Thursday, October 3, 2013

saya pernah kelepet duit rakyat kelas saya

menemui encik2,

masa saya darjah 5 sekolah agama,
di usia 11 tahun,
ustaz munakahat lantik saya jadi bendahari.

kerja saya--
kutip 50 sen dari setiap anak murid, simpan dalam uncang putih yang saya jahit dari baju sekolah yang sudah tak boleh pakai dan gunakan jumlahnya ketika ada keperluan membeli barangan bilik darjah.

mudah.

saya ingat lagi,
uncang warna putih kusam.
dalamnya ada dekat 25 ringgit.
hari2, dengan cermat, saya genggam.

saya suka, encik, dibagi tanggungjawab. rasa bangga, encik, sebab terpilih-- bermakna saya boleh diharap.

duit saya kumpul, saya guna beli penyapu, kain lap tingkap, manila card dan macam2. saya siap ada buku akaun-- walau pun cuma jadual berisi nama dan tarikh-- saya sudah rasa saya hebat.

saya rasa macam orang besar.
sebab saya sudah ada buku akaun.

semuanya bagus, encik, sehinggalah satu hari.
konflik saya bermula apabila pakcik cina aiskrim itu tukar parking, encik.

begini.

selama ini, pakcik cina aiskrim itu akan duduk jauh di hujung sungai sebab guru besar kami akan hambat dia kalau ada berani parking motor aiskrim dia dekat2 dengan pagar. guru besar saya cukup pantang dengan penjaja yang memberi peluang kami membeli jajan2 tak berfaedah dari mereka, encik. tak bagus, katanya.

jenis gula2 dengan hadiah cincin, keropok ikan dalam paket bergambar baby, kek coklat hero-- dan sebagainya itu amat berdosa dimakan, kata guru besar saya. bukan kerana nutrisinya-- tapi kerana ibu bapa kami akan menggiling kepala guru besar saya andai mereka tahu guru besar saya membiarkan fenomena ini berleluasa.

SEPATUTNYA, encik,
ini tidak berlaku.
MALANGNYA, encik,
ketentuan tuhan memang begitu.

pakcik cina aiskrim--
sudah tukar parking.

demshit.

encik,
aiskrim calong, roti aiskrim, aiskrim hijau dalam putih, aiskrim koneto. semua itu adalah temptation yang terlalu besar untuk budak gemuk 11 tahun macam saya ketika itu.

saya ingat lagi--
kali pertama saya keluarkan 40 sen dari uncang kusam saya.
gigil saya, seram saya, takut saya.
saya tak lupa.

saya juga tidak lupa, encik, bagaimana saya pujuk diri sendiri--
"takpe. nanti2 aku ganti".

ganti.

nak ganti esoknya--
bertangguh lupa.
nak ganti lusa--
ditangguh juga.

hari ke hari.
gigil, seram dan takut saya teringan sendiri.
kehendak mengganti terabai sepi.

hari ke hari.
sehingga habis wang amanah tadi.

hari ke hari.
sehingga terhilang dari ingatan--
dan cuma teringatkan sekali2.

hari ke hari.
sehingga lupa--
langsung tak pernah terganti.

saya sudah besar, encik.
dan saya sudah reti bezakan elok dan tidak.

saya belajar,
kalau kita hendak bayar segala dosa2 masa kecik namun tak mampu--
apa yang terdaya--
adalah berbuat kebaikan--
sambil membubuh dalam ingatan betapa sungguh2 kita sesalkan setiap perbuatan yang sedang ingin kita cucikan.

diterima atau tidak--
itu hak tuhan untuk beritahu akhirat nanti.

encik,
saya tidak menulis pada encik bersaja2 bercerita tentang budak gemuk darjah 5 bendahari sekolah agama seleweng duit kelas untuk beli aiskrim dari cina motor honda lampu bulat, encik.

saya juga tidak menulis untuk mendengar encik pujukkan saya yang itu semua dimaafkan hanya kerana saya seorang anak kecil, encik.

saya cuma nak tanya encik,

beberapa ringgit yang saya kelepet sahaja itu PUN ada masanya mengganggu malam2 sunyi saya--
macammana AGAKNYA encik tidur malam--
MENGETAHUI encik menzalimi amanah encik--
di usia encik berakal dan mampu berfikir secara adil--
berjuta kali ganda dari lebih kurang dua puluh lima ringgit saya?

haih.
banyak encik kena menjawab, encik.
saya kesian encik.
amanah ni--
bukan benda kecik, encik.

haih...

encik,
saya ngeri untuk encik.
sempat lagi encik.
sempat lagi nak betulkan keadaan.

selagi ada nafas, encik--
betulkan.


assalamualaikum.

No comments: