Tuesday, September 14, 2010

entri terkerat dari maskara '09

jangan tanya kenapa.
tiba2 aku rasa hendak meletakkan soalan2 ini di sini,
sebelum aku lupa tanah aku berdiri.

semoga aku tetap teguh pada apa yang aku pegang dari dahulu.
aku kerat dari sini.

terima kasih, kawan2 maskara:
pasukan lelaki2 gagah dan samseng,
tapi romantik dalam hati.

:)

-------



1. Siapakah Fynn Jamal?

Secara metaforanya, Fynn Jamal adalah suara ramai orang di luar sana. Penggunaan bahasa yang jarang memberi nama pada mana-mana karektor plotnya menjadikan Fynn Jamal begitu karib dengan hati mereka yang membaca. Fynn Jamal, sebenarnya adalah perasaan yang paling jauh disimpan dalam hati, namun dibongkarkan secara berani di atas pentas.

Saya lahir sebagai seorang Nur Affina Yanti binti Jamalludin. Seorang yang biasa2.

Fynn Jamal adalah kegagahan yang saya cipta selepas penat menjadi seorang Yanti yang pengecut, seorang yang hidup untuk menjunjung semua kecuali dirinya.

Dan saya tahu, saya bukan satu-satunya yang merasa begitu.



2. Bilakah kali pertama Fynn sedar bahawa Fynn ada anugerah seni?

Sehingga sekarang, saya masih tidak tahu apakah saya sudah selayaknya dipanggil punya seni. Perkataan itu terlalu tinggi di bola mata saya, dan untuk memberi kategori pada diri sendiri adalah sesuatu yang terlalu bongkak. Kalau hendak dirafa'kan semata-mata pada komen-komen dan pendapat pengikut di luar sana, saya tidak pasti apa mereka benar-benar gelar saya sang seni semata-mata pendapat sendiri atau pada asas maknanya.

Jadi saya memang tidak tahu.

Apa yang saya ingat, tulisan puisi saya yang pertama adalah ketika saya terjumpa kertas-kertas A4 bertaip milik bunda saya. Saya jumpa selepas beberapa bulan dia kembali ke rangkul Tuhan. Puisi yang paling saya ingat adalah "Jangan Ditanya", tentang betapa mesti diredhakan kematiannya dan diharamkan sesiapa bersoal sama Tuhan tentang takdirnya.

Saya tuliskan sesuatu untuk menjawab tulisan itu di belakang kertas lukisan yang disiapkan sebagai kerja rumah. Saya lukis gambar kubur bernisan, dengan puisi (yang malangnya tidak saya ingat itu) dalam font yang paling cantik untuk seorang anak darjah enam.

Saya tidak mampu mengembalikan ingatan tentang tulisan saya itu, tapi saya sangat pasti saya telah menulis menggunakan style ulangan, iaitu setiap baris dalam stanza, saya mulakan dengan "Usah ditanya mengapa".

Saya cuma hafal baris pertamanya:
Usah ditanya mengapa pasir tidur di tepi pantai.

Saya harap itu seni.



3. Siapakah yang sedikit sebanyak menyumbang atau mempengaruhi gaya penghasilan karya Fynn?

Manusia. Bukan sedikit. Hampir 80% terjana dari pengalaman saya sama manusia, atau sekurang-kurangnya apa yang pernah dirasakan manusia lain; di mana-mana tempat dan masa.

Saya amat malu untuk mengaku, tapi saya sememangnya tidak membaca. Dari kecil, cara saya mendapatkan ilmu adalah melalui kaca tv, kerana saya ini manusia visual dan saya gemar observasi. Saya suka cipta relevan sendiri, mendapatkan penjelasan sendiri. Malangnya ia suatu kaedah yang sangat merbahaya, kerana kalau tidak diaplikasikan dengan hati-hati, ia akan menjadi perjudis.

Lalu saya kepilkan sekali sikap gemar bertanya. Saya belajar dari pengalaman sesiapa sahaja. Saya minta diterangkan, saya hendak dijelaskan.

Mungkin kerana saya ini seorang yang tinggi empathy nya, tapi membaca akan memaksa saya memihak, mengikut dan mudah (dipengaruh). Saya tidak mahu terlalu beriya mengikut tulisan sesiapa, kerana kecenderungan untuk berbunyi seperti orang yang saya baca itu ada.

Tapi itu dahulu.
Ketika saya masih lagi berhempas-pulas mencari siapa saya.
Ketika saya sibuk memerah diri mendapatkan intipati saya.

Dan alhamdulillah, selepas sekian lama, tulisan saya sudah stabil hingga ada banyak masa kalau tidak ditulis nama saya pun, sudah ada identiti saya terlorek di bahasa saya.

Maka kini, saya sedang menajamkan diri dengan bacaan.

Saya masih tidak memberi terlalu banyak fokus pada mana-mana penulis baik luar atau dalam negara. Tapi saya sekarang begitu damai merujuk kisah-kisah manusia dalam konteks sejarah Islamiyyah, spesifiknya di zaman rasul dan sahabat.



4. Apakah isu-isu yang sering menjadi topik kegemaran dalam sajak-sajak Fynn?

Cinta.

Klise, saya tahu. Tapi konsep cinta terlalu dijajankan dek kapitalis bahasa (saya merujuk pada konsep cinta murahan dari media) yang bila mana saya sebutkan perkataan itu, sudah terbalik bibir orang mencebik tanda stereotipikal.

Sudah terlalu macam-macam tercipta, semakin banyak aktiviti.
Terlalu banyak distraksi.

Ramai sudah lupa bagaimana cinta itu yang lahir dari jiwa.

Saya hidup atas fantasi menemukan cinta ayahbunda dalam kisah hidup saya. Puisi-puisi saya banyak berkisar tentang harapan mendapatkannya, tentang kekecewaan menunggunya, tentang kehancuran tersalah temukannya.

Dan seperti ramai orang, tulisan-tulisan sebegitu rupanya sudah lama di dalam hati, cuma tidak dijumpakan perkataannya.

Mungkin kerana itu, mereka selesa dengan saya yang menggunakan kosa kata biasa tapi tepat, berbanding perbendaharaan yang meletup tapi tidak sampai.



5. Mana satu yang betul, seni untuk seni atau seni untuk masyarakat?

Seni untuk diri sendiri. Kalau masyarakat atau platform seni itu hendak terima, itu hak mereka.

Seni itu pada pandangan sendiri.
Kenapa perlu diminta-minta anggukan mereka di luar sana?
Sentiasa jujur dgn rasa hati.



6. Apa komen Fynn tentang acara-acara indie terlalu berpusat di KL dan amat jarang di tempat-tempat lain? Tidak senikah orang-orang luar KL?

Seperti saya kata secara halus tadi, seni itu sekadar satu kategori ciptaan. Sebagai contoh, Siti Nurhaliza dikatakan diva etnik kreatif, Adlin Aman Ramli dijolok orang seni alaf baru. Itu semua permainan mereka yang tidak ada kerja lain selain mensensasi.

Tapi kalau hendak menjawab apakah tidak ada pencipta seni di tempat lain, saya rasa kelakar. Sebab saya pun bukan orang KL. Saya cuma bekerja di KL. Puisi pertama saya pun tercipta di Kota Tinggi, Johor.

Cumanya, acara-acara indie (art scene) berpusat di KL sebab di luar sana, tidak ada satu tempat menonjol untuk golongan orang yang pelik-pelik macam kita. Boleh saja kau hendak busking di Danga Bay, tapi di sana, di tempat tidak lagi ada banyak pendedahan, pak guard Nepal itu akan halau kita.

Kalau acara indie musik, sebenarnya berlambak. Cuma tidak se'bersih' di KL yang memang terang-terang dihadiri rata-ratanya anak-anak universiti yang tidak hendak terlibat sangat kalau ada kemungkinan jadi kes-kes polis.

edited: tapi hari ini, tahun 2010, orang johor sudah ada JOHO! wuhuu!!!



7. Ke manakah halatuju Fynn Jamal dalam soal seni ini?

Ada suatu malam itu saya terfikir, kalaulah benar saya ada pengikut sendiri, yang setiap butir saya digemarkan dan diikutkan, kenapa tidak saya bawa mereka ke jalan yang lebih molek.

Setidak-tidaknya, saya dapat tunaikan hak saya sebagai seorang muslim.

Tapi menjadi Fynn Jamal yang jelas tidak mencirikan kecantikan Islam itu pasti mencelakan niat saya. Lalu saya mula berdikit-dikit cuba untuk mengubah diri saya.

Dan untuk mengubah diri saya, adalah dengan mengubah suara jiwa saya.
Untuk menukar suara jiwa saya, adalah dengan menulis sesuatu yang lebih ada makna.

Bukan sekadar menulis semata-mata.

Mungkin, kalau dikurniakan Tuhan kemampuan saya, halatuju saya adalah penulisan yang jauh lebih ada signifikasi dengan tujuan saya hidup. Tentang patriotik saya pada agama ini, bukan buta-buta untuk berbual tentang cinta.

Mungkin.


-------

kadang2, aku rasa, aku cakap dalam bahasa sanskrit.
ada ke manusia selain aku yang faham apa aku bebelkan?
sebab apa yang aku perasan,
bila aku mahu cakap tentang sesuatu,
yang terkeluar sesuatu yang terolah2.

apa pun jua,
aku lebih suka tidak difaham langsung,
dari disalahfaham.

ah.
lagi entri ke laut.

hahaha.

ps: aku benci huruf besar. nasib baik rajin aku sudah habis. kalau tidak, aku taip semula semua dengan huruf kecil. urgh.

17 comments:

si buta warna said...

support JOHO !!!
cayalah!

Anonymous said...

entry kak fynn...
terbaek..!!!

Anonymous said...

entry kak fynn...
terbaek..!!!

Rashila In Da house said...

bertuahnya kamu...

Teruskan karya kamu ya...

Anonymous said...

karya hebat jangan disimpan-simpan kakak.

bahasa kakak klasik la.bukan sanskrit.


-cempaka-

kekatu said...

fuh .
respect ~

GRuNGe said...

MASKARA. Hmmmmm, macam pernah dengar je group ni.

hnshzk said...

*angguk-angguk*

bnyk rasa yang samanya kita ni..
dlm diam awk beri ramai org ilham dan rasa sedar..

beL cLoud9 said...

"apa pun jua,
aku lebih suka tidak difaham langsung,
dari disalahfaham."

yep.its true bebeh.

terbaek!
usah ditanya lagi mengapa sy suka fyn jamal =)

the artist and i said...

selamat maju jaya

Onedjembe said...

pak guard Nepal itu akan halau kita.mnjadi tajuk aku.AKU SOKONG COZ BUSKER JB ADE CRITA KAT AKU...BKN PAK GUARD JE,pOLIS NGAN MPJB SKALI..ADOI...NAPE KT KL ELOK N SANE KACAU..DULU KTN PN MCM TU GAK...TAPI BANTAI KERAS PALE BUSKING LAST2 FREE...AKU ASE BUSKER2 JB KNE KERAS HATI SKEK...

Pena Patah said...

mmmm...mmmm...
begitu ceritaye akak mula menulis...=)

siti nur fadhilah said...

two thumbs up! ;)

tulisan yang sudah lama dihati tetapi tidak dijumpakan perkataannya

kosa kata biasa tapi tepat, perbendaharaan yang meletop tapi tak sampai

TEPAT SEKALI! benci capital letters? ;)

p/s-tolong ajar cari kosa kata simple tapi tepat boleh? :D

Anonymous said...

dan tulisan kakak yang bukan semata mata itu,
beri semangat luar biasa pd saya.

terima kasih :)

wanita mutalib said...

saya terlalu mengagumi kamu..

tanpa sedar..

sebenarnya..

Asyiqin Mecky said...

Saya suka jawapan untuk soalan 4.
Terima kasih kerana menjadi suara orang biasa yang tak terkeluar perkataan untuk suarakan kata hatinya. :D

Nicol Hidanah said...

Tulisan kamu bersahaja tetapi sarat dgn 'jiwa'