Sunday, August 30, 2009

erti setahun

hari ini aku hendak kongsikan tentang adilnya tuhan.
dan betapa aku ini seorang manusia biasa yang kalian boleh jumpa di mana2 kaki lima.
yang aku ini bukan terpilih atau apa.
yang aku ini hidupnya tetap ada cela.

aku gentar dengan pujian tinggi2 orang. tentang betapa terang seri hidup aku. aku takut disalahertikan dan disilapfahamkan. tidak aku memegah sempurna, tidak aku mengarak bahagia.

aku manusia biasa.
aku manusia biasa yang merasakan berbiasa2 itu sudah cukup untuknya.
aku manusia biasa yang sudah suka dengan berbiasa2.

maka, harap diampunkan kalau sudut penglihatan aku ini mengabur pandang kalian.

esok, genap setahun aku setia di balik tegap kekasih yang aku seru sebagai suami.
setahun yang aku tidak pasti untuk dibubuhkan tanda nama apa. keterlaluan susur galurnya untuk aku hanya bagikan 'bagai semalam'; kerana di tiap2 saat aku merempuhnya, terasa seolah hampir mati demi menunggu selesai. namun, keterlampauan magis indahnya untuk aku hanya bagikan 'bagai berabad'; kerana di tiap2 saat aku melintasnya, terasa waktu seperti dengki lalu mengelat dan bersepai2.

sesuatu yang bernama tempoh itu sesungguhnya suatu ilusi.
semoga aku tidak lupa hal ini.

*diam*

setahun aku bersilih ganti jiwanya.

*toleh pada suami yang sedang khusyu' dengan musiknya*
*senyum*

aku tidak sempurna.
suami aku tidak sempurna.
abah aku tidak sempurna.
hidup aku tidak sempurna.

*senyum lagi*

tidak percaya?

kawan2, kakak2, abang2 dan adik2 di luar sana,
ini cerita aku.
bukan untuk simpati,
bukan untuk bikin lagu.

ini entri untuk menjadi jujur. untuk membuktikan adil tuhan. untuk memberhentikan kamu2 yang asyikselalu tanyakan ini soalan: kenapa hidup dia tidak sehodoh hidup aku?

wahai,
kalaulah sesuatu itu namanya hidup,
redhalah jisimnya selalu dihodohkan.
yakinlah adil itu sifatnya tuhan.

tuhan kurniakan aku seorang lelaki
yang teguh di goyahnya seorang aku,
yang lepuh di gagahnya seorang aku,
yang tercela di lengkapnya seorang aku,
yang sempurna di cemerkapnya seorang aku.

berdua,
kami adalah benteng tak terobohkan.
benar.

benar?

ok. benar.
tapi sebenar mana benar itu?

tuhan itu adil, ustaz alim konting, guru geografi aku pernah bilang: orang india kulitnya hitam, tuhan berikan seputih2 kapas sebagai hasilnya. orang cina kulitnya putih, tuhan berikan sehitam2 timah sebagai dagangnya.

*diam*

esok, genap setahun kami bersatu.
tadi, nyaris digadai cincin dijari aku.

*ambil nafas*

kejap. beri aku sedikit udara dahulu.
hmmm...

*diam*

tidak ramai tahu pedati aku sudah tidak ada. satu2nya pemberian suami pada hari pernikahan kecil yang indah itu, sudah berbulan tidak ada. resam manusia yang cuma mampu mengatur, tuhan juga yang pada hujungnya berkuasa pada buah catur.

surgeri yang tiba2 memang selalu makan wang beribu2. tidak pelik. terjadinya adalah ketika ongkos modal membina warung sedang elok habis. tidak pelik. 'sudah jatuh ditimpa tangga' sentiasa jadi pada siapa2, kerana itu adanya bidalan. maka, tidak pelik.

aku tidak mungkin lupa menung suami aku yang ketika itu menakung air pada soket matanya. malam itu begitu panjang untuk kami berdua. aku menekup wajah pada peha dia. sayu bukan perkataannya. hancur bukan perumpamanya.

saya lagi rela berjalan kaki dari menatap awak sakit hari2, kata dia.
saya lagi rela tanggung mati dari membuang apa yang awak bagi, aku kata.

berlarut kusutnya.
tapi ah,
tewas juga.

awal pagi, aku kambus diri di celahan bantal di atas katil di kamar sempit di rumah kecil kami. aku tidak pernah tidak mahu membuntut dia. tidak pernah. hari itu adalah kecuali. hari dia pulang tanpa normaliti menggantung kunci.

dan kami berpelukan mengesak tangis.
dan bermula itu perihal itu tidak pernah kami kuis.
yang moleknya, pedati digadai pada orang tidak jauh.
yang ranapnya, pedati depan mata, tapi terlalu jauh.

boleh bayang tidak, sedang terhencot2 berkaki ayam, ternampak orang dengan sepatumu?
rasanya begitu.

*senyum*

tidak ramai juga tahu rutin aku yang sangat gila. subuh bangkit dan terus mendidik. 6 petang pulang tapi tidak balik. pacu terus ke kedai. berniaga ke lewat malam sampai selesai. apalah sangat penat aku. kekasih aku lagi terbeban. ke pasar ke hulu hilir. ke kota ke ceruk bagai.

semua demi rezeki.

dan meski peluh darah dibayar sepalit, aku tidak ralat. aku tidak mahal; selalu aku bisikkan itu pada arjuna hati. beli aku dengan senyum dan kasih, cukup, wahai suami.

cukup.

aku saksikan abah jauh lebih gigih. sebelum subuh sudah mandi, bangkitkan aku adik-beradik kerana selesai solat pagi perlu terus mula menjemput anak2 taman perumahan. bas sekolah abah yang pendek perlu berulang dua kali untuk menghantar murid2 sekolahan.

hantar anak2 ke sekolah pagi. 2 trip.
hantar anak2 ke sekolah agama pagi. 1 trip.
hantar anak2 kecil ke tadika. 1 trip.
ambil anak2 dari sekolah agama pagi. 1 trip.
ambil anak2 dari sekolah pagi. hantar anak2 ke sekolah petang. 3 trip ulang-alik.
ambil anak2 kecil dari tadika. 1 trip.
hantar anak2 ke sekolah agama petang. 1 trip.
ambil anak2 dari sekolah agama petang. 1 trip.
ambil anak2 dari sekolah petang. 2 trip.

hari2.
dan hari2 juga dia tidak gagal melangsaikan tuntutan2 hidup. ke kedai. ke pasar. ke sana. ke sini.

tidak pernah sekali, walau sekali, abah luahkan penat dan tidak larat.
langsung tidak pernah.
"abah okay tak bah?"
"eh. abah kuat..."

sebak yang aku rasa setiap kali abah kata dia kuat aku dapati sama dengan sebak yang aku rasa bila suami aku lafazkan jawapan serupa.

pada kebiasaannya, syaitan akan membisikkan dengan halus dan hati2 senjatanya.
"kalau".

kalaulah aku tidak sakit, mesti aku tidak kelam-kabut.
kalaulah suami aku bukan jodohnya dengan aku, mesti dia lebih senang.
kalaulah emak tidak beri aku genetik ini, mesti aku tidak kusut.
kalaulah aku tidak pernah lahir, mesti semuanya gilang gemilang.

kebodohan yang nyata ditanam dalam jiwa manusia. budaya kalau.
kebodohan yang jelas dimulakan dengan konsep penaakulan mantik.

kita selalu bodoh untuk ingat,
tuhan lebih tahu.

kan..?
haha. kita.
teruk betul.

kun fa yakun.
kalau tuhan kata mayat boleh bangkit, bayi boleh bercakap, laut boleh terbelah;
jadi juga.

cuma janganlah buta2 tunggu, mengharap semata2 untuk jadi.
usaha perlu terus sampai mati.
cuma lagi,
bila usaha terus2 pun tidak menjadi, jangan sekali2 tanam sifat serah diri.

*senyum*

tidak ramai tahu hal ini: adam western adalah seratus-peratus air tangan kami, "bos paling muda" dalam deret kedai2 makan di sini. sendiri, bercomot mengecat dinding dan siling, berasak meredah hutan mencari kayu-kayan, berkematu menyiat2 kulitnya mengeping2, bersungguh membancuh simen untuk si indon yang digaji untuk menyiapkan.

kita upah dia. kita kerja dengan dia.
jimat. jimat. jimat.

tapi itu kata kita.
orang bukan kita.

kedai makan kecil itu dimulakan dengan wang pinjam saudara-mara yang pada asalnya menghulur tanpa diminta; namun dengan tiba2 dihendakkan semena2. pelik bagaimana wang boleh jadi bisa dalam insan sedarah sedaging.

nampak ramai, difikir kaya.
nampak ketawa, difikir raya.

hmm...
susah juga.

*diam*

tadi aku hulurkan jari manis yang sebelah kanan ini pada suami aku agar dapat diambil relung nyawa aku. aku ujar dengan segagah2 wajah dipadankan dengan selembut2 suara, "kita jual saja ini, ya..."

hampir tersadung detak jantung aku melihat air muka kekasih aku yang seolah2 terkoyak.
"itu satu2nya yang tinggal untuk awak dari saya"

aku diam.

benar. aku sendiri terasa tersiat meluahkannya.
tapi yang ini benar juga: apa sahaja untuk dia.

tuhan,
apa sahaja.

*terdiam*

ada satu hari itu, suami aku rangkul aku yang sedang di ambang nyenyak. dia bisik:
kasihan sayang. dulu hidup senang. semua ada. hidup dengan saya, semua hilang. makin tiada.
maafkan saya.

aku tepuk kecil paut tangan dia:
saya ada kekasih saya. benda lain nak buat apa.

*diam lagi*

tidak ramai juga tahu aku ini berlakon samseng. mengonon2 keras dan ganas, walhal di lubuk dalam, emosi aku bagai kelapa jatuh di tebing; bila2 masa boleh hanyut, bila2 masa mampu memaut. apakala suami aku itu perawakannya seperti air yang tenang pada muka tapi tidak pada dasarnya.

aku sering menyelisih dia.
dia sering menyisih aku.
maka bertengkar.
berdua, kami lebih mengerikan dari gajah mengaruk dan singa lapar.

tapi kami tahu,
berdua jugalah, kami lebih mendamaikan dari rama2 di tangkai mawar.

*diam*

tuhan itu adil. tidak mungkin dia memilih kasih seperti kita manusia. begitu adil, sehingga ar-rahman datang dahulu sebelum ar-rahim. ar-rahman adalah sifat sayangnya pada setiap makhluk tercipta. kafirkah. yahudikah. babikah. anjingkah. semua disayang. habis segenap mauduk disayang, barulah dicintakan kita yang mencintai dia dengan ar-rahim.

tuhan itu memang adil.

jadi usah dibeza2 hidup kita. dibanding2 sama si dia di sini sana. pancaran bahagia orang akan sentiasa menjelaskan lumpur di muka kita, sebagaimana sinaran bahagia kita akan sentiasa menampakkan lumpur di muka dia.

cumanya, aku sedang terlalu cukup untuk berhikayat yang burukhodoh. sayuku sekuku luasnya bila indahku sejelapang lebarnya; maka perlu apa aku kenang2kan.

tuhan tidak jadikan aku istimewa.
aku malahnya hidup menambah hina.

haih.
rasa telanjang bila aku bualkan hal ini.

*diam*

setahun ini begitu panjang.
setahun ini sekilas pandang.

setahun ini,
aku hidup benar2 hidup.

44 comments:

cikseed said...

sabar lah kakakku
setiap kita punya masalah
bezanya cuma bila dimana siapa
Tuhan itu maha adil
kau hebat itu
tapi kau gagal ini
kau kaya itu
tapi kau miskin ini
Dia menguji manusia utk melihat sejauh mana kesabaran serta keimanan kita.

si kosong said...

setahun.....bukan lama..
tapi panjang bukan..?

Apple Pie said...

kak fynn,

beautiful post.

hidup kita adalah hadiah dari Tuhan. 'satu peluang'.

'hodoh' dan 'indah' hidup itulah buat kita rasa kita 'hidup', walau apa kata orang.

Subhanallah.

Asu said...

mcm2 rencah hidup ni kan fyn?Tapi di sebalik susahdan duka, pasti ada sinar bahagia.Cuma Tuhan dan masa saja yang bisa tahu.Dan kita, kena kental tabah hadapi semua.Saya doakan yang terbaik buat kamu, buat kita semua

iffa
Your silent reader

lel said...

kalau saya sendiri
belum tentu sekuat akak

Bash said...

indah sungguh nukilan kak Fynn kali ni. bergenang air mata baca.

betul lah, kalau kita rasa hidup kita susah, hidup siapa yang tak susah bukan?

May Allah always guide us and give us enormous amount of patience. Ameen.

silent reader,
Bash

Along said...

;)

Along yakin tiap seorang yg membaca di sini pasti mendoakan yg terbaik utk kalian.

*diam*

Dan along adalah salah seorang daripadanya.

miss pillowhead said...

*diam*

*sayu*

*sedih*

ada hikmah disebalek setiap kejadian...
maka bersabarlah...

Ainee Cumi said...

k.fynn so dramatic..
menitik air mata aini baca..

hope u be strong!!

emceejalanan said...

salam fynn.

sy cukup sokong dkt part bila fynn katakan tentang KALAU.
mmg benar, masih banyak mentaliti manusia sekarang still di belenggu dengan satu ayat itu.
entri kali ini cukup memberi makna pd sy.

doa sy agar fynn dipermudahkan segalanya dlm hidup yg akan dtg.
take care.
:)

sHEmA_sHImoT:D said...

kak fyn,entri kali ni berjaya menitiskan airmata sy..harap kamu besabar ye kak,ye tuhan itu maha adil,,bersusah dulu kak,akan ada senang di kemudian hari..aku syg kamu kak fynn..saba ye.;)

sHEmA_sHImoT:D said...

kak fyn,entri kali ni berjaya menitiskan airmata sy..harap kamu besabar ye kak,ye tuhan itu maha adil,,bersusah dulu kak,akan ada senang di kemudian hari..aku syg kamu kak fynn..saba ye.;)

Yayan Yaacob said...

kak fynn , ada hikmah semuanya , nanti adalah balasnya .

Lang Legar said...

terkesima dan tersentak..
harap kamu tabah bersama yang tersayang..

Anonymous said...

kak fynn,kuat kak fynn.
kami semua juga ada bukan.
kak fynn blh jd telinga kami.
maka kami juga,bisa jadi telinga untuk kak fynn.
mendengar kisah kak fynn.
walau sekadar mendengar.
tapi kami masih bisa titipkan doa.
:)

Suri said...

fynn, mcm yang lelain.. bergenang jugak airmata ni membaca

suerie pun doakan supaya dipermudahkan jalan, dipermudahkan urusan, dipermudahkan rezeki buat kalian.. amin

joegrimjow said...

bangga jadi manusia
eh
syukur

Fathia-Z said...

hang in there.
there's light at the end of the tunnel.
really.

nurnuha said...

kak fynn..saya sangat suka ayat2 itu..sangat memberi muhasabah dan membuatkan saya kembli berfikir..memang benar Allah itu maha adil..cuma kita manusia yang seringkali lupa dan leka..itu memang sifat manusia..saya suka yang ayat2 itu mengenai dengan situasi saya..dan memberi inspirasi untuk saya juga terus cekal dan sabar..lagi satu,, sudah lama saya juga tidak memutar bait-bait ayat..melihatkan kat-kata indah yang bisa kak fynn hasilkan buat saya rindu pada madah-madah lama yang saya pernah hasilkan dulu..cerianya hidup dan bahagianya waktu2 dulu..saya juga ingin mencari diri saya yang dulu..

nurnuha said...

kak fynn buat saya lebih sedar..memang Allah itu maha adil..dan kesusahan itu buatkan kita selalu berada disampingNya..maka kepada DIA sajalah yang kita cari..kerana Allah sajalah menjadi pelindung kita di dunia dan akhirat..

gusarsayu said...

biar susah bersama kekasih saling membantu saling percaya esok pasti tiba dengan mentari baru

si kosong said...

tiba2 jadi senyap bila baca "erti setahun" ni..

tiba2 jadi kaku bila cuba nak faham "erti setahun" ni..

tiba2 jadi mcm diri sendiri tak bersyukur bila da hampir nak faham "erti setahun" ni..

tiba2...bila faham apa yang cuba difahamkan dalam "erti setahun" ni...terus rasa,TUHAN terima kasih atas apa yang diberi..

rObOt said...

air mata menitis :'(

Marina Ina said...

sabar kakak. igt kakak selalu kata, Tuhan itu yang paling baik..

Kuat kakak.

hzrh said...

kakak,
tolong jangan jatuh.

Precious said...

Hidup tiada ertinya tanpa gundah gulana kerana dari situlah kita belajar mengenal dan mencintai siapa kita ... dan org2 di sekeliling kita!

biELa said...

tuhan kan adil
akak tak ada apa-apa
tapi akak ada cinta

orang lain
semua ada, tapi cinta makin jauh darinya

hepi anniversary..

hehe

muah3..nak je pelok akk

nadya said...

Kak Fynn sedarkan saya betapa kehidupan penuh pengajaran. betapa perlu saya menghargai sebaiknya siapa dan apa yang ada di sekeliling saya.

tuhan maha tahu yang terbaik untuk hambanya. kan.

. said...

strong bebe :)

Aniz . said...

Thanks Fynn for sharing ur story.
I believe, u have inspired lots of ppl out there including me.

Terima kasih.
:)

-L said...

aku hidup di rumah besar.

aku pandu kereta yang akan dipandang orang bila ia meluncur laju.

aku punya wang yang tak mungkin akan putus.

aku tidak perlu fikir akan kesusahan untuk membayar yuran pengajianku.

aku bangun dengan melihat baju yang siap diseterika.

tapi aku tak punya keluarga sempurna seperti kamu.

tapi aku tak punya kasih sayang dalam hati aku.

tapi aku tidak punya sesiapa untuk aku cinta.

dan aku tidak punya sesiapa untuk cinta aku, sehebat kekasih kamu.

kamu beruntung, fynn jamal, walau dalam kekalutan hidup mu itu.

:(

fynn jamal said...

-L:

aku percaya ada terlalu banyak cinta yang tersimpan dalam jiwa kau.
aku doakan kau temukan sesorang untuk kau limpahcurahkan padanya.

kita semua ada kisah kita.

kawan,
kau sabar, ya?
tuhan itu baik.

Odette said...

adam western 2 d mna?

.:pUbLiC_eNeMy:. said...

sabar ye kak..
Allah maha adil..Dia hanya ingin menguji hamba nya.. :)

dan kakak cukup kuat utk itu..
saya tahu. :)

wardah said...

*nangis*

be strong fynn..ada anugerah Allah sediakan untuk kamu..kalau bukan di sini..Insya'Allah di sana..amin

alam said...

"nampak ramai, difikir kaya.
nampak ketawa, difikir raya."

*diam*

aku setuju!! ssgt setuju dgn kau.tp apa nk buat..duet dorg...kadang2 pinjam dr kwn2 lbh baik dr keluarga sendiri...

"bercomot mengecat dinding dan siling" haha!! walaupun penat tp puas kan??

kau jgn risau, tahun pertama mmg agak sukar tp tunggu sekejap..pasti semua nya seperti yg di rancang...

*senyum*

Anonymous said...

Dear Fynn Jamal,

Terkesan saya membaca baris-baris ayat kamu...kehidupan kita tidak sempurna namun cinta yg kamu miliki itu pada saya amat sempurna..Semoga Tuhan memberkati dan mempermudahkan kehidupan kamu & suami...Amin

Anonymous said...

sungguh sadis dan menyentuh jiwa ragaku pabila membaca kisahmu.
pertama kali ku membaca hasil tulisanmu dan ternyata kamu bisa membuatku insaf dan sedar akan erti kehidupan yg sebenar..kehidupanmu penuh dgn dugaan,cabaran malah ujian yg aku yakin tak mampu dihadapi oleh setiap insan. percayalah bahawa Allah itu maha mengetahui,maha pengasih, maha penyayang dan maha segala-galanya..sesungguhnya Allah tidak akan membebankan hambaNya dgn sesuatu yg tak mampu dihadapi oleh hambaNYa. dan sesungguhnya,kamu adalah insan yg terpilih...cekalkan hatimu,tabahkan jiwamu dan kuatkan semangatmu.

~pap~

xiaomei said...

baca kisah fynn beri saya kekuatan..coz dlm 2 mggu ni sy frust..walaupun kt luar sy gelak tp hati sy nangis..s`sungguhnye sy t`lupa pd dugaan ALLAH yg sebenarnye b`tujuan 4 kebaikan sy...thanks fynn...

Katak Katak said...

di mana adam western itu?

Anonymous said...

akak,

*saye speechless sebenarnye, tapi nak tulis jugak sesuatu..

ayat2 akak selalu buat saya jadi kuat.

sangat!

semoga akak akan terus menulis dan menulis. sebab walau bersepah2 org keji orang kutuk akak.. percayalah,, berganda2 lagi yang menumpang kasih kat sini.

kalau pun kami (saya) tak mampu ringankan beban akak kat dunia, anggap je sebagai 'bahagian' yang akak kongsi tu sebagai saham di akhirat nanti.

SAYANG KAMU kak!!!

perkataan sayang murah zaman sekarang. tapi terpaksa jugak gune sebab tak tahu nak bgth macamane lagi.

hmm said...

berderai2 dah air mata.
huhu.

Moja [Bulan] said...

gilak r kak fynn..sedih poit bc entry neh..hehe..nway,hidop adam western!!!hehe.. :p

-pelanggan setia adam- :)

Anonymous said...

membaca ayat2mu, seolah menemukan aku yang dulu.