Saturday, June 28, 2008

tentang hidup baru yg mendatang

dunia ini sangat kelakar.
tuhan juga begitu menguji.
hidup ini boleh tahan memeningkan.
tapi harus kuat, harus gagah berdiri.

kan?

tidak salah, kan, mahu terus mengikat cinta walau baru bersua sebulan beberapa hari? tidak ada satu undang2 mengatakan lelaki yang lebih muda akan menghancurkan perkahwinannya dengan seorang isteri yang lebih tua, kan?

*diam*

pada hari performasi di DBP beberapa minggu lepas, aku telah melepaskan rasa harap pada semua. mengasingkan rasa mahu, pada kawan2 dan pada cinta2 yang aku pingin.

kerana hari itu, aku adalah manusia yg paling sendiri. semua memurakan kesibukan, memilih dunia lain selain aku yang sangat memerlukan.

tapi tidak pula aku benci mereka. cuma pasrah dan redha. maka terkeluarlah puisi "berbual tentang saya".

dan malam itu aku minta pada tuhan agar hati aku dibuka utk dunia.
kerana malam itu aku sudah benar2 penat.

dan esok paginya, dengan rasa yang lebih terbuka dan optimis, aku membalas bualan tri. dia bagai gerhana. ada, ada. lebih biasa, tiada. berbual tidak lama, tapi cukuplah.

2 mei, tri muncul lagi.
kali ini aku benar2 gembira. selama sebelum itu aku fikir dia masih di negeri orang. rupa2nya dia sudah pulang ke tanah malaya.

berbual dari jam 5 hingga 4 pagi. terima kasih yahoo messenger.

seminggu selepas itu, aku dikenalkan pada mama dan ayahnya.
beberapa hari selepas sebulan, kami diikat untuk dinikahkan.

*gelak*

aku tidak tahu apa mungkin ada kebahagiaan bercinta selepas bernikah. aku masih dalam proses mengenali tri. ada kurang 6 bulan lagi sebelum 1 januari 2009. semoga aku mampu hidup dengan manusia bernama hazrilfitri, sehingga mati.

*diam*

sudah mula bahagia di sungai dingin ini, dan langit memanggil2 aku kembali. menyoal aku apa ini bahagia aku cari. kejam. bila aku sudah melepaskan, kau mahu aku menghulur tangan.

apa aku ini mainan2?

*diam lagi*

terpulanglah. katalah aku sudah menjauh. berubah. lain.
aku tetap pecinta yang sama.
pemuisi gila yang dulu.
selalu.

*senyum*

sebenarnya abah tidak merestui ikatan ini. mana ada bapa yang sanggup mengizinkan anakandanya dikahwinkan pada seorang manusia asing yang tidak langsung dikenali? sebulan. cukupkah untuk mengikat? lelakinya lebih muda. mampukah menjaga anaknya? menatangnya seumpama dia?

malam itu aku tidur dengan airmata yang teruk. aku katakan aku sudah terlalu hancur dengan cinta2 kejam. sudah tidak mampu mahu mencuba2 rasa dengan lelaki yang tidak pernahnya ikhlas. aku kisahkan sunyi aku meski dikeliling penuh teman2 handai.

abah tetap diam. rasa takut terpancar pada wajahnya, tapi bibirnya mengatakan dia tidak mahu peduli lagi apa mahu jadi. seperti tersinggung kerana aku terlalu melulu.

aku katakan "abah takut? angah lagi takut. ini hidup angah. tunggang terbalik, tanggungjawab angah. tapi kalaulah ada waktunya angah minta abah berdiri di belakang angah utk menjaga tulang belakang angah, inilah masanya"

esok tengah harinya, sebelum tri dan keluarga tiba, aku bertemu tuhan dalam keadaan yang paling merendah diri. menyembahkan rasa hina dan malu untuk meminta. yang aku doakan cuma kelapangan. andai tri itu jodoh aku, moga dipermudahkan. andai tidak, selesaikan.

saat tri langkah kakinya ke rumah aku, jantung aku sudah mula mau roboh. makan semua tidak berapa selera. takut dengan haji jamalludin. aku, tri, mama dan ayahnya juga.

selesai makan, tri mengasing diri bersama ayahanda aku di hujung rumah. berbual lelaki sama lelaki. dia berikan gerakan mata pada aku.

pandangan takut. pandangan gagah. pandangan redha. pandangan penuh harap.
kecamuk semuanya.

dari jauh, aku lihat abah diam tidak berbicara. cuma tri sibuk berkata2. pelik. tri bukan manusia membuka bibir. dia terlalu pendiam.

selepas beberapa detik, aku nampak abah menahan airmatanya. senyum dan lebih lega.
dari situ aku tahu semuanya akan menjadi lebih baik.

*diam*

tri,
kita akan dinikahkan!

percaya tidak?
haha.
gelak kuat2.

Tuesday, June 24, 2008

selamat tinggal, ranap.

aku hilang beberapa minggu atas dasar kerja bersama the hoppers. menjelajah seluruh malaya. maka aku hilang dari alam maya.

dan dia yang aku baru kenal tidak lebih sebulan setengah terus datang membawa ayahanda bondanya ke rumah.

meminta izin untuk menjadikan aku suri hidupnya,
sehingga mati.

dan aku yang sudah pun melabuhkan birai memandang matahari terus menoleh padanya. tersenyum.

mungkin ada cerita cinta selepas ijab kabul dalam zaman myspace ini.

assalamualaikum, tri.
aku manusia biasa2.
tapi aku hebat di dapur.

janji mahu petik gitar hari2?

Monday, June 9, 2008

Politikus Mondok 2

Cakap memang senang.

Dulu sebelum dapat kereta, berjanji mahu belajar bersungguh-sungguh. Akan beri bangga pada ayahanda. Mahu disenarai menjadi tentera Dekan. Menabur bintang pada langit kosong. Segala.


Hari graduasi, cgpa murahan. Sekadar 2.6.


“Salah pensyarah yang anak dara tua itu. Tiada yang skor dalam kelasnya”
“Batch saya memang ramai cgpa sama”
“Universiti ini sangat tinggi standardnya, maka pemarkahan memang membunuh”

Hmm…

Dulu sebelum dapat kerja, berjanji mahu tekun dan anti malas. Tidak mahu jadi seperti kakak-kakak Tipah dan Bedah di kubikel sana yang sibuk bercerita tentang suami kaki perempuan dan kuat tidur. Mahu jadi orang moden yang workaholik. Ingin beli rumah pada usia 27 tahun. Segala.

Sekarang, jam 9 sudah pergi sarapan, selang dua jam keluar makan tengah hari, pukul 3 kopi-kopi. Setiapnya, tidak kurang dari 45 minit.

“Kerja lama-lama bukan dibayar setimpal pun”
“Aku macam keldai, orang Cina juga untung”
“Kau muda, kaulah buat kerja. Jangan jadi aku. Kerja lama2 pun bukan naik pangkat”

Okay...

Dulu sebelum dapat jadikan suri, berjanji mahu lafaz cinta setiap pagi sebelum berus gigi. Bulan mahu dipetik untuk digantung ke siling bilik. Susu anak biar dia yang bancuh, pinggan basuh nanti berselang tugas. Gaji milik bersama, setiap semua atas nama cinta. Segala.

Tadi, ketika sedang makan tengahari, awek nasi kerabu itu akhirnya menyerah nombor telefon. Dan sang suami itu sekarang ini sedang berkira-kira apa mahu di'sms'kan.


“Alah… saja-saja”

“Bukan buat apa pun”

“Laku juga aku ye?”


Haih.


Cakap itu seperti air. Yang malang adalah mangsanya. (Tapi tidak boleh dikata juga). Siapa suruh percaya? (Habis, tersangat ikhlas bunyinya).

Itu memang mediumnya!
Ini zaman internet. Ikhlas itu sesuatu yang sangat ideologis. Kamu idiotik kalau fikir kemuliaan sehebat itu masih melata di antara kita-kita.

Ada, tapi seperti lailatul-qadr. Kita sendiri tidak pasti apa itu bendanya waima tersembul di depan mata.


Perasaan yang sama hinggap di tangkai jiwa ketika saya baca Harian Metro Februari ke 19 ini. Bilamana terpandang quote Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan jika diberi peluang memerintah, Pas akan membenarkan amalan demontrasi jalanan sesuai dengan konsep demokrasi yang dilaungkan kerajaan ketika ini, termasuk membenarkan bantahan rakyat seperti perhimpunan haram anjuran Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf).


*Gelak besar*


Maaf, saya tidak patut beri reaksi sedemikian.


Siapa pernah pergi demonstrasi? Pernahkah ada demonstrasi yang tenang?

Kamu rasa ia sedamai “Hello, kawan-kawan. Kamu sudah makan?” semata?


Saya pernah terperangkap dalam bangunan UOAII kerana ada demonstrasi di KLCC dua tahun lepas. Pintu masuk utama ditutup, terpaksa berasak-asak ke pintu belakang. Kereta berkilometer terperangkap demi untuk mendengar seorang kepala dengan pembesar suara berkhutbah, bersahut-sahut sang fanatik yang berhimpit-himpit.


Kalaulah barisan-barisan itu memerisai bangsa dan negara kita, pasti berkerincing tulang musuh-musuh yang mahu memecahkan kita.


Kalaulah mereka-mereka itu menembok hak-hak kita yang dicabul pengkhianat laknat, alangkah merdekanya jiwa kita.


Bukankah makan vitamin hari-hari lebih baik dari makan antibiotik ketika demam?


Sama konsepnya seperti memandu perlahan lebih efektif berbanding mengeluar wang membetulkan kangaroo bar yang sompek.


Mencegah itu lebih mudah dari mengubat.


Cakap cakap cakap.

Semua orang sibuk menjual harapan.


Kalau itu, kalau ini.

Turun harga itu.

Naiktaraf orang ini.


Kerajaan ke bukan kerajaan ke. Asal nama manusia, semua bijak bercakap.
Jual harapan kosong.

Yang ranap, kita juga.
Orang kelas bawahan.
Yang siksa membayar RM 6 sekali makan.

Teringat aku masa mengajar anak2 menteri di sekolah swasta itu. Makanan kantin paling murah RM 8! Siap ada jual lamb chop di tengah2 hari waktu kantin.

Aku yang cikgu2?
Bawak bekal dalam mangkuk tingkat besi.

Aduh.
Perit!

Kalau cakap-cakap boleh menaikkan saya dari seorang sisawazah tua kepada manusia berpengaruh di Malaysia, saya juga mahu jadi calon!

Undilah saya. Harga minyak pasti akan turun. Ini janji saya.

Peduli apa sama harga minyak sedunia.


Ini cakap saya, saya pasti akan kota.

Setiap undi akan dicaj 50 sen.

Thursday, June 5, 2008

Surat untuk awak.

Hai awak. Sedang apa? Sudah makan? Kenyang? Sedap tak? Mesti sedap, kan?

Saya makan nasi dengan ayam tadi. Sayur cuma timun, kerana percuma. Cuba awak teka berapa ringgit. Oh, tidak teruk sangat. RM 4.80 termasuk air suam. Okaylah. Kenyang.

Awak mesti berada dalam keadaan yang paling seronok, kan? Kalau pun runsing, sedikit2 saja. Tidak lah sekalut saya di sini. Yang baru membakar wang hampir 75 ringgit untuk menghilang dahaga kelisa merah saya. Okaylah. Alah, dulu pun 50 ringgit untuk kasi kenyang. Apa sangat 25 ringgit beza.

Awak seronok di rumah baru? Sudah berapa tahun ya? Tak sampai 8 tahun lagi. Rumah baru cantik? Mestilah. Kalau bukan tuan rumah dulu yang membinakan, pasti awak masih di kuarters kerajaan biasa2 kan?

Awak, sembahyang masih penuh? Doa masih banyak? Baguslah. Awak memang alim. Itu yang semua orang jatuh cinta pada awak, kan? Kerana awak ikhlas solat depan semua orang, ikhlas memberitahu semua orang tentang salasilah keluarga awak yang juga alim2 seperti awak. Mesti awak masuk syurga, kan? Sebab awak orang baik.

Kan?

Seronok, kan, jadi awak? Yelah, dari dulu awak memang orang yang tenang dan aman. Sejuk mata orang memandang. Awak hebat. Zaman sekarang mana ada orang baik macam awak. Awak benci keduniaan. Awak tidak suka orang tidak amanah. Awak cuba yang terbaik menjadi yang paling Islamik. Awak sangat membanggakan ummah. Semua orang patut jadi awak.

Kan?

Cuma saya tulis surat ini untuk memberitahu awak, saya sudah penat sama awak.
Maaf kerana saya sudah tidak tahu bagaimana untuk tidak membandingkan awak dengan si dia sebelum awak.

Awak,
Jujur dan ikhlas saya katakan, saya cuba untuk terima awak seadanya. Saya berjerih mahu mencintai awak sebagaimana seluruh dunia gembira sama awak. Saya tidak mampu, awak... Apakah saya buta?

Dia yang dulu lebih mengamankan jiwa saya. Ya, banyak hinanya dia itu pada ramai. Tapi di belakang semua sifatnya, dia tetap yang terbaik. Berpeluh darah memberi yang terhebat. Awak, dia dalam hati saya, tak mampu saya keluarkan. Tidak ada ingin hati saya melepaskan dia pergi, awak. Saya tidak tahu kenapa.

Pukul saya, awak. Tampar saya. Tangkap saya dan penjarakan 1000 tahun. Saya tetap tidak bisa menerima awak.

Kenapa? Arh. Susahlah mahu terangkan.

Mungkin sebab awak kurang pendidikan menyetara dunia dan akhirat. Awak abaikan hak saya dan bakal anak2 saya untuk sentosa atas muka bumi. Mungkin bukan awak sengaja. Ya, saya faham, tidak semua mampu berfikir dengan bijaksana. Mungkin juga saya kejam kerana tidak memberi tempoh yang lama untuk mengenali isi hati awak.

Tapi saya sudah penat.

Awak, kalau terlalu membuang dunia pun salah tau... Tuhan bilang, "kerja bagai akan hidup 1000 tahun, beramal seolah akan mati di pagi esok". Awak kejar sangat hari pengadilan, tidak salah. Tapi awak kan ada tanggungjawab pada saya dan masa depan saya?

Ahli perempuan dalam keluarga awak pun gagal memakai tudung, kan...
Awak mahu masuk syurga seorang, ya...?

Tadi masa makan, saya nampak seorang makcik dengan duit kertas berwarna merah. Baju kelawar dia yang berwarna kuning itu sangat terang, mata saya yang selalu menyibuk ini mencuri pandang. Dia minta abang kedai nasi itu berikan dia tiga bungkus. Saya teka itu untuk keluarganya. Terus, macam saya juga kebiasaan di kedai makan selesai memberi tempahan, dia bertanya, "berapa?".

"lima belas, lapan puluh sen. lima belas sudah la, kak"

Awak tahu tak, kakak itu terus cakap, "tak perlu sayur, dik. dan nasi pun tak perlu. genapkan sepuluh la, dik. apa yang dapat?"

Awak, kalaulah saya ada duit, saya nak cicirkan di selipar dia. Biar dia dapat rezeki terpijak. Tapi saya pun tidak ada wang. Saya sedang nazak di kocek. Dan bukan saya seorang, beribu2 lagi kawan2 di tgh bandar seumpama saya sedang menghadap masalah yang sama.

Saya pun mahu masuk syurga...

Awak, saya tahu awak sayang saya dan masa hadapan yang mendatang. Saya tahu awak sedang bergelut memberi yang terbaik. Tapi maaf, sayang, tidak cukup.

Sekarang saya takut. Masa hadapan tidak lagi tersergam. Ia kini datang dengan muka menggerutu dan kelam. Awak, kerana awak, saya tidak mahu ada anak. Tidak hendak ada keluarga.

Awak kejam.

Ya, bukan salah awak dunia ini berputar mengikut kehendaknya. Tapikan, awak sudah bersumpah mahu menjaga saya dan bakal anak cicit saya. Awak pembohong. Awak jahat.

Saya benci awak.

Kalau saya tahu, tidak mungkin saya lepaskan cinta saya yang dulu. Biar dia meringkuk mati depan mata saya, tapi jiwa saya tenteram. Biar orang tuduh saya pentingkan diri sendiri, tapi saya aman.

Awak, saya memang benci orang macam awak.
Tak boleh pakai.

Awak macam lebai malang.
ayam jaguh diambil orang, kampung semua habis tergadai.

Terima kasih banyak, awak. Di tangan awak yang kurang membaca itu, negeri2 kita banyak terlelong, rakyat mula hidup memerah darah, kaum2 mengepal tangan menahan dari berbunuh2.

Lain kali, ketika baca Quran, cuba awak baca surah Al-'Alaq.
iqra', awak.
Baca. Baca. Baca.

Jadi orang pandai.

Salam dari jauh, salam selamat tinggal,
awak sudah hilang satu peminat.

fynnjamal.

Tuesday, June 3, 2008

berbual dengan jiwa

assalamualaikum, jiwa.

dengar cerita kau sedang tidak lepas dari senyum. apa khabar engkau? berada di langit? sedang pelangi dalam setiap detak rasa? hey, apa sebenar suara hati kamu sejak awal bulan bermula?

berani benar engkau melangkah. apa jauh engkau renungkan sudah? habis rela untuk memasrah?
haih, jiwa... jiwa...

sungguh engkau si tongong mengejar cinta.

tidak... bukan aku marah engkau mengangkat kaki. tidak mungkin juga aku paksa engkau tunggu2 matahari yang tidak pernah sudi. tapi apa engkau benar2 selesai berfikir tentang ini?

jiwa, engkau itu sudah ronyok. membuka depang tangan kamu bererti kehancuran yang maha, nan terjadi sekian kali. engkau berani melebar rangkul dan mengharap lagi bangkai bernama cinta ini?

bagaimana kalau rosak lagi?
bagaimana kalau teracik lagi?
bagaimana kalau dihenyak lagi?
bagaimana kalau terjadi lagi?

jiwa menyahut:
haruskah aku bersetia pada satu imaginasi? bila suatu yang terlalu indah itu, yang realiti itu, sudah berdiri menghulur jemari, meminta izin membawa aku pergi?

jiwa, kau sudah penat, kan? bagus. maka kenapa harus kau paling dan masuk kembali ke sangkar harimau itu? sudah lupa engkau itu teranap kerana harap? menanti pada rasa yang mati?

cinta tidak pernah ada untuk seorang engkau, bodoh.

jiwa senyum lalu membalas:
kalau ini bukan sangkar harimau?
ada mungkin tidak ini syurga firdaus?
kalau iya, bukankah pasti aku akan meruntun rugi?

jiwa hai jiwa.
sungguh engkau ini mahu mati.

dengan tunduk, jiwa menjawab lagi:
dan andai benar ini akan menghancurkan,
biar aku mati dengan senyum,
kerana aku ini pecinta, wahai fynnjamal.

dan jiwa ini sedang bahagia.

dengan pemuzik itu, yang hari2 bernyanyi lagu halus di dalam hati.
dengan penyair itu, yang cuma reti berpuisi dengan mata sunyi.
dengan pecinta itu, yang tidak langsung tahu berbicara.
dengan si dia itu, meski cuma aku seorang yang rasa.

*menung*

jiwa,
diamkan. cinta dari jauh itu lebih tinggi.
yang kalau kau hebahkan, ada mungkin tidak menjadi.
kerana engkau si gila yang cintakan dunianya.
kerana engkau ditakdirkan bersunyi tanpa mata semua.

jiwa,
senyumlah.

aku izinkan.