Tuesday, May 19, 2009

entri tidak ada isi.

aku tidak tidur dari semalam. sudah lebih 24 jam aku celik tak katup.
aku tidak mahu konon2, maka aku hendak mengakukan ini:

aku takut.

aku tidak tahu samada aku pernah atau tidak segerun ini. seingat yang mampu, belum lagi. jujur, tidak ada seumur hidup ini yang jantung aku tidak berhenti bergoncang. kalau aku diam dan tekun, aku mampu mendengar dengan telinga kasar --degupnya.

jantung, jangan pecah.

sepanjang yang aku tidak boleh lelap, jauh sekali berbaringan, aku godeh2 dan tekan2 butang telefon. semua fungsi aku godam. semua punat aku tonyoh. tri --aku biarkan hanyut dengan nyenyaknya. tidak sampai langsung hati aku hendak menganggu suami aku yang hari2 dari pagi pekat sudah ke pasar, sampai malam likat baru jejak rumah kecil kami.

bila habis setiap mililiter telefon aku noda, rumah sunyi sekali.
punggung mula panas.
masa untuk mengemas.

jam 2 pagi, dengan jarum panjangnya baru sedikit ke depan;
punggah sana,
alih sini,
sorong sana,
susun sini.

licin. bersih.
sudah macam showroom ikea.
boleh masuk pertandingan, aku rasa.

aku bongkar almari baju. aku buka semua lipatan, semata untuk melipatnya semula. cuma kali ini, aku pastikan setiap bucunya selari. aku atur mengikut warna dan masa pakainya. warna gelap paling bawah, yang paling menyilau letakkan di permukaan. baju siang di bucu sini. baju tidur di sudut yang situ.

baju yang sudah lama tidak diusik, aku jodohkan dengan sebiji kotak kosong yang kebetulan tri bawa dari kedai atas sebab yang aku tidak pasti. seragam cikgu aku --semua aku gantungkan. yang paling labuh di sebelah kanan, yang paling senteng di sebelah satu lagi.

semua hitam.
cantik.

jantung masih bagai dikejar anjing. tidak mungkin aku diizinkan tidur oleh tubuh. setiap anggota merengkot dan mengejang. apa lagi yang boleh aku bikin?

aku lantas memanjang kaki ke pc. aku jelajah hard disc. aku namakan semula fail2. aku benci huruf besar, maka semua huruf aku kecilkan. aku selesa untuk bersetuju dengan e. e. cummings, seorang penulis puisi dari massachuset. dia, seperti aku, tidak suka huruf besar.

fail2; aku susun jadi terperinci. kategori2 aku cipta, untuk meminimumkan kelebaran tetingkap. aku molek2kan folder dan berikan nama2 ringkas yang catchy. seronok. seolahnya aku sedang bermain capcom games, cuma apa sahaja tindakan aku, tidak akan dihabuan markah. yang ada hanya senyum puas.

jadilah.

apa lagi? 4 pagi, dan bunyi sunyi sudah mula menjelaskan detak jantung yang melompat, bagai hendak merabak rangka dada aku. aku ambil semula telefon yang aku abaikan beberapa jam tadi. aku hantar sms pada anak2 yang sempat mendapat tiket terakhir, tentang pembayaran, tentang pengambilan tiket, sekian sekian.

oh ya. tiket sudah tidak ada lagi. maaf, sayang2 sekalian.

untuk sedetik, aku rasa laknat. tidak ramai yang aku hantar salam ikut pesan telefon. cuma beberapa. tapi intinya, ya tuhan. berjela2. merapu dan entah apa2. aku perhati, tiada siapa2 yang hidup malam tadi. semua rebah atas lena, mungkin. atau tidak ada kredit. atau tidak simpan nombor aku, jadi malas hendak merespon.

di pecah malam, ada juga sejarum besarnya rasa sayu. entah kenapa, aku rasa terlalu berseorang. untuk sesiapa yang bijak, pasti akan menempik 'bodoh' ke wajah aku. malam memang untuk tidur, bukan membising. tapi aku akan dengan yakinnya menjawab, 'aku bijak. kerana itu aku memilih malam utk membegini'.

dan aku akan jelir lidah cecah ke dagu.

such loneliness makes us feel human.
kalau sempurna, kau bukan orang.

di keantaraan jarum saat yang mengengsot seperti insan kurang upaya, tidak semena, salah seorang sahabat puisitepijalan yang aku hantarkan makluman2 (yang sebenarnya aku hulur lewat pesanan ringkas itu demi memekakkan desing sunyi semata2) menjawab salam.

silap haribulanlah, cik adik.
habislah aku ajak kamu ambil kudapan akal.
kasihan kau tersangkut sama aku menemanbual.

sampai berserak rata cahaya matahari di lantai bumi, aku dan budak kecil itu berbalas tulisan. perkara yang pada lughahnya dinamakan pesanan ringkas aku tukarkan kepada pesanan berpanjang sekurang2nya 6 muka surat. begitu meleret, aku rasa, ia lebih sesuai dialih ke ruang messenger siber; tapi tidak -- kerana di rumah aku sudah tidak wujud internet.

tidak pula aku tanya pada budak kecil itu, hendak atau tidak menaip atas talian.

tapi seronok.
sumpah seronok.
aku seperti berbual dengan diri sendiri.
diri aku yang dulu2.

budak kecil itu ingatkan aku kepada aku di suatu masa yang lepas.
suatu masa yang lepas yang sejujurnya aku tidak perasan sudah begitu jauh melampau.
aku lupa sebentar tentang takut aku.
lupa langsung.
siap aku gantikan dengan senyum penuh.

aku rasa hidup ini cantik sangat.
terlalu bijak plot hidup disusunatur.
begitu kemas. sampaikan di banyak masa, tidak kita perasan peralihannya.

ketika sedang di separuh jalan berbual biruhijau kehidupan, aku baru perasan, aku pernah juga bertukar khabar di kotak komen. kenal jugalah sama dia. walau tidak pernah bertegur sapa. maka apa lagi, makinlah rancak menggelegak borak.

namun, ketika sedang, tiba2 mati.
dia senyap.

aku andaikan dia sudah tidur. ada juga sedikit risau kalau2 dia senyap dek tersinggung. mana tahu, tersilap baca, tersalah faham. aku ucap terima kasih kerana meneman aku melupakan rasa seriau aku awal2nya. dalam hati, aku harap dia had fun sama aku, macam aku had fun ditemannya.

*diam*

haih...
giler la.
apa aku buat sebenarnya?

mungkin bagi ramai, ternyata giat aku tadi malam sangat merugikan. masa dan tenaga tertumpah bazir. kredit beringgit2 melimpah macam air.

tapi entah kenapa.

ketika aku taipkan perkataan2 ini; ya, yang ini, yang sedang kalian baca ini; aku yang dari mulanya tidak berhenti berketargigil separuh tubuh, celaru dan kusut tadi, kini sudah lebih aman dan tenang.

semata2 menulis tentang kekosongan dan tentatif bunyi sifar sudah berjaya membuat aku sentosa.
semata2 mentertawakan diri yang seperti sang obsessif kompulsif sudah berjaya menembok rasa bangga.
semata2 mengingat perbualan halus (tapi berat) sama seorang asing yang tidak aku ketahui mana duduknya dan berapa usianya sudah berjaya menambak lapang dada.

menulis memang terapi aku.

maaf, kerana sudah berjanji tidak menulis dalam masa terdekat tapi mungkir.
kalian tahu, di ketakutan sebegini, hanya tulisan mampu membobok keronyok jiwa aku.
aku rasa jelas ketarnya.

tulisan aku hilang lagu.
berbunyi pincang.

tapi inilah dia.
aku manusia biasa.

lihat.
aku takut.

Sunday, May 17, 2009

edited: nota ringkas, mungkin mengujakan untuk beberapa.

oh sebelum terlupa.
siapa hendak tiket 3 venus.
tapi tidak mampu untuk mengejar wani ardy.

012 260 7359
wa bukan ah-long
tapi wa mau tolong.

saya mahu bantu anda.
saya ada cara.
tapi harus pantas.

PERLU DILANGSAIKAN SEBELUM RABU.
ULANGAN.

RABU, 9 PAGI


cara pertama)

1) datang nilai / adam western / limkokwing
2) bayar rm 15 by hand
3) ambil tiket

cara kedua)

1) bikin pembayaran ke maybank2you, di bawah nama nur affina yanti jamalludin, 1-64810-00899-2 sebanyak rm 15
2) telefon saya untuk konfermasi ON THE SPOT
3) ambil tiket ketika 31 mei

cara ketiga)

1) kirim kawan yang melakukan prosedur di atas
2) goyang kaki
3) risiko tiket habis, tanggung sendiri

cara keempat)

1) tunggu video2 yang kawan2 anda upload di youtube
2) rasa ralat

*senyum*

notakaki: untuk sesiapa yang hendak ke limkokwing untuk tiket, saya hanya ada sehingga hari selasa. hari rabu sudah surgeri.




nota di luar topik: untuk seorang sahabat anon. saya tidak akan menarik semula panggilan / istilah tuhan kita itu 'kool', atau dahulu saya katakan tuhan kita yang kacak, juga tuhan kita yang awesome.

kerana perkataan adalah bahasa.
dan bahasa adalah lafaz yang termampu untuk melampias suara hati. walau pun banyak masanya, tidak sejajar dengan apa yang hendak kita sampaikan.

kenapa tidak boleh saya kasihkan tuhan saya sebagaimana saya kasihkan tuhan saya? saya ada special bonding sama tuhan saya. sama dengan kamu ada relationship sama dia.

bagi saya, saya dan tuhan; kami ada hal kami sendiri. it's our thing, yang tidak semua faham. termasuk kamu. dia kawan baik saya. dia tuan saya. dia pembakar semangat saya. dia penyejuk hati saya.

maaf, saya tidak boleh terima kalau kamu hendak minta orang lain bersifat sama dalam berkasih sayang. cinta saya lain. bukan seperti org lain. harap faham. dan anda menyinggung saya bila anda seolah2 mengajar saya bagaimana hendak mengalamatkan kekasih saya.

dan saya tidak faham indikasi kamu tentang saya mengikut nafsu.
menganggap, op, saya betulkan, mengetahui tuhan itu maha mencintai ciptaannya, dan betapa dia begitu mengerti budaya dan jiwa kita, saya pasti tuhan tidaklah seburuk sangka mana2 manusia.

saya tak faham.
anda perlu ada rambut afro baru boleh kool, kah?
anda perlu pakai seluar baggy baru kool, kah?
abah saya pakai kopiah selalu, bela janggut, subuh maghrib pergi surau, ramai sekali yang panggil dia pak din kool.
salah, agaknya.

kalau begitu, saya yang silap, kot...
lepas ini saya akan minta pendapat org tentang apa makna kool.
ish. teruklah saya, kan?

*tsk*

awak, saya yakin tuhan faham apa saya maksudkan.
cukup.

nota kecil di hari ahad.

saya sedang sakit.
teruk.
saya sedang minta tuhan gagahkan.

saya minta tuhan bantu saya berlakon gagah.
cukuplah.

tidak senang hendak menampal kekeh ketawa riuh gempita,
bila tubuh tidak ada mampu.
bila terlalu ramai yang sudi memapahmu.
bila sebilangan hendak memaut tanganmu.

menjadi lemah dan tewas itu tidak patut aku gantikan pada setiap kobar semangat yang dicurah pada seorang saya.

sahabat2,
doakan saya.

saya akan hilang agak lama.
saya tidak minta duit belanja,
cukuplah doa dan kasih sayang ikhlas.
tidak perlu dikhabarkan.
cukup pada saat kamu2 bersendirian.
mintakan pada tuhan agar dikasihankan saya.

sesungguhnya doa yang tidak diketahui penerima adalah doa yang lebih mujarab khasiatnya.
dan saya tahu, saya ada ramai sahabat sunyi begitu di antara kita.

rabu ini penentunya.
semoga ada sinar di hari2 selepasnya.

amin.

buat anak2 di luar sana, sementara tidak ada suara saya,
ambil tulisan2 kecil ini dan semat dalam dada:

hiduplah dengan cinta.
berhentilah menjadi sampah.
kurangkan menyenang semua.
hentikan sifat mengalah berserah.

redha cuma untuk tuhan kita yang kool itu.
bukan pada manusia pemijak manusia.
okay?

salam atas kalian, dengan sejahtera.
semoga dipelihara tuhan.

Monday, May 11, 2009

bagaimana untuk menang walau pun anda salah.

cara2 untuk memastikan kemenangan,
di situasi2 yang sememangnya terang anda bersalah:


1)
kata kunci: airmata
role model: neng yatimah

sampel:
"(sedu) !!! sumpah, ina..., (sedu) saya tak buat (sedu) apa dia cakap...!"
"na.. (sedu) pa.. (sedu) dia..(sedu) tuduh.. (sedu) saya..(sedu)"
"waaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa....!!! huuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu....!!!! (sedu)(sedu)(sedu)(sedu)(sedu)"


tiada keraguan, sebagaimana air mampu memecahkan tembok empangan, airmata mempunyai kuasa untuk melemahkan sesiapa.

sebaik mungkin, cari latar belakang situasi yang agak terpencil untuk anda dan pendengar anda; di atas bukit, contohnya, atau di rumah ketika tiada sesiapa selain kalian. andai terpaksa, di dalam kereta sahaja juga boleh.

sila pastikan tidak ada bunyi2 dari frekuensi yang lebih tinggi dari suara anda; radio, television, orang potong rumput di depan rumah atau seumpamanya. anda benar2 perlu mencengkam fokus pendengar anda dalam tangan. sedikit gangguan akan membuat duktus airmata terberhenti, maka hati2.

sila pastikan anda melakukan latihan persendirian sebelum anda melaksanakan langkah ini. sebaik2nya, ambil video diri anda dan tonton kembali. anda perlu yakin dengan diri sendiri agar lakonan anda nampak jujur. peluk pendengar anda secepat mungkin atas dasar meminjam bahu untuk mengadu, kalau2 anda rasa hampir hendak pecah tembelang.

anda perlu berhabis-habisan untuk nampak benar2 hancur. anda tahu anda sudah berjaya, bila pendengar anda sama2 menangis lebur. nescaya pendengar itu akan mula percaya sama anda.

kemenangan: pasti.
pancing undi: blogger, livejournal, online diary.

nota tambahan: lebih efektif bila disulam dengan ngongoi pencerita sambil tersedu2 tidak cukup nafas.


2)
kata kunci: lantang
role model: ifa raziah

sampel:
"ingat aku takot!!"
"datang sini aaa cakap dairek kat aku!!"
"kau nak caye?? caye la!! aku tahu aku betul!! tuhan tahu aku betul!!"

jika airmata bukan senjata pilihan anda, sila pilih aplikasi ini. bersikap lantang dan lancang sememangnya akan menggoyahkan sesiapa sahaja yang mendengar. mereka akan mula mempersoalkan apa2 fakta kerana keberkesanan anda melenting atas kebiasaan 'berani kerana benar'.

ketika anda menggunakan teknik ini, adalah digalakkan untuk anda menggunakan ekspresi paling marah itu dengan kasta yang paling tinggi. jika anda jenisnya terlalu marah sehingga keluar airmata, lakukan. jika anda jenisnya terlalu marah sehingga memecah2 barang, dipersilakan.

tapi hati2. anda tidak mahu merimaskan / menakutkan pendengar anda. anda cuma mahu dia lihat anda seperti benar2 tidak salah.

sila pastikan anda mempunyai bakat mengeksploitasi kebenaran. contohnya, kalau benar anda mencuri kekasih orang pun, cuba pusingkan cerita itu sehingga kelihatan anda yang digoda terlebih dahulu.

kemenangan: pasti.
pancing undi: facebook, myspace

nota tambahan: lebih efektif bila anda dapat mengacah pendengar anda seolah2 anda hendak menghadap sesiapa sahaja ketika itu untuk menegakkan kebenaran.


3)
kata kunci: distraksi
role model: norman hakim

sampel:
"ok. aku mengaku. tapi aku tak seteruk andy. dia lagi la"
"aku faham aku salah. tapi kau tau, imah tu, pakai tudung macam baik, tapi dia lagi teruk"
"ye la. kalau aku, sampai jadi camni. kalau hana tu? hana pernah buat juga, takde pun korang brenwosh dia"


mengaku. mengaku. mengaku.
jangan takut. mengaku saja. anda perlu tahu, semua ini politik.

anda perlu mengaku supaya cerita yang mungkin akan berpanjangan dapat anda pendekkan dari memberi spotlight pada anda. majoriti manusia tidak mahu mengakui kesilapan sendiri. maka, bilamana anda menjadi antara yang sedikit itu, yang sudi mengaku salah itu, anda akan kelihatan seperti hero.

adalah amat penting untuk anda memastikan cerita2 baru yang bertujuan untuk melarikan fokus pendengar anda itu lebih berat / hebat dari kes anda. objektif anda di sini adalah untuk membuatkan pendengar (dan pendengar lain) hauskan pati gossip yang lebih terkini.

manusia sememangnya bernafas dengan fitnah.
ambil kesempatan itu.

anda harus tahu, gossip memerlukan tempohnya sendiri. jangan terlalu pantas menukar subjek fokus. biar kes anda perlahan2 tenggelam, jangan pula ditonyohpaksa ke dalam. dan pastikan cerita baru itu relevan. kita tidak mahu anda kelihatan tersangat mahu memberi distraksi. anda perlu sabar sedikit. kes anda akan reda sendiri.

sebagai tambahan, adalah terbaik kalau gossip baru itu adalah dari seseorang lain tentang pendengar anda. anda akan nampak seperti kawan yang baik hati yang jujur padanya.

kemenangan: bergantung pada keberkesanan gossip itu.
pancing undi: mana2 pautan internet.

nota tambahan: lebih efektif bila kes baru yang anda timbulkan itu adalah rahsia gelap seseorang yang tidak patut diketahui sesiapa.


4)
kata kunci: kuasa perikatan
role model: fazura dan cheryl samad

sampel:
"kau tak caya, kau tanya diana"
"aku tak peduli kalau kau tak mahu percaya. cukuplah nina tahu hal sebenar"
"ni linda. kau dok situ. dengar. linda, kau cerita"


anda tidak perlu ramai, pada peringkat awal. kalau pun cuma seorang, sudah memadai. kawan anda itu akan menjadi rujukan untuk kes anda. ajarkan dia ketiga2 teknik di atas. pastikan cerita anda dan pengikut anda sama dan selaras. didik mereka untuk kembali pada kamu untuk soalan2 yang masih belum dilatih, atau buat mereka jawab "kau tanya la dia sendiri. kesian aku tengok dia. entah la".

bila mana sudah ada penambahan pada ahli majlis, anda mesti selalu pamerkan rasa gratitud atau kesyukuran pada mereka. kahabarkan keuntungan kamu mempunyai kawan2 yang begitu setia, bagus, tidak mudah patah semangat, cintakan kebenaran, jujur, amanah, siddiq dan fatonah itu. bilang pada mereka yang kamu akan luluh tanpa mereka.

manusia gemar dipuji. tapi tolong jangan dilakukan dengan eksesif. akan terpancar kamu itu hanya buat2. bila hati mereka sudah kamu tawan, secara automatik, kawan2 anda itu akan melebarkan sayap mereka, dan menyebarkan fahaman anda. lafazkan ini pada mereka: "ish. takpe la wak.. cukuplah awak saja yang tahu kebenarannya".

kemenangan: pasti.
pancing undi: di mana mulut anda berada.

nota tambahan: lebih efektif bila anda fokuskan hidup anda buat sementara waktu dengan kawan2 yang ada. cerialah dan lagak seperti tidak ada apa2 yang mengganggu anda dan kawan2 anda. manusia keliling akan mula sangsi, kerana kawan2 anda kelihatannya sangat bahagia bersama anda.


5)
kata kunci: wajah baru
role model: saleem

sampel:
"saya menyesal"
"saya sumpah tidak mahu buat lagi"
"saya dah insaf"


yang ini, siapa tidak reti.
berlakon sajalah.

kemenangan: sangat lambat.
pancing undi: pegang sejadah.

------------------------------------

maka begitulah anak2. cara2 untuk mendapatkan kemenangan, bilamana kamu itu memang sudah jelas berada dalam kandang pesalah. ikutlah aturlangkah di atas, dan jika dilakukan dengan betul2 dan terancang, bukan sahaja anda menang, malah anda akan dipandang lebih tinggi pula.

cikgu faham anak2 memang dasar manusia hati busuk dan jahat, cuma anak2 masih tidak tahu bagaimana hendak meloloskan diri dari masyarakat bila kamu tertangkap, bukan? nah... ini antara caranya. semoga anak2 berjaya untuk sentiasa lepas dari hukuman dunia.

sayangnya, wahai anak2, hukuman tuhan pada kamu, atas apa yang telah kau lakukan pada makhluk2 tuhan, anak2 uruskan sendiri sajalah ya. tahniah kerana memilih untuk dilaknat malaikat pada terlangkahnya kaki engkau keluar dari kebenaran. tahniah kerana memilih untuk menggegar arasy dan menyembah iblis. tahniah kerana kau fikir kau sedang menang dengan tentera2 yang kau gabungkan untuk membela arus kau.

tahniah, sebab nasib kau baik, tangan aku terikat atas nama akal.
kalau tidak, sudah pasti aku datang rumah engkau, dan bantai kau.
sampai aku puas.

buatlah report polis.
aku nak tengok apa pulak hebah kau.

*terdiam*

op. maaf. cikgu lupa ini rancangan tv pendidikan sekolah rendah.
bahasa kasar, nanti menangis pula anak2 murid cikgu.

selamat malam, anak2~


amaran:
teknik2 di atas hanya boleh digunakan SEKALI seumur hidup. kekerapan mengaplikasi langkah2 di atas cuma akan mempamerkan betapa anda itu memang manusia putar alam, seterusnya mengukuhkan reputasi anda sebagai manusia hati cacar bermulut iblis.

Sunday, May 10, 2009

tiket 3 venus!!

mungkin ada yang menunggu2.
maka ini dia.

ini adalah pesanan wani ardy:

1) tiket 3 venus akan dijual by-hand sahaja. tiada tempahan yang diterima.

2) kaunter dibuka di acara Jom Bersama 3R. cari booth Tangga.

3) cuma 150 tiket akan dijual. setiapnya akan menerima cd yang dibikin khas untuk 3 venus, memuatkan satu lagu kompilasi ketiga2 gadis ini, selain dari lagu individu mereka.

4) informasi tapak kaunter.
capsquare KL
mei 17, 2009
9 pagi ke 3 petang
5) klik sini untuk lanjutan.

seperti biasa, saya pun suka menyelit2.
saya pun ada pesanan. hehehe.
ini saya punya mesej:

1) tolong jangan merusuh. wani baru baik dari cedera ragut.

2) saya pun haram tidak tahu mana nak cari capsquare tu. tanyalah wani.

3) jangan tempah kat saya. saya blur.

4) kalau rasa nak buku merah, cakap awal2. boleh standby.

sekian, terima kasih.
:)

Tuesday, May 5, 2009

ya. aku kinky.

dari dahulu lagi, aku memang agak kinky. bagi sesiapa yang tidak tahu apa itu kinky, dan bagi yang terlalu memahami apa maksud istilah itu, aku hendak jelaskan, perkataan 'kinky' bagi aku adalah spesifik merujuk pada sifat aku yang agak pelik: definisi seksi pada aku pada sesuatu yang nampak ganas.

uuu.
miaw!
(pinjam perkataan pjoe).

salah satu cabang kinky aku adalah memakai boots.
rau rau~

tapi untuk mencintai boots, seseorang itu harus kuat semangat. sedangkan memakai kasut tinggi sudah menyiksa betis, apa lagi bila seluruh kaki diikat ketat dengan material kulit secara seluruhnya. kaki tidak dapat bernafas, urat darah akan menjerit2 minta dilepas.

apa boleh buat,
beauty is pain.

keindahan dan penyiksaan selalu datang dalam pakej.

untuk masyarakat cina dahulu kala, para gadis perlu dari kecil membalut mati jari2 kakinya, sehingga terbantut tulang kaki itu dari membesar. lebih kecil saiz kasut seorang perempuan, lebih dikejar menjadi isteri.

bagi masyarakat terpencil di afrika, seorang perempuan yang dipinang akan dihantar ke rumah yang dibina jauh dari kampung, dibiar terkunci dalam bilik sempit untuk semata2 tidur, bangun dan makan cuma susu masam, keju, dadih dan produk2 tenusu tradisional, selama dua tiga bulan. lebih gemuk tubuhnya, lebih mahal harga hantaran.

soalannya:
apa harga menjadi indah itu, bagi lain2 individu?

seperti yang aku katakan di entri lepas, semua orang ada cerita sendiri. cindy mungkin akan dengan rela hati menyakitkan tubuh. rozi mungkin akan buat, dengan seranah maki penuh. mona mungkin akan migrasi dari budaya itu. maya mungkin akan berperang dengan ideologi sebegitu.

pakai boots memang sakit.
tapi janganlah depan orang sibuk nak khabarkan "sial punya boots. sakit, okay, kaki ai".
sebab kalau kau bisingkan itu depan orang, agaknya orang fikir apa dalam hati?

siapa suruh kau pakai.

tapi hari ini aku bukan bercakap tentang kasut.
atau fesyen.
ini cuma analogi bodoh2.

namun berasas.

kau sudah pilih untuk pakai boots. kau kena tanggung sakitnya. kau kena tahu jerihpedihnya. kau kena faham yang kau sudah buat keputusan untuk menerima hakikat memakai boots itu bukan langsung berjalan atas kusyen.

tolong mengerti orang lain yang nampak kool dengan boots sebenarnya tabah menghadap agoni yang diberikan boots.

kami pemakai fesyen ini, gagah mental dan fizikal.
kerana itu, kami nampak sangat santai dan seksi dengan gaya ini.
maka berhentilah mengandaikan senyum yang ditampal ini adalah kerana kami tidak merasa sakitnya.

kuatlah sikit.
tutup mulut.
tadi nak sangat.

bagi aku, tidak salah kalau di hadapan orang, kita pura2 nampak kool dan gembira. sedang bagaimana bergaduhtempik pun sama kekasih, nan datangnya rakyat lain, kita tiba2 sudah sengih2 dan ketawa. padahal tadi sudah hampir meluku kepala, tapi bila adanya orang, kita reti untuk menjaga tatasusila.

bukan hipokrasi. cuma jaga maruah sendiri.

tolong. jagalah aib engkau sama kekasih. celaka bagaimana pun perangai kekasih itu, tahanlah. usah jadi celaka juga. apa kau fikir orang suka dengar ceceh engkau? orang lain bergaduh juga, tapi tak seriuh engkau. dapat pula kekasih engkau itu kawan2 kita juga. kau nak kita buat apa? masuk campur? nanti kita sibuk, dua tiga hari, kau orang berbaik semula. yang kita2 ini? sudah tarik muka.

orang rimaslah dengan sikap kau ini, dik.
orang pening.
orang serabut.

untuk dilayan seperti puteri raja,
kau perlu lahir dengan darah raja.
okay?

banyak sangat drama!
boots sakit.
flip flop sakit.
sandal sakit.
kau nak apa??

aku pakai boots cantik, kau nak pakai,
aku ajar kau beli satu sebab kau sibuk nak try.
tapi dengan sifat drama kau ini, sekarang ini,
kau buat boots aku nampak jahat.
kau buat orang takut hendak pakai boots.
apa kau punya muslihat?

aku sayang boots aku, tahu tidak?
toksah pakai kasut lah, budak!

ps: melainkan anda faham entri ini bukan tentang kasut, harap jangan berikan respon cetek. tolong mengerti saya SUSAH hendak menulis tanpa kiasan. saya dah penat memberi penerangan. dan TIDAK, ini tidak ada kena mengena dengan isu pakai tudung ke, isu orang alim ke, isu agama ke, isu seks yang kinky dan melangkaui etika islamik ke, apa ke.

saya fynn jamal, melaporkan.
sekian.

Monday, May 4, 2009

kompromi kekasih sembunyi

pagi tadi, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, ada soalan dari pendengar fly.fm.

"kawan baik saya ada teman lelaki. minggu lepas teman lelaki kawan baik saya luahkan perasaan cintanya pada saya. saya tersangat suka. tiga tahun saya tidak ada teman lelaki kerana saya tersangat suka pada teman lelaki kawan baik saya.

oh.. apa saya patut buat...? oh...!"

aku jerit dalam kereta pada radio:
"pala hotak kau!"

kasihan radio itu.

serius la. kau biar betul tanya sedemikian soalan?
apakah kau terlalu kurang cerdik untuk bertanya sesuatu yang begitu jelas?
atau kau sebegitu sekali bodohnya untuk tidak menyedari kau sedang dalam denial?

macam, kau pakai baju celak hitam arang, ala2 gothic, dipadankan dengan baju kurung warna merah jambu, siap dengan tas tangan hello kitty, kemudian kau tanya "over tak?"

is that a trick question?

kalau aku bohong, kau mungkin akan sayang aku sebab beriya hendak menjaga hati kau.
ada mungkin juga kau akan anggap aku kaki bodek.
kalau aku cakap betul, kau mungkin akan sayang aku sebab aku jujur, tak seperti org lain.
ada mungkin juga kau akan anggap aku macam taik.

macammana jawapan yang kau hendak?

kita suka hendak tanya soalan obvious.
seperti:

1) bila terserempak dengan kawan2 rapat anda di panggung wayang, tanpa anda.
"eh, korang buat apa kat sini?"
kawan2 rapat anda sudah saling memandang.
canggung.

2) bila lihat kawan anda yang tak pernah tak makan di kopitiam setiap kali waktu makan tengah hari tiba2 makan dalam ofis sejak dua tiga hari lepas, dengan bekal dari rumah, dan itu adalah di tengah bulan.
"itu hari terlebih shopping ke?"
kamu sudahkan soalan dengan ketawa mengusik.
rupanya anda seorang yang ketawa.

3) kawan anda sedang menangis.
"sedih, ye?"
*ternganga mulut*
ow-kay.

panggilan pagi tadi betul2 buat aku rasa menyampah. ya. aku tahu cinta itu buta. cinta itu whatever. tapi kamonlah. fikir dengan akal dulu. rata2, jawapan yang diberi rakyat malaysia pada perempuan itu adalah:

(Aminah = kawan karib)
(Mamat = lelaki itu)
(Tongong = perempuan itu)

1) kalau mamat itu boleh buat apa yang dia buat pada aminah, apa tongong tidak fikir mamat itu boleh lakukan perkara yang sama padanya?

2) aminah lebih penting dari mamat.

3) mamat adalah lelaki tipikal yang tamak.

4) penantian tongong selama tiga tahun itu kebodohan yang nyata. sedikit romantik, tapi bodoh yang nyata.

kelakar juga. kerana ramai pemanggil yang memberi komen adalah lelaki. aku fikir perempuan yang akan ramai menceceh tentang perkara sebegini. ish. tak cukup lagi, kah untuk meyakinkan perempuan itu yang apa dia kejarkan itu memang dasar tidak bijak?

ok. anggapkan itu kisah cinta agung. yang memang hanya lelaki itu benar2 dimahukan. memang cinta sejati. yang lelaki itu sebenarnya hidup menjaga hati kekasihnya, padahal hatinya memang milik perempuan pemanggil itu. bagaimana?

apa akan aku katakan, cuma ini.
tunggu.

jauhkan diri.
biarkan lelaki itu tinggalkan teman wanitanya.
tunggu setahun dua lagi.
kalau memang ada jodoh, dan terjumpa semula, dan cinta benar2 masih ada;
yang lelaki itu masih menunggu perempuan itu,
yang perempuan itu masih menunggu lelaki itu,

maka sambut tangan dan pimpin berdua berjalan.

awak,
tiga tahun sudah tunggu, apa sangat setahun dua, kan?
takkan tidak boleh nanti?
kata cinta sejati?
kata cinta bawa mati?

haih...

aku sedih.
sedih sebab ramai kita hidup dalam penafian.
dalam denial yang obvious.
dalam silap yang kita benarkan.

berapa ramai kita2 yang mengizinkan diri menjadi yang kedua ketiga.
membiarkan hidup menjadi yang tersimpan.
membiarkan diri menjadi yang disembunyikan.
dan kita rasa agung dengan setiap pengorbanan yang kita berikan.

sampai bila, sayang?

awak sabarkan dengan percintaan sekadar di sms yang dihadkan pada masa2 tertentu, meredhakan jiwa dibelai cuma sesekali ada masa, tidak seperti kawan2 yang dipujuk sentiasa. awak hidup dipopok dengan prospek hidup bersama di masa hadapan; di suatu masa di mana anda bukan lagi perempuan simpanan, selepas wanita dalam hidupnya itu dilepaskan.

sampai bila.

aku tidak pelik kalau ada antara kita yang rasa iri sedikit pada kekasih kawan sendiri. ada masanya kita siap kata dalam hati, "ish kalau kau aku punya, tak mungkin kau dilayan begini". biasalah. sebab kita selalu nampak tempat orang lebih indah.

the grass is always greener on the other side.
cuba kau pindah.
tak sampai berapa hari, kau sedar, rumput belah tadi pula yang lagi cantik.
itu semua lighting.
angle semata2.

maaf kalau ada yang terpana dengan entri ini. aku tidak ajukan entri ini pada sesiapa. aku pun pernah menjadi manusia tamak haloba. tengok mana ia dah bawa aku. kehancuran dan kehinaan. jangan jadi macam aku.

orang tamak memang dapat banyak.
tapi itulah sekali engkau ada orang ajak.
lepas tu semua tak hendak.
sebab kau buruk lantak.

maka di situ datang rugi.
betul tidak?

seperti yang aku selalu salin tampal di puisitepijalan; soalan2 kehidupan seperti ini sudah terlalu jelas untuk dibincangkan. tapi ye lah. nama pun kehidupan. sejarah memang berulang. hidup pergi datang. balik2 jadi lagi.

tanya sama diri sendiri.
kau lebih tahu.

tidak ada salah betul dalam hal ini.
ya, kita ada garis panduan yang berlabel etika hidup, tapi sebenarnya, siapa yang layak kata awak salah, siapa yang layak kata awak betul, betul tidak?

mana ada seratus peratus kebenaran?

kau hidup dengan duit perempuan, contohnya, makan-minum-internet-baju-duitminyakmotor segala ditanggung beres.
bagi perempuan tu, kau bangsat pengikis.
bagi kau, dah perempuan itu nak bagi, habis..?

kau benci kekasih kuat todi, makan haram, ambil dadah; maka hari2 bergaduh, minta sekurang2nya dia berubah depan kawan2 kau.
bagi lelaki itu, kau memaksa dia menjadi hipokrit.
bagi kau, kenapa kekasih kau tidak faham kau sikit?

tidak ada semua itu.
kebenaran sesuci itu.
semua perkara ada manipulasi.
semua perkara ada regangan.
semua perkara ada kompromi.

sedangkan tuhan pun toleransi.
tidak ada air, wudhu' dengan tayammum.
tidak boleh berdiri, boleh solat bersimpuh.

cakap memang senang, kan?
apa lagi menulis.
dengan tidak ada sesiapa untuk kita pertimbangkan rasa.

entahlah.
cuma, aku nak tanya,

tak penat ke main tak nampak dengan kekasih yang sedang berpimpin tangan dengan juwita hati dia?