Tuesday, November 20, 2007

bekas cinta pertama dan kesrabutan tak bertepi.

semalam aku bangun jam 12 tghari. normal.

aku sms kak lina dari pesona pictures, untuk konfirmasi shooting. tiada. seronok. tapi aku masih tidak punya mood sgt. maka, seronok bertukar jadi rasa macam tahi.

gorengkan anak2 cekodok instant buatan adabi. aku tak berapa minat, sbb rasanya yang muak, kerana terlalu banyak baking powder yang menjadi faktor cekodok itu mengembang. tapi pok arm dan pok cham dah beli, buatkan aja la.

semalam banyak perkara yang memualkan kepala. serabutan sejak dua tiga hari berlipat ganda. aku terfikir2 kata pok cham tempoh hari: kalau semua orang berkata perkara yang sama tentang kita, mungkin ada benarnya.

dan topik kami pada hari dulu adalah "kenapa aku selalu punya masalah dengan hidup aku. aku selalu rasa dunia ini tidak adil untuk aku"

mungkin benar kata pok cham. mungkin masalahnya adalah aku. bukan dunia.

entah kenapa aku tiba2 berkeinginan kuat untuk menghubungi bekas cinta pertama aku. mau bertanya mana silapnya. mana celarunya.

serabutan bertambah2 dan aku mula berasa terlalu distruktif.

rokok yang kuhisap berganti2, dengan hanya selangan 5 minit. sekotak besar sudah hampir habis. apa nak jadi. sudah lah sedang tidak berapa berduit.

aku minta pok cham belikan kubis. ada sedikit ayam, sotong dan daging dalam peti sejuk. aku keluarkan. masakkan kobis goreng cili padi, dan yang lain2nya aku gorenkan tepung.

selesai makan, kepala masih berputar2. serabut serabut serabut.

pok arm terus bermain internet. pok cham melayan lap top pok arm. aku meneruskan serabutan. sekali sekala aku bersoal2 tentang hidup pada mereka. kasihan mereka yang terpaksa melayan. airmata aku tak putus2 mengalir pun mereka biarkan. mungkin mereka faham mood aku yang berayun2.

dalam jam 7 aku pinjam telefon pok arm. aku dail nombor Arul (bekas cinta hati aku dulu) yang aku dapat melalui Ain. Arul dan aku putus dalam situasi yang tidak baik. sudah hampir tiga tahun sejak kami putus, dan aku tidak pernah berhubung dengannya. tiada faktor, ku rasakan. pernah juga mahu menghubunginya, tapi aku hanya berkira2.

namun semalam hati aku kuat untuk cuba mendapatkan suaranya, mau aku tanya apa benar salah aku semua ini?

dan bila talian tersambung, dia mengherdik aku.

kini aku teringat kenapa aku benci padanya.

aku semakin serabutan. aku ambil rokok dan aku meribut keluar rumah. bakar rokok sebatang. menangis mengadap langit di tepi tangga. bodohnya aku. aku mintak amy telefon. aku rasa hanya suara dia yang bisa buatkan aku tenang buat masa ini.

nyatanya bila dia telefon tiada apa yang kami bualkan. cuma tangisan aku yang mengesak2. 15 minit itu tiada perbualan langsung. selesai menangis, aku letakkan telefon.

aku rasa begitu sunyi.

dalam sejam pok arm ckp temannya ezane turun KL, mau melepak bersama. bagus juga. dari aku menyiksa diri di sini, ada eloknya keluar dan bersosial. ketika itu sudah jam 10 malam.

bersiap2 dan keluar ke the curve bertiga. di sana, ezane sudah lama menunggu. borak2 seperti tiada apa terjadi. sampai jam 11.30 aku telefon lagi Arul. mahu habis di situ, malam itu. sukatilah jika tidak mahu berkawan. sekurng2nya aku sudah tidak perlu menahan rasa tidak tenang.

dan seperti tadi, dia masih bersinis: "baru sekarang nak minta maaf?"

aku rasa bodoh. bukan seratus peratus salah aku. dia yang punya perempuan simpanan. dia yang panas baran. dia yang posesif tanpa faktor.

sukatilah. aku letak telefon dengan cara elok, bersalam dan berbahasa. terima atau tidak, terpulanglah.

hilang sekejap mood aku. ezane berikan kata cliche sepatah dua. kemudian aku katakan aku mau pergi menjerit.

semua senyum: Karaoke.

kami ke cineleisure untuk sesi nyanyian jamban. Bayar untuk sepuluh lagu. Menyanyi sepuas2 hati.

jam 1 lebih kami pulang. sebelum tiba rumah, Arul telefon. tone suaranya berubah. lebih kepada memujuk. awal2nya agak awkward. lama juga berbual. diceritakan tentang hidupnya yang kacau bilau. tidak beruntung sejak aku pergi. lama2 timbul rasa selesa. okaylah.

kasihan. itu sahaja. tidak ada sekelumit pun sayang.

aku masuk ke rumah. pok arm mau makan makanan yang ditapau. aku ajak pok cham bicara berdua.

banyak yang dibicarakan. terlalu banyak, sampai aku tak tahu apa yang boleh diceritakan. yang aku ingat, dia nampak begitu matang mlm tadi. begitu tenang dan menyejukkan. dia menyamankan. terima kasih, pok cham. kalu ada hidup panjang, jangan kamu pergi dari jiwa aku. kamu memang mengerti.

tanpa aku sedar, aku sudah pun tidur. tuhan, berikan aku kelegaan, tolong!

Monday, November 19, 2007

tentang cemburu pada rakan kepada kawan2

aku bangun tengahari lagi untuk kali ke berapa minggu ini. semua gara2 shooting lewat tamat, iaitu awal pagi. apa nak jadi. bangun dgn rasa tiada mood. pok cham dan pok arm masih takde potensi nak bangkit. aku rasa macam ibu moden berkarier. balik, anak2 dah tidur. keluar anak2 belum sedar.

ini bukan life yg aku mau.

sampai di pesona bungalow, mereka kata aku perlu bawa baju semalam. shit. makan sekejap, balik semula ke rumah. ambil baju.

patah balik semula macam bodoh. penatnye. sudahlah skuter buleh pergi 20kmj saja. siyal betul.

sampai semula di banglo, jam 3. tunggu bodoh2, jam 5 baru mula shooting. hari ni smua org tak perform. smua ada masalah. dari cameraman sampai pelakon2nya. mungkin sbb exhaustion yang tahap naga. xde life macam bangsat.

selesai scene pertama jam 7. mereka nakkan baju lagi satu. terpaksalah aku balik rumah sekali lagi. budak2 takde. keluar dgn sue richard. cibet.

nyampah sebab:

1) aku berbalik2 ke rumah
2) aku tgh bad mood sejak aku tulis blog yang lepas
3) asik kena maki kat set pasal smua org pun takde mood
4) derang keluar dgn sue richard
5) aku tak suka sue richard

dont get me wrong. aku tak berapa suka dgn sue richard bukan semata2 dia skandal pok arm ((yang mana aku lebih suka dia dgn fatin)), tapi juga kerana dari pandangan mata aku (yang setakat ni jarang silap) sue richard itu agak obviously tak berapa jernih hatinya.

dia sudah ada boy friend kaya raya. kenapa dia berzapin dengan perasaan pok arm.

dan pok arm yang tidak rabun itu membiarkan realitinya kabur. aku tak faham. dia kata masih tidak bisa melupakan cintanya yang dulu. tapi dgn sue richard, dia sanggup melayan, sedangkan fatin yang ada di depan mata, terbiar menahan rasa.

si fatin pon sama bodoh, suka nak jadi heroin hindi, memberi peluang pada orang lain dalam cinta tiga seginya.

sukati korang. *faktor lain adalah, sue richard tidak secantik dan sebaik fatin*
sukati kamulah. yang penting, aku sayang kamu pok arm. jangan kamu terluka sudah.

lepas ambil baju, aku singgah di tempat mereka bertiga lepak. seperti aku sangka, sue richard dgn terang melentok kat pok arm. haih. ingatlah pada teman lelaki engkau, perempuan.

pok cham cuba untuk berborak, tapi aku yang tidak punya mood tidak berapa melayan. sebenarnya pagi itu ketika mahu set alarm di telefonnya aku terbaca mesej yang di beri pada perempuan mana tah. tak tahu kenapa aku rasa membuak.

begini, pok cham dan aku sudah berjanji yang kami akan bercerita tentang segala sesama sendiri. dari dia masih bercinta dengan teman wanitanya yang gila dulu, sehingga sudah putus, sampailah hari ini, semua diceritakan. sama seperti aku yang mengongsi semua tentang amy.

lalu aku bertanya, apa benar dia sudah ada teman baru, kerana aku tidak berminat untuk menganggu jika ada.

dan dia bohong.

untuk kali ke berapa. cakap sajalah. kenapa perlu bohong. bukan kami ada apa2 pun. aku benci dibodoh2kan. kenapa dia perlu berahsia2-rahsia? aku tidak faham.

sama dengan pok arm bila datang hal sue richard. cerita sajalah. kenapa mereka fikir aku ini seperti perempuan lain yang perlu dianak2kan?

aku tidak cukup baguskah untuk menjadi kawan mendengar?

sial benar aku ini. posesif tanpa fasal. siapa aku pada mereka. sekadar teman yang mereka punya. hidup mereka kenapa aku mesti peduli?

maaf, kawan2, aku tidak biasa berkawan.

jam 7.30 aku kembali ke lokasi. shooting tamat jam 5 pagi seperti biasa. aku pulang, arm masih belum tidur. "tunggu fin balik".

comel.

walau pun aku tahu dia gurau, aku rasa kata2 begitu cukup mengharukan. shah ada sekali. layan dvd.

aku baring, memaksa diri untuk tidur. lupakan aja lah. selama ini aku sudah berjaya hidup sendirian. kini, aku perlu belajar berkawan2 sambil merasa sendirian.

aku tidur dengan airmata yang sedikit. apa masalah aku ini, tuhan?

Sunday, November 18, 2007

tentang bualan kopi yang mendamaikan

bangkit pagi serentak dengan pok cham yang mahu pergi kelas. aku harus bingkas pantas untuk ke rumah Sue Anna Joe. dia bertunang. bestnye. bila tah masa aku. aku berjanji dengan tengku sarah memandangkan dia tidak tahu jalan ke rumah anna. sebenarnya aku pun. tapi kalau dia nak ikut, okey juga. ada kawan sesat.

dlm jam 11 pagi kami sampai, rupanya yang terawal. tiah bermalam di rumah anna. dia mengandam dan membantu tentang hantaran2. tak pelik. dia memang miliki jemari kreatif. sentiasa beridea.

melayan anna yang sedang dimekap, berbual2 kosong, catch up apa yang tertinggal. seorang demi seorang tiba. suasana semakin riuh. kami tidaklah rapat per se, tapi kami memang sudah kenal luar dalam sejak bertahun lalu. kawan2 universiti, biasalah. rapat begitu2 saja.

oh ya. nad dan fatin juga ada. bagus juga lihat nad ada fatin. lebih terbaik lihat fatin ada nad. dia tak boleh duduk sendiri. kepala dia adalah mesin. akan auto pilot jika dibiar tak berpemandu. dan bila dia di dalam mood2 preset itu, kelindannya sudah pasti syaitan2 yang membisik kekeliruan. kuat semangat, fatin!

dua2 perempuan itu twisted sedikit kepala hotaknye. macam aku jugak. kena selalu pantau.

majlis anna begitu lancar. cantik dan kemas. tak terlalu beropol2 tapi tidak pula terlalu asal boleh. just nice. kahwin mesti lagi gemerlapan. bestnye jadi orang kaya. macam tengku sarah tahun lepas. kawin simple tapi bila barang tu mmg mewah, terus nampak mantap. nama pun tengku. dia manusia yang sangat humble, looking from her royalties background. dia tuan direktor aku ketika pementasan teater aku yang pertama. sampai mati tak akan aku lupa. antara manusia yang pernah berkata "i believe in you, fynn"

sessi bergambar memang antara fasa yang paling seronok semalam. dengan semua kepala bengong. oh begitu comel2. dah besar dah semua. sekor2 membilang hari, jika ada teman. tak kurang bermenung mengira dateline kerana tidak punya teman langsung.

aku? aku redha saja.

tak sempat jam 12.30, selesai makan2, aku minta diri kerana ada shooting jam 3. kelakar kerana ada makcik2 anna dan tetamu2 lain yang cam muka aku. "hasni! nak bergambar please".

comel.

yang lebih best, kak lyza dan dodgy dari KLMot ada. mereka nampak smua tu. bergambar dengan peminat2 kecil. rasa puas (bukan dari segi bongkak), tp rasa mcm mahu toleh dan kata: "siapa kata aku tidak ada harga, mereka suka aku biarpun aku tidak cantik dan gigi aku tidak rapi dengan braces."

pulang ke rumah, berbaring2 sekejap. PMS mengganggu lagi. tuamkan air panas. lebih kurang jam 2 kak nisa dari pesona pictures telefon suruh datang. ready to roll.

shooting seperti biasa takde masalah dengan mereka. terus penggambaran sehingga lewat mlm. dalam pukul 1 pagi begitu lepak dengan krew: angah dan abang rashid. sementara tunggu scene aku. berbual dari hal2 remeh sampai yang berat. bab agama juga keluar. indahnya cinta tuhan, aku mmg suka berbual begini. dari berbicara hanya perkara kosong dan sampah.

hey, aku juga suka borak bangang. tapi ada masa perlu diisi sang akal.

beberapa kali dipuji lakonan aku, ada juga diselit kekaguman mereka pada karektor aku di realiti yang kuat. cuba seboleh2 menutup rasa terharu. terima kasih kerana memandang jiwa aku, kawan2. berbual lama membibit rasa percaya untuk bercerita, maka mereka buka sedikit2 hijab rahsia. terasa kerdil diri aku ini. mendengar permasalahan mereka, aku rasa beruntungnya aku ini hidup menjadi aku ini.

ayat yang membuat aku hampir menitis airmata, dari bibir abang rashid, yang mengingatkan kembali kata2 guru di sekolahan: "tuhan itu di setiap inci badan kita, dalam nafas, dalam semua" (sambil dia hembus dan tarik nafas berkali2 sekuat2nya)

siapa sangka dia bekas banduan.

cantiknya keinsafan. lebih seksi dari lelaki2 di luar sana. tiba2 aku rindu amy. teman lelaki aku itu begitu kuat bertahan dengan aku ini. aku rindu bualan2 berat kami. tentang hidup. tentang dunia. tentang jiwa. tentang keluarga. tentang cinta: ada tapi tidak beriya. sekali sekala.

tiba2 teringat bagaimana terhasil putik cinta aku pada dia.
kerana kematangannya.
tiba2 terfikir betapa gagah memasak kaki di sebelahku.
tidak pernah di depan. tidak juga di belakang.
tapi di sebelah.

tiba2 aku sebak memikir apa sudah jadi.
di mana fynnhelmy.
(pada nama juga aku didulukan)

cinta kami abstrak. hanya kami memahami.

*diam dan memandang langit*
biarlah.

aku pulang semalam jam 4 pagi. tiba di rumah terus melayar internet. tidak boleh tidur. selesai azan subuh aku baring di tilam empuk. berbicara sendiri. berbisik pada telinga aku, cukup sekadar aku mendengar. memujuk jiwa.

terlalu banyak hati yang perlu aku jaga. persoalannya bagaimana. hati aku ini sudah kehancuran.

aku masih ingat zikir aku pagi tadi:
tuhan, aku mahu bangun dalam dunia
yang mana hanya ada aku dan dia
berdua selamanya.

berkali2.

aku pun tidak pasti dia itu siapa. cuma aku mahu bangkit dalam dunia yang hanya ada aku dan dia, dan aku mahu rangkulkan nyawa aku pada kepercayaannya, mahu gantungkan setiap kehancuran pada bahunya agar dapat diringankan.

siapa2 saja dia, suami aku nanti.

berkali2. sehingga tertidur.
pagi tadi aku tidur dengan rasa kekeliruan tentang apa yang aku mahukan.

lensa pok arm dan peminat hasni.

daripada awal pagi, pok arm sibuk tanya berkali2; fynn dah okey perut? sakit lagi tak?

boleh dikatakan selang setengah jam. comel. macam anak kecil yang dijanjikan basikal baru. selagi tak dapat, asik menyebut.

nasib baik kerana PMS semakin kurang. maka aku setuju untuk meneman pok arm dan pok cham ke amcorp mall. pok arm tekad mau lense untuk Joni (SLR tercintanya). harganya, sila maklum, 2.5k. bijak benar dia berjimat dan mengurus bajet. arm mmg matang sedikit, atau mungkin kerana tampilnya yang keras.

muka saja ketat, hati dia lembut tu.

tergerak untuk bawa bobby, ular sawa peliharaan aku bersama. lama sudah tidak ku bawa berjalan. seronok melayan kerenah orang keliling tiap kali melihat bobby, yang mana pada setiap itu akan aku terangkan pada semua betapa ular itu sering disalah anggap.

mcm biasa, hanya beberapa orang saja yang percaya. tak ramai mahu pegang, berlambak yang cuma menenyeh2, ada juga yang aku tak izin pegang (gayanya terlalu berani, menakutkan. ular itu asalnya liar, takkan jinak walaupun dengan tuan).

berlegar2 di amcorp mall dalam sejam lebih. tidak terus pulang. pergi ke belah chow kit untuk makan. kelakar, pelayan2 cam muka aku. sungguh comel. terasa sebentar seperti selebriti. walhal lakonan picisan tepi2 skrin. *senyum sendiri*

sudah makan, arm cadangkan eye on malaysia. kali terakhir aku ke situ adalah bersama keluarga. rindu pula pada abah dan ibu. juga adik kecil yang akan mendaftar darjah tiga tahun hadapan. serasa baru semalam aku salinkan lampinnya. ah, anak kecil kadang2 mahu aja aku jerukkan, agar tidak membesar.

sessi fotografi berjalan dengan meriah seperti biasa walaupun cuma tiga orang. PMS datang pergi. risau benar mereka berdua. kesian pulak. aku cuba sebaik mungkin untuk berlaku santai. sakitnya tuhan saja yang tahu.

sedang di situ, ada sekumpulan remaja sekolahan mengerumun. semua gara2 bobby. dia memang star. siapa tak suka bobby. kalu ada pun, geli mahu pegang. tiba2 seorang darinya berkata: eh, itu kak hasni!!

kelakarnya. hasni nama aku dalam siri drama yang aku terlibat. ada juga malu2, tapi aku keraskan diri. entah. tidak reti. puas bobby bergambar, aku pula bermodel sana sini. seronok melayan kerenah anak2 kecil. macam filmstar.

selesai itu kami pulang ke rumah. seperti biasa, sampai di pintu kami bertiga semua terjerit2 mahu chop turn main internet. aku menang dengan alasan PMS dan tak mau lama. mmg tak lama pun, sekadar update blog semalam.

pok arm tanya blog tulisan aku, dia tidak tahu. seganlah mau beri. ini tulisan bodoh2. sekadar coret2 untuk muhasabah diri tentang kosongnya hidup aku ini yang kurang pengisian ketuhanan. hidayahkan aku, tuhan. aku mau bangkit dari jahil ini.

tidak lebih 20 minit, internet bertukar jari. aku baring terus di katil. pok cham datang memberi sebotol air panas untuk aku tuam di perut. baiknya. lega sakit aku sedikit. aku sudah biasa ke hospital semata masalah ini. tuhan, berikan aku kekuatan untuk terus gagah.

aku terlalu lapar, aku minta pok cham turun belikan char kuay teow. biasa aku masak. tapi bila sakit, kirim salamlah. rasa tidak berapa sedap. kecewa. asal boleh saja. tak baik tau makcik. saye takkan beli lagi dari kedai makcik.

makan bertiga, gurau2 seperti selalu, layankan bualan, tahankan pedih di ulu hati. mengantuk pula.

entah bila mata dilelap, tapi aku pasti aku tidur dengan airmata sedikit, aku begitu sakit.

Saturday, November 17, 2007

PMS yang nyaris membunuh blog ini

gila babi. baru dua tiga hari tidak menulis, aku rasa seperti tak siap assignment 15 mukasurat yang mesti di hantar esok pagi. dem.

salahkan segalanya pada PMS.

aku memang ada masalah dengan organ peranakan dari sekolah lagi. mungkin kerana arwah bonda yang meninggal dek kanser (sekali nendaku atas sebab yang sama), sedikit sebanyak aku ini agak lemah imunnya.

aku sudah puas bersoal sama tuhan.
tak mengapalah.

aku sebenarnya tidak ingat hari. berapa hari aku tak naiktarikh (("update": bodohnye bunyik dalam bahasa melayu)) blog puisitepijalan. yang aku tahu, sepanjang hari semalam aku cuma terbaring di tilam depan tv.

futnot: bila arm dan cham datang (atau kawan2 lain melepak), aku suka tidur depan beramai2. macam kat rumah kampung time raya. tidur berlambak. sanggup aku seret tilam ke depan, aku benci tidur sorang2. sama macam aku benci makan sorang2. mcm org takde harga.

sorang2.

dalam sudut hati, aku tau aku sorg2, cuma aku dalam denial, dalam penafian.
pathetic.

aku ramai2kan segala, riuh2kan suasana. aku benci sunyi. sebab aku pemikir, dan aku pessimist. bukan kombinasi yang cantik.

aku sendiri rasa diri aku jengkel.

yang aku ingat, sepanjang hari semalam pok arm keluar. ada urusan. dia semakin berjaya dengan kerjaya sambilan beliau: fotografi. ada sesiapa yang mau jurufoto hebat, pergi pada beliau. KLIK SINI

pok cham aku rasa meneman aku. sambil berinternet. nasib baik ada. aku tidur sahaja. kasihan. dia kasihan aku, dia tak ikut pok arm. sayangnya kat kebaikan mereka, rasa nak lempang.

tengahari datang. pok cham menawarkan diri untuk masak. aku kata boleh. dalam hati aku sudah mula yakin sedikit dengan kebolehan pok cham memasak. kelmarin dimasaknya nasi goreng daging dan sotong. boleh tahan. sebelum ni goreng itu ini jadi separa hangus, tak pun keras itu ini. akibatnya, jadi bahan kena marah je la. kesian betul.

//sesuatu di luar bicara sebentar//

selalu kena marah, kawan2 aku itu. aku ini pemarah. mulut aku bisa. tidak menjaga hati.

*diam sebentar*
aku rasa aku akan jadi ibu yang dibenci anak. aku sudahpun menjadi adik yang dibenci abang sendiri, anak saudara yang dibenci ibu2 saudara.
semua kerana mulut aku yang tak peduli telinga orang.

aku rasa aku tak mungkin akan ada lelaki yang mahu.
semua kerana mulut aku yang tak peduli telinga orang.

susahnya jadi pemuisi. manusia yang memprotes dan bersuara. aku takkan bisa menang politik perhubungan manusia. aku ditakdir menjadi kara. sebatang. se. satu.

sudah biasa mendengar marah keras orang tentang ini, tapi pertama kali aku disinis minggu lepas sahabat rapatku, tentang sikap ini. aku terpana. sehingga hari ini. berkecil hati, seharusnya. tapi biarlah. bukan salah mereka semua tidak memahami aku. aku yang lupa. aku bukan gadis2 luar sana. yang manis dan manja.

maka mula dari hari itu, aku menitahkan akal bermain permainan ini. diamkan. dan terus biarkan. bukan untuk memenangi hati smua orang. bukan. tapi kerana aku ini yang sebenarnya tidak sanggup mengetahui teman2 aku sendiri tidak mengenali siapa nur affina yanti.

tiada siapa akan tahu.

*semoga bila aku mati, baru anda kenali jiwa saya*

benarlah kata orang, cuma ayahbonda yang kenal isihati anak mereka. mungkin kerana itu, sehingga hari ini, mereka masih mendepang dada dan berbangga dengan si angah ini.

mari kembali ke blog, kerana itu objektif site ini.

pok arm pulang awal malam semalam. aku lapar. pok cham masak maggi resepi sendiri. sedap. makan tak habis. sebab masa senggugut mmg aku kurang makan. selesai itu, aku dan pok cham tonton Bad Boys dulu2, zaman Will Smith belum macho, jauh sekali Martin Lawrence yang sangat kudut. sambil itu, pok arm sibuk di komputer.

aku mmg dari dulu yakin dengan rezeki orang bertandang. ekonomi dah mula ok. tak macam minggu lepas. sejak arm datang, smua dah lega sket. yeay.

aku menulis blog ini sekarang sambil dua ekor setan itu bermain laptop atas tilam, bergurau2 selekeh: main kentut2, gelak2 mcm sekolah dulu. macam ni ke hi-school friendship?

aku tak banyak kenangan manis masa sekolah...

bestnya ada mereka. walaupon takde kerja pape, tapi mereka ada. aku tak pernah ada kawan rapat macam ni. dulu masa sekolah aku mangsa buli, berapa kali telan pill, hentak kepala ke tingkap, sebagainya.

tentang hari ini, seperti biasa aku mau tulis esok saja.

senggugut2 begitu pun, aku rasa malam tadi aku tidur dengan senyum, seronoknya hidup ada kawan.

Wednesday, November 14, 2007

PSP rosak dengan Jem di Kolumpo

aku sudah pun bercerita tentang separuh hariku yang semalam. maka hari ini, aku sekadar perlu menulis sedikit: yang selebihnya.

aku masak ayam goreng kunyit, lawankan dengan nasi lembik. curah kicap. lazat. teringat atok yang suka gorengkan ayam buat cucu2nya. masak lah apa saja, lemak cili padi ke, asam pedas ke, nasi lembik tetap lawannya ayam kunyit garing.

sementara masak, pok cham tolong bikinkan skuter brengsek yg buat perangai tak sudah2. ambil PSP sekejap, nak hilang bosan. malangnya tak boleh start. shit. something is going on. rosak. dem. kat tangan aku pulak.

duit duit duit duit.
time tengah miskin la segala nak kena bayar.

selesai makan, kami pergi jemput pok arm. bawa PSP yang rosak. terus terang awal2 padanya. dia ckp biasanya kalu rosak tak bule betul. aku hampir nak terduduk. tolong lah... pok arm senyap jek.

kuatkan hati, tebalkan senyum, yakinkan diri: bole betul punya.

dari rumah pok arm jam 5.30. KL waktu itu jem mcm bangsat, aku bule lupa. maka perjalanan yang boleh dikira 10 minit jaraknya jadi 3 jam. pok arm baring di belakang. senyap. aku makin cuak. dr tadi tak banyak borak. dia kata tak marah, tapi kalau aku, mesti dah terbalik segalanya. PSP dia tu, baru lagi. dem dem dem.

untuk menutup wajah yang dirobek2 rasa serba salah, aku pasang radio kuat2. menyanyi2 dan berjoget2 dalam kereta bersama pok cham. kereta di sebelah yang sama2 tak mampu bergerak melihatkan saja kami yang sewel. selama 3 jam, kami ada hampir sepuluh org yang menyaksikan sawan kami.

aku mesti pantas, kerana aku on stand-by untuk shooting malam ini.

jem itu bagaikan rumah setinggan yang telus. toleh kiri kanan ada org. tapi pedulilah. jiran2 ini tak kenal. sekadar boleh memberi pandangan jelik.

mampus kau.

sampai di BB Plaza jam 8 lebih. pergi ke kedai pertama, harga buka saja sudah RM300++. nak terjelepuk aku dengar. tapi nak buat macammana. terus tinggalkan di kedai itu untuk diperbaiki.

kami sambung berjalan. alang2 sudah membayar per entry, apa salahnya berjalan. tapi tak sejauh kepala aku yang dah terbang ke China. mana aku nak cekau duit.

tergerak aku bertanya ke satu kedai games, harga andai rosak yang sekian2. nasib aku baik. itu kedai technician game. maksudnya, kedai2 lain (seperti yang aku jumpa tadi) akan menghantar produk pada mereka. oleh itu, harga berlipat2 kerana dimakap.

aku terus kembali ke kedai tadi, ambil dan bawa ke kedai technician itu.

mereka caj aku RM 150. diskaun itu ini. aku berjanji dalam hati akan aku beli barang kat tempat kau, sebab kau baik. nengoklah. xBox ke, nintendo ke. terima kasih cina yang tiga orang ini. pandai kau ambil hati aku.

pesona pictures telefon. shooting dibatalkan.
yess!

on the way pulang, pok arm lapar. aku sedang mau pusing ke kampung baru walaupun kami sudah di KLSentral, bila E-one sms mengingatkan open house di rumahnya. semua set, kami ke cheras. makan free. haha. pizza, kfc dan kek secret recipe. best.

balik ke rumah shah tepon, ajak lepak. malas aa. dah kenyang. so shah datang lepak main PS2 dgn budak2 ni. tertido jap. jam 3 pagi budak2 nak turun bawah, kopi2. aku bangun join. minum2 smpai jam 4. naik rumah, main internet jap. tak sedar bila dah tidor.

maka aku tido tanpa kesedaran.

Tuesday, November 13, 2007

tentang penggambaran

call time yang diberi adalah jam 1, maka semalam aku bangun jam 11.30. bingkas membuka blogspot untuk menulis sedikit2. sebelum terlupa. baju yang sebakul dibasuh dengan mesin separuh automatik. itu saja aku mampu. nak beli yang mewah, rasanya belum perlu.

tiba di pesona pictures bungalow, tiada sesiapa. hmmph. seperti biasa lah. dalam jam 2 lebih kami gerak ke lokasi di GAPENA. tanpa aku terkejut, pelakon2 blonde itu bertanya, GAPENA tu apa.

sila google.

kenapa pelakon2 kita tidak suka membuat homework?
urf. sungguh bimbo.

*futnot: siapa tidak kenal aziz sattar, mari private message aku untuk aku tampar*

tiada apa perlu aku ceritakan di tulisan kali ini. kerana aku selesai penggambaran pagi tadi jam 7 pagi. sepanjang hari berlakon. itu saja. full stop. bosan.

oh, aku terlupa, tangan aku lebam biru kerana stunt. puas rasa hati melakukan sendiri. tapi itulah, agak kecewa bila ditegur "tak usahlah real. berlakon saja lah". dalam hati aku, sampai bila ya begini pelakon kita? berlakon tanpa rasa ingin menjadi karektor, sekadar berlakon.

kenapalah aku menggolong dalam sampahan ini.

kerana sepanjang hari di set, maka hari ini entrinya agak pelik. kerana aku menulis pada harinya. bukan tentang semalamnya.

aku tidur pagi tadi dgn rasa pancit.