Monday, August 31, 2009

tahun satu

awak,
orang kata saya rugi,
setuju kahwin kecik2,
peduli majlis kecik2.

tapi orang tak tahu,
yang kecik2 itulah
yang teramat paling indah.

tidak ada satu cebis pun ingin saya ubah.


indah saya tidak pernah akan ada makna
tanpa awak.

awak kawan baik saya.
teman ketawa saya.
teman menangis saya.
teman bergaduh saya.


awak adalah bahagian saya yang tidak pernah saya tahu ada.


dan oh ya.
terima kasih kerana tidak freak out pertama kali tengok saya bangun pagi.
saya tahu saya tidur air liur meleleh.

tapi eleh.
awak tidur pun sama serebeh.

citpodah.



semoga kekal kita.
bertengkar sama.
bergurau sama.

:)

kekasih,
jangan berhenti cinta saya.


selamat tahun pertama.

Sunday, August 30, 2009

erti setahun

hari ini aku hendak kongsikan tentang adilnya tuhan.
dan betapa aku ini seorang manusia biasa yang kalian boleh jumpa di mana2 kaki lima.
yang aku ini bukan terpilih atau apa.
yang aku ini hidupnya tetap ada cela.

aku gentar dengan pujian tinggi2 orang. tentang betapa terang seri hidup aku. aku takut disalahertikan dan disilapfahamkan. tidak aku memegah sempurna, tidak aku mengarak bahagia.

aku manusia biasa.
aku manusia biasa yang merasakan berbiasa2 itu sudah cukup untuknya.
aku manusia biasa yang sudah suka dengan berbiasa2.

maka, harap diampunkan kalau sudut penglihatan aku ini mengabur pandang kalian.

esok, genap setahun aku setia di balik tegap kekasih yang aku seru sebagai suami.
setahun yang aku tidak pasti untuk dibubuhkan tanda nama apa. keterlaluan susur galurnya untuk aku hanya bagikan 'bagai semalam'; kerana di tiap2 saat aku merempuhnya, terasa seolah hampir mati demi menunggu selesai. namun, keterlampauan magis indahnya untuk aku hanya bagikan 'bagai berabad'; kerana di tiap2 saat aku melintasnya, terasa waktu seperti dengki lalu mengelat dan bersepai2.

sesuatu yang bernama tempoh itu sesungguhnya suatu ilusi.
semoga aku tidak lupa hal ini.

*diam*

setahun aku bersilih ganti jiwanya.

*toleh pada suami yang sedang khusyu' dengan musiknya*
*senyum*

aku tidak sempurna.
suami aku tidak sempurna.
abah aku tidak sempurna.
hidup aku tidak sempurna.

*senyum lagi*

tidak percaya?

kawan2, kakak2, abang2 dan adik2 di luar sana,
ini cerita aku.
bukan untuk simpati,
bukan untuk bikin lagu.

ini entri untuk menjadi jujur. untuk membuktikan adil tuhan. untuk memberhentikan kamu2 yang asyikselalu tanyakan ini soalan: kenapa hidup dia tidak sehodoh hidup aku?

wahai,
kalaulah sesuatu itu namanya hidup,
redhalah jisimnya selalu dihodohkan.
yakinlah adil itu sifatnya tuhan.

tuhan kurniakan aku seorang lelaki
yang teguh di goyahnya seorang aku,
yang lepuh di gagahnya seorang aku,
yang tercela di lengkapnya seorang aku,
yang sempurna di cemerkapnya seorang aku.

berdua,
kami adalah benteng tak terobohkan.
benar.

benar?

ok. benar.
tapi sebenar mana benar itu?

tuhan itu adil, ustaz alim konting, guru geografi aku pernah bilang: orang india kulitnya hitam, tuhan berikan seputih2 kapas sebagai hasilnya. orang cina kulitnya putih, tuhan berikan sehitam2 timah sebagai dagangnya.

*diam*

esok, genap setahun kami bersatu.
tadi, nyaris digadai cincin dijari aku.

*ambil nafas*

kejap. beri aku sedikit udara dahulu.
hmmm...

*diam*

tidak ramai tahu pedati aku sudah tidak ada. satu2nya pemberian suami pada hari pernikahan kecil yang indah itu, sudah berbulan tidak ada. resam manusia yang cuma mampu mengatur, tuhan juga yang pada hujungnya berkuasa pada buah catur.

surgeri yang tiba2 memang selalu makan wang beribu2. tidak pelik. terjadinya adalah ketika ongkos modal membina warung sedang elok habis. tidak pelik. 'sudah jatuh ditimpa tangga' sentiasa jadi pada siapa2, kerana itu adanya bidalan. maka, tidak pelik.

aku tidak mungkin lupa menung suami aku yang ketika itu menakung air pada soket matanya. malam itu begitu panjang untuk kami berdua. aku menekup wajah pada peha dia. sayu bukan perkataannya. hancur bukan perumpamanya.

saya lagi rela berjalan kaki dari menatap awak sakit hari2, kata dia.
saya lagi rela tanggung mati dari membuang apa yang awak bagi, aku kata.

berlarut kusutnya.
tapi ah,
tewas juga.

awal pagi, aku kambus diri di celahan bantal di atas katil di kamar sempit di rumah kecil kami. aku tidak pernah tidak mahu membuntut dia. tidak pernah. hari itu adalah kecuali. hari dia pulang tanpa normaliti menggantung kunci.

dan kami berpelukan mengesak tangis.
dan bermula itu perihal itu tidak pernah kami kuis.
yang moleknya, pedati digadai pada orang tidak jauh.
yang ranapnya, pedati depan mata, tapi terlalu jauh.

boleh bayang tidak, sedang terhencot2 berkaki ayam, ternampak orang dengan sepatumu?
rasanya begitu.

*senyum*

tidak ramai juga tahu rutin aku yang sangat gila. subuh bangkit dan terus mendidik. 6 petang pulang tapi tidak balik. pacu terus ke kedai. berniaga ke lewat malam sampai selesai. apalah sangat penat aku. kekasih aku lagi terbeban. ke pasar ke hulu hilir. ke kota ke ceruk bagai.

semua demi rezeki.

dan meski peluh darah dibayar sepalit, aku tidak ralat. aku tidak mahal; selalu aku bisikkan itu pada arjuna hati. beli aku dengan senyum dan kasih, cukup, wahai suami.

cukup.

aku saksikan abah jauh lebih gigih. sebelum subuh sudah mandi, bangkitkan aku adik-beradik kerana selesai solat pagi perlu terus mula menjemput anak2 taman perumahan. bas sekolah abah yang pendek perlu berulang dua kali untuk menghantar murid2 sekolahan.

hantar anak2 ke sekolah pagi. 2 trip.
hantar anak2 ke sekolah agama pagi. 1 trip.
hantar anak2 kecil ke tadika. 1 trip.
ambil anak2 dari sekolah agama pagi. 1 trip.
ambil anak2 dari sekolah pagi. hantar anak2 ke sekolah petang. 3 trip ulang-alik.
ambil anak2 kecil dari tadika. 1 trip.
hantar anak2 ke sekolah agama petang. 1 trip.
ambil anak2 dari sekolah agama petang. 1 trip.
ambil anak2 dari sekolah petang. 2 trip.

hari2.
dan hari2 juga dia tidak gagal melangsaikan tuntutan2 hidup. ke kedai. ke pasar. ke sana. ke sini.

tidak pernah sekali, walau sekali, abah luahkan penat dan tidak larat.
langsung tidak pernah.
"abah okay tak bah?"
"eh. abah kuat..."

sebak yang aku rasa setiap kali abah kata dia kuat aku dapati sama dengan sebak yang aku rasa bila suami aku lafazkan jawapan serupa.

pada kebiasaannya, syaitan akan membisikkan dengan halus dan hati2 senjatanya.
"kalau".

kalaulah aku tidak sakit, mesti aku tidak kelam-kabut.
kalaulah suami aku bukan jodohnya dengan aku, mesti dia lebih senang.
kalaulah emak tidak beri aku genetik ini, mesti aku tidak kusut.
kalaulah aku tidak pernah lahir, mesti semuanya gilang gemilang.

kebodohan yang nyata ditanam dalam jiwa manusia. budaya kalau.
kebodohan yang jelas dimulakan dengan konsep penaakulan mantik.

kita selalu bodoh untuk ingat,
tuhan lebih tahu.

kan..?
haha. kita.
teruk betul.

kun fa yakun.
kalau tuhan kata mayat boleh bangkit, bayi boleh bercakap, laut boleh terbelah;
jadi juga.

cuma janganlah buta2 tunggu, mengharap semata2 untuk jadi.
usaha perlu terus sampai mati.
cuma lagi,
bila usaha terus2 pun tidak menjadi, jangan sekali2 tanam sifat serah diri.

*senyum*

tidak ramai tahu hal ini: adam western adalah seratus-peratus air tangan kami, "bos paling muda" dalam deret kedai2 makan di sini. sendiri, bercomot mengecat dinding dan siling, berasak meredah hutan mencari kayu-kayan, berkematu menyiat2 kulitnya mengeping2, bersungguh membancuh simen untuk si indon yang digaji untuk menyiapkan.

kita upah dia. kita kerja dengan dia.
jimat. jimat. jimat.

tapi itu kata kita.
orang bukan kita.

kedai makan kecil itu dimulakan dengan wang pinjam saudara-mara yang pada asalnya menghulur tanpa diminta; namun dengan tiba2 dihendakkan semena2. pelik bagaimana wang boleh jadi bisa dalam insan sedarah sedaging.

nampak ramai, difikir kaya.
nampak ketawa, difikir raya.

hmm...
susah juga.

*diam*

tadi aku hulurkan jari manis yang sebelah kanan ini pada suami aku agar dapat diambil relung nyawa aku. aku ujar dengan segagah2 wajah dipadankan dengan selembut2 suara, "kita jual saja ini, ya..."

hampir tersadung detak jantung aku melihat air muka kekasih aku yang seolah2 terkoyak.
"itu satu2nya yang tinggal untuk awak dari saya"

aku diam.

benar. aku sendiri terasa tersiat meluahkannya.
tapi yang ini benar juga: apa sahaja untuk dia.

tuhan,
apa sahaja.

*terdiam*

ada satu hari itu, suami aku rangkul aku yang sedang di ambang nyenyak. dia bisik:
kasihan sayang. dulu hidup senang. semua ada. hidup dengan saya, semua hilang. makin tiada.
maafkan saya.

aku tepuk kecil paut tangan dia:
saya ada kekasih saya. benda lain nak buat apa.

*diam lagi*

tidak ramai juga tahu aku ini berlakon samseng. mengonon2 keras dan ganas, walhal di lubuk dalam, emosi aku bagai kelapa jatuh di tebing; bila2 masa boleh hanyut, bila2 masa mampu memaut. apakala suami aku itu perawakannya seperti air yang tenang pada muka tapi tidak pada dasarnya.

aku sering menyelisih dia.
dia sering menyisih aku.
maka bertengkar.
berdua, kami lebih mengerikan dari gajah mengaruk dan singa lapar.

tapi kami tahu,
berdua jugalah, kami lebih mendamaikan dari rama2 di tangkai mawar.

*diam*

tuhan itu adil. tidak mungkin dia memilih kasih seperti kita manusia. begitu adil, sehingga ar-rahman datang dahulu sebelum ar-rahim. ar-rahman adalah sifat sayangnya pada setiap makhluk tercipta. kafirkah. yahudikah. babikah. anjingkah. semua disayang. habis segenap mauduk disayang, barulah dicintakan kita yang mencintai dia dengan ar-rahim.

tuhan itu memang adil.

jadi usah dibeza2 hidup kita. dibanding2 sama si dia di sini sana. pancaran bahagia orang akan sentiasa menjelaskan lumpur di muka kita, sebagaimana sinaran bahagia kita akan sentiasa menampakkan lumpur di muka dia.

cumanya, aku sedang terlalu cukup untuk berhikayat yang burukhodoh. sayuku sekuku luasnya bila indahku sejelapang lebarnya; maka perlu apa aku kenang2kan.

tuhan tidak jadikan aku istimewa.
aku malahnya hidup menambah hina.

haih.
rasa telanjang bila aku bualkan hal ini.

*diam*

setahun ini begitu panjang.
setahun ini sekilas pandang.

setahun ini,
aku hidup benar2 hidup.

Thursday, August 27, 2009

27 pada 27.

ini adalah sekali dalam seumur hidup aku.
menjadi 27 pada hari ke 27 bulan ogos di denting dua belas itu.

ramai yang kongsi hari ini.
maka untuk kalian, selamat hari lahir kembali.

saya ada masalah dengan pujian / ucapan, jadi kalau saya berdiam di kotak komen / sms / email, tolong jangan dimarah saya ini sombong atau umpamanya. saya sesungguhnya tidak reti. tapi dalam hati --

demi tuhan yang maha mencitai,
terima kasih.
apalah agaknya kebaikan yang saya pernah lakukan,
sehingga begini sekali saya disayang dikasih kalian.
terima kasih.

*senyum*

apa lagi yang aku perlu?
jiwa aku yang dulu mengecai kini sudah terjahit setiap percanya.
cinta aku yang dulu terabai kini sudah terjulang setiap adanya.

tuhan,
terima kasih kerana sentiasa memberi aku masa.

apa lagi yang perlu aku mahu?
tidak ada.
cukup apa adanya.

sudah sempurna.
:)

Monday, August 24, 2009

dua lelaki yang aku cinta

jumaat.
balik kampung seorang.
suami suruh.
dia jaga kedai.
aku gaduh.
aku akan bersepai.
tanpa dia.

dia bising.
perlu jumpa abah.
mesti cium abah.
sayang abah lebih.
rindu boleh pulih.

"sayang tetap milik dia, tahu?"

aku akur.
balik jumpa abah.
balik cium abah.
balik sayang abah.
tapi aku pelik.
kenapa aku lemah.

bersahur aku nangis.
bersolat aku nangis.
berbuka aku nangis.
tidur aku nangis.
mimpi aku nangis.
bangun aku nangis.
senyap aku menung.
peduli lalat hurung.

along bebel.
achik cegil.
aku sedih.
ibu sengih.
abah ketawa:

"dia rindu kawan dia. biar le"

lepas sahur kedua,
abah teman aku kejar bas.
dia pulangkan aku dengan airmata.
dia kata:

"tempat isteri memang sebelah suami dia"

untung sekali aku,
ada dua lelaki yang aku cinta,
dan kembali cinta aku.

Tuesday, August 18, 2009

aku mandul. so?

entah kenapa aku jadi bongkah rapuh di masa aku baca ucapan2 tahniah tentang bayi dalam perut aku.
berderai seperti kompos kering.
berkecai.

mungkin atas sebab tidak ada bayi dalam ilustrasi realiti.

seorang ucap, senyum.
seorang lagi, diam.
seorang lagi, tahan.
seorang lagi?
lagi dan lagi?

bengkak lah.

ya.
bukan salah siapa2 pun.
syntax aku kabur.
semantik aku kotor.
orang kurang faham.

hadiah pertama sebagai isteri.
patut ditulis hadiah pertama semenjak bergelar isteri.
aku yang bodoh.

sebodoh aku berjauh hati dan mengecai sfera mata.
mereka niatnya manis, fynn, jangan jadi buta.

tapi minta kau faham;
aku penat hendak senyum di setiap "ada la tu anak, fynn. sabar saja";
bila faktanya tuhan sudah jadikan setiap manusia berbeza2 dan tidak semua akan mendapat anugerah yang sama.
bila aku sudah mampu terima hakikatnya.
bila aku sudah hendak jalan terus dan menerima.

benar.
kata2 semangat itu perlu.
tapi apa perasaannya bila kamu yang dikudungkan kaki dipujuk untuk percaya satu hari nanti akan tumbuh semula sepasang lagi?

salah.
kau patut bisik yang ada cara lain untuk berlari. kalau bukan dengan roda, mungkin dengan telapak tangan, mungkin semata dengan jari2.

berhenti beri harapan palsu.
sakit, kau tahu?
perit. rasa kena tipu.

sakit macam waktu kau tahu kekasih kau sudah memadu kasih dengan pasangan baru, kawan2 baik kau ucap "dia main2 saja. cintanya untuk kau. tengok la".
sakit macam waktu mak sudah layu menunggu hari, makcik2 datang cakap "esok2 baik la ni".

kenapa perlu bohong ikut sedap?
kenapa perlu biar orang mengharap?
kenapa perlu anggap kebenaran itu lebih membunuh dari bohong2 yang kau namakan putih?
kenapa perlu pandai2 bikin keputusan fakta mana yang akan buat orang lebih sedih?

kita perlu tahu di mana garisan yang memisahkan positiviti dan denial.
tidak salah begini, bagi aku.
tapi eh,
salahkah hidup dengan cukup, seperti aku...?

bila tidak ada harap, kau tidak menghadap.
maka bila dibagi, kau pasti akan tersentap.
seperti hadiah di hari2 biasa.
ternyata JAUH lebih indah dari hadiah di hari lahir kita.

kan?

persis yang disiapkan suami aku ahad lalu.
ada, kita suka.
tidak ada, tak apa.

tapi siapa tak suka PSP3000 white pearl?
bwahahahaha.

*senyum*

dah lah. aku terlalu bahagia untuk menyayu hati.
cuma dengar sini:
redha dan menerima bukan negativiti.
aku cuma sudah tidak larat menjahit mimpi di tiang tinggi.

sekali lagi.
berhenti.

Saturday, August 15, 2009

sudah 27 sebelum masa.

menemui nyomei syayer;

pembohong.
kata tak reti sambut hari jadi.
benci.

kan dah.
macam sakai terkinja2.
macam gila seringai ketawa.

kekasih;

ini,
peringatan hari lahir yang paling membahagiakan.



yang benar;
si muchuk awak.

rendra



bagaimana untuk mengenang rendra
kalau tak pernah kenal si rendra

Thursday, August 13, 2009

bantu rumah kita

http://youth4a.bettermalaysia.com/speaker-profiles/

jauh langkah aku.
sampai ke situ.
segan pun ada.
layakkah aku untuk ini semua.

kadang2 rasa macam kelakar.

bila imah jerit engkau orang kosong, bolong dan rentung,
ada pula si jijah pegang jari kau untuk disanjung.

bukankah itu bikin engkau jadi keliru?

kau jadi tidak pasti.
siapa engkau yang sebenarnya dalam hati?
apakah engkau manusia elok?
atau apa mungkin engkau peruk?

cikgu suruh engkau lukis gambar dengan tajuk "rumah saya".
kau ambil pena warna-warni dan lorek kotak dengan segitiga sebagai atap. bubuhkan matahari dan seekor kucing di depan pintu oren.
kau ambil kertas itu dan hulurkan pada cikgu itu, dan dia kata "bagusnya ina! cantik sekali".
tapi kau dengar saiful ketawa besar sambil mengejek: "ha ha rumah dia senget".

pujian cikgu itu untuk jaga hati, mungkin.
kejian saiful itu untuk sakit hati, mungkin.
yang mana yang betul?
yang mana buat tenang?
lukisan itu indah atau gondol?
mampukah bohong beri rasa menang?

kemudian kau khabarkan sedih jiwa pada bunda di rumah. "saiful ejek saya". bunda bilang, "tidak apa. kita jangan buat begitu, tuhan marah". kita diam. dalam hati, kita harap tuhan balas dia.

soalannya sampai bila?

dia sakitkan hati kau, kau minta tuhan balaskan.
kau gembira dia dapat habuan.
dia sakit hati kita puas, dia munta tuhan ganjarkan.
dia gembira kita dapat balasan.
pusing pusing pusing pusing.

dunia penuh dendam.
jijik.

*diam*

apa2 sajalah.
yang penting, aku akan cuba jadi jujur pada hari ini:



------
This dual-language forum, for youth and by youth, intends to showcase young Malaysians who are making Malaysia a better place to younger Malaysians who are looking to do the same.

Accomplished Malaysian youth from various sectors will provide insight, guidance and networking opportunities to Malaysians only a few years younger than them, in the hope of building relationships and bonds that will result in a stronger, more united group of young people empowered to continuously improve Malaysia.

The forum also hopes to bridge the widening gap between Malaysians who study in different countries overseas and local students by providing a shared opportunity to exchange views and better understand diverse perspectives.

Venue:
Sunway University College, Main hall
Auditorium 7 – Level 2, South East Building

Date:
Sunday, August 16t
h

Time:
9.00am – 6.30pm

------


aku betul2 ikhlas hendak tolong selamatkan kita.
we need a better life.
a better place.
a better feel.

something better.

tuhan kata sesiapa saja boleh bawa perubahan. aku harap keji2 aku, ada juga moleknya.
semoga aku diingat demi ikhlas yang aku ada.
sedikit mana pun ia.

Wednesday, August 12, 2009

perlu. kuat.

facebook: 9 am: 11 ogos 09

kata tri:

"saya suka part awak kejut saya pagi2 dalam hidup saya...
part tu rasa best gila.
rasa macam saya takkan mati.

thanks.."



facebook: 11 am: 11 ogos 09

kata fynn:

"saya paling benci part saya kejut awak pagi2...
sebab saya tahu saya tak akan nampak awak untuk 9 jam lagi...
rasa macam saya mula mati"





----


aku perlu kuat. aku perlu kuat. aku perlu.
kuat.

mungkin belum cukup terperuk untuk hilang sepenuhnya
mungkin belum cukup hilang untuk diabai selamanya
mungkin kita perlu ke situ, kekasih
ke denai ceruk hutan berkabus putih
di mana kita hanya bisa berdua hidup dan mati
di jauh orang yang tak berhenti mendengki.

hidup aku untuk engkau, arjuna raga.
dihambat disebat, tetap selama.


----


kata tri:

jangan menangis k...
tuhan tahu hati kita, sayang.

kita tak pernah busuk hati.
tuhan tahu.


----


betul.
tuhan tahu.

kita jangan busuk hati.

Monday, August 10, 2009

semalam dan dua perkara

semalam tengok festival filem 2009.

aku tak pelik yasmin menang itu ini. orang malaysia kan suka tunjuk baik hati.
orang dah tak de, tak baik kalau tak bagi.
perhatian untuk sesiapa yang hendak dihargai:
tunggu mati.

adiknya naik pentas untuk terima anugerah dan duit beribu2 yang tidak ada makna itu. tapi, persis kakaknya, adiknya berbahasa molek menyampaikan satu dua kata. aku tidak tahu dalam hati dia, tapi secara lisan dan tubuh badan, langsung tidak diunjur apa2 bahasa kecil hati atau jauh hati berkenaan apa yang pernah terjadi.

yasmin dari dulu ralat hendak menang di festival filem sendiri. asyik menang di rumah orang tapi tidak di rumah sendiri.
jadi apa makna malaysia angkat dia selepas dia mati?

aku pernah cakap pada kawan, aku tidak akan pelik nanti akan ada siaran prima yasmin setiap sabtu. kita sudah bikin hal itu dari zaman ikan masin lagi. p ramlee dulu; sampai sudah jadi macam minta sedekah. turun naik jumpa sini sana, hendak naikmartabatkan filem kita. apa dapat? orang2 besar panggil dia kurang seposen; atau bahasa eloknya sudah tidak berapa stabil. enam jahanam lingkup, lupa terus ibu mertuaku, haram tidak mahu peduli anakku sazali.

tiba2 dia mati, dan2 ada itu ini.
teater p ramlee setiap sabtu.
jadi tan sri, anugerah ini itu.

eleh. propa.
kalau betul caranya, kenapa nasir, anaknya, pernah terpaksa angkut sampah?
nasib baik ada wartawan mulut lancang buka mulut dan bikin artikel.
kalau tidak, orang langsung tidak tahu.

p ramlee lagenda konon. pirah.

//edit: yuz kata bukan nasir yang angkut sampah. sazali. terima kasih, yuz.
tapi nasir pun kerja orang susah. berniaga tepi jalan kena hambat//

tidak ada satu minggu pun dalam malaysia ini yang tidak ada siaran filem p ramlee. tidak ada. tapi orang pejam mata. "dulu tidak ada hitam putih, jadi susahlah dik. kita pun tidak tahu macammana hendak kira royalti ini".

tuan2 dan puan2, aku realistik. aku bukan membayangkan sesuatu seperti elvis atau beatles; yang harta royalti sahaja tidak habis sampai empat generasi. tapi entahlah. macam tidak logik. anak lagenda tidak merasa untungnya.

dah kecoh cerita ini, barulah tawarkan ihsan. apakah ada maknanya?

*diam*

aku borak panjang dengan tri. aku syukur bukan aku seorang yang merasa apa aku rasa. dia, seperti aku, muak dengan perangai kita2. banyak sangat takutnya.

kan?
kita memang penakut.
hendak2 dalam bikin keputusan.
nak suka sesuatu, kena ada kawan yang setuju.
pakai baju putih bunga2 merah jambu, kawan cakap "tak kena". sanggup tukar.

atau contoh paling klasik:
kau suka sama fahmi, tapi kawan baik kau tidak berkenan sebab fahmi dikatakan ada misai. geli.
"ee.. nak ke misai bergobos tu? eww"
*kau tampal senyum perit gila, dan gelak2 sedikit sambil berkata: "ngee... ha ah la. aku pun tak suka..."; padahal kau tidak pernah kisah pun.

jadi kau cuba tutup cerita dengan penyataan:
"aku saja je... main2 lah"

main2 konon. podah.

tidak kah itu bodoh?
buatlah keputusan engkau; bertanggungjawablah pada apa2 jadi.

prinsip aku berkenaan itu jelas pada kawan2 aku. biasanya, tahu2 saja, aku dan seseorang sudah ada sesuatu. betul, perlu hidup bermasyarakat. perlu sepakat. tapi bukan sampai hilang mandat dalam keputusan yang dibuat.

orang sibuk suka filem yasmin, kau pun terus julang dia. semua saja betul.
orang sibuk kutuk filem yasmin, kau pun terus humban dia. semua jadi badigol.

aku belajar dengan tri masa awal2 aku hidup dengan dia. habiskan cerita dengan "tapi dia baik..." dan ingatkan balik apa baiknya, kemudian sebut. sebab dia kata tidak ada orang yang jahat sentiasa jahat. tidak ada orang yang baik sentiasa baik.

aku paling ingat dia kata:
"jahat macammana pun seseorang itu, bila makan kedai, dia bayar."

betul juga, kan?

kita perlu sedikit optimistik. buka kita punya paradigma yang kolot dan terperuk. terima kiri kanan setiap mauduk.

aku suka yasmin punya kerja. ada bahagiannya. di mana2 ruang aku tidak kenan, aku cakap juga. sebab mana ada orang sentiasa suka. sebab mesti ada orang selalu tidak suka kita. tapi aku tahu yasmin bukan orang macam kita2 yang senang melatah. jadi, orang tidak segan hendak luahkan kritis negatif, apalagi yang positif. sebab dia bukan orang yang kalau ditegur, terus menjawab dengan keburukan si penegur pula.

contoh:
"kau ni memang betina miang, kan? suka ambil jantan orang?"
"eleh, mak kau pun sama. aku tahu bapak kau kahwin dengan mak kau sembunyi2 belakang bini pertama"

tapi tidak boleh marah, juga.
biasalah sifat defensif ini.
semua orang begitu.
termasuk aku.

aku tak mampu jadi macam dia.

adik yasmin semalam ketika ucapan: kakak yang saya kenal, tidak pernah tidur tanpa meminta dia diampunkan tuhan atas setiap perbuatannya, sekali dengan dosa2 orang2 yang tidak faham siapa dia, kerana kita semua sekadar manusia.

masa itu, airmata aku sudah bertabur atas zarah2 wap di keliling aku.

*diam*

aku cuba lama gila untuk tidak buat entri tentang yasmin. aku malas hendak mengulang2 cerita orang. membincangkan yasmin dalam entri / perbualan sehari2 / kelas adalah trend. aku lebih suka buat muka tidak ada perasaan. entah. sikit2, aku ada rasa sayu dalam hati.

sayu sebab apa, aku tidak pasti.
entahlah.

aku tahu aku terlalu banyak dosa. yang terzahir, yang terkambus.
tapi aku juga tahu ada masanya yang aku suka berbuat kebaikan.
yang apa2 perbuatan baik, walaupun besarnya macam biji sawi, akan tetap jadi alibi aku.
aku ada keyakinan yang paling tinggi dengan janji tuhan yang dia itu maha pengampun; cuma soal yang ada adalah sempat atau tidak. itu belakang cerita.

yang aku sedihkan adalah ini. bila aku mati nanti, apakah manusia akan sibuk membikin thesis tipikal "tuhan tidak akan terima budak ini" pada jenazah aku?

siapa tidak pernah buat dosa? apa bezanya dosa engkau sama dosa dia?
dosa melancap lebih mulia dari dosa sepak kucing?
dosa memburukkan orang lebih bagus dari dosa perempuan joget?

bagi aku, mati dalam keadaan berusaha memperbaiki lebih cantik dari mati dalam menerima apa saja apa adanya. kalau aku baru tersedar dua saat tadi, dan aku pasang niat aku hendak jadi yang lebih elok bermula saat itu, namun tiba2 dilanggar lori; tidakkah manusia percaya sama magnifisinya tuhan yang maha mendengar, maha pengampun dan maha memahami?

tuhan bukan mak abah kita yang lumrahnya boleh tersinggungkan.
tuhan bukan macam manusia, yang ada hendak terasa2.
tuhan bukan jenis yang sekali kita faktap, sampai bila2 dia ungkit.
tuhan memang ada murkanya, tapi setitis air mata sesal yang ikhlas mampu memadam api neraka yang menjulang.

manusia sibuk melaung2 kasih pada tuhan.
tapi dalam hati, bersoalraguan.

buat apa?

kau minta pada tuhan sesuatu. jauh di dalam, kau goyang sendiri.
nak ke tuhan bagi? boleh ke tuhan beri?

kenapa?

*diam*

aku tahu siapa yasmin ketika aku masih budak2. umur 18 atau 20 aku tidak ingat. tapi masih dalam kategori belum kenal dunia sebenar. aku cari sana sini informasi tentang dia melalui saudara2 yang bekerja dalam seni iklan. di mata aku, yasmin kelihatan seperti mana2 makcik moden yang berkerjaya hebat di kolumpow. tapi iklan2nya terlalu cantik untuk tidak dipeduli; seperti puisi dalam bentuk gambar2 bergerak. aku suka sama dia.

maka ketika nescafe kickstart siri pertama mencari peserta, aku turutserta. impian aku kalau dapat wang hadiahnya, aku hendak jumpa yasmin ahmad dan beri duit itu pada dia. aku hendak satu projek iklannya, dan aku hendak taja dia dengan wang itu. syaratnya; aku diizinkan duduk sama dia dari mula sehingga habis setiap prosesnya.

tidak perlu ditanya, impian aku yang menyimpang dari objektif ditolak.
aku pun memang tidak pasang harap.
dah, kau tanya apa impian aku kerja aku. itulah. haha.

tapi ketika aku ditemubual untuk pra-eliminasi melalui telefon, aku digelakkan suara di hujung talian.

futnot: ketika ini yasmin bukan siapa2 lagi, cuma seorang manusia yang mencipta iklan2 hebat, selain artikel2 ouch-tapi-betul di surat khabar. jadi mempunyai adorasi terhadap seorang yang belum orang kenal adalah pelik.

"impian apa ni dik?"
"impian saya la"
"minat sangat ke sama yasmin?"
"ye la. saya nak orang nangis macam saya nangis tengok kerja dia"
"ee. awak tahu tak dia itu sebenarnya lelaki?"

aku memang terkejut pada masa itu. lebih terkejut kerana biasanya golongan sebegitu akan memilih kehidupan yang terpencil dari orang. yasmin tidak. dia tidak menidak, dia tidak mengiya. siapa suruh tidak tanya.

apa point aku?
kalau kau pernah buat buruk, lupakan sajalah hendak bikin elok.
kalau kau pernah tampar orang, kau belanjalah dia makan tiap sabtu malam, penampar yang satu itulah yang akan disebut2 sampai mayat kau bengkok.

kenapa haa?

kau siapa untuk jadi penyampai suara tuhan yang si polan itu milik neraka? mana kau tahu? tadi malam tuhan datang dalam mimpi? kalau pun kau kata ada mimpi nabi, yakin mana kau dia itu benar2 bukan iblis keji?

manusia.

nampak Timah dah berhenti menyundal, kita cakap "eleh".
nampak Timah bercakap dengan kawan kerja, kita cakap "kan aku dah cakap; kalau dah sundal tu sundal juga".
nampak Timah jadi pendiam, kita cakap "alah, tuari ada sekali aku nampak dia borak dengan Azam. dia berlakon je lebih"

selagi timah2 itu belum pindah rumah kau, duduk hadap muka kau, suap makan kau, selagi tu pendosa2 seperti timah itu belum baik di mata kau. besar pangkat kau nak orang mintak sign untuk hidup.

haih...

*diam*

semalam tengok filem murah bernama pensil.

m.subash telah kembalikan cinta aku pada industri penghikayatan. siapa belum tonton pensil, kau memang berada dalam kerugian yang nyata. serius. dia sekarang di satu tangga lebih atas dari yasmin.

kalau kau rasa air tangan yasmin ahmad itu magis, kau betul. sebab kebanyakan scene yang dia bikin (walaupun) fiksyen dan direka2, pengolahannya realistik.
it's not a bad thing.

tapi kamon. aku jujur tidak pernah lagi jumpa sesiapa yang ada mak abah dansing tango pakai seluar dalam sempit dan batik kemban semata2, sambil disaksikan orang gaji. tapi dek kerana pelakon2nya mantap dan tidak menganggap situasi itu menjanggalkan, scene itu menjadi. itu yang aku rasa. kau tidak perlu rasa apa aku rasa.

rasa aku: air tangan m.subash adalah kehidupan hari2. noktah. kau akan nampak nenek kau atau abah kau atau adik lelaki kau dalam cerita2 dia. makcik bedah becok tidak semestinya ada sentil. manisah yang ramai peminat dalam kampung tidak semestinya ada bujur wajah macam erra fazira. joned sewel tidak perlu makan sampah untuk beritahu dia gila.

tapi aku tahu, m.subash perlu mati dulu baru malaysia akan angkat dia ke langit.

peduli apa dia itu dulu cikgu kimia.
peduli apa dia itu dulu penceramah motivasi.
peduli apa dia itu boleh menari klasikal india.
peduli apa dia punya pengarahan bagus.
peduli apa dia punya lakonan mengkesima.
peduli apa dia punya anugerah itu ini;

dia tetap biasa2 selagi belum mati.

*haih*

yasmin, kau mungkin ada celanya,
tapi ilmu hidup kau pada orang itu jariah.
dan selagi setiapnya dipakailama,
pahala kau moga2 ditokoktambah.

terima kasih kerana memberi kesan pada hidup aku.


ps:
siapa tidak ada kesempatan mendapatkan pensil;
tengok di sini. blogspot cik sharimie ini macam kilang drama filem.
http://sharimietv.blogspot.com/2008/10/pensil-2008.html


aku dah lama tidak terhenjut2 menangis ketika tonton filem melayu.
aku doa dia P Ramlee era aku.

m subash abdullah, terima kasih.




Tuesday, August 4, 2009

imej; dan refleksi yang sebenarnya

belajar

kau rasa orang fikir kau baik bila:
kau buat assignment tepat pada masanya; susah bagaimana dan mustahil bagaimana pun jua.
tapi di belakang, orang nampak engkau: budak skema / si lurus bendul.

kau rasa orang fikir kau kena pijak bila:
kau buat assignment tepat pada masanya, dan Laila datang cerita tentang emaknya sakit, lalu kau izinkan dia menumpang nama.
tapi di belakang, orang nampak engkau: bodoh. siapa suruh percaya?

kau rasa orang fikir kau gempak bila:
kau tak buat assignment, tapi nasib baik Anis percaya cerita emak kau sakit dibuat orang kat kampung, lalu tumpangkan nama kau pada kertas kerjanya.
tapi di belakang, orang nampak engkau: keling parya. cakap putar alam. kaki belit.

kau rasa orang fikir kau aniaya orang bila:
kau tumpang nama pada assignment Anis, tapi markah kau lebih tinggi dari dia.
tapi di belakang, orang nampak engkau: terrer giler dapat buat Anis yang skema itu percaya kat kau.

-----

kerja

kau rasa orang fikir kau baik bila:
kau buat kerja Ahmad, dan Ahmad yang dapat nama.
tapi di belakang, orang nampak engkau: mangsa baru untuk buat kerja mereka pula.

kau rasa orang fikir kau kena pijak bila:
kau buat kerja Ahmad, dan Rashid pulak minta kau buat kerja dia.
tapi di belakang, orang nampak engkau: merbahaya sebab boss akan nampak betapa engkau efisyen; bermakna kau akan pantas naik dari mereka.

kau rasa orang fikir kau gempak bila:
kau tak buat kerja kau, dan tiap2 bulan gaji kau tetap ada.
tapi di belakang, orang nampak engkau: kawan yang paling perlu dijaga. mereka perlukan kambing hitam untuk disembelih kalau datang masanya karier mereka di atas kepastian yang tiada. lagi teruk kerja kau, lagi besar point mereka.

kau rasa orang fikir kau aniaya orang bila:
kau tak buat kerja kau, dan Tipah kena buang kerja.
tapi di belakang, orang nampak engkau: kenal bomoh mana2; maka mereka takkan berani berkata apa2.

-----

hidup

kau rasa orang fikir kau comel bila:
kau gelak dengan 'hihihihi' sambil menutup2 bibir dari membahak ketawa.
tapi di belakang, orang nampak engkau: gedik. tidak ada maknanya kalau sambil menutup2 bibir, kau mencubit2 peha kaum bukan sejantina.

kau rasa orang fikir kau ganas bila:
kau gelak dengan 'hahaha' sambil buat muka "aku fak pompuan gedik".
tapi di belakang, orang nampak engkau: macam sundal. menggelabah tak memasal. kalau kau gedik tidak apa pula.

kau rasa orang fikir kau kool bila:
kau gelak sikit2, ketawa pun berpada2. kau lagi suka melihat dan mendengar dari membiarkan mulut kau terbuka.
tapi di belakang, orang nampak engkau: sombong. eleh, cantik sangat ke?

kau rasa orang fikir kau sundal bila:
kau buat muka ikut hati kau punya suka. kau ketawa bila kelakar. kau senyap bila sedih. kau bakar rokok dengan gagah, kau hembus dengan tenang. kau buat muka sial pada semua orang kecuali kawan2 kau sendiri.
tapi di belakang, orang nampak engkau: berlakon je lebih. orang nampak kau ketap bibir masa member kau cerita sayu. orang nampak la. muka je pecah rumah; hati dalam penuh pokok bunga.

-----

kau rasa orang fikir kau kyutt / manja / somel macam butang bila:
kau nak bayar dan kau senget2kan kepala depan muka suami aku,
kau banyakkan perkataan "alaaaaaaaaaaaaaaa" yang dileweh2kan,
kau pintal2 tudung hijau kau dan kau tumbuk2 meja kaunter dengan lemah lembut,
dan kau ulang2 memuncung2kan bibir seperti itik di kolam ikan.

tapi di belakang, aku nampak engkau: keciiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiik jek.

-----

moral hari ini:
kadang2, penat kita fikir siapa kita di mata orang,
rupa2nya jauh dari realitinya.
jangan pedulikan fikir orang.
tidak ada makna.

kalau ikhlas, itu lebih utama.
kalau orang salah fahamnya, nak kata apa?

dik non tudung hijau, tidak apa.
buatlah apa kau suka.
densingla sampai pagi...

ps:
kau datang lagi sekali,
aku comolot laki aku depan kau.
:)

drama panggung hujung minggu

seperti mana2 suami isteri biasa,
yang ada turun-naiknya,
malam sabtu lepas,
aku dan tri tidur dengan jarak.

walaupun cuma sejengkal setengah;
(kami cuma mengizinkan jarak bila datang hari2 hukuman)
mungkin nampak ringan, tapi di terhenjutnya genggaman tri dan abah yang memeterai hubungan ini, hukuman tidur berjauhan adalah antara siksa yang paling kami benci.

tidur berjarak bermakna tidak boleh tidur.
tidur berjarak bermakna tidak mungkin nyenyak.
tidur berjarak bermakna malam akan panjang.
tidur berjarak bermakna siang lewat datang.

kerana itu, marah bagaimana sekali pun, tidur mesti berteman.

maka --
bila tidak boleh tidur, boleh ditengok2 kalau2 bukan kau seorang yang belum tidur.
bila tidak mungkin nyenyak, boleh dijenguk2 kalau2 terjaga bangun tidak teratur.
malam akan panjang, siang lewat datang, tidak apa, janji diharung bersama.

(walau nampak tidak bersama, sebenarnya masih bersama)

dan seperti mana2 isteri yang bersalah,
tetap menunggu dipujuk suami untuk memujuknya.
untuk mengatakan yang salah ini bukan miliknya, tapi milik sang suami.
semata2 untuk si isteri ini mengatakan "tidak, saya yang salah, wahai cinta hati".

dan seperti mana2 suami yang tidak salah,
tetap ada hari yang dia naik penat dan malas.
kerana ada perkara yang boleh dikompromi.
tapi hal2 kesihatan, hal2 hidup mati, tiada toleransi.

maka seperti biasa,
aku dan tri tahu,
hanya kerak matahari subuh yang akan membuka bibir dia dan aku.
dan kerana ini adalah salah aku sejelas2nya,
akulah yang perlu memanjat dadanya dan mengucapkan selamat pagi.

*keronyok bibir, mata dipusing ke atas*

okay. aku ada masalah pemakanan sedikit.
aku memilih sedikit.

okay. banyak.

aku ingat lagi masa aku kecil, abah paksa aku makan taugeh.
aku tidak mahu.
aku geli.
sebab di usia itu, aku sudah selalu siang taugeh.

taugeh ada bulu.
halus.
macam bulu dekat tahi lalat hidup jiran aku.

tapi aku takut hendak cakap alasan aku tidak mahu makan taugeh itu pada abah.
abah tidak akan faham.
aku takut nanti dia pulak tidak mahu makan taugeh.

abah jerkah aku:
jangan bangun selagi taugeh tak habis!

dengan taatnya,
aku tidak bangun2.
:)

bukan melawan.
prinsip.
hahaha.
prinsip jadah, sekolah pun baru darjah satu dua ketika itu.

degil.
tu je jawabnya.

*diam. sengih sedikit*

okay. aku salah.
dengan acute gastritis sekali dengan rahim post-surgeri yang masih bengkak, aku tidak sepatutnya menahan makan demi selera yang tidak ada. ada masanya, makan perlu dipaksa.

okay okay. di SETIAP masanya, aku perlu paksakan makanan untuk lalu di celah tembolok.
atau asid perut akan menghiris dan menghakis nipis. aduh. gemuklah mak, nok.

sedang sibuk aku bergolek2 atas katil, dengan macam2 dalam fikiran kosong di tengah malam sabtu pagi ahad itu, dengan tiba2, tri peluk aku dengan erat.

aku terdiam.
belum pagi lagi.
aku diam. mana tahu tri hendak kata apa2.
tapi dia juga diam.
baik aku terus diam.

*diam*
sedar2 sudah pagi.
tengok, senangkan tidur?

aku bangkit esoknya.

aku tengok dia. dia tengok aku.
aku diam. dia diam.
aku tengok lagi. dia tengok aku, lalu berkata:

"malam tadi saya mimpi hantu".

aku bahak sekuat mungkin.
terus, aku rasa lapar.