Sunday, September 26, 2010

serabut

aku ada banyak perangai abah yang aku tak suka.
walau aku selalu canang pada dunia betapa sempurnanya dia, dia banyak kurang sebenarnya.
tapi ah. apalah sangat kekurangan yang sedikit2 itu dibanding cantiknya jiwa raga dia.
mana ada manusia tak ada cela.

maka betapa kelakar,
dalam banyak2 sifat mahmudah dan sifat2 indah dia,
yang terlekat pada kromosom aku adalah antara perkara yang aku tidak suka tentang dia.

antaranya;
cepat serabut.

orang yang jenisnya selalu ada prospek terancang memang tidak suka elemen kejutan. kerana semua benda dalam dunia ini akan melibatkan wang. dan aku datang dari working class yang tipikal, maka percutian beramai2 di hujung minggu bersama kawan2, makan2 besar di chili's dan menonton wayang 3d back to back tidaklah seseronok mana untuk aku --melainkan wang tabung masih ada isi.

ingat senang hendak cakap sama kawan2 baik yang kau tidak mahu ikut serta kerana belanjawan bulanan kau menghadang?
dan yang lebih menyukarkan adalah bila kau tahu kawan2 kau dengan ikhlas dan rela hati akan bagi bantuan tanpa diminta pun sesen sebarang?

berfikir tentang itu2 pun boleh bikin aku serabut.
aku, seperti abah, cepat panik.

kerana itu aku jadi control freak. aku perlu tahu apa yang bakal jadi. aku perlu ada back up plan sekurang2nya dua. aku perlu tahu yang kalau ini tidak menjadi, aku ada cara untuk mendapatkannya juga.

dalam semua perkara;
aku suka bersedia.

pembetulan:
dalam semua perkara kecuali penulisan,
aku suka bersedia.
dalam hal tulisan, semuanya spontan. aku tidak suka merancang untuk tercetusnya perkataan pertama. itu, bagi aku, begitu personal sama tuhan.

okay. tentang bersedia tadi.
betapa aku ini terlalu beriya dalam posisi kuda2,
aku sentiasa pastikan--
aku siapkan apa2 yang mampu aku siapkan--
sebelum persiapan aku dimulakan--
untuk disiapkan.

sebagai contoh,
persamaan dapur rumah abah dan rumah aku adalah ini:

semua ikan ayam daging sudah siap disiang,
bawang2 setiap jenis telah selesai berkopek dan dicincang,
air2 kordial selesai dibancuh terdingin di dalamnya,
sayur2 setiap yang ada kemas tersusun segar terjaga.

tinggal masak.
bila2 rasa mahu, terus sudah ada.

kadang2, aku terpaksa setuju bila kawan2 aku kata aku ada sifat obsessif yang agak kompulsif tentang perancangan. meski pun aku selalu berkonon2 di depan mereka yang aku tidak, aku tahu mereka tahu aku setuju.

begitu kompulsif, sehingga setiap gula, garam, kicap, minyak semua aku belikan botol khas siap berlabel seperti aku tidak kenal rupa mereka. macamlah aku tidak tahu yang mana gula, yang mana garam, yang mana kicap, yang mana minyak, yang mana semua.

aku sendiri tahu yang ada masanya aku merimaskan.
untuk kekasih kacak aku itu pula, sifat obsesi aku ini comel dan menggeletek dia.

haih.
suami aku gila untuk ada isteri segila aku.

*diam*

dan inilah hala tuju asal entri hari ini--
tentang sifat yang aku tidak suka pada abah yang secara ironinya aku kendong dan aku ada.
tentang serabut
dan betapa mudah aku merasanya.

serabut.

tidak seperti sakit (yang datang hanya dari satu perkara iaitu perbuatan menyakitkan),
atau gembira (yang datang cuma dari perbuatan menggembirakan),
atau sedih (dari perkara menyedihkan);

serabut tidak datang dari sumber yang jelas.

ah, susahnya mahu diterangkan dalam bahasa melayu --bukan kerana aku mahu jadi bongkak bodoh, tapi kerana kosa kata bahasa ini agak kurang dan terbatas, aku risau penerangan perkataan serabut ini tidak tersampai.

tapi aku cuba.

serabut adalah perasaan yang tergabung dari prospek. berlainan dari perasaan2 lain yang terjana dari sesuatu yang menjana perasaan itu, serabut adalah perasaan yang bergantung pada kemungkinan semata2.

contoh:
untuk sakit, kau perlu dicucuk, ditumbuk, dicurang, diserang.
untuk ceria, kau perlu dikucup, dipeluk, disayang, dipegang.

tidak untuk serabut.
kerana untuk serabut, cukup dengan berfikir.
cukup dengan berkebarangkalian sama sesuatu.

tidak percaya?
cuba fikir kekasih kau ada pasangan lain dengan alasan payung emas.
cuba fikir bapa kau tahu apa yang telah kau jahanamkan awal minggu lepas.
cuba fikir kau dibuang kerja bulan depan kerana kau malas.

sudah boleh serabut, kan?
bagus.
sekarang, bayangkan aku yang terlalu mudah untuk serabut.
menyerabutkan, kan?

dan dalam banyak2 serabutan yang aku paling benci,
yang aku ikut tanpa sengaja dari serabutan yang abah paling benci,
ada satu serabut yang paling-melampau-maha-menyerabutkan:
orang yang kami sayang-- sakit.

sebab dalam banyak2 perkara yang paling kita tidak mampu bikin apa2,
yang tidak ada mana2 persediaan boleh menjamin apa2,
yang tidak ada mana2 kerancangan boleh mencagar apa2,
sakit akan datang bila2 masa.

sakit, kalau pun mahu datang, marilah.
aku tidak gentar, aku tidak risau.
datang sini.
pada aku.

bukan pada orang yang dikasih aku.
bukan.
tidak boleh.
langsung tidak boleh.

sebab orang2 aku sayang adalah separa dewa.
sempurna.
sihat tubuh sentiasa.
tidak boleh tumbang, kerana mereka perlu dan mereka wajib untuk sentiasa ada.

*diam*

dahulu, ketika sekolah, di zaman hospital adalah rumah kedua selepas asrama aku, abah paling pemarah sama aku bila aku sakit. aku selalu merasakan abah benci aku-- along dan achik begitu tegap dan lasak; aku-- pengsan sana, muntah sini, lembik sana, biru sini.
aku terlalu yakin abah rimas sama cengeng aku.

aku sedih. aku lebih fokus sama garang dan ketat wajah dia berbanding setianya dia mendukung aku yang terpitam di tengah jalan, segemuk mana aku dulu. aku lebih peduli senyapnya dia sama kesah aku berbanding tekunnya dia menunggu setiap keputusan doktor rashid di hujung katil aku.

aku buta. kerana itu aku sedih.
sedih kerana terlalu pentingkan diri sendiri dan memilih untuk tidak nampak ilustrasi situasi aku secara lebih luas.

aku bahalol kerana aku patut faham, selepas bertahun dia hadap derita mak bertahun2 dengan kansernya, abah tidak mungkin mampu tanggung kemungkinan sesiapa di kelilingnya sakit sekali. aku patut mengerti abah sudah habis kudrat sabarnya pada perkara2 seumpama ini.

lama aku tidak faham.
lama aku tidak mengerti.

sehinggalah ada sekali yang tahunnya aku tidak pasti,
aku terpaksa diperiksa untuk kanser buat pertama kali.
mungkin dalam tahun kedua di universiti.

tempoh itu, dalam memori aku adalah hari raya. bilamana aku katakan yang aku perlu diperiksa secara professional, wajah bercahaya abah tiba2 mati dan gelita. cuti hari raya tidak diterima sebagai alasan untuk aku diperiksa nanti2. dia tiba2 jadi sunyi. matanya tidak lagi lari2. menung dan senyap di satu titik. perkataan dikeluar cuma sepatah2; sebaris ayatlah paling tinggi --yang mana, aku perasan, makin jauh masa berjalan, makin kurang suaranya.

aku dibawa ke klinik pakar, doktornya cina. abah sudah berhenti berkata2 semenjak awal. ibu yang sibuk ke sana ke mari. abah untung; kedua2 mak dan ibu adalah orang hospital. mak semasa hayatnya-- seorang jururawat, ibu pula di makmal. abah pun dahulu ketika di usia askarnya adalah pegawai medik.

ibu yang lasak ke sini sana membawa aku. aku cuma lihatkan abah. telah agak lama aku tidak menghuni rumah sakit semenjak aku di universiti. maka aku fikir aku sudah mengecewakan dia lagi. menyusahkan dia dengan menjadi anak liabiliti. memiliki penyakit itu mahal, aku mengerti. aku tahan perasaan malu aku sambil melalukan mata aku pada tubuh abah yang masih kaku bermenung ke lantai, dan aku izinkan aku diperiksa mengikut apa yang diminta.

beberapa masa melintas pergi. aku keluar dari bilik doktor cina itu dengan senyum. aku khabarkan berita elok dari sang pakar pada ibu dan abah terutamanya. dan tiba2 abah tekup wajahnya pada dua telapak tangan dia.

abah menangis semahunya, aku hampiri kiri dia.
aku peluk tubuhnya.
aku juga menangis seperti dia.
dan dengan air mata, abah kata
"cukuplah dulu mak dah lalu ini semua".

situ, aku mula celik mata.

tapi celik mata aku hanya cukup untuk membuat aku faham kenapa abah berdemikian dulu2. aku tidak akan tahu apa dia rasa. aku cuma boleh kata aku mengerti perbuatannya. ingin aku selitkan betapa aku geli dan benci akan tidak-tepatnya klise "aku tahu perasaan kau, aku pun pernah rasa" kerana tidak ada manusia yang mampu memahami perasaan orang lain. terang2 kita bukan sama. aku tidak faham kenapa suka benar diaplikasikan ayat ini dalam kehidupan hari2, terutama ketika ada mereka2 yang konon2 hendak jadi tukang penenang perasaan, yang hendak jadi tukang orang tengah, yang hendak jadi tukang itu ini.

semua tukang2 itu,
tidak lain tidak bukan,
hanyalah penyibuk yang tidak tahu pun apa yang diperkatakan.

*diam*
maaf. terbawa2.

ok sambung.

pengalaman hari raya yang itu hanya menjelaskan kenapa abah dingin setiap kali ahli keluarga kami, khasnya aku yang terlalu lemah ini; sakit. dia serabut. dia rasa terbataskan. dia dihilangkan mampu.

macam aku malam tadi.

mungkin ada yang tidak faham bagaimana ada orang boleh dingin pada hal2 sensitif sebegini. buku2 teks sekolah dan novel2 cinta selalu bercerita tentang ketika sakitlah kita dijaga beriya, dicurah kasih disiram sayang segala. maka macam mana ada manusia seperti aku? seperti abah? begitu beku, seolah2 mengejami?

entah.
mungkin ada yang di luar sana yang seperti aku.
yang bila di depan orang sakit terus jadi kaku.
menunjuk tak peduli dan bisu.

tapi entah.
mungkin juga tidak ada.

*diam*

tadi malam, dalam perjalanan pulang ke rumah, tri sudah mula mahu muntah. badannya tidak langsung suam2 tapi terus panas membahang. aku suruh dia berhenti, untuk aku ganti pemanduan --dia kata tidak apa.

sepanjang perjalanan pulang ke rumah itu, bila2 masa dia mampu, tri sibuk menzikir "maafkan saya, maafkan saya". mungkin dia seperti aku dahulu. memikirkan dia menyusahkan atau melecehkan aku. mungkin aku sudah sedingin abah yang dulu.

aku tidak tahu.
aku biarkan tidak ditahu.
aku cuma bisu.

sepanjang perjalanan pulang ke rumah itu,
aku kaku.

tiba di rumah, tri terus rebah. aku paksakan ubat ke dalam mulutnya yang sudah separuh sedar. aku basahkan tuala dan lalukan kain lembab itu pada tubuhnya yang begitu panas membakar di luar tapi sejuk membeku di dalam. jasadnya begitu panas, tuala biru yang asalnya sejuk dgn air itu jadi berhaba.

seluruh malam, selang sejam dua, aku ulangkan yang sama.
serabut aku, hanya tuhan yang tahu.

jam 4, tiba2 tri bangkit pantas. habis katil basah tertumpah air yang aku guna untuk menuam dia. dia muntah. banyak; tak mampu aku cerita. aku yang biasanya cengeng dalam hal2 begini tiba2 gagah dan keras. aku lari dan cari kotak ubat di depan. aku tunggu dia keluar dari jamban untuk aku papah ke katil semula.

selesai semua, dalam ketat wajah aku dan dingin mata aku, aku teruskan melembapi kulitnya.
aku sedar bisu aku sebenarnya mampu menyinggung dia, tapi apakan daya.
aku rasa begitu menyiksa dia.
aku rasa begitu menjahati keadaannya.

aku sedang merasakan semua itu--
--bila dia tiba2 tarik jemari aku,
dan kata: "saya untung ada isteri sebaik isteri saya".

buat kali pertama bermula ketat wajah dan dingin mata aku sejak awal perjalanan malam tadi,
aku menangis semahu2nya dengan muka aku tekup pada telapak tangan aku yang dua.

21 comments:

Noor Azah Bte Abdul Aziz said...

suke bace gaya penulisan akak..kena hayati bet0l2 untuk phm..
Mcm antologi kerusi time f0rm 5 dulu.huhuhu..
Teruskan menulis ya kak ;)

Cik Lizi said...

Untung abg tri ada isteri macam kak fynn

Untung kak fynn ada suami macam abg tri

;)

shahirahkhairudin said...

action means everything kakak.. tak perlu suara, biarpun beku, tapi orang celik akan sedar dan tahu betapa kita peduli..

dill said...

Kak, sayunya...

y u z said...

jiwa saya sedang berebut-rebut mahu memberi sayang tak berbahagi seperti kasihnya kamu kepada tri. membaca ini bikin sesak jiwa kerana kasih yang terpaksa ditahan-tahan, berbatas dek situasi.

dan kenapa ini? air mata saya tumpah lagi...

='''<

shu said...

em,
sedikitsebanyak..ada yang saya perasaan..peranagi kite ni same la kak

hurm

lindaoff said...

Moga tri cepat sembuh.
Kamu jangan lagi serabut..ya

K I E R A said...

Banyak bersabar ye :)

jannahshahab said...

so touching dear!aku da mula bergenang perenggan ko yg terakhir

saya said...

sedihnya :'(

pej said...

mata masok pasir bler baca bende ni....bukan sebab tri...tapi sebab abah....

Farah Rosni said...

:')

Lyn said...

ah.
aku pun selalu terdiam bila org yg rapat dengan aku sakit@dalam kesusahan.
bukan aku xnak tolong.
aku tak tahu nak buat apa.
aku selalu cakap benda tak betul di masa yang salah.
aku takut nak sakitkan hati org.
bukan aku xcaring bila kawan aku kesusahan...
aku nak tolong..tapi, tak tahu mcm mana.
uwaaahhh..aku pun serabut. lagi bodoh. lagi bahalol. isk2

juneHalim said...

pekup dada sebak ;(

ayah abah papa daddy sayang mereka sukar dilihat dengan mata kasar. kan?

Anonymous said...

Jadinya apa pun yang datang, redah sajakan? yang penting kuat, kan? Pada zahirnya, terlalu susah untuk kuat demi orang yang kita sayang.
Banyak masalah.
Tapi kalau fikir,lagi serabut.
Baik pendamkan saja, bukan?

Mohzam said...

Entah kenapa... boleh ternangis pula bila baca cerita ni...

Sofiya said...

oh kak fynn. baca sampai nangis. melimpah-limpah kasih sayang abah kak fynn untuk kak fynn. dan melimpah-limpah kasih sayang kak fynn untuk suami

m a r i s s a said...

wow...

tahap aku sbg isteri blm sampai jage suami sakit muntah lagi...

mintak tuhan gagahkan aku blh buat semua bile sampai waktunye...

insyaALLAH...

JB said...

uhuk..mencik la kau fynn..
suke buat aku nangis huwaaaaaa..

Dewi's Artwork Station said...

sebak.

CakapkuDuniaku said...

bila mata saya membaca..hati sya turut merasa...maka mengalirlah c airmata...saya suka penulisan anda boleh jadi kepada pengajaran kepada jiwa dan raga...