Thursday, September 30, 2010

30092010

...






hazrilfitri.





...

Tuesday, September 28, 2010

nota pendek tak bertujuan.

kadang2 aku harap sangat aku orang paling kaya dalam dunia.
sebab kadang2 aku rasa aku macam penat dengan semua benda.
sebab kadang2 aku tak larat nak bohong diri aku --yang perlu ada cuma cinta.

sebab semua benda, yang untung cuma orang kaya.

september ke 30 macam berkejar2 untuk sampai ke tepi peha aku.
celaka.
gaji tak masuk2.
kalau masuk pun sekadar lalu.
setakat singgah untuk aku hulurkan pada segala jenis piutang yang ada.

kita kerja dari subuh sampai malam menjelma,
yang seronok diarak2, yang bahagia membakar harta,
tetap bukan orang bekerja macam kuli macam kita.

cinta itu cukup untuk hidup.
dengan syarat, kita takik kepala kapitalis2 yang meletak harga.
semua benda naik ringgit,
gaji tetap di takuk lama.

yang kaya tetap kaya.

ptptn pun nak minta balik.
beriya cerita kita semua tak malu hidup berhutang.
halang keluar negara segala.

ingat semua orang macam anak2 orang kaya?
yang habis kerja masih boleh lepak2 stabak tak kerja?
yang kerja pun kalau tidak di pejabat daddy, boleh terus ke luar negara beli master?
semua benda boleh beli.
jawatan yang layak dibagi dekat kita yang belajar ini dia bagi pada keponakan dia.

nak cakap kita elak bayar hutang konon.

tunjuk aku mana kawasan dalam kawasan selangor yang boleh kita sewa kurang dari 500 ringgit?
kalau ada pun, terperuk. dengan duit transport ke pejabat, sama saja. kadang2 berlebih.
takkan nak menyewa ramai2. dah kahwin, mana boleh begitu?

makan zaman sekarang kalau sepinggan kurang dari rm5, memang penuhlah kedai pemurah macam itu. untuk orang pekerja tegar macam aku, dapat makan pizza hut itu, masyaAllah, mewahnya. senyumnya sampai telinga.

itu baru makan, tempat tinggal.
belum benda2 lain lagi.
belum duit air api.
belum tiba2 kereta tak boleh hidup.
belum tak pasal2 demam seminggu keluar masuk klinik.

syukur aku tak ada anak.
tak sanggup aku nak jawab pada dia yang aku belum mampu untuk bagi dia segalanya.

yang untung,
sentiasa orang kaya.

30 september dah dekat.
aku nak merompak.
aku nak bagi suami aku segalanya untuk hari lahir dia.

sebab dia dah sihat.
dan dia buat aku bernafas semula.

Sunday, September 26, 2010

serabut

aku ada banyak perangai abah yang aku tak suka.
walau aku selalu canang pada dunia betapa sempurnanya dia, dia banyak kurang sebenarnya.
tapi ah. apalah sangat kekurangan yang sedikit2 itu dibanding cantiknya jiwa raga dia.
mana ada manusia tak ada cela.

maka betapa kelakar,
dalam banyak2 sifat mahmudah dan sifat2 indah dia,
yang terlekat pada kromosom aku adalah antara perkara yang aku tidak suka tentang dia.

antaranya;
cepat serabut.

orang yang jenisnya selalu ada prospek terancang memang tidak suka elemen kejutan. kerana semua benda dalam dunia ini akan melibatkan wang. dan aku datang dari working class yang tipikal, maka percutian beramai2 di hujung minggu bersama kawan2, makan2 besar di chili's dan menonton wayang 3d back to back tidaklah seseronok mana untuk aku --melainkan wang tabung masih ada isi.

ingat senang hendak cakap sama kawan2 baik yang kau tidak mahu ikut serta kerana belanjawan bulanan kau menghadang?
dan yang lebih menyukarkan adalah bila kau tahu kawan2 kau dengan ikhlas dan rela hati akan bagi bantuan tanpa diminta pun sesen sebarang?

berfikir tentang itu2 pun boleh bikin aku serabut.
aku, seperti abah, cepat panik.

kerana itu aku jadi control freak. aku perlu tahu apa yang bakal jadi. aku perlu ada back up plan sekurang2nya dua. aku perlu tahu yang kalau ini tidak menjadi, aku ada cara untuk mendapatkannya juga.

dalam semua perkara;
aku suka bersedia.

pembetulan:
dalam semua perkara kecuali penulisan,
aku suka bersedia.
dalam hal tulisan, semuanya spontan. aku tidak suka merancang untuk tercetusnya perkataan pertama. itu, bagi aku, begitu personal sama tuhan.

okay. tentang bersedia tadi.
betapa aku ini terlalu beriya dalam posisi kuda2,
aku sentiasa pastikan--
aku siapkan apa2 yang mampu aku siapkan--
sebelum persiapan aku dimulakan--
untuk disiapkan.

sebagai contoh,
persamaan dapur rumah abah dan rumah aku adalah ini:

semua ikan ayam daging sudah siap disiang,
bawang2 setiap jenis telah selesai berkopek dan dicincang,
air2 kordial selesai dibancuh terdingin di dalamnya,
sayur2 setiap yang ada kemas tersusun segar terjaga.

tinggal masak.
bila2 rasa mahu, terus sudah ada.

kadang2, aku terpaksa setuju bila kawan2 aku kata aku ada sifat obsessif yang agak kompulsif tentang perancangan. meski pun aku selalu berkonon2 di depan mereka yang aku tidak, aku tahu mereka tahu aku setuju.

begitu kompulsif, sehingga setiap gula, garam, kicap, minyak semua aku belikan botol khas siap berlabel seperti aku tidak kenal rupa mereka. macamlah aku tidak tahu yang mana gula, yang mana garam, yang mana kicap, yang mana minyak, yang mana semua.

aku sendiri tahu yang ada masanya aku merimaskan.
untuk kekasih kacak aku itu pula, sifat obsesi aku ini comel dan menggeletek dia.

haih.
suami aku gila untuk ada isteri segila aku.

*diam*

dan inilah hala tuju asal entri hari ini--
tentang sifat yang aku tidak suka pada abah yang secara ironinya aku kendong dan aku ada.
tentang serabut
dan betapa mudah aku merasanya.

serabut.

tidak seperti sakit (yang datang hanya dari satu perkara iaitu perbuatan menyakitkan),
atau gembira (yang datang cuma dari perbuatan menggembirakan),
atau sedih (dari perkara menyedihkan);

serabut tidak datang dari sumber yang jelas.

ah, susahnya mahu diterangkan dalam bahasa melayu --bukan kerana aku mahu jadi bongkak bodoh, tapi kerana kosa kata bahasa ini agak kurang dan terbatas, aku risau penerangan perkataan serabut ini tidak tersampai.

tapi aku cuba.

serabut adalah perasaan yang tergabung dari prospek. berlainan dari perasaan2 lain yang terjana dari sesuatu yang menjana perasaan itu, serabut adalah perasaan yang bergantung pada kemungkinan semata2.

contoh:
untuk sakit, kau perlu dicucuk, ditumbuk, dicurang, diserang.
untuk ceria, kau perlu dikucup, dipeluk, disayang, dipegang.

tidak untuk serabut.
kerana untuk serabut, cukup dengan berfikir.
cukup dengan berkebarangkalian sama sesuatu.

tidak percaya?
cuba fikir kekasih kau ada pasangan lain dengan alasan payung emas.
cuba fikir bapa kau tahu apa yang telah kau jahanamkan awal minggu lepas.
cuba fikir kau dibuang kerja bulan depan kerana kau malas.

sudah boleh serabut, kan?
bagus.
sekarang, bayangkan aku yang terlalu mudah untuk serabut.
menyerabutkan, kan?

dan dalam banyak2 serabutan yang aku paling benci,
yang aku ikut tanpa sengaja dari serabutan yang abah paling benci,
ada satu serabut yang paling-melampau-maha-menyerabutkan:
orang yang kami sayang-- sakit.

sebab dalam banyak2 perkara yang paling kita tidak mampu bikin apa2,
yang tidak ada mana2 persediaan boleh menjamin apa2,
yang tidak ada mana2 kerancangan boleh mencagar apa2,
sakit akan datang bila2 masa.

sakit, kalau pun mahu datang, marilah.
aku tidak gentar, aku tidak risau.
datang sini.
pada aku.

bukan pada orang yang dikasih aku.
bukan.
tidak boleh.
langsung tidak boleh.

sebab orang2 aku sayang adalah separa dewa.
sempurna.
sihat tubuh sentiasa.
tidak boleh tumbang, kerana mereka perlu dan mereka wajib untuk sentiasa ada.

*diam*

dahulu, ketika sekolah, di zaman hospital adalah rumah kedua selepas asrama aku, abah paling pemarah sama aku bila aku sakit. aku selalu merasakan abah benci aku-- along dan achik begitu tegap dan lasak; aku-- pengsan sana, muntah sini, lembik sana, biru sini.
aku terlalu yakin abah rimas sama cengeng aku.

aku sedih. aku lebih fokus sama garang dan ketat wajah dia berbanding setianya dia mendukung aku yang terpitam di tengah jalan, segemuk mana aku dulu. aku lebih peduli senyapnya dia sama kesah aku berbanding tekunnya dia menunggu setiap keputusan doktor rashid di hujung katil aku.

aku buta. kerana itu aku sedih.
sedih kerana terlalu pentingkan diri sendiri dan memilih untuk tidak nampak ilustrasi situasi aku secara lebih luas.

aku bahalol kerana aku patut faham, selepas bertahun dia hadap derita mak bertahun2 dengan kansernya, abah tidak mungkin mampu tanggung kemungkinan sesiapa di kelilingnya sakit sekali. aku patut mengerti abah sudah habis kudrat sabarnya pada perkara2 seumpama ini.

lama aku tidak faham.
lama aku tidak mengerti.

sehinggalah ada sekali yang tahunnya aku tidak pasti,
aku terpaksa diperiksa untuk kanser buat pertama kali.
mungkin dalam tahun kedua di universiti.

tempoh itu, dalam memori aku adalah hari raya. bilamana aku katakan yang aku perlu diperiksa secara professional, wajah bercahaya abah tiba2 mati dan gelita. cuti hari raya tidak diterima sebagai alasan untuk aku diperiksa nanti2. dia tiba2 jadi sunyi. matanya tidak lagi lari2. menung dan senyap di satu titik. perkataan dikeluar cuma sepatah2; sebaris ayatlah paling tinggi --yang mana, aku perasan, makin jauh masa berjalan, makin kurang suaranya.

aku dibawa ke klinik pakar, doktornya cina. abah sudah berhenti berkata2 semenjak awal. ibu yang sibuk ke sana ke mari. abah untung; kedua2 mak dan ibu adalah orang hospital. mak semasa hayatnya-- seorang jururawat, ibu pula di makmal. abah pun dahulu ketika di usia askarnya adalah pegawai medik.

ibu yang lasak ke sini sana membawa aku. aku cuma lihatkan abah. telah agak lama aku tidak menghuni rumah sakit semenjak aku di universiti. maka aku fikir aku sudah mengecewakan dia lagi. menyusahkan dia dengan menjadi anak liabiliti. memiliki penyakit itu mahal, aku mengerti. aku tahan perasaan malu aku sambil melalukan mata aku pada tubuh abah yang masih kaku bermenung ke lantai, dan aku izinkan aku diperiksa mengikut apa yang diminta.

beberapa masa melintas pergi. aku keluar dari bilik doktor cina itu dengan senyum. aku khabarkan berita elok dari sang pakar pada ibu dan abah terutamanya. dan tiba2 abah tekup wajahnya pada dua telapak tangan dia.

abah menangis semahunya, aku hampiri kiri dia.
aku peluk tubuhnya.
aku juga menangis seperti dia.
dan dengan air mata, abah kata
"cukuplah dulu mak dah lalu ini semua".

situ, aku mula celik mata.

tapi celik mata aku hanya cukup untuk membuat aku faham kenapa abah berdemikian dulu2. aku tidak akan tahu apa dia rasa. aku cuma boleh kata aku mengerti perbuatannya. ingin aku selitkan betapa aku geli dan benci akan tidak-tepatnya klise "aku tahu perasaan kau, aku pun pernah rasa" kerana tidak ada manusia yang mampu memahami perasaan orang lain. terang2 kita bukan sama. aku tidak faham kenapa suka benar diaplikasikan ayat ini dalam kehidupan hari2, terutama ketika ada mereka2 yang konon2 hendak jadi tukang penenang perasaan, yang hendak jadi tukang orang tengah, yang hendak jadi tukang itu ini.

semua tukang2 itu,
tidak lain tidak bukan,
hanyalah penyibuk yang tidak tahu pun apa yang diperkatakan.

*diam*
maaf. terbawa2.

ok sambung.

pengalaman hari raya yang itu hanya menjelaskan kenapa abah dingin setiap kali ahli keluarga kami, khasnya aku yang terlalu lemah ini; sakit. dia serabut. dia rasa terbataskan. dia dihilangkan mampu.

macam aku malam tadi.

mungkin ada yang tidak faham bagaimana ada orang boleh dingin pada hal2 sensitif sebegini. buku2 teks sekolah dan novel2 cinta selalu bercerita tentang ketika sakitlah kita dijaga beriya, dicurah kasih disiram sayang segala. maka macam mana ada manusia seperti aku? seperti abah? begitu beku, seolah2 mengejami?

entah.
mungkin ada yang di luar sana yang seperti aku.
yang bila di depan orang sakit terus jadi kaku.
menunjuk tak peduli dan bisu.

tapi entah.
mungkin juga tidak ada.

*diam*

tadi malam, dalam perjalanan pulang ke rumah, tri sudah mula mahu muntah. badannya tidak langsung suam2 tapi terus panas membahang. aku suruh dia berhenti, untuk aku ganti pemanduan --dia kata tidak apa.

sepanjang perjalanan pulang ke rumah itu, bila2 masa dia mampu, tri sibuk menzikir "maafkan saya, maafkan saya". mungkin dia seperti aku dahulu. memikirkan dia menyusahkan atau melecehkan aku. mungkin aku sudah sedingin abah yang dulu.

aku tidak tahu.
aku biarkan tidak ditahu.
aku cuma bisu.

sepanjang perjalanan pulang ke rumah itu,
aku kaku.

tiba di rumah, tri terus rebah. aku paksakan ubat ke dalam mulutnya yang sudah separuh sedar. aku basahkan tuala dan lalukan kain lembab itu pada tubuhnya yang begitu panas membakar di luar tapi sejuk membeku di dalam. jasadnya begitu panas, tuala biru yang asalnya sejuk dgn air itu jadi berhaba.

seluruh malam, selang sejam dua, aku ulangkan yang sama.
serabut aku, hanya tuhan yang tahu.

jam 4, tiba2 tri bangkit pantas. habis katil basah tertumpah air yang aku guna untuk menuam dia. dia muntah. banyak; tak mampu aku cerita. aku yang biasanya cengeng dalam hal2 begini tiba2 gagah dan keras. aku lari dan cari kotak ubat di depan. aku tunggu dia keluar dari jamban untuk aku papah ke katil semula.

selesai semua, dalam ketat wajah aku dan dingin mata aku, aku teruskan melembapi kulitnya.
aku sedar bisu aku sebenarnya mampu menyinggung dia, tapi apakan daya.
aku rasa begitu menyiksa dia.
aku rasa begitu menjahati keadaannya.

aku sedang merasakan semua itu--
--bila dia tiba2 tarik jemari aku,
dan kata: "saya untung ada isteri sebaik isteri saya".

buat kali pertama bermula ketat wajah dan dingin mata aku sejak awal perjalanan malam tadi,
aku menangis semahu2nya dengan muka aku tekup pada telapak tangan aku yang dua.

Thursday, September 16, 2010

lolong perempuan di tengah pekat malam

semalam,
sepanjang hari aku tidak buka komputer.
baring, termenung, otak merewang.

dalam bahasa abah: melengkor.
macam ulor.

nak layan siaran,
rumah ini cuma ada rangkai kerajaan.
tak habis2 drama raya anak yatim kena dera.
tak pun kecah menantu membodek mertua di pagi raya.

tv3 pula gambarnya penuh noise.
kalau dalam jargon photoshop,
kau letak texture dan pilih grain dengan intesity 84 dan contrast 57.
macam gitu.
cuma bergerak2 macam gif file.

tapi tak rugi mana,
yang ada pun cuma cerita hantu.
mungkin relevannya adalah pada syawal, penjara syaitan terbuka kunci.
tak pun cerita ular sakti bomoh santau santet apa benda sekali pun itu.

adeh.

nak layan dvd,
semua sudah selamat aku khatam.
filem2 baru belum habis download.
op. jangan melenting.
aku tak pernah download filem melayu.
jadi kalau pun aku jadi pencuri industri filem,
orang malaysia takkan terlibat.

nak download pun tidak perlu mana.
hari raya mesti keluar juga.

:)
kan?

maka dalam menung renung aku semalam, aku teringatkan situasi malam kelmarin, ketika aku sedang sibuk menggelungsur tetikus bermain permainan bunuh2 di komputer ini. pada asalnya aku kira suara jerit2 perempuan yang jelas itu adalah salah satu karektor yang ada. namun selepas diperhati dengan lebih khusyu', aku sedar yang ia ternyata tidak.

tengah malam.
perempuan menjerit lolong.
ye, aku superstitious.
tapi aku skeptik bila datang hal hantu.
jadi aku tak takut.

aku cuma risau yang beria.
hantu tak bunuh orang.
orang jahat --ye.

aku baling kertas yang aku keronyok pada tri yang tawadu' dengan gitar elektriknya.
aku tengok dia.
dia tengok aku.
tanpa bahasa yang memecah sunyi antara, kami ke luar.

perempuan tadi masih menjerit2.
dia di tiga atau empat tingkat ke bawah.
dari gaya, tak ada sesiapa yang membantu dia.
aku dan tri saling berpandang.

apa cerita?

tiga empat minit berlalu dengan suara perempuan itu. seperti tak ada yang membantu. dia masih menempik dengan suara tinggi bersulam tangis. takkan tak ada yang tolong bertanya perihal dia di bawah sana? takkan perlu kami jadi si tijah lenggang dan mamat tonggek menyibuk dari jauh untuk pergi ke dia? tiga empat minit itu terasa begitu panjang dengan soalan2 bertubi tadi.

aku jerit dari paras aku ke arah bawah sana:
"do you need any help, miss?"
kawasan murah seperti tempat tinggal aku ini begitu ghetto.
orang melayu ada tidak ada.
jiran2 aku pun orang iran, pak arab, myanmar, nepal, cina india segala.
bahasa orang putihlah yang paling sesuai, aku rasa.

senyap.
aku ganti bahasa:
"cik, awak okay ke?"

terus sunyi.
tri tengok aku lagi.
"jom masuk"

aku turut arahan dia.
aku diam dan cuma ikut.
lama aku kunci mulut, sehingga aku tanya pada tri dalam beberapa minit selepasnya.

"apa nak jadi dengan kita, kan?"
tri faham perkataan 'kita' itu aku rujuk pada manusia.
dia senyum, geleng kepala, ketawa dengan sederhana.

takut, kan?

macammana kalau satu hari nanti tiba2 ada orang menzalimi aku? masuk rumah dengan niat rompak atau perkosa? kalau aku jerit minta tolong, apakah akan aku dibantu sesiapa? atau apakah mungkin dibiar dengan alasan "ah, jangan campur, mungkin mereka sedang gaduh rumahtangga"?

begitu individualistik hidup kita lewat ini. sampai jiran mati di sebelah pun tak diperasan, macam arwah makngah tahun lepas. terbiar 3 hari tak disedar. macam ustazah dan anaknya di negeri sembilan. bukan dijahatkan di tempat sunyi. di tengah2 kawasan orang, kot ni!!

tapi bukan hendak kata apa, kalau kita cuba ambil tahu pun, kita risau dikata kak nam penjaga kain orang. kita pun benci ada orang mennyibuk2 hal kita. jadi kita letak jarak supaya orang reti letak jarak dengan kita.

kan..?
haih~
dilemma sungguh.

mungkin perempuan tadi tidak diapa2. aku tahu. dulu rumah aku ketika bujang, di damansara itu, lagi ghetto kawasannnya. hari2 ada kes rogol, bunuh, rompak, curi. ahli rumah abang aku pun ada seorang yang mati. rumah aku, selepas aku keluar, pernah sekali dirompak; kasihan si didi.

jenayah makin menjadi2. kita sudah di tahap mengeluh semata. bukan lagi seperti dulu yang meluap2 rasa patriotik dan defensif bila dengar hal2 sebegini.

sekarang,
kita cuma keluh panjang, geleng kepala dan move on.

*diam*

aku kembali pada skrin.
sambung bunuh2 orang dengan ganas dan cara yang paling penuh darah.

haih~
*geleng kepala*
*move on*

Tuesday, September 14, 2010

entri terkerat dari maskara '09

jangan tanya kenapa.
tiba2 aku rasa hendak meletakkan soalan2 ini di sini,
sebelum aku lupa tanah aku berdiri.

semoga aku tetap teguh pada apa yang aku pegang dari dahulu.
aku kerat dari sini.

terima kasih, kawan2 maskara:
pasukan lelaki2 gagah dan samseng,
tapi romantik dalam hati.

:)

-------



1. Siapakah Fynn Jamal?

Secara metaforanya, Fynn Jamal adalah suara ramai orang di luar sana. Penggunaan bahasa yang jarang memberi nama pada mana-mana karektor plotnya menjadikan Fynn Jamal begitu karib dengan hati mereka yang membaca. Fynn Jamal, sebenarnya adalah perasaan yang paling jauh disimpan dalam hati, namun dibongkarkan secara berani di atas pentas.

Saya lahir sebagai seorang Nur Affina Yanti binti Jamalludin. Seorang yang biasa2.

Fynn Jamal adalah kegagahan yang saya cipta selepas penat menjadi seorang Yanti yang pengecut, seorang yang hidup untuk menjunjung semua kecuali dirinya.

Dan saya tahu, saya bukan satu-satunya yang merasa begitu.



2. Bilakah kali pertama Fynn sedar bahawa Fynn ada anugerah seni?

Sehingga sekarang, saya masih tidak tahu apakah saya sudah selayaknya dipanggil punya seni. Perkataan itu terlalu tinggi di bola mata saya, dan untuk memberi kategori pada diri sendiri adalah sesuatu yang terlalu bongkak. Kalau hendak dirafa'kan semata-mata pada komen-komen dan pendapat pengikut di luar sana, saya tidak pasti apa mereka benar-benar gelar saya sang seni semata-mata pendapat sendiri atau pada asas maknanya.

Jadi saya memang tidak tahu.

Apa yang saya ingat, tulisan puisi saya yang pertama adalah ketika saya terjumpa kertas-kertas A4 bertaip milik bunda saya. Saya jumpa selepas beberapa bulan dia kembali ke rangkul Tuhan. Puisi yang paling saya ingat adalah "Jangan Ditanya", tentang betapa mesti diredhakan kematiannya dan diharamkan sesiapa bersoal sama Tuhan tentang takdirnya.

Saya tuliskan sesuatu untuk menjawab tulisan itu di belakang kertas lukisan yang disiapkan sebagai kerja rumah. Saya lukis gambar kubur bernisan, dengan puisi (yang malangnya tidak saya ingat itu) dalam font yang paling cantik untuk seorang anak darjah enam.

Saya tidak mampu mengembalikan ingatan tentang tulisan saya itu, tapi saya sangat pasti saya telah menulis menggunakan style ulangan, iaitu setiap baris dalam stanza, saya mulakan dengan "Usah ditanya mengapa".

Saya cuma hafal baris pertamanya:
Usah ditanya mengapa pasir tidur di tepi pantai.

Saya harap itu seni.



3. Siapakah yang sedikit sebanyak menyumbang atau mempengaruhi gaya penghasilan karya Fynn?

Manusia. Bukan sedikit. Hampir 80% terjana dari pengalaman saya sama manusia, atau sekurang-kurangnya apa yang pernah dirasakan manusia lain; di mana-mana tempat dan masa.

Saya amat malu untuk mengaku, tapi saya sememangnya tidak membaca. Dari kecil, cara saya mendapatkan ilmu adalah melalui kaca tv, kerana saya ini manusia visual dan saya gemar observasi. Saya suka cipta relevan sendiri, mendapatkan penjelasan sendiri. Malangnya ia suatu kaedah yang sangat merbahaya, kerana kalau tidak diaplikasikan dengan hati-hati, ia akan menjadi perjudis.

Lalu saya kepilkan sekali sikap gemar bertanya. Saya belajar dari pengalaman sesiapa sahaja. Saya minta diterangkan, saya hendak dijelaskan.

Mungkin kerana saya ini seorang yang tinggi empathy nya, tapi membaca akan memaksa saya memihak, mengikut dan mudah (dipengaruh). Saya tidak mahu terlalu beriya mengikut tulisan sesiapa, kerana kecenderungan untuk berbunyi seperti orang yang saya baca itu ada.

Tapi itu dahulu.
Ketika saya masih lagi berhempas-pulas mencari siapa saya.
Ketika saya sibuk memerah diri mendapatkan intipati saya.

Dan alhamdulillah, selepas sekian lama, tulisan saya sudah stabil hingga ada banyak masa kalau tidak ditulis nama saya pun, sudah ada identiti saya terlorek di bahasa saya.

Maka kini, saya sedang menajamkan diri dengan bacaan.

Saya masih tidak memberi terlalu banyak fokus pada mana-mana penulis baik luar atau dalam negara. Tapi saya sekarang begitu damai merujuk kisah-kisah manusia dalam konteks sejarah Islamiyyah, spesifiknya di zaman rasul dan sahabat.



4. Apakah isu-isu yang sering menjadi topik kegemaran dalam sajak-sajak Fynn?

Cinta.

Klise, saya tahu. Tapi konsep cinta terlalu dijajankan dek kapitalis bahasa (saya merujuk pada konsep cinta murahan dari media) yang bila mana saya sebutkan perkataan itu, sudah terbalik bibir orang mencebik tanda stereotipikal.

Sudah terlalu macam-macam tercipta, semakin banyak aktiviti.
Terlalu banyak distraksi.

Ramai sudah lupa bagaimana cinta itu yang lahir dari jiwa.

Saya hidup atas fantasi menemukan cinta ayahbunda dalam kisah hidup saya. Puisi-puisi saya banyak berkisar tentang harapan mendapatkannya, tentang kekecewaan menunggunya, tentang kehancuran tersalah temukannya.

Dan seperti ramai orang, tulisan-tulisan sebegitu rupanya sudah lama di dalam hati, cuma tidak dijumpakan perkataannya.

Mungkin kerana itu, mereka selesa dengan saya yang menggunakan kosa kata biasa tapi tepat, berbanding perbendaharaan yang meletup tapi tidak sampai.



5. Mana satu yang betul, seni untuk seni atau seni untuk masyarakat?

Seni untuk diri sendiri. Kalau masyarakat atau platform seni itu hendak terima, itu hak mereka.

Seni itu pada pandangan sendiri.
Kenapa perlu diminta-minta anggukan mereka di luar sana?
Sentiasa jujur dgn rasa hati.



6. Apa komen Fynn tentang acara-acara indie terlalu berpusat di KL dan amat jarang di tempat-tempat lain? Tidak senikah orang-orang luar KL?

Seperti saya kata secara halus tadi, seni itu sekadar satu kategori ciptaan. Sebagai contoh, Siti Nurhaliza dikatakan diva etnik kreatif, Adlin Aman Ramli dijolok orang seni alaf baru. Itu semua permainan mereka yang tidak ada kerja lain selain mensensasi.

Tapi kalau hendak menjawab apakah tidak ada pencipta seni di tempat lain, saya rasa kelakar. Sebab saya pun bukan orang KL. Saya cuma bekerja di KL. Puisi pertama saya pun tercipta di Kota Tinggi, Johor.

Cumanya, acara-acara indie (art scene) berpusat di KL sebab di luar sana, tidak ada satu tempat menonjol untuk golongan orang yang pelik-pelik macam kita. Boleh saja kau hendak busking di Danga Bay, tapi di sana, di tempat tidak lagi ada banyak pendedahan, pak guard Nepal itu akan halau kita.

Kalau acara indie musik, sebenarnya berlambak. Cuma tidak se'bersih' di KL yang memang terang-terang dihadiri rata-ratanya anak-anak universiti yang tidak hendak terlibat sangat kalau ada kemungkinan jadi kes-kes polis.

edited: tapi hari ini, tahun 2010, orang johor sudah ada JOHO! wuhuu!!!



7. Ke manakah halatuju Fynn Jamal dalam soal seni ini?

Ada suatu malam itu saya terfikir, kalaulah benar saya ada pengikut sendiri, yang setiap butir saya digemarkan dan diikutkan, kenapa tidak saya bawa mereka ke jalan yang lebih molek.

Setidak-tidaknya, saya dapat tunaikan hak saya sebagai seorang muslim.

Tapi menjadi Fynn Jamal yang jelas tidak mencirikan kecantikan Islam itu pasti mencelakan niat saya. Lalu saya mula berdikit-dikit cuba untuk mengubah diri saya.

Dan untuk mengubah diri saya, adalah dengan mengubah suara jiwa saya.
Untuk menukar suara jiwa saya, adalah dengan menulis sesuatu yang lebih ada makna.

Bukan sekadar menulis semata-mata.

Mungkin, kalau dikurniakan Tuhan kemampuan saya, halatuju saya adalah penulisan yang jauh lebih ada signifikasi dengan tujuan saya hidup. Tentang patriotik saya pada agama ini, bukan buta-buta untuk berbual tentang cinta.

Mungkin.


-------

kadang2, aku rasa, aku cakap dalam bahasa sanskrit.
ada ke manusia selain aku yang faham apa aku bebelkan?
sebab apa yang aku perasan,
bila aku mahu cakap tentang sesuatu,
yang terkeluar sesuatu yang terolah2.

apa pun jua,
aku lebih suka tidak difaham langsung,
dari disalahfaham.

ah.
lagi entri ke laut.

hahaha.

ps: aku benci huruf besar. nasib baik rajin aku sudah habis. kalau tidak, aku taip semula semua dengan huruf kecil. urgh.

Monday, September 13, 2010

entri deskriptif yang tidak

hujan lebat di luar.
aku belum tidur dari semalam pagi.
esok kerja.

hujan sedang begitu garang.
lama sudah aku tidak selisih garau guruh memekiklolong;
terutamanya di subuh sebegini.

macam sayu pula.
berlawan2 sama pujuk azan pagi.
tak terlukis cantiknya.

awal2 tadi, telah aku cuba petik bunyi dari gitar kecil yang agak lama terbiar tak bersuara. tiada hasil. aku simpan semula dia di deretan gitar2 yang disusun tak rapi. aku sudah lama selesai sama muka2 surat maya wajib dewasa ini. dengan tertib: facebook, gmail, formspring, reverbnation, youtube.

langsai.

mata tetap tidak mahu tidur.
esok kerja.
eh. bukan esok.

pagi ini.
sekejap lagi.

juga awal2 tadi, puas aku hurung rumah2 maya ramai orang. dengan rajin, aku bingkiskan pesan2 jujur dan ucapan2 luhur pada mereka2 yang pernah memberi kesan pada aku. kalau aku mati ini hari, semua itu boleh jadi petanda 'buang tebiat' --jawapan kepada soalan jenis harian metro yang entah kenapa seperti ada template:

"apakah petanda mati si mati semalam2nya?"
"apakah dia ada teringin sesuatu yang pelik"
"apakah baju terakhirnya berwarna putih?"

sebagainya.

entri hari ini akan aku sengajakan berjasad deskriptif.
tidak ada bahasa2 yang dijongket sehingga perlu diteleng pandangan untuk difahami.
cuma elaborasi.

*diam lagi*

beberapa email berjaya buatkan aku hilang selera untuk memenuhi kehendak lapar tidur. aku datangkan kudrat untuk menjawab semampunya, dan seperti biasa, aku tidak pandai berpendek2 dalam memberi jawapan. kasihan sang penerima yang terpaksa membaca jela2 ceceh aku yang mungkin tidak pun relevan mana.

kadang2 aku risau untuk membuka mulut. orang tak pandai, kalau bercakap, yang keluarnya lebih banyak carut dan karut. aku takut. tersalah borak, terpampang bodoh kita. dalam sepuluh baik kita, kalau ada satu yang buruk, yang satu itulah yang disergam dulu.

dan aku tahu aku tidak sepandai mana.

aku cuma suka berkongsi cerita.
suka berbual tentang yang entah apa2.

*renung luar pintu kaca balkoni*

hujan sudah mula mengengsot berbanding tadi yang berkecah main kejar2 sama alam yang menyiang. berlumba2 seperti ada pertandingan siapa sampai cepat. siang dulu, atau kiamat ribut. dan tentu, pemenangnya adalah yang memiliki stamina. alam mungkin memang sedikit2 geraknya, hujan mungkin memang garuda gagahnya; tapi sungguh sudah fitrah dunia, yang tekun --walau sekecil mana langkahnya-- akan menang seribu ganda.

*pandang telapak sendiri*

temulang bermula di pangkal jemari aku sehingga ke atas pergelangan sudah mula kebas. dari jam 5 petang aku menaip tanpa henti, ditambah lagi dengan kemas genggaman kanan yang mengepalai tarian tetikus di lapang meja. kalaulah aku digaji dengan setiap bait tulisan yang aku perahkan, alangkah indahnya.

kaki yang sekejap disimpuh, sekejap disila, sekejap ditinggung dan sekejap dijulur ini begitu baik sama aku. dari dulu, walau selenguh mana, tetap dia tidak berserah. selalu sahaja dia temankan saudara tangannya ini.

dari dulu.

*senyum seorang*

seluruh tubuh ada hati jadi penulis,
tapi haram sang akal tak tahu mahu dirapu apa.

tulisan;
kalau didasarkan bohong, payah.
mesti ada betul dalam bohong, sekurang2nya.
waima fiksyen yang paling terkeluar akal logika,
perlu nampak tengkorak benarnya.

kalau tidak,
jahanam.

aku petik sedikit dari 'shooter', lakonan mark wahlberg pada 2007--
dari dialog salah seorang watak antagonis bernama michael sandor:

"lying will not make you stay. the truth will"

benar.
cerita bohong tak mampu buat orang kekal duduk lama.
makin meraban, makin panas punggung pendengar.
makin merapik, makin membahang kerusi terbakar.

kalau mahu menulis,
dan mahu terus didengar sehingga habis,
perlu jujur.
baru dibaca.

pembetulan:
baru dibaca oleh orang yang kita mahu membaca kita.

tapi ah, ini bukan negara yang membudaya tulisan.
termasuk aku.
--antara manusia yang membesar dengan senapang kayu berpeluru pipit,
--atau membesar dengan bau payau longkang ketika berakit menyauk ikan lampu,
--atau membesar dengan permainan direka khas dari bahan2 sisa kilang terbengkalai,
--atau membesar dengan bisa sagat lutut dan dagu yang terkokak dek kerikil tar berbatu.

orang seperti aku yang bukunya adalah pada parut2 seluruh anggota,
tidak seberuntung anak2 yang biasanya diajar duduk dalam rumah
untuk membaca dan membaca.
dan membaca.

ruginya tidak pandai untuk tekun membaca.
*gelak kecil*
aku sendiri tidak pernah ada daya mengkhatam bahan baca--
--mahu kata orang tidak membaca.

ha ah. iyalah tu.

*diam*

bercerita tentang konsep kata-mengata,
teringat aku pada suatu hari dahulu;
abah yang saban hari ke masjid untuk memenuhi pangkal malamnya pulang seperti biasa selesai berjemaah isya'. sudah rutin, berkumpullah anak2 dan isteri di mana2 ruang demi menghabiskan baki malam sebelum nanti bertidur nyenyak.

kadang2 di dapur,
kadang2 di ruang peti tv,
kadang2 di biliknya;
di mana2 ramai.
tiada sebab khusus. cukup untuk berbual semata2, kerana abah pendiam sifatnya bila di depan orang lain selain keluarga dan anak2 sekolah yang menaiki bas kuning dia.

malam itu, abah kata:
"tadi orang masjid borak2"

aku tanya:
"cerita apa?"

dia jawab:
"ustaz tegur, mana pergi anak2 muda zaman sekarang. masjid sunyi sepi.
yang ada hanya orang tua."

aku tanya semula:
"abah jawab apa?"

abah sengih:
"jawab apa? senyum dan angguk sajalah.
kita pun masa tua baru merangkak2 ke masjid.
yang tua2 di situ pun rata2 sepesen semua.
nak kata yang muda buat apa? kita pun sama."

abah dan aku gelak besar berdua.

betul juga. walau tidak dijelaskan, aku mencipta faham.
secara luasnya (dan bukan semata2 dalam konteks ustaz tadi), memang ramai orang yang bila sudah baik, suka berhujah tentang kebagusan diri barunya. atau paling tidak berkias tentang ketidakelokan orang yang masih belum sampai bagus seperti dia.

pada haknya, orang yang sudah baik ini tadi biasanya tidak perasan,
yang sebenarnya, orang2 yang dikata2nya kini adalah dia yang dulu2 juga.

kelakar, kan?
kita tahu,
tapi rata2 kita tetap tak sempat hilangkan perangai busuk itu.
haih~

*diam*

aku patut jilidkan perbualan2 tergantung abah dengan aku-lah.
macam2.
pedulilah apa orang kata, aku rasa abah aku pak haji kool.
haha.

*senyum*

cerita tadi adalah antara yang abah ajar aku:
sebelum kata orang, salahkan kita dahulu.

mahu kata orang kita tak suka membaca, aku ini jauh lagi teruk sebenarnya.
kalaulah tidak dijual buku sejarah jenis nota ringkasan zaman belajar dulu,
mahu gagal kertas sejarah aku gamaknya.
haha.

*terfikir*

sekadar fakta:
aku secara peribadi, merasakan buku sejarah patut ditulis semula dengan tertib yang lebih elok, dengan kajian yang lebih diperinci, dengan bahasa yang lebih kepada penceritaan. entahlah. mungkin cuma pada fikiran aku, tapi, rasanya hanya budak berakal mekanikal mampu menghafal semua itu buta2. kasihanlah manusia2 abstrak seperti aku. boleh naik gila, tuan2.

rasa gila itu,
bagaimana pun, bagi aku, boleh lagi untuk sanggup aku tadah.
rasa bodoh--
--tak mampu aku.

bayangkan, berkali2 baca, tak lekat2.
orang lain baca sekali, terus hafal.
orang macam aku? yang ada masalah fokus lari2 ini?
tak rasa bingai pulak, kan?

pelik. nama pun sejarah. apalah salah kalau dicanting ceritanya dengan gaya berkisah? ini tidak. sudahlah tarikh sekejap sini sekejap sana, pengkelasan dan pembubuhan kategori pula ada masa bersimpang-siur. tidakkan kita sedar betapa mustahaknya buku yang sempurna?

ambil agama kita sebagai contoh.
tanpa kitab yang betul tulangnya,
berkecamuk semua.

*diam lagi*
*pandang luar*

aku tidak sedar bila hujan kering.
dunia pun sudah mula berbiru terang.
kabus sudah sedikit2 hilang bening.

aku perlu siap untuk kerja yang semangatnya sudah hilang.
urgh.

*diam*
*ambil nafas dan hela*

aku tamatkan tulisan yang nyaris 100% deskriptif ini. ada beberapa kali terpesong dari objektif asalnya. aku sudah bilang, kan? aku, kalau sudah mula menulis, tak bertepi.
haha.

*pandang kalian dengan mata disepetkan sedikit dan bibir yang disumbingkan sedikit*

oh ya.
kalau apa yang kau nampakkan pada entri ini hanya deskriptif yakni tulisan terperinci semata2,
kalau yang kau lihatkan cuma bualan hujan, tubuh, tulisan, masjid dan sejarah lama,
kalau yang kau pandangkan cuma cerita2 pendek yang terselit di antaranya,
kau gagal.

hidup;
jangan terlalu literal, beb.
cari.

Wednesday, September 8, 2010

eid yang fitri

selamat hari raya.
walau pun sesungguhnya dalam hati aku,
tidaklah terasa apa2 pun sebenarnya.
biasa saja.

selamat hari raya.