Saturday, February 26, 2011

bila tuhan boleh dilokek dan tidak dibagikongsi, agama cuma sebuah persatuan biasa.

seorang perempuan datang pada aku dalam tulisannya, meminta aku ulaskan tentang satu perkara yang wallahi membikin aku lebih 6 jam terbeku melangut di hadapan kaca empat segi tepat ini di seminggu nan sudah.

habis kering seluruh malam aku diminum sang lamunan yang tidak pernah aku perasankan hausnya. tetap, tak langsung menguntungkan. hendak dikata menang 50-50 pun sebenarnya lebih hampir kepada tidak.

malam itu, kalau ditimbang dengan konsep asas ekonomi, tidak memberi apa2 faedah yang jelas.
pada biasanya, dengan cuma memodalkan masa, urusniaga aku dengan akal akan membuah hasil yang ranum2, berair2 dan lazat. tapi entah kenapa, pada malam itu, jangankan buah, habuk pun tidak aku dapat.

jawapan tertulis dalam sasar2, acapkali menggelincir dan ada masanya seperti menjunam ke gaung batuan keras. aku terkejung --sedikit lemas.

aku buntu.
dan aku terbuntu kerana buntu itu.

bukanlah soalannya tentang penggabungan kimia atau permainan kiraan nombor matrik,
tidak juga tanyanya mengenai ilmu2 halus seperti cara2 menundukkan ifrit atau apakah perincian yang boleh kita bincangkan tentang konsep taghut. tapi sungguh aku tidak mengerti bagaimana soalan semudah itu membikin aku terpasung kaku dengan jantung paru2 di dalam rusuk berselirat meribut.



tanya dia pada aku;
apa pandangan aku tentang mereka yang bertudung

mudah. ringkas.
sekelip mata boleh dibalas.

--sepatutnya.

namun sepanjang itu, yang termampu cuma:
taip dan padam.
taip dan padam.
taip dan padam.
taip.
dan padam.


lebih 6 jam.

*diam*
*keluh*

dia sungguh2 minta aku jawabkan; untuk kertas kajian kata dia --atau sesuatu seumpamanya. aku kasikan janji untuk menyiaptulis buah fikiran aku untuknya dalam tempoh penuh sehari. namun sudah tersedia dalam buku takdir; apa yang kita hendak, tak semua tuhan akan bagi. natijahnya, jawapan aku tertangguh ke hari ini tadi.

bismillaahirrahmaan ar-rahiim.

semoga apa yang terkeluar dalam tulisan hari ini seperti selalunya --jujur tak terfitnahkan; harap2 tak terganggu ia dek apa jua. dan beringatlah betapa aku ini manusia biasa yang tetap ada salah dalam kata2 dan bahasa. maka minta dilapangkan habis si dada itu, sebelum jauh kau baca aku.

semoga di bila mana terbintilnya huruf2 yang aku padanjalinkan sepanjang tulisan ini nanti, kau kutipkan HANYA selepas ditapis dengan terpaling hati2. jangan pernah lupa; tuhan bekalkan kita dengan akal yang tak terjangkau perginya. maka guna.

-- dan semoga~
tidak setiap perkataan aku kau ambil buta2 tanpa dikajiperiksa.

*tarik nafas*
*hela*
ok let's go.

di pertama kali aku baca soalan gadis itu, yang terbuak adalah marah. aku tidak perlu bohong; aku sejujurnya merasakan jengkel dan muak dalam hati yang paling dalam ini seperti bila2 masa saja ia akan melimpahtumpah. aku getus dgn gigi dikacip rapat: "kenapa aku...?"

hijab.
lagi2 hijab.
benda yang terang2 aku tak ada.

kenapa tak mahu tanya tentang faraidh?
atau munakahaat?
ajak aku sembang tarannum pun tak apa.
selain perihal hijab.

panas hati aku. punya banyak orang, kenapa aku juga..? jelas sekali aku adalah org terakhir yang selayaknya untuk membincang perkara dosa pahala. tapi syukur. aku tetap reti membeza. mana yang hak, mana yang tidak. takkan tercampur. cuma buat tidak buat, amal tidak amal saja. itu; menjatuhkan aku dari darjat mulia ke tercemar cela.

maka rasanya tidak perlu diteka pun apa hemat aku berkenaan soalan tadi. tak mungkin ada jawapan lain selain hakikat hijab itu sendiri yang terwajib. jawapan tetap sudah lama ada tersedia. aku belum cukup gila untuk mempersoal tuntutan tuhan. sudah jelas betapa dituntutnya penghijaban seorang perempuan; maka tidak ada perlu untuk aku berdolak-dalik dalam mengakui hakikat hijab pada sang hawa. jauh mana pun aku terpisah dari definisi "hamba yang taat", tidak mungkin aku nafikan kesahihannya; atas apa alasan sekali pun juga.

yang salah, tetap tersalahkan.
aku terima.
aku salah.

jangan terus dicantas kata2 aku, izinkan aku berhabis dalam cerita ini. aku tak mahu takut-dikeji-orang menghalang telus aku dalam entri hari ini. aku lebih perlu takut pada tuhan, bukan manusia. biar aku bagikan jawapan yang paling lencun dengan kebenaran. kasi aku menelanjang perasaan tanpa merisaukan cakap2 engkau. atas apa pun juga, serahkan aku pada tuhan dan neracanya. benar, kita masyarakat. benar, kau dipertanggung dengan beban menjawab tentang manusia2 yang ada dekat. namun legalah. telah kau jalankan hak itu, wahai kalian; selebihnya adalah untuk aku junjung dan pikul sendiri.



terima kasih atas teguranmu.
tapi cukup. tanggungjawabmu sudah terselesai.

mereka yang mengenali aku akan selalu mendengar perenggan di atas keluar masuk di bibir aku. dari masa ke semasa --terlalu selalu. maaf andai ada yang merasakan aku terlalu bongkak dgn dosa sendiri. sungguh-- langsung tidak ada secebis dalam raga ini yang merasakan aku mampu menanggung itu semua. tapi bila tiba perihal dosa tumpangan ini, aku begitu percaya pada adil tuhan yang memang ternyata terpaling bijaksana. bukankah dia pemilik segala ilmu?

tidak mungkin akan disengajakan kita untuk dikejami. kalau yang menggelumang dosa itu si usop, takkan udin yang perlu ke neraka? seorang anak perempuan, selagi belum dinikahi, adalah tanggungan ayahandanya. selepas dikahwini-- atas suaminya. sampai bila seorang perempuan boleh mengelat dan bermain curi2 dari dicatit dosa?

benar. tanggungjawab kita untuk saling ingat-mengingatkan. tapi masyarakat bukan hanya wujud sejenis. untung kalau dapat pendengar yang betul2 mahu membuka hati. sejuk hati kalau ada yang menitik airmata nasuha demi ar-rabbi. tapi kalau yang jenis bila diingatkan terus bersilat? macammana? kerana itulah tuhan pesankan dalam kata2nya, perlu tahu larat kudrat kita; mesti faham adabtertib mendatangi orang; MESKI niat di dada memang terpuji lagi mulia.

contoh --kekerasan. teguran. penafian. pengasingan.
di mana larat kita sehabis2nya?

*diam*

tuhan tidak kejam;

malah dialah yang terpaling penuh kasih. kalau sungguh telah kita cuba apa mampunya untuk
menyeru kebaikan --namun seringnya tergagal; usah sekali2 dirunsingkan kebarangkalian tuhan akan mendendami kita, jangan langsung disyakkan kalau2 tuhan akan menidakadil kita. dia tuan punya segala --tak terluak tanpa kita. KITA yang terlalu perlukan dia.

tuhan tidak kejam;

di bila2 yang dia mintakan sesuatu, semampu daya, usaha untuk kasi. kalau tak disempatkan, percaya sentiasa pada sifatnya yang terpaling memahami. tuhan sememangnya yang terpaling kaya. tidaklah perlu mana dia yang serba sempurna itu dengan apa yang dikehendak dari kita. semua itu tidak lain cuma kerana mahu mendugauji kasih kita padanya. berhasil atau tidak setiap usaha kita tidak menjanjikan merit atau apa2. dia cuma mahu kita cuba. contoh; tuhan minta kita hidup dalam kebenaran, namun di kiri-kanan penuh dengan yang terpesong pacuannya. malangnya yang termampu cuma saling berpesan dan menasihat --cukup. lepas. langsai. selesai.

tuhan tidak kejam;

dia sentiasa memahami keterbatasan dalam kemampuan kita manusia. kita manusia biasa, tidak sempurna dan tubuh kita fitrahnya berbeza2. dia mengharami perbuatan bersengaja menyiksa diri. dia memberi pahala pada perkara yang mebawa kebaikan, seperti melewat2 bersahur di dinihari.

tuhan tidak kejam;
walhal kalau mau, boleh saja.
dia tidak pernah kejam;
kerana dia memangnya penuh cinta.



at-taubah, ayat ke 118:
dan allah menerima pula taubat tiga orang yang ditangguhkan
--penerimaan taubat mereka,
hingga apabila bumi yang luas ini terasa sempit kepada mereka
--kerana mereka dipulaukan,
dan hati mereka pula menjadi sempit
--kerana menanggung dukacita,
serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari
--dari kemurkaan allah;
melainkan kembali bertaubat kepadanya.

kemudian allah memberi taufiq serta menerima taubat mereka
supaya mereka kekal bertaubat,
sesungguhnya dia lah penerima taubat lagi maha mengasihani.

tuhan SESUNGGUHNYA tidak pernah kejam.
tapi manusia--
*termenung panjang*
manusia lain~

*diam lagi*
*hela nafas berat*



aku pilih untuk tidak menjawab soalan hijab itu kerana ia isu sensitif.
--dan mengikut pengajian dulu, bila mana hakikat agama sudah jadi isu sensitif,
agama tersebut sudah menjadi satu platform politik.

aku pilih untuk tidak berpanjang2 dalam memberi pendapat aku tentang hijab. orang tua2 suka kata: sudah terang lagi bersuluh. aku kira tak ada makna untuk aku gaduhkan sesuatu sekukuh itu. dari soalan yang cuma sebaris itu, sebenarnya aku boleh buka satu bahas lain, yang tidak hanya cenderung tentang perbincangan hijab atas dasar hukum semata2. aku pasti, aku cuma perlu pancing sedikit sahaja --tentang perempuan, hijab dan 2011 --aku akan dapat comment hit yang paling rancak dalam bulan ini.

kita manusia.
dan seperti aku kata tadi;
manusia memang kejam.
--kejam hati
--kejam fikiran
--kejam perbuatan

bosanlah. sama sahaja nantinya. fikiran pembaca akan terbelah tiga:
1) berhijab tapi hati bangkai
2) tak berhijab tapi sifat mulia
3) setuju dan tidak dengan dua2.

--yang mana akan membawa ke leretan perbincangan tanpa konklusi.
--yang mana selalu aku herdikkan pada adik2 yang karib sama aku. JANGAN dihukum orang pada kategorinya. manusia itu individu. setiapnya berlainan.
--yang mana bukan hanya mereka yang sudah terbiasa melihat manusia sebagai satu entiti berkumpulan.

ini akan jadi bualan nanti2.
lain hari.

alang2 sudah melencong sedikit ke ilmu asas tauhid, aku mencuri kesempatan ini untuk menumpangletak cebis2 yang tanpa sengaja aku kutip selama lebih 6 jam yang sungguh penuh itu.

*terdiam*
*teringat semula*

sampai habis seluruh malam aku. dan tetap, tak langsung terlahir apa2 tulisan tentang hijab yang sempurna anggotanya. kenapa? kenapa di setiap emfasis aku tentang hijab, tiba2 aku rasa seperti terdidih hati? kenapa dengan kau, wahai hati? apa fasalnya sama kau yang memberontak dan membentak2 ini?

*tarik nafas*
*hembus*

yang sebenarnya, memang ada sedikit bahagian di dalam aku yang seperti mahu mengaruk dan marah. terus terang saja aku bilang, dari dahulu lagi memang aku agak mudah merasa jengkel dan muak di setiap kali perihal hijab diungkit di pangkal hidung aku. aku jadi defensif dan refleks aku pada sekitar terus bergantung secara total dengan siapa penyerangku pada masa kejadian. ada masa aku jadi api dan melawan. ada masa aku jadi murung dan terdiamkan. ada masa aku jadi awan, terus menghujan. ikut masa.

selama hidup aku yang berkembarlekat dengan baran sang naga keramat ini, aku rasa lenting dan panas hati aku adalah tindakbalas terhadap manusia2 kiri-kanan yang aku anggapkan tukang sibuk yang tak punya kerja apa selain menyorong hidung ke celah belah kain aku; khusyu' mengecam bau di setiap incinya --lagi hamis lagi seronok, lagi terhanyir, sampai bertepuk. entah. aku menggelegak sendiri.

jangan disalahfahamkan. bukan aku tidak setuju sama indahnya konsep melunaskan fardhu kifayah kita dalam kehidupan berkomuniti. aku mengerti pentingnya saling mengambil tahu, mempeduli jiran dan hidup saling bertanya cerita baru. aku faham perlunya semua itu. tapi ah. kita lebih kenal ahli masyarakat kita. dari bertanya, mula mengonon peduli, terus mahu diupdate selalu, tiba2 merasa mahu jadi insan mulia yang tekun dengan objektifnya mengubah manusia sekelilingnya menjadi hamba allah yang terpilih.

sifat buruk aku yang memang payah untuk aku buang dari kecil lagi adalah pantas melenting. pantang ditegur, mulut terus handal membidas. tak boleh dikata, mata terus tercegil lekas. aku seperti api, dan hanya kelembutan dapat melentur aku. tapi sejujurnya, tidaklah aku degil mana. cuma aku ini ada sedikit memilih; bukan sembarangan orang aku izinkan tembus. dan kalau aku sudah tidak suka, lagi aku sengaja lawan2kan, lagi aku rancak kacau2kan.

ya. aku tahu.
buruk sifat.
berulat perangai.

haih~
apalah nak jadi dengan kau ni fynn~

tapi, fitrah aku yang sebenar2nya adalah seorang budak kecil yang gemar bertanya tentang semua benda. aku suka duduk bersila depan orang tua yang pengalamannya merata; mendengar setiap cerita mereka.
--jadi tidaklah tepat untuk aku kata aku ini langsung tak mendengar kata.

aku suka ilmu. aku suka belajar sesuatu yang baru. aku suka perasaan baru terperasan sesuatu walhal sudah lama sesuatu itu di depan mata aku. aku paling suka ilmu tauhid, kerana dalam tauhid ada terlalu banyak cinta. tauhid ajar kita konsep percaya, redha, setia, macam2 lagi.
--bermakna bukan intipati ilmu agama mereka yang bakar aku punya hati.

aku terlalu meninggikan budibahasa;
pantang aku --bongkak ria' manusia.
aku tak suka berada dekat dengan entiti yang mengetahui dirinya bagus.
aku tak suka perasaan mengetahui AKU tak cukup bagus.
aku tak suka diberitahu aku ke muka yang aku tak cukup bagus.

dan yang paling jangan buat depan aku adalah:
memberitahu yang tuhan tak suka aku.
aku boleh terus terkam kau sambil mencakar2 sampai hilang akal.
percayalah.

sebab itu aku selalu cuba jauhkan diri dari golongan sebegini. jenis yang mengetahui dirinya lebih dekat sama tuhan berbanding aku. jenis yang lebih mengenali tuhan dari orang terpinggir macam aku. aku perlu menghindar dari mereka, sebab aku risau aku akan benci agama demi manusia2 sebegitu.



bagaimana penyebar agama islam
telah membunuh islam dari ramai anak muda melayu

percaya atau tidak, sudah terlalu ramai sahabat aku yang memilih untuk hidup tak bertuhan. sayu hati aku bila fikirkannya. ya. salahkan individu itu. itu sudah memang pasti. tapi kalau aku bilang sesuatu ini (yang mana aku tidak pasti akan dipersetujui atau tidak), yang sungguh aku bukakan pekongnya dari penglihatan depan mata kepala ini, harap aku --semoga diiktibarkan.

kita yang bunuh islam dari anak2 muda kita.

berkali2 telah aku cecehkan; kalau benar mau hidup berjuang untuk tuhan dan agama, fasihkan dulu seni ilmu da'wah itu. kerana cuai dek kurang penuh dadanya, kerana bongkak merasa lebih tinggi di sisi pencipta, kita hilang ramai muslimin muda.

maaf atas keras aku berbahasa. tapi ini hakikatnya. aku sendiri jauh dari sempurna. maka sudikan mendengar suara aku yang seolah2 berdiri sebagai salah seorang manusia penuh cela yang merata.

yang betul2 mampu --selalu rasa tidak cukup layak jadi penyeru ummah yang tergantung2 jiwa.
yang tak cukup kenyang ilmu di dada --beriya2 mahu jadi penyelamat bangsa.
macammana?
hancurlah sudahnya.

sungguh, aku puji niat itu. lillaahi ta'aala. hidup fii sabiilillah. bagus. tapi tolonglah. salah hentak tapak, silap buka langkah, bahananya pada agama kita. da'wah bagaimana kalau di akhirnya lebih ramai yang lari dari mahu ke mari? da'wah jenis apa kalau lebih digambarkan tuhan sebagai pemarah yang seringnya murka dan mencelaka hamba2nya? da'wah apa bila orang bertatih dipengkes kaki dengan alasan untuk mempercepat belajar berlari?

islam yang asalnya cantik jadi comot kerana ria' manusia separa sempurna ini. mereka lebih hampir duduknya sama tuhan, mungkin. dan agaknya kerana menyedari itu, tersergam dari ekor mata betapa mereka begitu beruntung kerana tak terhanyut ke laut lepas. tidak salah mensyukuri tuah dipelihara dan dirangkul tuhan ketat dan kemas. memanglah tak nampak salahnya. tapi bayangkan situasi ini.

di tengah kotaraya.
dengan kesesakan lalulintas tahap mustahil.
kau dengan kancil buruk, tak ada penghawa dingin.
cuaca panas sampai peluh terbintil2.
di sebelah, di dalam kereta mewah yang serba hebat,
pemilik kereta mewah itu memandang kau yang sedang termenung menghadapnya.
dia tidak berkata apa.
tidak membuat muka apa.
tapi kau dapat baca pandangannya yang memandang engkau sambil berfikir:
"nasib baik aku bukan dia".

kalau kau tidak mampu membayang cerita pendek itu tadi, bertuah sungguh kerana tidak pernah kau merasa dipalat sebegitu halus. kalau boleh, sekarang aku minta kau fikirkan apa di dalam kepala manusia2 terhanyut ini bila yang bukan harta yang jadi perbandingan, tapi kasih tuhan.

sakit, tuan2.
sakit bila dibiadab dengan kata2 mereka yang menyampaikan suara tuhan--
seolah sebegitu sekali kejamnya tuhan pada hamba yang sudah tidak dia mahu peduli.

begitu menyakitkan. kadang2 aku jadi tidak faham. bagaimana manusia separa sempurna ini --yang begitu arif tentang tuhan dan agamanya ini-- boleh sekadar memejam sebelah mata meski menyedari olahan bahasa verbal dan tubuh mereka ada masanya menyinggung rasa? apa cukup alasan apa-saja-demi-kebaikan-yang-lebih-besar-pulangannya itu untuk memerisai perlakuan mereka?

"kasar sedikit; tak apa. kasi sentak. semoga esok2 dia ingat tuhannya dan sedar"
"keji sedikit; tak apa. niat kita elok. mmg dalam quran, pelacuran itu diselar "
"jenis manusia apa kau ini, memang neraka saja layak kau nanti"
"aku bukan 'ndak kata apa, tapi tuhan dah kata golongan kau takkan diterima lepas kau mati"

be cruel to be kind,
kata orang putih.
all is well; we aim for the greater good.

ini bukan kali pertama kita dihadap cerita seumpama ini. maka soalan aku, apakah alasan tadi cukup untuk memberi justifikasi pada perbuatan manusia separa sempurna ini yang menghirisnipis hati orang2 yang masih belum jumpa jalan pulangnya? bersindirkias dan berperli bahasa dalam menyampaikan pesan tuhan, sehingga lemas orang2 yang sememangnya sudah lama terjauh itu --apakah itu memang kaedahnya?

dan konsep greater good itu. perlu apa digunapakai dalam agama kita bila datangnya ia dari bible dan bukan kitab kita sendiri? kenapa tidak dicontohkan rasulullah yang tak pernah membuang senyum walau dibaling najis saban hari? atau kenapa tidak diikut sunnah baginda memanjat doa bila tak ada apa yang mampu dibuat untuk membuka hati sang terhanyut itu? dari buku mana datangnya public humiliation dalam menyebar cantik agama?

apakah mendapatkan-kebaikan-yang-lebih-besar itu cukup untuk menjadi lesen dalam proses berda'wah sesama kita? dengan mengalamatkan tuhan sebagai destinasi, apakah dihalalkan keras bahasa yang menyamai perbuatan memaksa? ok. mungkin tidak secara terang2, tapi sikap persisten seorang penda'wah yang melangkaui tertib2 dan bulatan selesa seseorang juga tetap dikira sebagai memaksa.

laa ikraaha fiddiin
tak ada paksaan dalam agama.

aku tidak sebodoh itu untuk semata2 menafsir tak ada yang perlu dalam agama ini. tidak. tapi aku fahami pesan tuhan yang seorang islam itu islam tanpa perlu ada apa2 yang memaksanya menjadi islam. bukankah islam itu sallama --memelihara, menyelamat, menyerahkan diri dengan submissif dan membagi diri pada tuhan dengan amannya? lalu kenapa, di banyak waktu, tidak aku rasakan lembutnya agama ini? mengapa terasa begitu susah sekali untuk aku dikulit perasaan aman, walhal sesungguhnya ada saudara2 seislamku menemani ?

bagaimana tergamak manusia2 cela seperti aku dibiar merasa seolah2 dihalau dari tuhannya sendiri? kenapa perlu begitu? kenapa perlu dilokek tak mau dikongsi? berpegangkan alasan insan sompek tak punya tempat di sisi tuhan --dimurkakan, disumpahcelaka dan dimarah sentiasa, semacamnya tidak layak untuk manusia hanyut ini menyebut langsung perihal tuhannya. diumpamakan seperti agama ini sudah menjadi semakin material dan didasar dari pemanifestasian luaran semata2. benar, tuntutan tetap tuntutan. tak pernah aku lari dari hakikat itu.

tapinya, apakah tidak mereka ingat bahawa telah tuhan sebutkan dalam kitabnya yang hidayah itu tidak serentak sampainya; tidak sama berat-ringannya? kita semua ada cerita kita. ada orang hidayahnya muncul sebaik membaligh dan meremaja. ada yang selepas ke tanah haram baru merasa. ada juga mendapat hidayah tak semena2 bila bangkit dari lena. ada yang nasibnya, sampai ke mati tak tiba2.

sedang bapa saudara rasulullah yang setia mempertahan dan mengubu baginda tidak disempatkan, apa lagi kita manusia2 biasa. tetap, itu tidak pernah menjadi alasan untuk tidak mencuba langsung menjadi yang terbaik semampu daya. iman pada qada' dan qadar perlu ada. percaya sehabis2 isi hati pada ketentuan tuhan yang maha bijaksana dalam kerja2nya.

siapa kata orang macam aku tak pernah rasa rindu pada dia?
siapa kata orang macam aku tak pernah sayu melihat hanyut diri, bila malam tiba?
siapa kata orang macam aku sudah kering hati, takkan terkesan sampai ke mati?
siapa kata orang macam aku sudah terlalu jauh, sampai tuhan buang peduli?

aku pegang ini selalu:
tuhan lebih tahu.



satu revelasi yang
tak pernah aku tahu akan muncul


*diam lama*
*berkira2 utk sambung tulisan ini*

dalam lebih 6 jam malam itu, aku menyedari sesuatu tentang diri aku. sesuatu yang tidak pernah aku perasankan selama 29 tahun jauhnya perjalanan ini. ingat tidak cerita aku tentang baran aku bila datang bab teguran? tentang lekas panas seorang aku bila disuruh2 --terutama bila sang penda'wah itu kurang adab bahasanya?

sedari dahulu aku fikir lenting dan haruk aku bila berpunca dari degil dan keras kepala aku menerima seru. aku fikir aku ini hatinya sudah mati dan terpenuh hitamnya dek dosa. aku fikir aku sudah terlalu jauh terhanyut sampai aku jadi tidak tentu hala bila datang orang menegur agama yang kurang terjelas di rupa. aku fikir aku sudah habis.

betapa sebenarnya tidak.

pekat malam berwarna kopi pahit itu begitu panjang. sampai entah bagaimana terperasan aku akan sesuatu. marah aku bukan pada penda'wahnya, bukan pada intipati da'wahnya, bukan pada gaya disampaikan da'wahnya. marah aku di setiap itu adalah pada aku. kerana setiap itu, TELAH AKU TAHU.

aku marah sama diri aku. kerana tak gagah untuk berwasatiah demi pencipta aku.
panas hati aku, baran kepala aku, gelekak jiwa aku--
semua itu adalah cara tubuh aku
memberitahu aku
yang mereka semua mahu aku tahu
yang mereka tahu aku tahu.

*diam lama*
*terdiam panjang*

menyedari aku ini tidak sempurna dari terlalu banyak sudutnya, aku terlalu mengharapkan kalau2 ada mana2 ilmu pengetahuan yang terkutip sepanjang perjalanan hidup aku ini disudi orang. tuhan ciptakan aku tanpa daya menjadi bunda, maka doa2 anak soleh terang2 takkan aku rasa. ah. tak apa. aku sendiri tidak pasti apa aku mampu memberi didik yang sempurna tentang akhirat dan dunia.

cuma jariah yang ada untuk menjanjikan aku terus hidup tak mati atas dunia ini. selagi dipakaiguna, selagi itu aku bernyawa di antara bibir2 yang menyebut nama aku dalam hari2 mereka.

aku mungkin naif dan bodoh.
tapi aku beriman pada cerita tuhan.
dan aku selalu cuba untuk tidak pernah lupa minta disempatkan.

*blank*



----------------------
PENTING:
semoga TIDAK kalian pukulrata golongan penda'wah ini. bukan semua. aku ulang, bukan semua. aku ada beberapa adik2 dan kawan2 yang berpurdah. TAK PERNAH walau sekali aku merasa diburukkan bila bersama mereka, malah semakin aku sayu hati membanding kami bersama.

tolong. jangan kerana kekurangan aku dalam menulis jelas terhukum semua penyambung syiar itu. janganlah~ harap kalian dapat faham apa yang aku mau kata.

terima kasih semua.

32 comments:

Imran Yusof said...

(Y)

Arm_mj said...

k.fynn..*hugs* yang buruk itu selama-lamanya tidak kekal buruk..yang cantik itu tidak selama-lamanya kekal cantik..k.fynn..moga kamu terus mencintai ilmu tauhid..saya kagum dengan k.fynn =)

jambancomel said...

saya suke penuliasan akak ,jujur dan telus ,manusia suka menilai pada luaran,padahal berbeza pada dalamannya..:)



http://jambancomel.blogspot.com/2011/02/fynn-jamal-pesawat-gegar-uniten.html -review pasal akak like ur perform,spontan walau awal2 ingat cam gelabah jap haha

Anonymous said...

Aku pernah ade dekat tempat kau fynn, bila soal hijab terlalu malu untuk dibincangkan. Sebab nya sungguh klise, aku tidak bersedia, doakan hidayah datang. Dan kemudian bila aku ke masjid untuk solat terawih, bulan yang paling terkenal untuk manusia menjadi rajin, aku rasa malu pada tuhan. Tapi aku pendam.

bila kita mampu memegang ego depan tuhan, agama kita bagaimana boleh kita tegakkan

aku masih ingat fynn, kali pertama ke masjid dengan hijab,
perasaan indah itu masih tak dapat diterjemahkan

hamba-Nya said...

fynn, izinkan aku melontar sedikit kata-kata. semoga kau berlapang dada saja.

aku pernah berada di dalam dua situasi ini. pertamanya, adalah seperti apa yang kau tulis di entri ini. dan aku mengiyakan setiap butir yang kemas kau tuturkan.

dan aku sekarang berada pada situasi kedua. yang pada situasi pertama itu, cukup aku bengangkan, ya seperti katamu; terlalu merasa diri sempurna kerana dekat dengan tuhan, kononnya.

di saat ini, aku mengerti setiap satunya. dua-dua situasi ini telah aku lalui. semua ini cuma persepsi, percayalah. mana mungkin kau dapat membaca setiap butir kata hatinya? seperti kau tidak mampu membaca kata hati mereka. dan seperti mereka tidak mampu membaca kata hatimu.

cuma, bila kau turut menyertai sebagai salah seorang dari mereka, mungkin kau akan mengerti. ianya tidak semudah seperti apa yang kita sering katakan "mengapa mereka tidak seperti rasulullah yang tak pernah berkasar pada orang2 yang menentangnya?", "mengapa mereka tidak seperti rasulullah yang sentiasa tersenyum walaupun dihina dikeji?" mereka itu juga cuma manusia seperti kita fynn,sedangkan rasulullah itu jelas adalah maksum. janganlah disangka mereka yang menyampaikan itu adalah malaikat.

dan pada saat ini, aku ingin menafikan masih ramai lagi pendakwah yang tidak seperti itu; yang dalam persepsi di minda kita.

kau pernah tahukah di dalam hati mereka itu sering tersimpan pengakuan juga pertanyaan untuk mereka sendiri di sudut2 kecil yang tidak mereka perlihatkan, kecuali pada tuhan; "ya Allah, jauhkan aku dari merasa megah, jauhkan aku dari merasa bongkak" walau penampilannya itu dilihat seperti perasan sempurna?

justeru, cubalah ubah persepsi itu. jangan terlalu sensitif apalagi dalam tegur-menegur dalam bab agama. mengapa tidak optimis saja?

mungkin ada setengah berperangai seperti ini, dan jika begitulah orangnya; jangan sekali-kali ia membolehkan persepsi kau tentang agama semakin berang; iaitu orang-orang agama memang seperti inikah?

jika kau berada di tempat mereka, aku yakin kau akan katakan tidak. seperti juga kau tetap mengatakan bahawa kau cintakan tuhan meski dirimu lalai dan seumpamanya. Allah lebih tahu hati hamba2Nya kan?

dan dari dulu aku sering tertanya2, mengapa soal yang selain agama, kita mudah saja menjadi optimis menerimanya bila ditegur, namun soal agama kita menjadi terlalu sensitif jika ditegur. mengapa?

maaf. tidak ada sama sekali niat untuk berbalah dan tidak pernah merasakan diriku bersih darimu dan seumpamanya.

kita ini, sama ada seorang pendakwah, mahupun ulama sekalipun, tak akan pernah ada sempurna, dan janganlah dimintakan dia untuk menjadi sempurna, kerana mustahil. cubalah optimis, kerana sekurang2nya dia mungkin sudah berusaha untuk menjadi terbaik dalam menyampaikan walaupun hakikatnya adalah tidak. tetapi betapa burukkah dia dalam menyampaikan, islam itu tetap indah dan tak pernah dipengaruhi oleh penganut2 yang ada di dalamnya, kalau benar kita cintakan agama.

islam itu indah. islam bukan hanya 'amar makruf' tetapi adalah 'amar makruf nahi mungkar'...

wassalam.

-hamba yang bodoh lagi hina.

fynn jamal said...

hamba-nya.

subhanallah.
terima kasih, wahai kawan.

mungkin saya lupa utk letak di situ yang tidaklah semua yang buat saya merasa sebegitu.

saya bukan bongkak langsung tak boleh ditegur. saya serba tahu kurang saya. kalau saya jenis yang penuh benci sama golongan penyeru, takkanlah hendak saya karib dgn seorang pembaca perempuan yang manis berpurdah siapnya.

percayalah. saya tidak sama sekali menutup hati saya pada ini semua. malahan saya terlalu gemar mendengar cerita2 dan majlis2 ilmu seumpama.

saya cuma lewat ini ditembungkan dgn beberapa manusia yang cukup menyinggung saya. tapi ah. mungkin kerana tidak dipesifikkan tulisan ini pada segelintir, nampak seperti saya bakar seluruh kebun kerana setandan pisang yang buruk.

maafkan saya sbb kurang jelas dalam tulisan saya. semoga disempatkan saya utk balik pada jalan tuhan.

dan inche,
terima kasih kerana begitu manis dalam menegur saya. saya doakan inche dimurahkan rezeki tuhan.

terima kasih. lagi dan lagi.

Anonymous said...

Assalamualaikum.

aku tidak lebih baik darimu. tidak juga lebih baik dari mereka yang tinggi ilmu agamanya, yang kukuh imannya. tapi, sering aku panjatkan, semoga Allah yang penuh kasih itu memilih hati-hati kita untuk beriman kepadaNya. semoga Dia sudi melengkapkan jalan kita kepada soleh dan solehah. walau pada hakikat kita tak akan tercapai ke tahap itu. benar, ada yang berhijab, tapi hatinya hancur dan ada yang tidak berhijab tapi hatinya mulia. keduanya saling tidak lengkap. tapi di sini silap kita bermula.hadith pertama, adalah tentang niat. benar, Allah melihat ke hatimu dulu, tetapi ingatkan lah hati-hati kita, jika hati hanya berdetik, hati mengakui, lidah membenarkan, tapi perbuatan tidak menzahirkan, maka pincanglah seorang Islam. seterusnya goyahlah akan imanmu. menarilah iblis-iblis kerana berjaya mengurangkan elemen-elemen penting untuk kau berdiri atas nama Islam. untuk berubah, benar perlukan persediaan, tetapi ketahuilah, persediaan itu butuh kefahamanmu bukan waktumu. jika sedar akan kewajipanmu, maka panjatkan doa padanya untuk buka hatimu ke jalan kebenarannya. aku juga manusia dari lembah hina, penuh khilaf, dari jalanan gelap. saat aku sedar, sungguh tidak tertanggung silam-silam yang begitu mencekik pangkal rasa. sesungguhnya aku sangat takut sehingga tak terluahkan. aku takut, jika aku tidak berpaling kembali padaNya, Dia menggelapkan jalanku. kerana hati ini sudah berdetik berkali-kali. detik, hilang, detik hilang. tapi kenapa aku masih dalam penafian? benar aku jahil, lagi sombong pada Penciptaku. sungguh aku tidak sedar dalam kewarasanku. sungguh aku bersyukur Dia masih kasih padaku. sungguh tak terluahkan apa yang aku rasa, bila mana Dia masih memberi petunjuk kecilNya padaku. sungguh aku malu besar padaNya kerana aku sering mendustakan ayat-ayatNya. sungguh Dia tidak butuh kita, tapi kita butuhkanNya. maka itu aku mula memahami, jadi aku pilih untuk patuh. kerana semua kebaikkan itu akan berbalik kepadaku. sungguh Dia tidak rugi dan untung sama ada aku lari atau pulang padaNya. tapi aku lah yang mendapat imbalannya. Allah itu pemilik segala sempurna. apa yang datang dariNya itu adalah hadiah yang tak ternilaikan untuk kita. maka fikirkanlah untuk apa semua perintah-perintahNya itu turun kepada semua umat manusia. semoga kita semua menuju jalan yang sama, iaitu jalan kepadaNya. dan satu lagi pesananku, walau aku sedar aku hanya cebisan insan yang tidak layak untuk mengungkap pesan-pesan ini padamu. ketahuilah hakiki sebenar bahawa, luaranmu itu datang dari dalamanmu. jika kau membuat seteko teh, lalu kau tuangkan ke dalam cawan. mustahil sekali ia akan menjadi susu. ketahuilah, bagaimana hatimu tercorak, begitulah anggotamu akan menzahirkan. tanpa sedar, akhlak diperhatikan. dari situ hati dinilaikan. ketahuilah, hati dan perbuatan itu umpama sinonim yang tak terpisahkan.

Anonymous said...

kak.
saya sayang awak.itu jujur.awak terlalu baik untuk kami-kami ditepi jalan ini kak.

awak sentiasa ada untuk kami;

waktu kami perlu kakak untuk mengadu, awak ada.
waktu kami perlu ibu untuk memeluk dan meminta pandangan, awak ada.
waktu kami perlu teman untuk bergura mesra,awak ada.

jadi, sebagaimana saya mahu yang terbaik untuk ibu, kakak, juga teman2 saya, lebih dari itu saya mahukan untuk awak.

kak,saya punya satu kisah.cerita ini sungguh benar~tak terfitnahkan jika dipinjam kata kakak.saya benar2 berharap kakak cuba untuk memahami setiap apa yg saya ceritakan ini.

suatu hari kereta saya bersama teman2 rosak.bukan dipinggir hutan.jauh sekali dikawasan sunyi.tapi tepat di tepi traffic light yang sah2 nya banyak kereta yg lalu lalang.yg menghampakan kami, sebanyak2 kereta yg ada tiada satu pun yg sanggup berhenti dan bertanya puncanya pada kami.semuanya hanya membunyikan hon dan marah2 kerana kereta kami telah menghalang perjalanan mereka.

tapi syukur kemudian datang sepasang suami isteri dan 3 orang anak mereka yg sudi bertanya keadaan kami.kak, pakcik dan makcik itu usianya lewat 40-an dan pakaian mereka sama sekali tidak seperti usia.pakcik itu memakai t shirt tanpa lengan dan makcik itu pula berlegging.saya kira, jika kita hanya melihat luaran, sah2 dah ramai yg kutuk penampilan mereka.

tapi subhanallah hati mereka terlalu baik kak.terlalu baik.sanggup pakcik itu tinggalkan isteri serta anak anaknya ditepi jalan dan bawa kami yg langsung tiada pertalian dengan dia ke bengkel.dan anak anak serta isterinya langsung tidak mengeluh dan masih boleh berbual mesra dengan kami seolah2 mereka itu insan yg terlalu dekat dalam hidup kami.terkedu saya kak.

dalam banyak2 kereta yg lalu lalang itu,mustahil jika tiada langsung ahli2 agama atau mereka yg lebih sopan pakainnya.tapi yg nampak susah kami, siapa?

dan sungguh,setiap kali terkenang pakcik dan makcik itu,yg wujud dalam fikiran saya adalah kakak.

terlalu malang kak, jika manusia sebaik itu, yang mulia hati,nanti2 tetap dihukum Allah.

jika kakak ada ditempat saya,kakak tahulah bagaimana kuatnya perasaan saya agar manusia2 mulia ini dipelihara oleh Allah.kerana itu yg selayaknya untuk hati sebaik mereka.

saya tak mampu untuk membalas budi kalian dengan wang ringgit,harta benda atau pangkat.

yg saya mampu,hanya dengan doa,yg ikhlas agar kalian dipelihara Allah didunia,lebih lebih lagi di"sana" kelak.

sungguh,tiada sebesar zarah pun niat saya untuk buat kakak berkecil hati atau tersinggung.maafkan saya jika kakak berkecil hati dengan setiap yg saya tulis.

doa saya sentiasa ada bersama kakak,juga pakcik serta isterinya itu.

CKB said...

Saya memahami situasi kak fynn.. semoga Allah merahmatimu.

Andai rasa hati bernyalakan api, padamkanlah ia dengan air (wuduk ).

Semoga akak tabah menghadapi manusia yang suka menggunakan sindiran dan kejian sebgai kata perangsang kononnya.
Tapi, saya rasa tak semua begitu kan? Masih ada yang berhati mulia.

;)


"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti aku yg tbaik dikalngan kamu, bukn juga yg paling soleh dikalangan kamu, kerna aku juga pernah melampaui batas utk diri ku sendiri, seandainya sesorang itu hnya dpt menyampaikan dakwah pabila ia menjadi sempurna nescaya tidak akan ada para pendakwah. Maka akn jadi sedikitlah org yg memberi peringatan " Pesanan Imam Hassan al- Basri.

Selamay berjuang mujahidah. ^^

Admin said...

...bertudung tu..untuk menutup aurat tapi tak semestinya yang bertudung tu menutup akhlaknya...

saya malu sangat. said...

terima kasih banyak banyak kak.
entry ni menjadi pemanis hati sebelum saya syahid kecil.
i wish i could meet you.
baca blog akak, it kinda give me that warm feeling.

zarahana said...

Ada part dalam entri di atas terus pegang dada dan air mata mengalir.

Ya.bicara hati ke hati.
saya bukan islam dan mencintai meminati islam.

Semoga kita semua mendapat hidayah.

*keep in touch follower puisi tepi jalan dan kak fynn Jamal.

fikrahuddin said...

nak tambah, tp rasa komen yg ada dah cukup power.

'orang bertudung tak semestinya baik'. define 'baik'. kerana bagi saya baik adalah bila kita taat perintah tuhan.

perontah tuhan bukan sekadar buat baik macam sedekah, atau bagi binatang belas, atau pakai tudung.

tapi SEMUA di atas.

susah nak jadi sempurna. tak mungkin sempurna pun. dah namanya manusia. sebab itulah Allah memandang usaha. bukan natijahnya. ah, saya kira kak fyn mengerti bicara saya.

kita ni memang bijak menyusun kata2. tgk di blog, tgk di status fesbuk. lebat gila. tapi praktisnya tak ke mana.

sama2 lah sedar diri ya..

no offense. teguran utk diri sendriri jugak, walaupun sy tak perlu pakai tudung. hehe

Anonymous said...

bersyukurlah jika ade manusia2 yg sudi menegur dan berani menegur kita...di zaman moden ini bukan senang utk kita berjumpa dgn org yg sudi berbicara silap kita...walau org itu tidak lah sesempurna mana ..mungkin telah Allah utuskan die yg mengubah hidup kita.
Kebanyakkan manusia di luar sana mngambil keputusan.."biarlah....biar akhirat nnt masuk neraka"....Alangkah bertuahnyer kita ada org yg tidak sanggup melihat kita diseksa..mahu kita bahagia rasa sama apa yg mereka rasa"
Allah itu Maha Penyayang....walau kita umatnya tidak sempurna..malah jarang sekali bersyukur...RahmatNYA tetap ada...sebab DIA tahu kita lemah..
tetapi Allah jua Maha Adil...setiap dosa dan kebaikkan kita sebesar zarah akan dikira...perintahNYA tetap akan ditimbang tara...dan solat itulah perkara pertama yang akan dikira...
Setuju dgn komen HambaNYA....walau apa yg datang kita hadapi dgn tenang...bila kita marah kita akan samakan diri kita seperti org yang kita marah...
Perjuangkan AGAMAMU sepertimana kamu memperjuangkan puisi2 mu...
Walau kita tahu kita tidak mampu tetapi contohi Rasullullah S.A.W...adab sopan nya...cintanya kepada Allah..setianya die pada penciptaNYA..

Semoga hati kamu tenang dan Allah bukakn pintu hati kamu suatu hari nanti.

Salam.
Kakak yang dulu dilembah hina kini rasa amat bahagia dan tenang hanya dengan kasih sayang Allah

aspirin said...
This comment has been removed by the author.
Longlegs said...

haha.. saya sudah agak. Fynn akan diserang oleh pompuan yang bertudung jengkel.

Perhatikan betapa hebatnya Siti Nurhaliza yang naif dan simple itu diserang oleh pompuan lain yang iri hati dgn kecantikannya dan tidak bertudungnya.

Fynn kena kawan dengan mereka yang suka dan mendoakan kejayaan Fynn.

Ramai pompuan Melayu di luar sana yang pasti akan jeles, dengki dengan kejayaan, kebebasan Fynn sedangkan mereka terkongkong.

Walau bagaimana indah yang diceritakan oleh pompuan yang berhijab sebenarnya untuk budaya arab itu adalah kongkongan. Dan kebahagian dan keindahannya adalah keindahan seorang hamba negro yang dirantai kaki oleh Masternya.

Anda pompuan Melayu bukan pompuan Arab. Jadi awasi jangan terbawa2 oleh golongan yang pseudo Arab.

Sebab di dalam budaya Arab , pompuan diminta menyerah kepada kekuasaan lelaki ke atas nya.

Jangan hairan Rosmah dijemput oleh Arab Saudi memberi ceramah. Kenapa? Kerana orang Arab pun sudah sedar kedhaifan pompuan mereka sedangkan pompuan Melayu peratus yang terpelajar adalah 99%.

Sebab itu jangan hairan jika orang Arab sendiri mengharapkan kepada Melayu untuk menjadi contoh Islam moden dengan mengambil Rosmah yang tidak bertudung apalagi hijab sebagai sumber Islam moden.

Ye pompuan Arab jeles mereka tidak boleh memandu kereta di zaman moden ini.
Di Iran pompuan diharamkan menjadi hakim, juga di Arab. Sebab itulah Islam yang sebenarnya 1000 tahun dulu.

Tapi kita di 2011 buat apa pompuan Melayu nak hidup mcm pompuan Arab 1000 tahun dulu?

Lelaki Melayu sendiri malas nak jaga pompuan. Lantak kaulah nak bertudung ke bermekap ke. Melainkan mereka yang kaki kontrol. Jika dah jatuh hati pada lelaki kaki kontrol ikut sajalah..itu cerita lain.

Ceritanya adalah Rosmah pompuan Melayu yang tidak bertudung dijemput memberi ceramah kepada pompuan Arab di Saudi Arabia...hahaha..

Fynn juga patut menjadi contoh kepada remaja Melayu sebagai wanita Melayu moden, berkarya, berpuisi dan memandu kereta.

Ya jika berpurdah dan memandu is so dont go together untuk submissive women.

Jgn silap, saya pun suka pompuan yang submissive..hehe. tapi yang cantik je..dan bermekap dan long legs..berminiskirt kalau boleh..muahaha

@Fr!^n@ said...

Cik Fynn,

Kita ni semua manusia yang tak pernah lari dengan kesilapan dan kita tak sempurna... bukan senang nk jadi sempurna di mata Dia.. tapi arahan yang dia suruh kita buat..
1. Buat benda yang di suruh dan;
2. Tinggal benda yang dilarang..
phew.. bende yang simple tapi susa nk tuka jadi action.. same goes to me..

Berhijab memang menutup aurat.. tapi tu baru satu arahan yang dia suruh.. byk lagi arahan yang no.1 yang dia suruh.. aku pun tinggal lagi.. pehh..

Untung kau sedar apa kesalahan dan kau akui.. aku kagum dengan kau sebab manusia ni memang fames dengan tuding jari..suka salahkan orang lain.. padahal sendiri yang buat.. ni pun tuju kat aku jugak.. hoho

Ape pun.. ku doakan kita semua dilimpahkan rahmat dan hidayahnya untuk fulfill arahan yang 2 dia bagi kat atas tadi.. huhu senang tapi complicated..

Semoga kau tabah fyn.. :) selalu ingat Dia tetap ada walau sebusuk mana pun kita.. :) sebab kita ni ciptaan Dia.. :)

Tieah Madian said...

Erk..

Anonymous said...

Kak fynn, kawan saya pun pernah hadapi situasi kak fynn. dia pernah bertanya kepada saya kalau orang yang tak pakai tudung lepak dgn kawan2 yg dia dah lama kenal sampai 1, 2 pagi orang panggil social. Tapi orang pakai tudung yang overnight dengan mana2 orang entah yang kenal macam2 itu je, macam mana pula? bersabar lah kak fynn. :)

aspirin said...

maaf fynn...

Anonymous said...

Ketika kumohon kepada Allah kekuatan, Allah memberiku kesulitan agar aku menjadi kuat
Ketika kumohon kepada Allah kebijaksanaan, Allah memberiku masalah untuk diselesaikan
Ketika kumohon kepada Allah kesejahteraan, Allah memberiku akal untuk berfikir
Ketika kumohon kepada Allah keberanian, Allah memberiku bahaya untuk kuatasi
Ketika kumohon Allah sebuah cinta, Allah memberiku orang-orang bermasalah untuk kutolong
Ketika kumohon kepada Allah bantuan, Allah memberikanku kesempatan
Aku tak pernah menerima apa yang kupinta, tetapi aku menerima segala yang kuperlu
Ketika satu pintu kebahagiaan tertutup, pintu yang lain terbuka, tetapi sering kali kita terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup sehingga tidak melihat pintu yang dibukakan bagi kita
Orang orang yang paling berbahagiapun tidak selalu memiliki hal hal terbaik, mereka hanya berusaha menjadikan yang terbaik dari setiap hal yang hadir dalam hidupnya.
Mungkin Allah menginginkan kita bertemu dengan beberapa
orang yang salah sebelum bertemu dengan orang yang tepat, kita harus mengerti bagaimana berterima kasih atas kurniaNya.
Waktu kita lahir, kita menangis dan orang orang di sekeliling kita tersenyum, jalanilah hidup kita sehingga pada waktu kita meninggal, kita tersenyum dan orang orang di sekeliling kita menangis.

Doaku terjawab sudah.

sayang fynn jamal

Irwan said...

salam Cik Fynn, saya ingin merekomendasikan entry cik ini di blog saya. Sebabnya ialah ia ada kena mengena dengan isu hangat pada minggu ini.

Ia akan di post lepas lunch hari ni...

http://aderberani.blogspot.com/

Saya harap Cik tak kisah...

madumerahjambu said...

saya terharu membaca tulisan kak fynn ni. terharu dengan kasih Tuhan yang tak pernah putus walau kita selalu alpa dengan kehendaknya.
*hugs*

Zafira said...

Terima kasih Kak Fynn. Terharu. :')

Sebelum ini, saya ada mengutarakan komen berkenaan isu hijab di blog sastraboy. Berhubungan dengan hal itu, pendapat kita ada berbeza pada satu perkara. Namun kita sama-sama ingin mencari dan menemukan hidayah-Nya bukan? Kita bukan tidak malu mencanang akan buruk diri tetapi mahu diri ini ditegur selalu, agar beringat sentiasa kepada DIA.

Semoga kita berhasil menemukan jalan yang diredhai Allah. :)

Kita semua. Ameen.

deksnamai said...

hati buruk atau mulia...
kita cuma HAMBA...

ini jawapan ikhlas saya

Anonymous said...

'DONT JUDGE A BOOK BY iTS COVER' Ungkapan ini kerap saya dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.

"Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi" Katanya memberi buah fikirannya.

"Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok" tambah wanita ini lagi.

Benarkah hujjah mereka?. Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujjah dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sohih iaitu :
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim)

Simpati bercampur kesal saya mendengar bagaimana terdapat orang yang sewenangnya berhujjah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.

Seorang pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game'dan 'curi tulang' semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan, telah lama melewati tempoh yang diwajibkan, malah telah menyebabkan syarikat kerugian kontrak jutaan ringgit nilainya.

Majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerjaya kalau begini sikap kamu"

Lalu jawab si pekerja : " Saya luaran je nampak main ‘game' dan 'curi tulang' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya tetap seorang pekerja cemerlang"

Adakah anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu ? Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintahNya? Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan RasulNya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata.

Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :

"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti sekadar menunjuk sahaja.

Anonymous said...

sambungan..

Justeru,'we can judge a book by its cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person'. Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith :

إنما أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض , فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع له قطعة من النار
Ertinya : "Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka janganlah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka"
(Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )

Hadith ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.

Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendapat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW

Ertinya : "Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.." ( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )

Termasuklah dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik? setelah gunungan dosa mengaratkan hatinya?.

Sesungguhnya Allah itu maha adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya?

Anonymous said...

salam..
kak,ku suka dgn penulisanmu yg telus.entri ini,ku dpt menjiwainya sepenuh hati.ku pernah sepertimu dimana si yg bercakap itu fikir aku telah dilaknat tuhan.lebih2 lagi,jika aku dikala tersepit.ku bkn mahu kn tepukan gemuruh bila ku tersilap langkah,tapi ku ingin kn bisikan yg telus dr hati tanpa perlu membuat kn diri si bercakap itu dikeji semula.Walau pn bkn semua pendakwah seperti itu,tp minoriti inilah yg m'buruk kn majoriti yg tidak seperti itu.

lavender harum wangi said...

baca entri dan komen sambil minda mencerna isi yg tersedia ada.

The Medical Duo said...

http://synergistichatidoktormuda.blogspot.com/

salam ziarah ke sini kak fynn.. sudi2 la ke blog kami kalau berkesempatan InsyaAllah.

azim~ said...

fuhhh..
terbaik oh..
nice one..
:)

Anonymous said...

Salam. hamba doakan yg baik2 saja utk fynn. insyaallah akan sampai jua harinya.. yakin hamba sebab fynn, kita SAMA.