Thursday, February 7, 2008

kisah jamal dan aya

jamal anak yatim dari umurnya baru mahu masuh darjah 2. ketika bapanya mati, adik bongsu masih lagi dalam buai. emaknya jadi janda muda, dan tak pernah menerima pinangan orang walau apa pun badai memaksa.

dari kecil, jamal menjadi bapa dalam keluarga. keadaan memaksa jiwa kecilnya matang sebelum usia. belajar selagi mampu semata untuk membantu sang bunda. tapi bagaimana mahu belajar, kalau di awal umur sudah menolong emak bekerja? menjaga adik? merebus ubi? menanak nasi? mengemas rumah? menjadi segalanya ketika sang emak menggesek bilah menoreh getah.

jamal membesar dengan gagah. menjadi askar dan dengan kelebihan ilmu sedikit, berjaya dia menjadi pegawai perubatan untuk perajurit. gajinya kecil, 120 ringgit untuk keluarganya yang empat orang itu.

dia sedar, emaknya isteri kedua, hidup menumpang di tanah orang. mereka orang miskin, persis kisah2 p ramlee yang ditonton ketika hujung minggu.

maka 100 ringgit buta2 diberi pada emaknya. hanya 20 untuk dirinya.

dia tak kalih lagi membiar rumah seperti reban diduduk mereka. jamal mahu emaknya mengambil semula adik keduanya dari rumah orang. jamal mahu emaknya masukkan adik bonsunya sekolah kemahiran.

jamal sudah terlalu tua dari usianya.

pernah, jamal bercinta dengan gadis dari utara, sudah mahu kahwin. bila diperkenalkan, emaknya kata "ini parang. kau pilih perempuan itu, kau parang aku".

jamal senyum, dia kata, "amal gurau saja mak. kita takkan cari orang jauh dari muar ini lah"

bertahun juga jamal sendiri. takut terluka lagi hati emaknya. dia tahu, sang bunda itu takut anak lelaki tunggalnya, harapannya akan terjauh bilamana hadir seorang isteri. tidak pelik. kalau tanggang sanggup memberi kaki pada bundanya, apa lagi kisah2 biasa.

satu hari, setelah bertahun, jamal terjumpa seorang lagi. jururawat nakal peramah manja. hati terpaut, rasa cinta terus terikat mati. ditanya2, anak orang di kampung sebelah. jamal suka. jamal rasa gembira. "emak pasti terima cinta amal kali ini".

emak jamal datang ke berek askar di suatu waktu itu, kebetulan ada majlis kahwin di johor bahru. dari muar lagi emak jamal sudah berkira2 mahu ke berek. saudara jamal bergurau sama dia, tentang bermenantu. emak jamal takut. kalau dijolok sarang emas, mati. "aku orang miskin".

sampai sana, emak jamal suruh jamal bawa dia ke asrama jururawat, mencari gadis bernama Aya.

"anak siapa?" terus. tiada silu.
"anak saodah"
"orang besar?"
"saodah orang biasa"

emak jamal lega.

yang emak jamal tidak tahu, Aya anak penghulu kampung. orang kaya. orang bugis harta melimpah. adik beradik semua belajar di luar negara. cuma dia yang masih di tanah melayu, belum mahu pergi lagi.

"saodah orang biasa. majid yang tidak".
Aya takut bercerita.

hari pinangan datang, emak jamal hampir rebah melihat rumah Aya. sudah mahu patah balik, tapi mengenang Aya yang gemalai dan pekerti, jamal yang sudah lama bersabar dengan diri, emak jamal tegar juga.

ini bukan Antara Dua Darjat, atau Penarek Becha.

bersimpuh, melafaz hajat, air mata mahu mengalir diseka2. malunya, hanya tuhan saja tahu. rumah menyergam nak dibanding dengan rebannya yang tak setara dengan anjung pun.

penghulu majid bukan tidak suka. tapi dia sudah ada acara untuk setiap anaknya. dan Aya ini anak yang paling disayang. Aya nak yang paling mendengar kata, yang paling manja, yang paling nakal, yang paling manis. kenapa Aya?

lalu dikiaskan: "boleh. hantaran serba berdiri. duit kahwin 5 ribu. berarak dari kampung kamu ke rumah kita. tempoh sampai tengah tahun"

emak jamal senyum. mengerti. 5 ribu? paling mahal pun masa itu seribu suku. lima ribu??

sampai di rumah, jamal nyaris ditetak emaknya.
"kau bunuh saja aku, jamal. kamu kasi aku malu! kau anak tak tahu segan!"

jamal senyum dengan airmata dilinang sengaja.
"terima saja, mak. amal carilah nanti."

sejak itu jamal tidak tidur. ada saja kerjanya. dia sudah biasa, si jamal itu, bersusah dan berperah keringat.

penghulu majid masih tidak percaya pada hari persandingan mereka. dia kunci diri dalam biliknya. kenapa? Aya bisa miliki apa saja pulang dari amerika nanti. mcm kakaknya. kenapa seawal itu mahu disiakan hidupnya? dari kecil dimewah, kenapa hidup yang biasa dicarinya?

jamal dan Aya, cantik berpakaian pengantin, selesai berarak, segala pencak silat sudah hampir tamat. tiba masa bergambar keluarga. tapi sang ayah tiada.

jamal dan Aya, masih berpakaian pengantin, di depan pintu, mengetuk2 dengan manis dan memujuk. "keluar ya abah..."

hampir dua jam juga baru keluar orang tua itu. gambar yang jelas tak ikhlas, tak dipedulikan, yang penting jamal senyum, Aya pun senyum.

"sikit2lah"

selepas kahwin tetap tidak mendapat cinta sang ayah. jamal tetap menunjuk kasih. benar, hidup serba kurang, dibanding dengan apa yang biasa, tapi Aya bahagia, malah jauh lebih gembira dari adik beradiknya yang tersalut mutiara berlian segala.

setahun selepas, jamal dan Aya dikunjung cahaya. anak sulung lelaki, mereka gembira. penghulu majid buat pertama kali, di hari itu, senyum pada jamal, minta mengelek anak kecil yang dipangku.

dan tiba2, mereka sudah berbual seperti biasa.

jamal minta diri mahu ke dalam sebentar. pintu ditutup perlahan, dia menangis di belakangnya setelah bertahun menyimpan penat di dalam dada.

kerana kisah ini, anak itu, mohd affie reza itu menjadi permata di hati semua.
menjadi segalanya.
terutama.

dan lahirnya aku dalam bayang2 yang dicipta tuhan atas nama dugaan bunda dan ayahanda.
aku wujud dalam kabus, mencari wajah sendiri, berdikari.
keberadaan yang samar.
kewujudan yang tak disedar.

lagi, kau mau tanya kenapa posesi?
kerana aku tidak punya apa untuk membuktikan aku ini ada.
untuk sesorang mengingat aku bila aku tiada.

kau mau tau kenapa aku tidak reti beramai?
kerana aku mau mata kamu melihat aku.
sebagai satu.
sebagaimana aku kagum pada kamu.
sebagai satu.

aku sudah penat hidup menjadi awan.

9 comments:

Hanafiah Ghazali said...

fynn,
sampaikan salam saya pada si jamal. katakan padanya saya anak muda besarnya di kota amat kagum dengan semangatnya, juga pada anak gadisnya. dan pada aya, bisikkan dalam mimpi kamu, dia punya anak gadis elok sepertinya. cuma dia dalam gundah celaru.

haneejane said...

fynn, jamal itu lebih kurang macam kassim. anak sulung. punya adik perempuan. emaknya kurang siuman dek perbuatan dengki orang yang cintakannya. ayahnya tok guru meninggal di usia kassim 16 tahun. bagaimana harus sekolah? jaga adik yg kecil? jaga ibu yang sakit?

akhirnya kassim bertemu zubaidah. hampir lari ke singapura kerana ada orang merisik zubaidah. dan zubaidah pun hampir ikut lari si kassim kerana cinta tak berbelah bagi.

cinta yang menebal, maka lahir 6 cahaya cinta. yang bongsu namanya hanee.yang manja. yang nakal. yang periang. tapi sebenarnya gundah. sakit di dalam. luka di hati. tapi kita manusia. semua itu dirasai.

tahniah fynn.

Nasrul Hakim said...

ganas btul ur granma..

iqanabeera said...

mm. hiba mendengar kisah kak fynn.

Anonymous said...

kita berhenti jadi awan. kita jadi bulan. bila ada rasa biasa. nanti tak ada org mula bercerita. :)

Fynn Jamal said...

sahabat2:

terima kasih.
jujur kisah ini, saya cuma pencerita.

semoga kalian sukakan kisah ibu2 dan bapa saya spt saya.

Farah Rosni said...

cerita benar. cinta yg telus.

TS said...

Biar kisah ini mendewasakan kita..
Dan jangan biarkan secebis kata nista menghancurkan semangat dan perjuangan kita..

All da best kak fynn..

ciema said...

Fynn...upa2nya affy anak manje bapak yer...patotlaaa rapat je ngn ayah dia...