Thursday, July 9, 2009

politik bas sekolah dan perihal lalat di siling

sekali lagi, terpaksa aku batalkan janji performasi.
sialan.

sabtu ini ada hari graduasi di tempat aku membebel.
tanpa perlu dihairankan, setiap tenaga kerja sudah dilincirkan untuk kerahan peluh bermula petang tadi sehingga malam sabtu tersebut.

sakit hati.
kerana hati aku sihat bila aku panjat pentas.
sakit jiwa.
kerana jiwa aku sihat bila berpuisi tiga empat das.

op. jangan penyek dahulu, wahai ruh.
cari manisnya.

*pejam mata, mencari berkatnya*
ok.
ini bagus juga.

bagus demi sesuatu yang digelarkan bonding -dalam bahasa inggeris; silaturrahim -dalam bahasa arab; dan suaikenal -dalam bahasa melayu.

kerja sudah lebih 3 bulan, tapi aku masih lagi biasan samar2 di pejabat. ada yang tidak ada. tidak ada yang ada. bukan hipokrasi menjadi manusia pendiam, tapi strategi politik kecil2an yang terbukti berkesan sejak ratusan tahun amalannya.

semakin engkau lalat di siling tinggi, semakin engkau boleh tumpang penyaman udara pejabat.
semakin engkau lipas di celah rak sana, semakin engkau boleh kecek berkatil fail terbiar karat.
semakin engkau tidak relevan, semakin besar nisbah jangkahayat engkau,
wahai hadirin dan hadirat.

kerana bilamana engkau menjadi pena berdakwat emas sekali pun,
akan ada harinya engkau kosong tidak membunting tinta.
kerana bilamana engkau menjadi pengepil kertas edisi khas sekali pun,
akan ada harinya engkau jahanam tidak memfungsi apa.
kerana bilamana hari2 itu datang,
jelas, engkau perlu diganti demi kepentingan sang mereka2.

tapi akal bukan di lutut.
dan tulisan ini aku sengaja bikin serabut.
apa aku sinis atau terus,
apa aku terang atau kabus.

eh. tidak aku hendak menulis tentang politik. tahniah kerana mengembalikan melayu dalam ilmu2 sekolah. selamat maju jaya untuk anak2 yang sedang pening disorang kiri-kanan sampai muntah. semoga kuat semangat pada cikgu2 seperti aku yang tersenyum mengenang masa privasi yang sedang melambai pergi demi mendidik perkara yang sama dididik dari tadika sehingga paras universiti.

i AM bukan i IS!!!
TIDAK wujud CUTTED dalam kamus!!!
ek-ttu-wer-li; bukan EKCHELLI!!!

*diam*

ok, aku bohong bab menengking itu.
semua anak murid aku tahu aku jenis cikgu badut.
aku lagi seronok menjawab soalan mika2 yang tidak faham.
setara dengan tahunya mereka aku ini singa kebulur perut.
khas pada mereka yang kaki mengekeh pada mika2 tersebut yang tidak faham.

what can i say.
i love my job.
:)

beberapa hari lepas, dalam seminggu jaraknya dari hari ini, ada yang terjah ke salah satu petempatan koloni jajahan aku di alam maya ini. bukan salah dia menerpa dan terus melompat ke arah pistol panas untuk menembak kepala aku di antara dua kening ini.

cuma agaknya dia lupa, kebarangkalian untuk sasaran tepat dalam situasi2 gelabah begitu adalah sangat rendah; melainkan dia itu benar2 seorang mahaguru di lapang sasar.

yang mana dia tidak.

*terdiam, lalu gelak kecil sambil menggeleng2 kepala*

aku tidak faham.
serius, aku tidak boleh telan konsep "lain fahaman, putus kawan" ini.

ada sekali itu, di usia aku masih sekolahan, abah pulang dari rutinnya memandu budak2 ke rumah ilmu dengan bas kuningnya. suatu yang ruji juga, kami anak-beranak suka bercerita tentang apa saja. abah buka mulut: tadi abang nafi cakap sama abah, dia tidak boleh kawan sama abah lagi.

abang nafi bawa bas sekolah juga. antara kawan rapat abah dalam arena kenderaan besar berwarna mata telur ini.

"kenapa?" aku tanya.
takjub. aku fikir anak sekolah sahaja bertekakgaduh.

"dia kata: pak din, mulai sekarang, kita sudah tidak boleh kawan. pak din orang BN, saya orang PAS. kita tidak sehaluan" abah aku senyum dengan kadar yang sangat sedikit, mengerling aku.

"biar betul?" aku kata.
"biar aja..." kata dia.

hoi. jangan terus bising aku julang siapa. aku tidak menuding yang ini kafir, yang ini permata. itu tidak penting. kita bukan bicara tentang kumpulan.

mana ada seluruh pangsa pisang molek semuanya? mana mungkin setiap ahli keluarga syed sharifah terpelihara kehormatannya? mana mungkin semua pak imam di masjid masuk syurga? mana logik semua lelaki sama? atau perempuan, atas tuduhan yang serupa?

perkataan 'semua' itu selalu dipakai salah, kan?
:)

manusia itu, yang tiba2 itu, mampir lalu bersinis tentang berapa bayaran aku menjeritpanggil menaiksemangat orang2 radikal. aku ditepek jahil agama dan seumpamanya. nasib dia baik, pada hari aku baca tulisannya itu, paginya telah penuh dengan gelak ketawa aku dan tri; bermakna aku terlalu ceria untuk mengambil pusing sesuatu yang sebegitu enteng.

tidak apalah. jahil agama, boleh belajar.

benar. kita adalah siapa teman2 kita. tapi siapa mereka tidak ditentukan, op, aku perbetul, tidak SEPATUTNYA ditentukan oleh fahaman politiknya. kerana politik bukan agama. fahaman politik tidak pegun. berubah2. selari dengan dengan penggantian ketuanya, dengan anjakan objektifnya, dengan kematangan jiwa sang pengikutnya, dengan macam2 alasan yang ada.

tuhan jadikan kita berkabilah dan berbilang, untuk berkenal.
li ta'arafu.
bertaaruf.
bukan untuk mencari si lemah demi merasa selesa tentang diri sendiri.

seperti perempuan hot suka bertemankan kawan yang jauh tidak hot.
seperti mendapat nombor satu di dalam kelas paling corot.
seperti membanting junior di tandas sebagaimana dia dibanting bapanya yang kaki mabuk di rumah.

the real victim in bullying is always the bully.
mangsa buli sebenarnya jauh lebih kental dari sang buli.

wahai kaum2 yang terjebak dalam arena mendidik ini, kalau ini bukan lauk engkau, minta ke restoran sebelah sana. aku mengerti bagaimana renyuknya melihat hasil peluh engkau tidak ke mana. aku layak mengangguk setuju ditercariknya perasaan menyaksikan tenaga masa engkau terbeku di takuk lama.

tapi sememangnya, itu engkau.
dan sememangnya engkau perlu melampu menyilau.
tekunlah kalau jujur engkau sudi.
datangkan dari ikhlas hati.

kau sendiri tahu ibaratnya solat dengan merungut,
dilempar bagai perca buruk tak dipungut.

fikir begini,
engkau beriya2lah melompat menonggeng demi memberi faham pada anak2 murid engkau.
kalau memang sudah tidak dimahukan, hendak dikata apa.
tidak semua suapan dikunyah. ada sekadar dikemam. ada semata diludah.

ah.

aku tahu kalian tahu ini semua polemik yang epidemik. ramai kita takut untuk berseorang. jadi kita wajibkan diri untuk dijangkit demi mengelak perasaan terasing dan pelik. bagai kemestian, setiap kita perlu tahu sesuatu untuk menyumbang sesuatu dalam bual2 kopi di pagi2 hari sambil menderu angin nikotin sebelum masuk pejabat.

---
macam isu lagu ruth sahanaya: mungkin hanya tuhan yang tahu segalanya.

"tu haram tu! nak jadi kafir la tu nyanyi gitu"
eleh.
orang guna point tu, sibuk nak pakai point tu.

siapa yang hendak bergaduh sama aku tentang lirik itu, mari sini.
aku hendak ajar syntax dan semantics.

---
macam isu perkataan 'maha': hanya tuhan dan konsep2 ketuhanan boleh pakai perkataan maha.

"depa ingat depa raja, depa bulih nak samakan taraf dengan tuhan?"
eleh.
orang guna point tu, sibuk nak pakai point tu.

siapa yang hendak bergaduh tentang estetika bahasa itu, mari sini.
aku hendak beritahu kita pinjam 'maha' dari hindu, dek kekurangan perkataan yang boleh menggambarkan 'hebat'. dan maaf, kita tidak guna 'maha' dari konteks makna arab kerana ia memberi makna lembu betina.

---

kenapa?
MESTI hendak masuk campur dalam bahas.
MESTI hendak tumpang sekaki berdebat pedas.

"oh, aku tau. kerajaan tu memang... pung pang pung pang"
"ehhhh!!! dulu masa jepun... pung pang pung pang"
"bapak aku punya abang punya pakcik kerja dekat markas. dia kata... pung pang pung pang"

sebab,
kalau kau senyap, kau bodoh.
jadi kau kena banyak berkata2.

tapi,
kalau kau senyap, orang tak perasan, kau bijak.
jadi kau pada mereka, tidak bahaya.

abeh, cemane?

*gelak besar*

siapa yang menunggu jawapan atau sebarang konklusi sepanjang entri ini nampaknya sudah menghabiskan masa berharga mereka. sebab seperti lalat di siling, lipas di celahan, pena tak berdakwat, pengepil kertas jahanam, perempuan tidak hot kawan kepada perempuan hot, pelajar yang mendapat nombor satu di kelas corot, pembuli di tandas, solat dengan merungut, dan bualan kopi sambil mengasap di pagi hari, tulisan hari ini tidak punya signifikasi spesifik.

tidak relevan.
tapi ada.

semoga martabat ini tidak dimain2. semoga terus dikasihcinta kita2.

12 comments:

arfasyrf said...

wow!
nombor satu di kelas tercorot..
the best betwen the worst..

=)

nani said...

hm. betul kak. pendidik ni lain POV nya.

kalau orang cakap kat saya
'bestnya kau, jadi cikgu BI. senang je keje kan'.

aduh. perit gak tahan senyum. saya susah nak membidas dan membalas ni. pikir jaga hati orang.

'kalau kau nak tau best ke tak, senang ke tak, kau cuba duk sehari ja kat tempat aku. nanti kau bgtau ya?'

huh. dia ingat senang aku nak dapat degree 6 tahun ni?
dia ingat senang jadi jurutera manusia yang multiple intelligence nya, mixed ability nya. mende ah depa ni. pk senang je.

ceh~
hidup pendidik!

bias® said...

panjang, tajam dan benar. aneh.

Anonymous said...

benda betul.saya sokong.

[siti] said...

love this entry damn much. nGee!!~

Nurul Khairunie said...

bakal pendidik harus sedut satu rasa dari Fynn Jamal.

Loqma; Amnesia said...

Akak,
sememangnya saya sangat suka dgn penulisan akak.
Penulisan akak ni memang m'dtgkn inspirasi yg cukup b'makna pd diri saya & persekitaran sy.
if you dont mind, i want to borrow some of your words or phrases to someone that I love when they are facing a problem.
Thanks.
Hehehe.

theblabber said...

sememangnya ada di antara mereka yang terus leka makan bersuap,kusyuk jalan bertongkat. malah, mereka seperti tidak kisah kalau ludah yang dituju ke langit, tertepek ke muka sendiri. hmmm

bagus fynn, aku setuju apa yang kau katakan :)

nuridrin said...

kuliah dah mula.
kalau awak jadi cikgu kita, kan best.
tapi, dekat sini pun, awak jadi cikgu.
subjek: signifikasi kehidupan.
haih, rindu.

cik nurulain said...

kak fynn..thanx atas kebernasan. bagi nafas baru pd pendidik.

Princess Ayang said...

terbaik kak fynn...
kerna mereka bkn pendidik.. mereka tak tahu.. sy anak pendidik.. melihat jerih payah mak ayah buat sy paham apa yg kak fynn tuliskan..

Monalisa said...

well-delivered. kudos! :)