai seorang Nur Affina Yanti binti Jamalludin. Seorang yang biasa2.

Fynn Jamal adalah kegagahan yang saya cipta selepas penat menjadi seorang Yanti yang pengecut, seorang yang hidup untuk menjunjung semua kecuali dirinya.

Dan saya tahu, saya bukan satu-satunya yang merasa begitu.



2. Bilakah kali pertama Fynn sedar bahawa Fynn ada anugerah seni?

Sehingga sekarang, saya masih tidak tahu apakah saya sudah selayaknya dipanggil punya seni. Perkataan itu terlalu tinggi di bola mata saya, dan untuk memberi kategori pada diri sendiri adalah sesuatu yang terlalu bongkak. Kalau hendak dirafa'kan semata-mata pada komen-komen dan pendapat pengikut di luar sana, saya tidak pasti apa mereka benar-benar gelar saya sang seni semata-mata pendapat sendiri atau pada asas maknanya.

Jadi saya memang tidak tahu.

Apa yang saya ingat, tulisan puisi saya yang pertama adalah ketika saya terjumpa kertas-kertas A4 bertaip milik bunda saya. Saya jumpa selepas beberapa bulan dia kembali ke rangkul Tuhan. Puisi yang paling saya ingat adalah "Jangan Ditanya", tentang betapa mesti diredhakan kematiannya dan diharamkan sesiapa bersoal sama Tuhan tentang takdirnya.

Saya tuliskan sesuatu untuk menjawab tulisan itu di belakang kertas lukisan yang disiapkan sebagai kerja rumah. Saya lukis gambar kubur bernisan, dengan puisi (yang malangnya tidak saya ingat itu) dalam font yang paling cantik untuk seorang anak darjah enam.

Saya tidak mampu mengembalikan ingatan tentang tulisan saya itu, tapi saya sangat pasti saya telah menulis menggunakan style ulangan, iaitu setiap baris dalam stanza, saya mulakan dengan "Usah ditanya mengapa".

Saya cuma hafal baris pertamanya:
Usah ditanya mengapa pasir tidur di tepi pantai.

Saya harap itu seni.



3. Siapakah yang sedikit sebanyak menyumbang atau mempengaruhi gaya penghasilan karya Fynn?

Manusia. Bukan sedikit. Hampir 80% terjana dari pengalaman saya sama manusia, atau sekurang-kurangnya apa yang pernah dirasakan manusia lain; di mana-mana tempat dan masa.

Saya amat malu untuk mengaku, tapi saya sememangnya tidak membaca. Dari kecil, cara saya mendapatkan ilmu adalah melalui kaca tv, kerana saya ini manusia visual dan saya gemar observasi. Saya suka cipta relevan sendiri, mendapatkan penjelasan sendiri. Malangnya ia suatu kaedah yang sangat merbahaya, kerana kalau tidak diaplikasikan dengan hati-hati, ia akan menjadi perjudis.

Lalu saya kepilkan sekali sikap gemar bertanya. Saya belajar dari pengalaman sesiapa sahaja. Saya minta diterangkan, saya hendak dijelaskan.

Mungkin kerana saya ini seorang yang tinggi empathy nya, tapi membaca akan memaksa saya memihak, mengikut dan mudah (dipengaruh). Saya tidak mahu terlalu beriya mengikut tulisan sesiapa, kerana kecenderungan untuk berbunyi seperti orang yang saya baca itu ada.

Tapi itu dahulu.
Ketika saya masih lagi berhempas-pulas mencari siapa saya.
Ketika saya sibuk memerah diri mendapatkan intipati saya.

Dan alhamdulillah, selepas sekian lama, tulisan saya sudah stabil hingga ada banyak masa kalau tidak ditulis nama saya pun, sudah ada identiti saya terlorek di bahasa saya.

Maka kini, saya sedang menajamkan diri dengan bacaan.

Saya masih tidak memberi terlalu banyak fokus pada mana-mana penulis baik luar atau dalam negara. Tapi saya sekarang begitu damai merujuk kisah-kisah manusia dalam konteks sejarah Islamiyyah, spesifiknya di zaman rasul dan sahabat.



4. Apakah isu-isu yang sering menjadi topik kegemaran dalam sajak-sajak Fynn?

Cinta.

Klise, saya tahu. Tapi konsep cinta terlalu dijajankan dek kapitalis bahasa (saya merujuk pada konsep cinta murahan dari media) yang bila mana saya sebutkan perkataan itu, sudah terbalik bibir orang mencebik tanda stereotipikal.

Sudah terlalu macam-macam tercipta, semakin banyak aktiviti.
Terlalu banyak distraksi.

Ramai sudah lupa bagaimana cinta itu yang lahir dari jiwa.

Saya hidup atas fantasi menemukan cinta ayahbunda dalam kisah hidup saya. Puisi-puisi saya banyak berkisar tentang harapan mendapatkannya, tentang kekecewaan menunggunya, tentang kehancuran tersalah temukannya.

Dan seperti ramai orang, tulisan-tulisan sebegitu rupanya sudah lama di dalam hati, cuma tidak dijumpakan perkataannya.

Mungkin kerana itu, mereka selesa dengan saya yang menggunakan kosa kata biasa tapi tepat, berbanding perbendaharaan yang meletup tapi tidak sampai.



5. Mana satu yang betul, seni untuk seni atau seni untuk masyarakat?

Seni untuk diri sendiri. Kalau masyarakat atau platform seni itu hendak terima, itu hak mereka.

Seni itu pada pandangan sendiri.
Kenapa perlu diminta-minta anggukan mereka di luar sana?
Sentiasa jujur dgn rasa hati.



6. Apa komen Fynn tentang acara-acara indie terlalu berpusat di KL dan amat jarang di tempat-tempat lain? Tidak senikah orang-orang luar KL?

Seperti saya kata secara halus tadi, seni itu sekadar satu kategori ciptaan. Sebagai contoh, Siti Nurhaliza dikatakan diva etnik kreatif, Adlin Aman Ramli dijolok orang seni alaf baru. Itu semua permainan mereka yang tidak ada kerja lain selain mensensasi.

Tapi kalau hendak menjawab apakah tidak ada pencipta seni di tempat lain, saya rasa kelakar. Sebab saya pun bukan orang KL. Saya cuma bekerja di KL. Puisi pertama saya pun tercipta di Kota Tinggi, Johor.

Cumanya, acara-acara indie (art scene) berpusat di KL sebab di luar sana, tidak ada satu tempat menonjol untuk golongan orang yang pelik-pelik macam kita. Boleh saja kau hendak busking di Danga Bay, tapi di sana, di tempat tidak lagi ada banyak pendedahan, pak guard Nepal itu akan halau kita.

Kalau acara indie musik, sebenarnya berlambak. Cuma tidak se'bersih' di KL yang memang terang-terang dihadiri rata-ratanya anak-anak universiti yang tidak hendak terlibat sangat kalau ada kemungkinan jadi kes-kes polis.

edited: tapi hari ini, tahun 2010, orang johor sudah ada JOHO! wuhuu!!!



7. Ke manakah halatuju Fynn Jamal dalam soal seni ini?

Ada suatu malam itu saya terfikir, kalaulah benar saya ada pengikut sendiri, yang setiap butir saya digemarkan dan diikutkan, kenapa tidak saya bawa mereka ke jalan yang lebih molek.

Setidak-tidaknya, saya dapat tunaikan hak saya sebagai seorang muslim.

Tapi menjadi Fynn Jamal yang jelas tidak mencirikan kecantikan Islam itu pasti mencelakan niat saya. Lalu saya mula berdikit-dikit cuba untuk mengubah diri saya.

Dan untuk mengubah diri saya, adalah dengan mengubah suara jiwa saya.
Untuk menukar suara jiwa saya, adalah dengan menulis sesuatu yang lebih ada makna.

Bukan sekadar menulis semata-mata.

Mungkin, kalau dikurniakan Tuhan kemampuan saya, halatuju saya adalah penulisan yang jauh lebih ada signifikasi dengan tujuan saya hidup. Tentang patriotik saya pada agama ini, bukan buta-buta untuk berbual tentang cinta.

Mungkin.


-------

kadang2, aku rasa, aku cakap dalam bahasa sanskrit.
ada ke manusia selain aku yang faham apa aku bebelkan?
sebab apa yang aku perasan,
bila aku mahu cakap tentang sesuatu,
yang terkeluar sesuatu yang terolah2.

apa pun jua,
aku lebih suka tidak difaham langsung,
dari disalahfaham.

ah.
lagi entri ke laut.

hahaha.

ps: aku benci huruf besar. nasib baik rajin aku sudah habis. kalau tidak, aku taip semula semua dengan huruf kecil. urgh.