Monday, September 13, 2010

entri deskriptif yang tidak

hujan lebat di luar.
aku belum tidur dari semalam pagi.
esok kerja.

hujan sedang begitu garang.
lama sudah aku tidak selisih garau guruh memekiklolong;
terutamanya di subuh sebegini.

macam sayu pula.
berlawan2 sama pujuk azan pagi.
tak terlukis cantiknya.

awal2 tadi, telah aku cuba petik bunyi dari gitar kecil yang agak lama terbiar tak bersuara. tiada hasil. aku simpan semula dia di deretan gitar2 yang disusun tak rapi. aku sudah lama selesai sama muka2 surat maya wajib dewasa ini. dengan tertib: facebook, gmail, formspring, reverbnation, youtube.

langsai.

mata tetap tidak mahu tidur.
esok kerja.
eh. bukan esok.

pagi ini.
sekejap lagi.

juga awal2 tadi, puas aku hurung rumah2 maya ramai orang. dengan rajin, aku bingkiskan pesan2 jujur dan ucapan2 luhur pada mereka2 yang pernah memberi kesan pada aku. kalau aku mati ini hari, semua itu boleh jadi petanda 'buang tebiat' --jawapan kepada soalan jenis harian metro yang entah kenapa seperti ada template:

"apakah petanda mati si mati semalam2nya?"
"apakah dia ada teringin sesuatu yang pelik"
"apakah baju terakhirnya berwarna putih?"

sebagainya.

entri hari ini akan aku sengajakan berjasad deskriptif.
tidak ada bahasa2 yang dijongket sehingga perlu diteleng pandangan untuk difahami.
cuma elaborasi.

*diam lagi*

beberapa email berjaya buatkan aku hilang selera untuk memenuhi kehendak lapar tidur. aku datangkan kudrat untuk menjawab semampunya, dan seperti biasa, aku tidak pandai berpendek2 dalam memberi jawapan. kasihan sang penerima yang terpaksa membaca jela2 ceceh aku yang mungkin tidak pun relevan mana.

kadang2 aku risau untuk membuka mulut. orang tak pandai, kalau bercakap, yang keluarnya lebih banyak carut dan karut. aku takut. tersalah borak, terpampang bodoh kita. dalam sepuluh baik kita, kalau ada satu yang buruk, yang satu itulah yang disergam dulu.

dan aku tahu aku tidak sepandai mana.

aku cuma suka berkongsi cerita.
suka berbual tentang yang entah apa2.

*renung luar pintu kaca balkoni*

hujan sudah mula mengengsot berbanding tadi yang berkecah main kejar2 sama alam yang menyiang. berlumba2 seperti ada pertandingan siapa sampai cepat. siang dulu, atau kiamat ribut. dan tentu, pemenangnya adalah yang memiliki stamina. alam mungkin memang sedikit2 geraknya, hujan mungkin memang garuda gagahnya; tapi sungguh sudah fitrah dunia, yang tekun --walau sekecil mana langkahnya-- akan menang seribu ganda.

*pandang telapak sendiri*

temulang bermula di pangkal jemari aku sehingga ke atas pergelangan sudah mula kebas. dari jam 5 petang aku menaip tanpa henti, ditambah lagi dengan kemas genggaman kanan yang mengepalai tarian tetikus di lapang meja. kalaulah aku digaji dengan setiap bait tulisan yang aku perahkan, alangkah indahnya.

kaki yang sekejap disimpuh, sekejap disila, sekejap ditinggung dan sekejap dijulur ini begitu baik sama aku. dari dulu, walau selenguh mana, tetap dia tidak berserah. selalu sahaja dia temankan saudara tangannya ini.

dari dulu.

*senyum seorang*

seluruh tubuh ada hati jadi penulis,
tapi haram sang akal tak tahu mahu dirapu apa.

tulisan;
kalau didasarkan bohong, payah.
mesti ada betul dalam bohong, sekurang2nya.
waima fiksyen yang paling terkeluar akal logika,
perlu nampak tengkorak benarnya.

kalau tidak,
jahanam.

aku petik sedikit dari 'shooter', lakonan mark wahlberg pada 2007--
dari dialog salah seorang watak antagonis bernama michael sandor:

"lying will not make you stay. the truth will"

benar.
cerita bohong tak mampu buat orang kekal duduk lama.
makin meraban, makin panas punggung pendengar.
makin merapik, makin membahang kerusi terbakar.

kalau mahu menulis,
dan mahu terus didengar sehingga habis,
perlu jujur.
baru dibaca.

pembetulan:
baru dibaca oleh orang yang kita mahu membaca kita.

tapi ah, ini bukan negara yang membudaya tulisan.
termasuk aku.
--antara manusia yang membesar dengan senapang kayu berpeluru pipit,
--atau membesar dengan bau payau longkang ketika berakit menyauk ikan lampu,
--atau membesar dengan permainan direka khas dari bahan2 sisa kilang terbengkalai,
--atau membesar dengan bisa sagat lutut dan dagu yang terkokak dek kerikil tar berbatu.

orang seperti aku yang bukunya adalah pada parut2 seluruh anggota,
tidak seberuntung anak2 yang biasanya diajar duduk dalam rumah
untuk membaca dan membaca.
dan membaca.

ruginya tidak pandai untuk tekun membaca.
*gelak kecil*
aku sendiri tidak pernah ada daya mengkhatam bahan baca--
--mahu kata orang tidak membaca.

ha ah. iyalah tu.

*diam*

bercerita tentang konsep kata-mengata,
teringat aku pada suatu hari dahulu;
abah yang saban hari ke masjid untuk memenuhi pangkal malamnya pulang seperti biasa selesai berjemaah isya'. sudah rutin, berkumpullah anak2 dan isteri di mana2 ruang demi menghabiskan baki malam sebelum nanti bertidur nyenyak.

kadang2 di dapur,
kadang2 di ruang peti tv,
kadang2 di biliknya;
di mana2 ramai.
tiada sebab khusus. cukup untuk berbual semata2, kerana abah pendiam sifatnya bila di depan orang lain selain keluarga dan anak2 sekolah yang menaiki bas kuning dia.

malam itu, abah kata:
"tadi orang masjid borak2"

aku tanya:
"cerita apa?"

dia jawab:
"ustaz tegur, mana pergi anak2 muda zaman sekarang. masjid sunyi sepi.
yang ada hanya orang tua."

aku tanya semula:
"abah jawab apa?"

abah sengih:
"jawab apa? senyum dan angguk sajalah.
kita pun masa tua baru merangkak2 ke masjid.
yang tua2 di situ pun rata2 sepesen semua.
nak kata yang muda buat apa? kita pun sama."

abah dan aku gelak besar berdua.

betul juga. walau tidak dijelaskan, aku mencipta faham.
secara luasnya (dan bukan semata2 dalam konteks ustaz tadi), memang ramai orang yang bila sudah baik, suka berhujah tentang kebagusan diri barunya. atau paling tidak berkias tentang ketidakelokan orang yang masih belum sampai bagus seperti dia.

pada haknya, orang yang sudah baik ini tadi biasanya tidak perasan,
yang sebenarnya, orang2 yang dikata2nya kini adalah dia yang dulu2 juga.

kelakar, kan?
kita tahu,
tapi rata2 kita tetap tak sempat hilangkan perangai busuk itu.
haih~

*diam*

aku patut jilidkan perbualan2 tergantung abah dengan aku-lah.
macam2.
pedulilah apa orang kata, aku rasa abah aku pak haji kool.
haha.

*senyum*

cerita tadi adalah antara yang abah ajar aku:
sebelum kata orang, salahkan kita dahulu.

mahu kata orang kita tak suka membaca, aku ini jauh lagi teruk sebenarnya.
kalaulah tidak dijual buku sejarah jenis nota ringkasan zaman belajar dulu,
mahu gagal kertas sejarah aku gamaknya.
haha.

*terfikir*

sekadar fakta:
aku secara peribadi, merasakan buku sejarah patut ditulis semula dengan tertib yang lebih elok, dengan kajian yang lebih diperinci, dengan bahasa yang lebih kepada penceritaan. entahlah. mungkin cuma pada fikiran aku, tapi, rasanya hanya budak berakal mekanikal mampu menghafal semua itu buta2. kasihanlah manusia2 abstrak seperti aku. boleh naik gila, tuan2.

rasa gila itu,
bagaimana pun, bagi aku, boleh lagi untuk sanggup aku tadah.
rasa bodoh--
--tak mampu aku.

bayangkan, berkali2 baca, tak lekat2.
orang lain baca sekali, terus hafal.
orang macam aku? yang ada masalah fokus lari2 ini?
tak rasa bingai pulak, kan?

pelik. nama pun sejarah. apalah salah kalau dicanting ceritanya dengan gaya berkisah? ini tidak. sudahlah tarikh sekejap sini sekejap sana, pengkelasan dan pembubuhan kategori pula ada masa bersimpang-siur. tidakkan kita sedar betapa mustahaknya buku yang sempurna?

ambil agama kita sebagai contoh.
tanpa kitab yang betul tulangnya,
berkecamuk semua.

*diam lagi*
*pandang luar*

aku tidak sedar bila hujan kering.
dunia pun sudah mula berbiru terang.
kabus sudah sedikit2 hilang bening.

aku perlu siap untuk kerja yang semangatnya sudah hilang.
urgh.

*diam*
*ambil nafas dan hela*

aku tamatkan tulisan yang nyaris 100% deskriptif ini. ada beberapa kali terpesong dari objektif asalnya. aku sudah bilang, kan? aku, kalau sudah mula menulis, tak bertepi.
haha.

*pandang kalian dengan mata disepetkan sedikit dan bibir yang disumbingkan sedikit*

oh ya.
kalau apa yang kau nampakkan pada entri ini hanya deskriptif yakni tulisan terperinci semata2,
kalau yang kau lihatkan cuma bualan hujan, tubuh, tulisan, masjid dan sejarah lama,
kalau yang kau pandangkan cuma cerita2 pendek yang terselit di antaranya,
kau gagal.

hidup;
jangan terlalu literal, beb.
cari.

15 comments:

rowena ridzuan said...

hai fynn,
dulu selalu tanya kenapa sejarah ditulis dalam buku teks begitu? (dan versi baru ada gambar-gambar warna, kononnya untuk elak bosan tengok tarikh saja.)

sebab kata cikgu dulu, ada lompang yang mahu ditutup.penulis teks pun ada mulut-mulut yang mahu disuap makan.

kalau bercerita, jeliknya harus nampak. baru linear.

thanks.

inn said...

kak fynn.
senyum kulum saya baca entri yang ini. selalu jadi silent reader, tapi kali ini tergerak hati mengomen.

saya juga punya masalah fokus lari2, memang bingai kak fynn, bingai.
apa lagi kalau belajar medik, kawan lain laju habis baca buku, saya terkapai-kapai baru nak paham.
kadang jadi pelik dgn diri, knp pilih belajar yang begini.

sebab yang ini betul juga;
"seluruh tubuh ada hati jadi penulis,
tapi haram sang akal tak tahu mahu dirapu apa."

doakan saya berjaya kak fynn.
doakan kawan2 saya juga :)
semoga terus berkarya kak fynn, kami2 yang senyap tapi kadang berbunyi ini sentiasa di belakang kak fynn :)

hudhud said...

sis, thanks sudi comment blog. terkejut jugak sis boleh sampai ke my blog, haha.

btw betul la pasal buku teks sejarah tu. Orang kata, nak tidur, baca buku sejarah. hehe.

:)

Sarah H said...

"sebelum kata orang, salahkan diri kita dulu"

sangat betul ayat tu fynn. Us Malaysians suka tunjuk jari. Tunggu orang buat.

Masa waktu buka puasa di restoran, org di meja kiri tengok orang di meja kanan untuk tengok orang makan dulu. --> mentaliti orang kita. Sedih.


A person has tought me that everything begins with ourselves. Kalau kita tak mampu buat apa LANGSUNG, kita serah pada tuhan. Cukup.

suzie rahman said...

wah sis..best lh ayt2 sis.i admire!

hamzah ian said...

gua sokong.. ceh.. gua masuk blog mane2 semua sokong je.. haha

kekatu said...

x psti nak komen apa.
byk sgt .
kelakar . sedey . best .
haha.
yg aku setuju dlm topik sejarah .
smpai skunk aku memBENCInya
terlalu byk kronologi2 yg dicipta .
bosan .
haha

kata kila said...

sejarah selalu bagi kila stress haha

JuwitaSyafique said...

akak, fie nak jerit kuat2.
hehe, tibe-tibe nampak semula post2 lama bertahun2 dulu yang akak hide b4 dis.
tulisan akak sejak anak dara.
terima kasih sebab betul-betul kembali.

hahaha~
*suka tak hengat*
[sorry la komen ni xde kaitan dgn entry, haha]

ENCIK TIKUS said...

tak tahu apesal sejarah aku dulu selalu dapat A. then baru aku sedar. minat yang mendalam terhadap sejarah yang membuatkan subjek tue dapat A. maybe laaaa~

Hanya wajah latar belakang hidup manusia kota said...

Maaf saya jika kedengaran seperti cabar kamu.

Fynn jamal. Suatu nama yang saya pernah hormat.

Pernah.

Dan waktu itu saya rasa kamu punya bahasa indah.

Sekarang bahasa kamu masih indah. Saya tak menafi.

Tapi, apa guna bahasa bunga2 dengan perkataan dewan bahasa andai penampilan kamu penuh kebaratan yang nyata?

Saya malu bila terlihat gambar cik fynn.

Yang mana dicari kerana saya minat dengan penulisan indah ini.

Tapi sayang. Yang saya jumpa bukan fynn jamal yang saya sangka.

Saya tahu bukan hak saya untuk menyuruh.

Untuk menyusun apa yang ada dalam almari kamu.

Untuk menentu apa yang dibuat kamu.

Tapi kalau cik fynn juga berpakaian seksi bagai.

Menampakkan bahagian yang tak sepatutnya terlihat.

Jika kamu tak rasakan malu. Saya tolong merasakan rasa itu untuk kamu.

Benar malu saya melihatnya.

Kemelayuan yang terserlah dalam penulisan. Penuh. Indah. Sastera yang unik.

Tapi dihias dengan baju ketat dan terdedah.

Apa itu hai cik fynn?

Dan saya pasti amat bahawa akan terjadinya perbalahan mengutuk saya di sini daripada sebahagian 277o pengikut cik. Mengatakan saya adalah satu lagi cik anon yang pengecut.

Silakan. Kerana saya tahu dalam hati2 kamu sendiri tahu kata2 saya benar.

Hai cik fynn. Jika kamu masih remaja dan belum berkahwin. Adalah difahami perbuatan kamu itu.

Kerana di mata saya, "sexyness is a result of insecurity".

Dan dalam penulisan kamu. Tidak terlihat di mata saya sekelumitpun ketidakyakinan yang wujud.

Jadi kenapa wahai cik affina yanti?

Untuk siapa penampilan itu?

Kerana seharusnya hanya untuk sang suami kamu perlihatkan perhiasan kamu.

Bukan maksud saya untuk berkasar. Atau melukakan barangkali.

Hanya ingin menegur.

Kerana kualiti seorang manusia yang baik ada dalam diri kamu.

Sangat sayang jika dibazirkan ke atas perbuatan kebaratan yang sia2.

Harap cik fynn tak terus melenting. Dan memaki saya sepuasnya.

Fikirkan dahulu.

Apa sesuaikah pakaian kamu dengan apa yang kamu perjuangkan dalam puisi bunga2 kamu?

Apa jadi dengan tudung litup indah yang direkacipta khas untuk disarung kaum kamu wahai hawa?

Dan kenapa kamu berpenampilan sebegitu wahai pemuisi tepi jalan?

Dan tolong jangan pergi kepada jawapan 'ini hak saya' dan 'belum dapat seru'.

kerana jawapan itu terlalu murah untuk dikeluarkan daripada mulut manis cik fynn.

Balas ini jika kamu sudah tenang.

Jika enggan tak mengapa.

Buang juga saya tak peduli. Asalkan dibaca.

Mahu maki saya pengecut. Sila.

Mahu kata saya kurangajar pun boleh juga.

Harap kamu tak kecewakan saya. :)

Maaf zahir dan batin. Selamat hari raya.

Anonymous said...

Maaf saya jika kedengaran seperti cabar kamu.

Fynn jamal. Suatu nama yang saya pernah hormat.

Pernah.

Dan waktu itu saya rasa kamu punya bahasa indah.

Sekarang bahasa kamu masih indah. Saya tak menafi.

Tapi, apa guna bahasa bunga2 dengan perkataan dewan bahasa andai penampilan kamu penuh kebaratan yang nyata?

Saya malu bila terlihat gambar cik fynn.

Yang mana dicari kerana saya minat dengan penulisan indah ini.

Tapi sayang. Yang saya jumpa bukan fynn jamal yang saya sangka.

Saya tahu bukan hak saya untuk menyuruh.

Untuk menyusun apa yang ada dalam almari kamu.

Untuk menentu apa yang dibuat kamu.

Tapi kalau cik fynn juga berpakaian seksi bagai.

Menampakkan bahagian yang tak sepatutnya terlihat.

Jika kamu tak rasakan malu. Saya tolong merasakan rasa itu untuk kamu.

Benar malu saya melihatnya.

Kemelayuan yang terserlah dalam penulisan. Penuh. Indah. Sastera yang unik.

Tapi dihias dengan baju ketat dan terdedah.

Apa itu hai cik fynn?

Dan saya pasti amat bahawa akan terjadinya perbalahan mengutuk saya di sini daripada sebahagian 277o pengikut cik. Mengatakan saya adalah satu lagi cik anon yang pengecut.

Silakan. Kerana saya tahu dalam hati2 kamu sendiri tahu kata2 saya benar.

Hai cik fynn. Jika kamu masih remaja dan belum berkahwin. Adalah difahami perbuatan kamu itu.

Kerana di mata saya, "sexyness is a result of insecurity".

Dan dalam penulisan kamu. Tidak terlihat di mata saya sekelumitpun ketidakyakinan yang wujud.

Jadi kenapa wahai cik affina yanti?

Untuk siapa penampilan itu?

Kerana seharusnya hanya untuk sang suami kamu perlihatkan perhiasan kamu.

Bukan maksud saya untuk berkasar. Atau melukakan barangkali.

Hanya ingin menegur.

Kerana kualiti seorang manusia yang baik ada dalam diri kamu.

Sangat sayang jika dibazirkan ke atas perbuatan kebaratan yang sia2.

Harap cik fynn tak terus melenting. Dan memaki saya sepuasnya.

Fikirkan dahulu.

Apa sesuaikah pakaian kamu dengan apa yang kamu perjuangkan dalam puisi bunga2 kamu?

Apa jadi dengan tudung litup indah yang direkacipta khas untuk disarung kaum kamu wahai hawa?

Dan kenapa kamu berpenampilan sebegitu wahai pemuisi tepi jalan?

Dan tolong jangan pergi kepada jawapan 'ini hak saya' dan 'belum dapat seru'.

kerana jawapan itu terlalu murah untuk dikeluarkan daripada mulut manis cik fynn.

Balas ini jika kamu sudah tenang.

Jika enggan tak mengapa.

Buang juga saya tak peduli. Asalkan dibaca.

Mahu maki saya pengecut. Sila.

Mahu kata saya kurangajar pun boleh juga.

Harap kamu tak kecewakan saya. :)

Maaf zahir dan batin. Selamat hari raya.

fynn jamal said...

Hanya Wajah Latar Belakang Hidup Manusia Kota:

nyatanya belum habis dikenal saya.
:)
dengan bahasa yang molek dan tersusun sopan, kamu tegur saya.

mana mungkin saya balas dengan maki dan hina perkataan. :)

maka, kawan, terima kasih.
:)
atas semua teguran.
terima kasih.

saya masih tak ada jawapan.
selain terima kasih.
:)

Anonymous said...

terulang2 saya baca, Kak Fynn, nak paham semuanya. hehe.

"hidup;
jangan terlalu literal, beb.
cari."

---sekarang, dah ramai orang mcm ni. bila kita cakap yang tersirat sikit, mula dah tak paham. aihh..

Anonymous said...

P/s : kak.budak mekanikal lagi tak faham sejarah.lebih praktikal dari bacaannya :)